kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Aspirasi Muda III

SOSIAL



Intipati Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO 2014

Para pejuang puteri sekalian,

39. Generasi muda amat dekat dengan internet. Mereka membaca blog, Facebook Instagram. Itu rutin mereka setiap hari. Media sosial sudah jadi 'makanan' mereka. Malah semasa saya sedang bercakap ini pun, kalau ada peluang mungkin ada yang sedang update status Facebook dan IG mereka. Tetapi bahayanya media sosial ini juga menyebarkan pelbagai propaganda dan fitnah selain menghasut. Dakyah yang tersebar itu ada kalanya cukup meyakinkan terutamanya apabila disertakan dengan gambar, statistik dan bukti yang dimanipulasi supaya kelihatan sahih.

40. Wujud juga apa yang kita panggil fenomena `troll'. Troll dengan niat untuk berjenaka ok, boleh diterima. Tetapi kalau gambar diedit bagi mengaibkan seseorang, ia sangat bahaya. Di satu pihak perbuatan ini mungkin nampak sebagai bahan jenaka tetapi di satu pihak lagi ia boleh mengundang sesuatu yang negatif. Troll menjadi bahaya apabila kenyataan yang dibuat bertujuan menyindir lalu menjadi provokasi melampau dan boleh membawa kepada fitnah. Golongan yang suka pada troll ini disifatkan sebagai `sakit jiwa'. Malah menurut pakar motivasi, Datuk Dr Mohd. Fadzilah Kamsah, mereka ini sakit dari segi rohani,

41. Maklumat yang saya dapat ada pihak tertentu yang merekrut anak-anak Melayu untuk tujuan menyebarkan doktrin liberalisme, sosialisme dan komunisme. Mereka bergerak aktif melalui beberapa program yang bertopengkan demokrasi. Menggunakan tenaga pengajar orang Melayu. Pihak ini telah mempromosikan budaya liberal sehingga ke tahap ingin menghapuskan hak keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan. Beberapa siri program ini ditumpukan di Lembah Kelang telah menyasarkan anak-anak Melayu lepasan universiti dari seluruh negara. Mereka menggunakan platform program ini untuk menghasut, membasuh dan memprogramkan pemikiran anak-anak Melayu kita menentang kerajaan, menolak perkara termaktub dalam Perlembagaan dan menjadi pelapis kepada ancaman liberal, sosialis dan komunis di negara ini. Maka, pemimpin-pemimpin seperti Karl Marx, Lenin, Leon Trotsky dan kemungkinan Chin Peng diangkat oleh mereka sebagai rujukan politik bukannya bapa-bapa kemerdekaan, pembangunan dan kemajuan yang telah berpenat lelah membina Malaysia sebagai sebuah negara bangsa hari ini.

42. Isu subsidi dan harga minyak naik dimanipulasi, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diwujudkan untuk bantu rakyat juga dikatakan sebagai satu kesilapan. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diberikan untuk bantu pelajar juga dijadikan isu untuk mendakwa kerajaan menindas pelajar. Macam-macam lagi isu dimanipulasi. Perkembangan ini bukan sahaja mengejutkan tetapi membuktikan sememangnya wujud usaha pihak tertentu dalam memanipulasikan pemikiran anak muda Melayu yang sepatutnya menjadi modal insan dalam menjamin kesinambungan negara yang kita cintai ini. Golongan ini dikatakan sedang mencucuk jarum dalam minda anak muda kita untuk sedikit demi sedikit membuang atau menghakis identiti bangsa mereka. Hak keistimewaan, kuasa politik dan identiti Melayu itu mahu dilihat sebagai satu perkara yang lapuk. Mereka mahu mendoktrinkan anak-anak muda Melayu ini bahawa mentaliti seumpama itu hanya menjejaskan kemajuan negara. Mereka mahu orang Melayu lupakan asal usul mereka.

43. Apa yang menyedihkan adalah golongan muda Melayu ini tidak menyedari mereka dimanipulasikan. Mereka hanya seronok melihat retorik politik yang memudaratkan diri sendiri itu. Dilihat mereka agenda jahat tersebut sebagai satu perjuangan kebebasan. Saya berasa kesal dengan tindakan pihak-pihak tersebut. Anak-anak Melayu itu umpama golongan yang hilang punca dalam survival bangsa sendiri. Sangat jelas, mereka telah terjerat dalam permainan tidak bertanggungjawab pihak tersebut. Apakah semua ini bertitik tolak kepada kita sendiri? Apakah kita kurang melaksanakan pendekatan kepada golongan muda sehingga mereka terpaksa menyertai platform seperti ini.

SEMUT API

Pejuang-pejuang puteri,

44. Menyedari akan seriusnya perkara ini, maka kami wujudkan Barisan Semut Api. Sebelum saya jelaskan peranan semut api ini. Mari kita fahami dahulu sifat dan cara kerja semut api. Semut mengajar kita budaya mementingkan peradaban hidup, sikap positif dalam hidup yang sebenar dan betapa pentingnya memandang baik dalam hidup ini.

• Semut kecil, tetapi gigitannya sakit

• Kecil tetapi kuat - boleh mengangkat cebisan makanan sekali ganda daripada berat badan mereka

• Bekerja secara berkumpulan, rajin dan tidak mengenal putus asa

• Hidup dalam komuniti yang besar dan bekerjasama antara satu sama lain

• Bergerak secara senyap, hinggakan kewujudannya tidak disedari hinggalah

• Apabila digigit, orang yang digigit akan bertanya 'dari mana datang semut api ni?

• Bijak mengatur strategi dan ada di mana-man

• Tidak akan tersesat kerana akan membina jaringan jalan sendiri dan akan berlaga atau 'bersalam' melalui sesungut bila berjumpa sesama semut.

• Mempertahankan 'rumah' mereka daripada dicerobohi atau diganggu gugat.

• Setia kepada ketua

Inilah perangai dan cara kerja semut yang saya mahu kita terapkan dalam barisan Semut Api ini.

45. Inilah pasukan Puteri UMNO yang kita gelar 'Barisan Semut Api'. Kita wujudkan pasukan ini. Dalam diam kita atur strategi. Kita tepis segala propaganda, penipuan, fitnah dalam media sosial. Kita boleh lakukan kerana kita ada ramai pakar teknologi maklumat (IT), pakar undang-undang dan golongan profesional lain yang mahir dalam pelbagai bidang. Ini tanggungjawab Puteri untuk pastikan generasi muda kita bersih pemikirannya. Kita dekati orang muda. Kita kemukakan bukti dan fakta yang tepat supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan propagada yang direka pihak tidak bertanggungjawab ini. Kita gunakan teknologi digital dan media sosial untuk sanggah semua itu.

PERJALANAN SETERUSNYA

Saudari-saudari sidang perwakilan sekalian,

46. Selepas lebih setahun saya menerajui sayap Puteri UMNO, kami telah melaksanakan beberapa program yang kita gerakkan hingga ke akar umbi. Usaha dan komitmen ditunjukkan oleh kepimpinan Puteri di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian dan cawangan telah banyak menghasilkan approach serta engagement kepada semua genap lapisan masyarakat.

Antaranya adalah :-

• Biro Kebajikan kami menganjurkan program kembara ilmu. Program kembara ilmu ini mula mendapat tempat di hati pelajar-pelajar, kami mengadakan segmen latih tubi dan kami merasakan program ini akan diteruskan pada masa akan datang

• Menerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan, kami menganjurkan Bazar Bayahista, program ini telah banyak membantu dan menggalakkan lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam perniagaan dan seterusnya mencapai kejayaan masing-masing dalam bidang keusahawanan.

• Manakala program sukarelawan yang kami anjurkan, difahami bahawa anak-anak muda di Malaysia ini bukanlah semata-mata suka pada hiburan. Saya amat berbangga dengan semangat sukarelawan yang ditunjukkan oleh anak muda di negara kita walaupun dalam serba kekurangan tetapi masih mampu mengukir senyuman dalam kepayahan, masih mampu hulurkan bantuan, dalam kesedihan masih mampu mengukir senyuman dan tetap melontarkan semangat agar yang dibantu dapat sama merasa kegembiraan. Mereka ini bukan mengharapkan pada balasan dan upayahan tetapi kasih sayang dan penghargaan.

• Selain itu, menerusi Biro Antarabangsa dan IPT dengan misi `hagnaya' dan melakukan ibadah korban di Kemboja pada Aidiladha baru-baru ini dengan kerjasama bersama pelajar UNIKL.

• Turut menjadi perhatian adalah fokus pada pendedahan latihan dan kursus yang dilaksanakan di peringkat Pergerakan Puteri UMNO negari dan banyak lagi yang akan menyusul pada masa akan datang. Tahniah dan terima kasih kepada Exco Pergerakan, Ketua Puteri UMNO Negeri kerana telah memberi kerjasama yang baik kepada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

Rakan-rakan yang dihormati lagi dikasihi,

47. Saya, MAS ERMIEYATI SAMSUDDIN menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh anda dan pucuk pimpinan. Saya menyedari Pergerakan Puteri tidak boleh lagi dipandang enteng oleh masyarakat dan ahli-ahli dalam UMNO. Kita bukan diwujudkan untuk menjadi penyambut tetamu, kita bukan kerani, kita bukan maskot yang hanya untuk menjadi vougue di pusat-pusat pengundian, kita bukan semata-mata tukang membawa air minuman apabila orang datang kerumah, kita juga bukan itu lagi penghias sesuatu majlis. KITA sayap dalam parti UMNO yang telah 'dilahirkan' oleh UMNO sewaktu parti ini berusia 55 tahun. Ini bermakna kita penting dalam parti, kita ada peranan. Puteri UMNO adalah barisan wanita muda yang bertindak dan bergerak secara profesional dalam parti.

48. Saya mahu tanya anda penting atau tidak kita ini? Jika tidak penting mengapa bapa pembangunan negara ini sendiri mahu kita diwujudkan. Penubuhan kita ada misi, misi kita perlu dicapai. Saya kesal apabila ada yang mengatakan Puteri hanya untuk mencantikkan warna dalam layar UMNO. Penat lelah pemimpin-pemimpin Puteri, Datuk Azalina Othman Said, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin merancang aktiviti dan program Puteri jangan dilupakan. Saya sedar, sebagai Ketua Puteri, kepemimpinan saya akan sentiasa dibandingkan dengan ketua terdahulu, terutamanya Azalina. Hari ini, saya tidak mahu terus berdiam diri, mungkin saya terlalu diam sehingga orang tidak pandang pada apa yang saya lakukan.

49. Saya ingin jelaskan era saya dan Azalina berbeza. Azalina berdepan cabaran berbeza kerana beliau memimpin pada waktu puteri baharu ditubuhkan. Puteri ketika itu mendapat perhatian kerana ramai yang mahu melihat peranan puteri pada awal penubuhannya. Cabaran yang dihadapi puteri hari ini jauh lebih berat dan berbeza. Puteri kini berdepan dengan 80 peratus muka baru yang masih mentah, belum benar-benar memahami wadah perjuangan parti. Puteri berhadapan dengan kemodenan dan kemajuan teknologi yang pesat berkembang. Beri saya masa untuk membuktikan kemampuan mengemudi puteri. Tidak adil untuk mengadili saya yang baru setahun memimpin pergerakan ini. Beri puteri masa dan kepercayaan untuk membuktikan kemampuan kami. Jangan sekadar mengkritik tanpa memberi mengambil kira cabaran dan tekanan yang Puteri hadapi kini. Jangan begitu cepat menilai Puteri yang baru sahaja saya pimpin ini.

Rakan-rakan,

50. Kita perlu buktikan yang kita bukan sekadar tempelan dalam parti, kekuatan yang ada pada kita bukan sekadar untuk berkempen merayu undi ketika pilihan raya, tetapi kita juga mesti terbabit dalam perkara-perkara penting. Jangan pula apabila membabitkan perkara yang besar kita dipinggirkan. Kita ada satu semangat perjuangan yang meliputi kekuatan daya tahan, iman, kemurniaan jiwa dan akhlak.

51. Kita sentiasa bersikap terbuka dan sedia mendengar apa sahaja teguran. Ingat kita ada tanggungjawab untuk meninggikan moral rakyat dan mempertahankan maruah bangsa dan negara. Kita tidak perlu lantang bersuara tetapi bertindak untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan dalam memastikan agar jaminan serta dasar yang dijanjikan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dengarlah kawan-kawan kali ini, apa sahaja yang kita lakukan harus seiring dengan pucuk pimpinan dan jika kita mahu menegur hendaklah dibuat mengikut saluran tertentu sama ada dalam peringkat Bahagian, Cawangan atau dibawa terus pada peringkat Majlis Tertinggi parti. Tetapi dalam masa sama, saya juga tidak mahu melihat walaupun kita anak bongsu tidak semestinya kita mengiyakan sahaja apa yang berlaku, Puteri tidak mahu lihat rasuah, keangkuhan kuasa, kemiskinan masyarakat yang terus berleluasa, Wahai Puteri, kita semua perlu menentang mereka yang bukan sahaja mempunyai kepentingan diri tetapi juga mempunyai kepentingan untuk memelihara kroni sehingga sanggup melakukan kegiatan rasuah semata-mata untuk memastikan kemenangan mereka.

52. Maka dengan itu, saya ada satu permintaan hari ini, mulai hari ini kita tidak boleh lagi bekerja dalam pasukan yang berlainan sebaliknya kita kena bekerja dalam satu pasukan yang besar. Bermula hari ini, tiada lagi gerak kerja bersendirian, gerak kerja kita mesti bersama-sama, sasaran kita hari ini adalah satu visi dan satu misi, saya mahu program yang dilakukan di peringkat atasan juga dilakukan di peringkat akar umbi. Generasi baru akan muncul di kalangan orang-orang Melayu, dengan aspirasi dan tuntutan-tuntuan serta cita-cita baru. Pada masa itu, UMNO perlu bersedia menangani cabaran-cabaran semasa. Kita akan hadapi pelbagai cabaran baru, isu baru dan situasi baru yang memerlukan kita tangani dengan cara yang sesuai dan berhemah.

53. Bentuk perjuangan UMNO pada masa-masa akan datang akan berubah, selaras dengan kehendak masa dan situasi. Belum selesai menangani cabaran-cabaran pada satu generasi, akan timbul pula isu-isu. Tiada lagi seperti dahulu, kita mempunyai terlalu banyak nama program yang ada kalanya kita juga terlupa nama-nama program tersebut bahkan misi dan visi program itu juga tidak dapat kita ingat kembali, benar atau tidak. Tidak semestinya apabila kita membuat pengakuan kita lemah, kita perlu ikhlas, ikhlaslah dalam perjuangan ini. Jika dalam bulan hadapan kita wujudkan program `pakai tudung satin silk maka semua ahli puteri sama ada di peringkat Cawangan dan Bahagian Johor ke, Kedah ke, Terengganu ke atau Selangor semua kena adakan program pakai tudung satin silk, jika bulan Januari pula kita adakan program pakai `abaya' bermakna semua kena ada program `abaya'.

54. Rakan-rakan seperjuangan, sebelum saya akhiri ucapan pada persidangan tahun ini, saya sekali lagi ingin mengajak anda semua memahami maksud disebalik `SEMUT API' itu, fahamkan, renungkan, kita harus bersatu, ambillah iktibar daripada perpecahan UMNO yang pernah berlaku pada tahun 1987. Jangan berpuak-puak, janganlah kita ulangi semula kisah duka itu.

Puteri-puteri sekalian ingatlah,

Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.

Menulis sepuluh jilid buku mengenai falsafah lebih mudah daripada melaksanakan sepotong pesanan.

Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang menumpahkan darah.

55. Akhir sekali, Ingatlah rakan-rakan semua. Misi kita adalah misi Puteri UMNO. Kita bergerak SEBAGAI satu pasukan bukannya DALAM satu pasukan. Maksud saya misi kita misi Puteri UMNO, bukan misi Puteri cawangan ini atau misi Puteri Bahagian ini. Saya mahu rakan-rakan semua pandang satu sama lain, lihatlah, baju kita sama, warna tudung kita sama. Maka hati dan perjuangan kita juga mesti sama.

'Kami 'SEMUT API' kecil tetapi menggigit. Kami puteri berdiri dengan semangat juang yang satu, bersatu hati atas nama perjuangan parti, demi ibu pertiwi bersatu sehingga mati.'

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tags: politik
Subscribe

  • All professions deserve equal respect

    DOCTOR, lawyer, accountant and engineer are the four horsemen of wealth. They represent a stable job, a good income, a beautiful house and the…

  • Monster bosses need not be tolerated

    I have heard numerous complaints from a number of friends about how horrible their bosses are, and how unsympathetic certain companies are towards…

  • When your boss is a nightmare

    APRIL 27 — Complaining about your boss is probably a global pastime, though now it is the national pastime if you think of our PM as…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments