kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Muhyiddin kongsi persepsi orang muda terhadap UMNO

KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi berkongsi pengalamannya ketika berkomunikasi dengan orang muda bagi mendapatkan reaksi serta persepsi sebenar mereka terhadap UMNO.




Ketika berucap merasmikan persidangan tiga sayap parti itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Timbalan Perdana Menteri merumuskan UMNO perlu membuktikan parti itu bukannya sebuah institusi yang lesu, bukannya parti yang mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung dan budaya ampu sana ampu sini.

"Bagi saya, pandangan orang muda terhadap UMNO adalah penting. Saya bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa aspirasi mereka? Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa perkara penting yang hendak disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka bercakap secara jujur, ikhlas dan terbuka.

"Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau defisit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO ada budaya 'play safe' dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh warlord; dan kelima, UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata mereka," katanya.

Muhyiddin berkata, mereka juga menjelaskan satu persatu maksud di sebalik luahan yang diutarakan kepadanya itu.

"Mengenai defisit kepercayaan, mereka beritahu saya mereka sebenarnya sokong perjuangan UMNO. Mereka sayang kepada UMNO. Cumanya, mereka ingin melihat pemimpin UMNO di setiap peringkat lebih berintegriti, amanah, jujur, telus, tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak menonjolkan kemewahan yang berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan sebagainya.

"Mereka juga tidak mahu UMNO terlalu terikat dengan hierarki hingga mewujudkan gambaran parti kita menjadi parti feudal sehingga orang bawah tidak boleh bersuara selagi orang atas tidak bersuara. Sehinggakan hendak beri pandangan pun kena tengok apa orang atas kata. Kalau orang atas kata A, maka yang di bawah mesti kata A. Kalau orang atas kata B, yang di bawah pun mesti kata B," katanya.

Muhyiddin berkata mereka menyatakan lagi bahawa orang muda dalam UMNO mempunyai idea-idea yang bernas tetapi merasakan lebih baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas.

"Ada yang kata kalau bercakap lebih sedikit nanti dianggap hendak memandai. Ada pula yang beri nasihat orang muda mesti berhati-hati dalam politik. Jangan terlalu menonjol. Jangan terlalu laju. Nanti kena sekat, nanti kena cantas, kena kerat, kena sabo, kena cah keting, kena terajang dan lain-lain lagi.

"Jadi, lama-kelamaan mereka fikir lebih baik diam daripada bercakap, atau lebih selamat jadi pak turut saja. Seolahnya ada satu budaya 'play safe', atau budaya pilih jalan selamat dalam UMNO," katanya.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menggesa UMNO membuktikan bahawa warlord bukan sebahagian daripada budaya parti itu dengan menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut.

"Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam UMNO. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal. Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang.



TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ke Majlis Perasmian Serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC), Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Asyraf Hamzah

"Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam hiraki parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata 'money is everything in politics'. 'No money, no talk'. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya," katanya

Beliau menjelaskan, budaya ugut dan tabur ini amat bahaya kepada parti kerana budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti.

"Pengikut yang terima wang akan suka. Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka. Tetapi jangan kita lupa. Rakyat di luar sana tak suka politik wang. Mereka curiga bila lihat orang politik hidup mewah.

"Inilah punca masalah 'trust deficit' atau defisit kepercayaan terhadap UMNO. Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hierarki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita.

Tags: politik
Subscribe

  • Reflection of current leaders

    The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming absurdly ridiculous. Of late, Malaysians are in need of someone or…

  • March 2020 is not Ides of March

    History had made a mark in Malaysia as in March 2020, the country’s eighth prime minister took over as prime minister in order to “save…

  • Reflection of our current leaders

    I refer to ' Time to reflect on what is important' dated 3 Mar 2020. The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments