kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Aspirasi Muda II

Puteri-puteri solehah bakal penghuni jannatul firdaus, Dalam keagungan perjuangan kalian demi agama dan bangsa, contohilah kehebatan 9 'siti' srikandi Islam yang boleh dijadikan ikutan terbaik.

Siapakah mereka?

1) Siti Khadijah- Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yang setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh orang-orang kafir dan musyrik. Pembela paling setia dan sanggup mengorbankan seluruh jiwa raga, harta dan perasaannya demi kejayaan perjuangan Rasulullah.

2) Siti Fatimah- Anak Rasulullah yang tinggi budi pekertinya. Menjadi pendorong dan motivasi ketika baginda menerima tekanan kaum Quraisy Mekah. Menjadi isteri solehah dengan memberi khidmat kepada suaminya Saidina Ali menyampaikan dakwah dan membuat persiapan untuk memasuki medan peperangan.

3) Siti Aishah- membantu baginda Rasul dalam menyampaikan mesej Islam sehingga ke semua peringkat termasuklah kaum wanita hari ini sekali gus menaikkan martabat wanita yang pada awalnya dinilai sebagai golongan yang rendah dari sudut kaca mata masyarakat Arab Jahiliah ketika itu.

4) Siti Hajar- Isteri Nabi Ibrahim yang patuh kepada suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan.

5) Siti Mariam- Wanita suci yang pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yang tinggi sehingga rahimnya dipilih oleh Allah s.w.t untuk mengandungkan Nabi Isa.

6) Siti Asiah- Isteri Firaun yang tinggi imannya dan tidak gentar dengan ujian yang dihadapinya daripada Firaun Laknatullah.

7) Siti Aminah- Wanita mulia yang menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

8) Siti Muti'ah- Isteri yang patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kepada suami.

9 ) Siti Zubaidah- Wanita kaya dermawan yang menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya untuk membina terusan bagi kegunaan orang ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

Saya percaya ramai yang ada di dalam dewan ini bernama Siti. Mudah-mudahan kamu juga mempunyai semangat dan aspirasi seperti sembilan Siti yang saya nyatakan itu. Diharapkan Siti-siti yang ada di dalam dewan ini dapat mewarisi legasi perjuangan wanita zaman Rasulullah itu, insya-Allah, yang tidak ada nama Siti pun boleh contohi mereka, jangan risau kita juga dijanjikan syurga.

ALLAH telah berfirman dalam Surah An Nisa, ayat 124;

" Barangsiapa mengerjakan amal- amal soleh, lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, mereka itu masuk syurga dan tidak dianiaya walau sedikit pun.''

INSTITUSI RAJA

Saudari-saudari yang saya hormati sekalian,

9. Melayu dan institusi raja tidak dapat dipisahkan. Kedaulatan raja-raja Melayu wujud sejak enam abad dan telah membina ketamadunan Melayu yang gemilang. Saya ingin mengambil contoh raja Melayu dahulu iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah, sultan Melaka yang ketujuh. Baginda menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Mansur Shah pada tahun 1477 dan merupakan sultan yang paling mementingkan keamanan di Melaka. Baginda dianggap sebagai sultan yang adil dan warak serta tinggi ilmu agamanya. Prihatin dengan rakyatnya, baginda akan menyamar sebagai rakyat biasa dan meronda sekitar kota Melaka pada waktu malam untuk mengetahui masalah rakyat. Ini yang kita panggil `action oriented'.

10. Sejarah Melayu menggambarkan baginda sebagai raja yang bertanggungjawab. Baginda tangani sendiri pelbagai masalah rakyat seperti kejadian rompakan dan kecurian yang banyak berlaku di awal pentadbirannya. Melaka aman dan terkenal sebagai pusat perdagangan antara Timur dan Barat semasa pemerintahan baginda. Baginda juga dihormati kerana adil dan saksama. Sultan seperti inilah yang harus menjadi role model, contoh dan mesti kita hormati serta sanjung tinggi.

11. Di sini saya juga ingin kongsi satu lagi kisah sejarah Mustafa Kemal Ataturk. Ini contoh bagaimana sistem kesultanan dijatuhkan dan keruntuhan dunia Islam. Mustafa yang digelar sebagai Bapa Pemodenan Turki, telah mencetuskan gerakan turki muda sehingga berjaya menjatuhkan institusi kekhalifahan Uthmaniah sekitar tahun 1923. Tetapi beliau menjadi tali barut ejen laknatullah dalam menghancurkan Islam. Ada yang berpendapat Mustafa ini seorang anak luar nikah yang telah diprogramkan oleh Yahudi untuk meruntuhkan Islam. Beliau menghasut rakan-rakannya supaya tidak tertipu dengan pemikiran dunia Islam. Dan akhirnya beliau memansuhkan sistem kesultanan pada tahun 1922. Dengan itu berakhirlah juga sistem khalifah dan Islam sebaliknya Mustafa menggantikan Islam kepada sistem sekular.

12. Apa yang menjadi kebimbangan saya ialah gerak kerjanya yang seakan-akan sama dengan gerakan pihak-pihak tertentu hari ini iaitu Mustafa telah memaksa al-Quran dicetak dalam bahasa Turki dengan menggunakan tulisan rumi, walhal ulama telah sepakat mengharamkan al-Quran ditulis dalam tulisan selain bahasa Arab. Begitu juga baru-baru ini, wujud pihak yang mahu al-Quran ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya tanpa satu pun ayat dibenarkan ditulis dalam tulisan jawi. Mengapa ini berlaku, di masa kesilapan kita, tahukah anda, kematian Mustafa itu amat menyeksakan. Allah itu maha adil, Mustafa terpaksa melalui saat yang paling menakutkan sebelum kematiannya, malah mayatnya juga tidak langsung diterima oleh tuhan di bumi ini, Mustafa terpaksa ditanam dalam di celah-celah batu marmar kerana tanah Allah tidak dibenarkan untuk menerimanya.

13. Ingatkah kita kepada tujuh wasiat raja-raja Melayu yang ditandatangani dan dipersetujui pada 5 Ogos1957. Salah satu daripada wasiat itu ada menyebut "Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini". Wasiat yang dinyatakan itu sebenarnya sudah cukup membuktikan bahawa institusi raja kita adalah tunjang kepada kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati hari ini. Apa yang kita amat kesali sekarang ini, sudah mula ada golongan tertentu yang berani mempersoalkan apa relevannya kewujudan institusi beraja di negara ini. Sudah mula muncul kumpulan oportunis yang mengkritik, mempersenda malah bersikap biadab dengan menghina serta merendah-rendahkan martabat raja-raja Melayu. Dalam media sosial kini ada yang mempersendakan pemerintah dan sultan kerana isu pendatang asing tanpa izin (PATI).

14. Isu PATI bukan perkara baharu, tetapi sehingga kini masalah ini gagal diselesaikan. Sehubungan itu Puteri berharap pihak berkuasa lebih tegas dikenakan terhadap bukan sahaja PATI tetapi orang tengah dan majikan. Tiada seorang pun yang terlepas sama ada majikan atau ejen daripada dikenakan tindakan undang-undang jika mereka didapati bersalah. Situasi politik yang berlaku di Selangor baru-baru ini menuntut kita semua memahami bahawa peranan raja-raja Melayu sangat penting -sebagai penimbang tara dalam mengadili serta menyelesaikan kemelut yang timbul. Begitu sukarnya untuk melantik seorang menteri besar apabila ada pihak yang ingkar dengan perintah sultan.

Puteri-puteri pejuang bangsa,

15. Saya ingin menarik perhatian kita semua bahawa kemelut itu berlaku kerana orang Melayu yang tidak bersatu. Berpecah dek kerana mengejar kepentingan dan agenda tersendiri. Realitinya, kerana matlamat itu, kita semakin lemah, alpa dan lupa diri sehingga wujud ruang bagi pihak lain mengambil kesempatan. Undang-undang sudah ada tetapi tiada yang betul-betul dihukum atas kesalahan dilakukan. Walhal kita tahu undang-undang terhadap penghinaan kepada raja-raja Melayu termaktub dalam Perlembagaan. Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang antara kandungannya turut mempertahankan hak raja-raja Melayu. Mengapa ini berlaku, adakah kerana kita tidak memahami tentang pemerintahan raja berperlembagaan dan manifestasi rukun negara.

16. Inilah cabaran besar yang kita hadapi sekarang. Kita mahu anak muda diberi pemahaman yang jelas mengenai peri pentingnya institusi raja-raja Melayu. Mereka harus dididik dari awal mengenai perkara ini. Puteri UMNO mencadangkan agar diwujudkan modul atau kurikulum di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi mengenai pengajian Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dikaji. Perincikan tentang kedudukan dan tanggungjawab raja-raja Melayu terutamanya peranan Yang di-Pertuan Agong yang bukan sekadar menjadi ketua agama Islam.

17. Program-program berunsurkan patriotisme yang lebih menarik dan menonjol juga harus diperluaskan dalam kalangan generasi muda bagi menjelaskan lagi berhubung fungsi dan peranan institusi raja dalam sistem perlembagaan negara. Manfaatkan kemudahan yang ada di Biro Tata Negara untuk menganjurkan program berbentuk patriotik. Institusi raja mesti kita pertahankan. Tindakan menghina raja-raja Melayu yang dilakukan menerusi pelbagai saluran termasuk Facebook perlu ditangani. Pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak. Selain mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini, sekatan perlu dikenakan terhadap blog mahupun facebook yang menghina raja dan sultan. Untuk itu Puteri gesa agar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikaji semula untuk kenakan hukuman yang lebih berat dan adil.

KESUCIAN AGAMA

Sidang hadirin dan sidang perwakilan sekalian,

18. Saya sedih, kecewa dan marah apabila ada pihak yang sudah berani memperlekehkan Islam dan institusi agama. Yang dikesalkan ada orang Melayu sendiri tidak menghormati Islam. Apa pun sebelum kita menghukum atau menyalahkan pihak terbabit. Lebih baik kita lihat aspek agama Islam dan memberi pemahaman kepada generasi muda tentang Islam. Bagi menarik perhatian golongan muda untuk memahami dan menghayati Islam, kita fokuskan kepada aspek imej dan minda yang lebih 'segar dan muda'. Kalau kita lihat, generasi muda kini lebih meminati tokoh-tokoh yang muda dan kemas seperti ustaz yang lahir menerusi program Pencetus Ummah PU Hafiz. Beliau tampil dengan memakai kot, ada stail, kata orang muda. Malah ini saya dengar beliau ada ramai peminat. Dalam dewan ini pun saya rasa ramai yang minat PU Hafiz.

19. Konsep dakwah tidak harus dilihat sebagai ketinggalan zaman. Sesuatu isu berkaitan agama perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas meliputi aspek ekonomi, sains, matematik, sosiologi mahupun psikologi. Kita tidak boleh melihat Islam dari satu perspektif iaitu soal hukum dan halal haram sahaja. Jangan kita bercakap tentang buat ini masuk syurga, buat itu masuk neraka. Makan babi haram. Minum arak haram. Semua itu ramai yang sudah tahu.

20. Kita sudah moden, maka minda juga harus lebih moden. Alim ulama kita harus bercakap tentang betapa 'cantiknya' masuk syurga. Jelaskan bagaimana hendak elak dari masuk neraka. Kita cakap makan babi haram tetapi kenapa babi haram kita tidak jelaskan. Sebab itu saya kata tadi tokoh-tokoh agama kita harus lihat sesuatu itu dalam perspektif yang lebih menyeluruh, merangkumi aspek sains, sosial, teknologi dan psikologi orang muda. Biar apa yang dicakap itu menunjukkan kita banyak membaca dan ilmu pengetahuan kita tinggi, baharulah kita boleh meyakinkan. Dan dakwah kepada orang muda berjaya. Dalam pada Islam menerima pelbagai serangan dalam dunia tanpa sempadan hari ini, peranan institusi agama terutama jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri penting - untuk bertindak sebagai penampan kepada serangan itu. Pegawai-pegawai di jabatan agama perlu lebih proaktif untuk menjawab apa sahaja isu yang dibangkitkan dengan cepat dan bijak.

Sidang hadirin sekalian,

21. Puteri kesal apabila ada pemimpin politik beragama Islam yang dianggap cerdik pandai sudah tidak mahu melindungi kesucian agama Islam daripada dipermain dan dipersendakan pihak-pihak tertentu. Mereka ini lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi. Mereka bimbang tidak lagi popular atau hilang sokongan kalau terlalu lantang mempertahankan Islam. Puak-puak ekstremis agama yang sering mencetuskan keganasan tanpa batasan, liberalisasi agama yang 'menghalalkan' budaya seperti LGBT yang secara terang-terangan melanggar akidah umat Islam dan golongan pluralisme agama yang berpendapat semua agama termasuk Islam adalah sama semakin berkembang. Adakah kita hanya mampu melihat semua ini dan membiarkan fahaman berbahaya ini menghancurkan umat Islam.

22. Kita tahu kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya tunduk kepada sebarang desakan dan tekanan pihak-pihak yang ada agenda dan berniat jahat terhadap Islam. Kita juga percaya, badan yang menjaga kepentingan umat Islam akan terus bertindak tegas memastikan apa juga isu yang menyentuh kesucian agama Islam akan ditangani dengan sebaik-baiknya. Puteri UMNO menyokong apa juga keputusan dan tindakan yang diambil oleh institusi agama Islam demi memelihara martabat dan kesucian Islam. Kita hargai ketegasan kerajaan yang memutuskan untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang menghalang lelaki Islam berpakaian dan berkelakuan seperti wanita bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Ia dilakukan bagi menjaga kepentingan agama Islam. Tindakan tersebut adalah bagi mempertahankan ajaran Islam. Keputusan itu akan memberikan kesan kepada peruntukan undang-undang yang sama di negeri-negeri.

23. Kes ini memperlihatkan agenda pihak tertentu yang mahu memesongkan akidah umat Islam. Oleh itu amat penting bagi kita untuk berwaspada dengan taktik mereka ini. Dan pada masa sama, institusi agama Islam perlu tegas dalam menghadapi gelombang penentangan terhadap Islam dalam bentuk baharu ini. Selain itu, Puteri UMNO sebagai sayap parti yang berjiwa orang muda, melihat dakwah melalui seni muzik turut memberi kesan positif terhadap anak muda kita. Lagu-lagu dakwah dengan konsep baharu menjadi ikutan dan dihayati sebaik mungkin oleh anak muda hari ini. Ini satu perkembangan yang positif.

24. Kita lihat ramai artis kini tampil lebih cantik dan menarik dengan berhijab. Langkah mereka itu semakin diikuti oleh rakan-rakan artis yang lain. Inilah dakwah yang hadir bukan daripada paksaan sesiapa. Itulah cara yang sebetul-betulnya untuk mengajak orang muda menghayati Islam - secara sukarela bukannya paksaan. Kita mahu Islam dihormati kerana kemuliaan ajarannya bukan dengan cara memaksa ia dihormati. Mengambil contoh penyanyi dan komposer wanita popular, Yunalis Zarai atau Yuna dengan penampilannya yang menutup aurat dan `hijabster' telah mempengaruhi remaja. Biarpun dia menyanyikan lagu-lagu pop, tetapi dakwah Yuna juga jelas menerusi personalitinya itu. Secara tidak langsung, dia membawa mesej bahawa bertudung tidak menyekat apa yang hendak dilakukan. Impak daripada kemunculan Yuna itu sendiri telah mendorong ramai lagi penyanyi angkatan baru yang lebih berkeyakinan muncul bertudung walaupun tidak memperjuangkan irama nasyid seperti lazimnya.

EKONOMI WANITA MUDA

Para perwakilan dan saudari-saudari sekalian,

25. Puteri sedih, kesal dan kasihan apabila mendengar rakan-rakan, adik-adik dan kakak-kakak yang ingin bekerja tidak mendapat peluang dan ruang. Mengapa, pengangguran masih wujud dan bolehkah ia diatasi. Itu semua persoalan yang wujud di benak anak-anak muda apabila tidak bekerja. Kerajaan telah melaksanakan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) untuk membantu graduan mendapatkan pekerjaan dengan kerjasama syarikat milik kerajaan (GLC). Tetapi masih ramai yang menganggur kerana skim tersebut tidak dipelopori secara meluas.

26. Puteri mencadangkan agar penambahbaikan dilakukan terhadap SL1M dengan mempelbagaikan cara hebahan seperti melalui akhbar, radio, Facebook dan lain.lain. Pameran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS perlu diperbanyakkan atau adakan taklimat kepada pelajar tahun akhir mengenai program tersebut. Berdasarkan laporan Kementerian Pendidikan, kadar pengangguran untuk tahun lalu meningkat daripada tahun 2012. Kadar pengangguran wanita muda pada 2013 berjumlah 34,641 graduan berbanding tahun sebelumnya iaitu 34,139 graduan. Jumlah ini sedikit sebanyak menyebabkan kami Puteri tidak senang duduk. Maka, sebagai sayap tempat bernaung remaja dan wanita muda untuk bersama-sama mencorak hala tuju negara kami ingin mewujudkan satu program - `From Nothing to Something'. Program 'From Nothing to Something' boleh dilaksanakan bersama Kementerian Pendidikan menerusi Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA).

27. Program itu memfokuskan graduan yang tidak mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian. Di peringkat permulaan diadakan sesi luah rasa untuk melihat minat dan kecenderungan graduan terbabit dan sediakan ruang untuk mereka sertai kursus dalam bidang berkaitan. Antaranya ialah kursus bahasa Inggeris, grooming, landskap dan sebagainya. Kemudian beri pendedahan secara langsung kepada mereka dengan dunia pekerjaan melawat industri pekerjaan yang yang diminati. Di sini mereka boleh menilai dan memadankan kemahiran dan kelayakan yang dimiliki dengan industri atau sektor pekerjaan yang sesuai. Matlamat kami, anda menjadi pekerja yang menepati kehendak pasaran dan majikan.

28. Selain itu, kita juga bantu mereka menulis resume supaya apabila pihak syarikat baca mereka tertarik untuk panggil interviu. Semua ini boleh diperoleh apabila kita google di internet, ada banyak contoh resume. Tetapi bukan semua boleh dipakai. Oleh itu kami akan memimpin anda untuk menulis resume dengan betul yang akan memberi nilai tambah kepada peluang untuk mendapatkan pekerjaan, semua kita sediakan. Kita ada ahli-ahli yang ada pengetahuan tentang perkara ini. Puteri berharap, program 'From Nothing to Something' ini dapat membantu melancarkan matlamat Skim Latihan 1Malaysia. Dalam usaha ini, kami yang menyokong penuh Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) akan turut menjalin kerjasama dalam menjayakan kedua-kedua program itu.

Rakan-rakan seperjuangan Puteri,

29. Puteri sentiasa beri sokongan pada pusat kecemerlangan pendidikan dalam bidang teknologi, perniagaan dan industri perkhidmatan yang diwujudkan oleh kerajaan iaitu Kolej Komuniti. Kolej ini adalah khusus bagi pelajar lepasan menengah tetapi, masyarakat setempat juga boleh menyertai kursus yang ditawarkan. Ia ada di setiap kawasan Parlimen. Menerusi kursus sepenuh masa atau kursus pendek yang ditawarkan dengan bayaran yang berpatutan, anak-anak muda boleh menyertainya. Kita boleh wujudkan program bersama Kolej Komuniti ini. Saya difahamkan terdapat lebih 100 program kemahiran ditawarkan kolej tersebut. Kita boleh wujudkan program '1 kawasan 1 kemahiran/perkhidmatan'. Ini sebagai langkah untuk lahirkan generasi muda yang boleh berdikari. Mampu berusaha mencari pendapatan sendiri. Tidak terlalu bergantung kepada kerajaan. Kumpulkan orang muda yang minat bidang keusahawanan dan buka peluang kepada mereka untuk mengikuti kursus di kolej-kolej itu.

30. Dalam tempoh satu tahun yang lalu, Puteri telah melihat satu industri baharu yang trendy dan amat diminati wanita muda khususnya. Online bisnes atau perniagaan atas talian. Saya juga tidak terkecuali menjadi pelanggan kepada peniaga-peniaga wanita muda atas talian ini. Melihat perkembangan ini saya beranggapan mengapa tidak kita angkat perniagaan online ini. Sebagai payung untuk wanita muda, Puteri berhasrat mewujudkan satu program yang boleh membantu wanita muda yang berminat untuk mewujudkan perniagaan atas talian tetapi tidak mempunyai kepakaran. Walau bagaimanapun, kekangan yang dihadapi untuk menjalankan perniagaan ini perlu ditangani terlebih dahulu. Puteri melihat ada empat permasalahan utama iaitu modal, promosi, teknologi dan masa.

31. Dalam aspek modal, Puteri akan membantu membuka peluang untuk mereka mendapatkan pinjaman modal bumiputera. Dalam Bajet baru-baru ini, RM50 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Usahawan Wanita Muda Profesional iaitu pembiayaan kepada 5,000 peminjam wanita profesional. Jika ada yang tidak tahu bagaimana kaedah memohon Puteri sedia membantu untuk merebut peluang ini.

WANITA MUDA DALAM KERJAYA

Wahai puteri-puteri yang saya hormati,

32. Kita menyedari terdapat pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan selama ini untuk pembangunan masyarakat namun puteri melihat banyak program yang diwujudkan itu gagal mencapai sasarannya. Jutaan malah berbilion ringgit dihabiskan untuk pelaksanaan program yang bersifat populis semata-mata tetapi hasilnya tak seberapa. Puteri menggesa kerajaan menilai semula setiap program yang akan diwujudkan. Kita tidak mahu program tersebut sekadar menghabiskan wang kerajaan dan sekadar untuk 'menunjuk-nunjuk' tetapi golongan sasar tidak menikmati hasilnya.

33. Puteri mahu program-program yang melibatkan generasi muda memberi nilai sebenar kepada mereka sama ada dari sudut polisi dan dasar kerajaan. Tak perlu setiap kementerian buat karnival atau fiesta untuk orang muda sehingga berhabis jutaan ringgit. Ini satu pembaziran. Saya faham program seperti itu bertujuan menarik golongan muda dekat dengan kerajaan tetapi perlukah kementerian berhabis berjuta-juta ringgit semata-mata untuk meramaikan penyertaan orang muda dalam program tersebut. Tak perlu program yang besar, memadai program yang sederhana tetapi pengisiannya memberi nilai dan makna yang holistik kepada orang muda.

34. Oleh kerana itu, sebagai memperjuangkan kepentingan wanita Melayu Muda, Puteri menggesa kerajaan memberi perhatian kepada perniagaan dalam talian. Saya ingin berkongsi kisah seorang wanita muda yang boleh dikatakan antara pelopor terawal memperkenalkan perniagaan online di Malaysia. Beliau memulakan perniagaannya bersama satu kumpulan anak-anak muda, dek kerana minat mendalam tentang dunia peragaan beliau telah menggunakan duit perbelanjaan pemberian bapanya untuk membeli pakaian kegemarannya. Meskipun tidak mempunyai minat yang sama seperti wanita ini, saya kagum dengan semangat beliau yang berani membawa perubahan dalam dunia pernigaaan yang belum tentu ada sambutan. Tetapi beliau mempunyai keyakinan yang amat tinggi, yang sewajarnya setiap daripada kita di sini perlu mempunyai semangat sepertinya. Yang saya maksudkan ialah Vivy Sofinas Yusof atau lebih dikenali Vivy Yusof yang merupakan Pengarah Urusan Fashion Valet.net, Vivy berjaya menjual hasil kerja pereka tempatan menerusi dalam talian. Antara mereka yang berada di bawah bumbung Fashion Valet adalah Nurita Harith, Alia Bastamam, MimpI Kita dan Jovian Mandagie. Maka, kita macam mana? Saya mahu bantu, Puteri sedia membantu. Datanglah kepada kami. Sentiasa ada ruang dan peluang untuk semua wanita Melayu muda.

35. Kami turut mendengar keluh kesah golongan pertengahan, kebanyakannya daripada golongan profesional dan berkemahiran. Mereka ini tergolong dalam kumpulan wanita muda yang baru memulakan kehidupan berumah tangga. Begitupun mereka terpaksa berhenti kerja kerana perlu menjaga anak-anak yang masih kecil. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, suami terbeban apabila isteri sudah tidak ada sumber pendapatan. Golongan seperti ini ramai. Mereka tiada pilihan, terpaksa berhenti bekerja, untuk mengambil pembantu rumah warga asing perlu ada sekurang-kurangnya RM10,000. Untuk menghantar anak ke rumah pengasuh, tidak semua pengasuh profesional, bimbang keselamatan anak.

36. Sehubungan itu kerajaan perlu menyediakan lebih banyak inisiatif kepada kumpulan puteri untuk memulakan kerjaya, tidak kira kerjaya pejabat atau 'work-home based' bagi menggalakkan lagi keusahawanan dalam kalangan wanita yang berkeluarga seperti 'online business/rebranding online business'. Beri inisiatif potongan cukai serta beberapa keistimewaan khas kepada mereka. Saya percaya ramai daripada mereka mahu membantu menambah pendapatan dengan bekerja dari rumah. Tetapi kebanyakan majikan belum terbuka berhubung perkara ini. Masih ramai yang tidak menggalakkan kerja dari rumah. Kita tidak faham mengapa, walhal apa yang penting adalah produktiviti. Sedangkan hakikatnya, kalau isteri-isteri, ibu-ibu itu senang hati bekerja dari rumah kerana mengetahui anak-anak dalam keadaan selamat dan pemantauan mereka, sudah pasti produktiviti meningkat. Saya harap golongan majikan lebih fleksible dalam hal ini kerana cabaran sudah berbeza justeru pendekatan kita juga harus berbeza.

Rakan-rakan seperjuangan,

37. Saya ingin menyentuh tentang negara-negara jiran yang sebenarnya mempunyai masalah yang sama iaitu dilema wanita bekerjaya dan keluarga. Sebagai maklumat serta contoh terbaik. Di Jepun, populasi wanita berkerja pada umur 25 - 29 meningkat, tetapi merundum pada tahap umur 30 - 34, namun meningkat semula hinggalah mereka berumur 60 - 64. Hal ini kerana Jepun menggunakan pendekatan berkesan dalam menggalakkan wanita yang berkeluarga untuk kembali bekerja. Di Jepun juga, mereka tidak mensia-siakan kredibiliti serta nilai wanita dengan memperkenalkan projek ' Mothers' Hello Work' iaitu satu projek bagi menyokong wanita yang berkeluarga kembali berkerja. Projek itu termasuklah menyediakan kerja - kerja separuh masa kepada wanita, serta memendekkan waktu berkerja bagi wanita yang mempunyai anak kecil.

38. Dalam hubungan itu, Puteri bercadang untuk sediakan satu platform bagi mereka. Tetapi kita perlukan sokongan para suri rumah ini. Mari kita sama-sama wujudkan satu komuniti mengikut bidang kemahiran masing-masing. Kumpulkan para profesional ini - arkitek, jurutera, pereka hiasan dalaman, model, chef dan sesiapa sahaja surirumah yang sedia bekerja secara sambilan. Kemudian kita wujudkan satu laman web dan ia boleh dicapai menerusi aplikasi Puteri UMNO yang telah kita wujudkan dalam ioS dan Android. Sesiapa yang belum download boleh buat demikian. Menerusi pendekatan itu jika para majikan mahu gunakan khidmat profesional ini, mereka boleh akses dan pilih siapa yang dikehendaki. Malah, para majikan juga boleh gunakan portal atau laman web ini untuk tawarkan atau iklankan kerja sambilan dan separuh masa kepada para suri rumah. Usaha ini boleh kita jayakan jika mendapat sokongan daripada para suri rumah terbabit.

Bersambung ... Aspirasi Muda III

Tags: politik
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments