kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melayu I

Perahu dikatup dengan daun

Inti pati Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO


Penuh sarat berisi lokan

Kalau hidup seratus tahun

Sepanjang hayat Pemuda berkorban

Sampan kotak mengapa dikayuh

Hendak belayar ke tanah seberang

Patah kepak bertongkat paruh

Pantang menyerah di tengah gelanggang

1) Berdiri saya di hadapan anda pagi ini - menyirat semula nirmala perjuangan parti, menginsafi amanah yang diberi, mensyukuri rentetan pengorbanan tokoh-tokoh UMNO sebelum ini.

2) Alhamdullilah, mari kita zahirkan rasa syukur ke hadrat Tuhan Rabbul Izzati, yang maha pengampun lagi maha mengasihani. Kerana dengan zat limpah kurnia yang diberi, seperti tradisi tahun-tahun sebelumnya, dapat kita berkumpul semula dalam dewan yang gemilang ini. Juga selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.

3) Sebagai sebuah organisasi, kita berhimpun bukan sekadar memenuhi keperluan perlembagaan tetapi lebih daripada itu - bagi menyusun strategi dan agenda jemaah, mengangkat martabat bangsa dan pertiwi. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

Yang bermaksud: "... dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."

Sidang perwakilan sekalian,

4) Jika diperhalusi, kebelakangan ini banyak perkara telah terjadi, yang telah mendorong kita untuk mendalami dan menyoal semula identiti kita. Lalu identiti Melayu yang bagaimana harus kita bawa untuk menongkah arus, melawan gelombang serba tak tentu haluan ini?

5) Saya teringat pesan para cendekiawan: jangan malu jadi orang berbangsa. Dalam konteks kita pagi ini, jangan malu jadi Melayu. Tak perlu rasa segan bila bercakap tentang halatuju dan masa depan bangsa sendiri. Dan yang paling penting, tak perlu minta maaf dengan orang lain kerana ini tentang kita, kalau bukan diri sendiri yang membela bangsa, nak harapkan siapa lagi?

6) Tapi jadi orang berbangsa besar tanggungjawabnya. Bukan setakat mempertahankan perjuangan, meluaskan legasi atau menyambung tradisi semata. Orang berbangsa yang bermaruah akan sentiasa melihat cerminan diri di mata masyarakat. Orang berbangsa yang progresif sentiasa tahu ufuk halatuju masing-masing.

7) Kita sebagai orang muda dalam parti wajib menunjukkan kepada setiap yang meragui, bahawa kita memilih harapan bukan kemusnahan. Kita mahu menyangkal dengan adat, berdebat dengan ilmu, menyanggah dengan adil. Jika itu langgam kita, insyaAllah, Pemuda UMNO akan mendokong etos bangsa Melayu yang benar-benar merdeka!

Sidang perwakilan sekalian,

8) Sudah lama kita sepakat perlu meremajakan semula UMNO ini. Atas kesinambungan yang sama, bila bercakap soal meremajakan, soal menarik minat orang muda, kita tahu Pemuda lah benteng paling hadapan parti. Merujuk kepada kata-kata keramat Presiden Parti semasa Konvensyen UMNO di Johor: berilah ruang dan peluang untuk orang muda. Dan seperti yang saya kata di Town Hall Pemuda baru-baru ini, orang muda tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman malah sebagai harapan.

9) Namun sejarah dan tradisi tak pernah menipu, sejak dari awal penubuhan sayap Pemuda UMNO hingga ke hari ini, kita kekal menjadi pemangkin utama dalam menarik minat orang muda untuk menyertai parti kita. Hari berganti bulan, bulan berganti tahun, tahun berganti dekad... Pemuda UMNO terus mara jadi obor menyuluh denai perubahan untuk generasi muda. Cuma gaya mungkin berbeza, bergantung dengan keadaan dan trend semasa.

10) Lewat ini, Pemuda UMNO banyak memberi fokus dengan membawa perubahan hakiki kepada orang muda melalui politik khidmat bakti. Kita juga menitikberatkan perihal isu yang benar-benar relevan dalam kehidupan mereka, agar perjuangan lebih bersasar, khidmat bakti boleh diperbesar.

11) Cuma kadang-kadang yang tak sedapnya, keikhlasan kita diragu, dicela, dicatu. Bukan dari orang luar, tapi dari parti kita sendiri. Namun begitu, Pemuda UMNO ini bak kata orang putih, an easy punching bag. Kalau ada apa-apa yang tak kena dalam parti, ada yang tersalah, terkhilaf bila buat kerja, mesti kita kena dulu. Bila tak dipilih jadi calon pilihan raya, kita dituduh akan sabotaj parti. Padahal kita ini juga yang bersengkang mata, bergaul bahaya berdepan dengan lawan di malam buta. Ini bukan cerita lama, ini cerita selalu dan baru!

12) Di Pengkalan Kubor, kita dituduh akan mensabotaj kempen bila calon terpilih bukan dari kalangan Pemuda. Laporan diberi konon Pemuda sengaja tak gerak jentera. Pemuda boikot. Pemuda protes. Laporan yang kononnya sahih. Tapi keputusan undi terbukti sebaliknya. Demi rasa cinta tanpa sempadan terhadap parti, Pemuda kekal komited melakar semangat perjuangan yang sebenar. Pendek kata, kita berkerja setulus rasa, kita buktikan pada semua! Pemuda Tumpat dan Kelantan benar-benar membuktikan kita tak pernah tersasar dalam memberi apa yang terbaik untuk parti. Walau apa pun tohmahan, Pemuda melaksanakan tugas sebab bagi kita bukan kepentingan peribadi yang penting tetapi perjuangan. Berbaloi penat lelah mereka bila undi orang muda meningkat naik. Dan begitu juga saya ucapkan tahniah kepada Pemuda Teluk Intan sebab berjaya membantu BN menawan semula kerusi Parlimen yang kita kalah sebelum ini.

13) Ada yang kata Pemuda sekarang memang berbakti kepada orang muda, banyak idea, tetapi tidak lagi bertaring seperti dahulu. Tak menjadi kumpulan pendesak, tak gah membenteng parti, tak lantang dalam berjuang. Saya nak bagi tahu, Pemuda tidak lupa asal usul. Bila tiba masa untuk lawan kita lawan! Berani kata begitu pada Pemuda Wilayah, pada Pemuda Pulau Pinang? Bila maruah UMNO dicabar, bila DAP panggil parti kita celaka, mereka inilah yang di depan sekali mengambil risiko ditangkap polis, didakwa di mahkamah - atas nama mempertahankan martabat parti.

14) Saya tak pernah ragu walau sekelumit bahawa jiwa Pemuda kental, semangat kita menyala-nyala tak kira masa, kudrat kita melangit demi parti tercinta - sayang bila tiba masa, kita tercorot di belakang tak diberi perhatian. Ralat sungguh rasa di hati.

15) Walaupun ralat, Pemuda tak pernah membenarkan ia melarat jadi dendam dan amarah yang boleh memusnahkan parti. Kita pegang pesanan Saidina Ali Abu Talib: sifat pemarah itu musuh utama akal. Tapi ingatlah kawan, proses peremajaan parti tak boleh disudutkan dari aspek retorik semata - itu sebenarnya pantang perjuangan. Peremajaan semula parti harus ditonggak setinggi mungkin di pentas realiti. Agar semua boleh lihat, agar semua faham kita benar-benar mahu meremajakan semula UMNO.

16) Anak muda tidak melihat kepada Pemuda semata, mereka meneliti parti secara keseluruhan. Jika mereka punyai persepsi UMNO ini tidak membuka ruang untuk orang muda, mana mungkin orang muda nak masuk parti kita? Seterusnya, identiti parti kita ini macam mana? Mudakah layaknya di mata orang ramai? Adakah kita ini rasa parti kita muda dan kontemporari di mata mereka? Anda dan saya tahu jawapannya.

17) Walaupun kita tak kurang sokongan orang muda, kenapa masih ada anak muda yang sokong parti lawan - lebih membimbangkan ada pula yang masuk parti cauvinis itu? Jawapannya mudah, sebab parti lawan dilihat beri peluang pada orang muda. Setahun jagung, dah boleh jadi calon. Kalau kita tengok di Dewan Rakyat muka-muka muda lebih ramai di belah sana berbanding dengan kita. Keadaan ini membentuk persepsi bahawa parti lawan lebih terbuka untuk angkat orang muda.

18) Kalau belah lawan begitu rentaknya, mana wow factor kita? Tak cukupkah cerdik pandai, orator hebat, pendebat ulung di kalangan orang muda dalam UMNO untuk diangkat? Atau kita masih lagi melihat orang muda sebagai budak suruhan penaik bendera, mengusung pengundi dengan motor setiap kali pilihan raya? 50 tahun dulu mungkin, tapi dunia dan perabadan sudah jauh berubah. Kalau kita tak berubah, alamatnya kita akan 'diubah' dengan kuasa peti undi orang muda.

19) Jika kita lalui semula jalan kenangan, UMNO sebenarnya parti orang muda. Suatu ketika dulu barisan pimpinan kita sarat dengan tenaga muda di peringkat tertinggi.

• Tan Sri Rais Yatim jadi Menteri Besar Negeri Sembilan di usia 36 tahun;

• Tan Sri Shahrir Samad jadi Timbalan Menteri Kabinet di usia 31 tahun, jadi Menteri Wilayah Persekutuan pada umur 34 tahun;

• Tan Sri Isa Samad jadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 33 tahun;

• Tan Sri Rahim Tamby Chik pun sama, jadi Ketua Menteri Melaka di usia 32 tahun juga.

• Tun Musa Hitam jadi pemangku Setiausaha Agung UMNO di umur 32 tahun, jadi menteri kabinet bila masuk 40;

• Tan Sri Annuar Musa, di usia 34 tahun, sudah jadi menteri kabinet;

• Tengku Razaleigh Hamzah Pengerusi Petronas umur 35 tahun, menteri kewangan 39 tahun .

• Begitu juga dengan bapa kepada Presiden kita, Allahyarham Tun Razak yang diangkat jadi Menteri Besar Pahang pada umur 33 tahun, jadi Timbalan Perdana Menteri usia 35 tahun;

Sayang sekarang kita membelakangi masa. Hanya saya seorang - Ketua Pemuda UMNO Malaysia sahaja - satu-satunya menteri kabinet di bawah usia 40 tahun. Saya tak mahu begitu, tak boleh saya seorang sahaja yang lepas - itupun baru lepas - saya mahu saudara-saudara dan ramai lagi orang muda sebaya kita ada bersama saya! Barulah ada transformasi.

20) Bukan kita tamak mengejar pangkat dan kedudukan, namun kita tidak boleh menafikan peralihan generasi dan anjakan demografi yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Tunggu apa lagi kongsilah kemudi itu dengan kami orang muda. Segerakan gandingan orang berpengalaman dengan anak muda untuk menentukan kegemilangan bangsa. Kami mahu suara orang muda di segenap ceruk pimpinan negara. Pemuda di Dewan Rakyat, Pemuda di Dewan Undangan Negeri, Pemuda dalam GLC, Pemuda jadi Timbalan Menteri dan lebih ramai Pemuda jadi Menteri!

Sidang perwakilan sekalian,

21) Menyisir waktu, hakikat tak tersangkal kita ini pelbagai. Malaysia identitinya majmuk; agama, budaya dan cara hidup kita berbeza. Lantaran bukan senang untuk sampai ke titik ini, maha berliku jalan perpaduan yang dirintis, dibaja, ditara sejak pra kemerdekaan hinggalah sekarang.

22) Keamanan kita hari ini sebenarnya ditopang kemampuan dalam mengimbangi masyarakat berbilang kaum. Pancang kemampuan itu pula bermula dengan Kontrak Sosial yang membentuk negara 57 tahun lampau.

23) Tatkala itu, bapa-bapa kemerdekaan negara bertegang urat, bertaruh tulang-temulang dalam menentukan formula terbaik untuk semua kaum, melalui kontrak sosial. Getir lagi payah untuk mereka mencari jalan tengah yang adil tanpa melukakan hati, tanpa menjarah hak sesiapa.

24) Teras Kontrak Sosial ialah sementelahan orang Melayu bersetuju kepada pemberian kerakyatan berasaskan prinsip asas "Jus Soli" namun ianya perlu bertimbal balas dengan penerimaan Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Perkara 181 Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Secara menyeluruh semangat tolak ansur ini juga merangkumi status quo pendidikan vernakular yang sedia wujud pra merdeka terus dikekalkan.

25) Sekaligus demografi negara berubah drastik bila orang Melayu membuka pintu negara kepada bangsa lain untuk sama-sama membina nusa. Kita tidak boleh membayangkan pengorbanan setala ini. Maha besar pengorbanan orang Melayu, apa yang diharapkan pula hanya untuk kaum bukan Melayu mengakui beberapa perkara tadi sebagai timbal-balas.

26) Dalam semangat Kontrak Sosial ini, terdapat peningkatan signifikan dalam kuasa politik bukan Melayu. Dari 1.28 juta pengundi berdaftar pada tahun 1955, terdapat 84% pengundi Melayu, 11% Cina dan 4% India. Dan bayangkan saudara, hanya empat tahun selepas itu, semasa pilihan raya 1959, pengundi Cina dan India masing-masing meningkat di paras 36% dan 7%. Ini adalah antara perubahan demografi paling besar dalam sejarah negara-negara moden.

27) Begitu rencam kita menakhoda negara, kita timbang-tara hak dan kepelbagaian atas dacing saksama. Tidak lagi wujud suara dari kaum Melayu yang mempersoal hak kerakyatan orang bukan Melayu, pimpinan UMNO dan kerajaan sudah lama menerima dan mengangkat Kontrak Sosial. Kita tak pernah mengungkit soal kerakyatan yang diberi, kita terima lontaran hakikat bahawa saudara bukan-bumiputera tetap warganegara, tetap rakyat negara kita. Negara saya, negara anda, negara kita semua!

28) Dan walaupun mungkin ada bunyi sedikit suara yang mempersoal kewujudan sekolah vernakular, kepimpinan UMNO sudah lama menerima aliran ini. Sudah terpateri dalam undang-undang negara, tiada seorang Menteri Pendidikan pun boleh mengubah status sekolah vernakular. Malah bila tiba pembentangan belanjawan tahunan, YAB Perdana Menteri, iaitu Presiden UMNO, tegar memberi peruntukan khas untuk sekolah-sekolah vernakular.

29) Dalam premis ini, kita bersetuju memberi hak kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dan mengekalkan bahasa ibunda mereka; sementara itu orang bukan Melayu pula mengakui kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Orang Melayu terima, dan orang Melayu tak pernah pertikaikan persetujuan yang telah kita beri.

30) Tetapi, kenapa pula masih ada mereka yang tidak menghormati perjanjian yang sama. Kalau orang Melayu boleh terima, tak ungkit kerakyatan dan mengiktiraf bahawa kita tak boleh tutup sekolah vernakular, kenapa ada pula yang sekarang ini tidak pegang janji asal mereka. Kenapa ada yang minta dihapus kedudukan istimewa orang Melayu, ada yang mempertikaikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ada yang tak faham Bahasa Kebangsaan. Kalau orang Melayu tegas dengan prinsip kita mempertahankan perjanjian asal, kita tuntut yang lain juga pegang pada janji asal mereka. Tak perlu lagi pertikaikan hak kami. Kita tak minta mereka menggadai apa yang ada, kita cuma minta jaga apa yang telah dipersetujui bersama.

31) Adat bila berjanji wajib dikota, saudara. Kalau tak mahu kita mengungkit apa yang diberi, janganlah disoal hak dan keistimewaan peribumi. Atas janji inilah kita mengasas, membentuk Malaysia yang harmoni. Ini cara kita, yang terbaik untuk semua.

32) Bersama obor perpaduan yang menyala-nyala ini, Pemuda percaya perlu ada batas dalam setiap nas kebebasan. Apa yang sensitif, apa yang boleh merosakkan pembuluh perpaduan, jangan disentuh sama sekali. Sama ada Akta Hasutan dikekal atau ditambah baik, ini semua lompong makna kalau kita tak faham semangat dan halutuju kita orang berbilang bangsa. Tak kira apa akta, apa bylaws, apa kekangan, perkara-perkara yang sensitif dicanang jangan. Buat apa meniup api dalam sekam semata membangkit kemarahan?

33) Apa yang kita perlukan sekarang adalah perisai tempat berlindung - bukan hanya untuk orang Melayu - tapi untuk semua rakyat Malaysia. Justeru itu, sekiranya Akta Hasutan dipinda atau ditambah baik, yang paling mustahak perlu ada terma yang melarang dan menghukum sebarang kenyataan atau kelaku menghasut. Terma-terma ini kelak bakal jadi pelindung bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi untuk semua kaum lain. Jika ada yang melangkaui batas menghina bangsa atau Raja-Raja Melayu, Pemuda mendesak agar mereka cepat-cepat didakwa. Sementelah itu, jika ada yang menghina atau mencerca kaum lain, kita juga harus jadi barisan pertama yang mengasak agar mereka itu dikenakan tindakan! Kepada pucuk pimpinan kerajaan, Pemuda berpesan, walau apa pun akhirnya Akta Hasutan ini, walau apa pun nama baru yang diberi, kita mahu kuasa yang ada dalam akta ini dikekalkan dan jadi perisai untuk semua. Kerana percayalah, tanpa perisai ini negara kita pasti hancur.

34) Mengatur hidup dalam arus moden, tak cukup sekadar bergantung dengan Akta Hasutan itu semata. Tak cukup juga setakat kita menahan diri dari menyoal hak masing-masing. Kita mesti mantap pendirian, jadi tiang seri Malaysia yang bersatu. Kita mesti komited dalam mencorak fabrik perpaduan nasional.

35) Kita tidak mengamalkan asimilisasi; kita tak boleh menerap secara paksa budaya kita terhadap orang lain - seperti yang diamalkan di negara-negara keliling kita. Apa yang kita mahu adalah satu integrasi yang mampu mengekalkan rasa hormat bila berdepan dengan budaya masing-masing. Apa yang masih jadi harapan agar kita ada beberapa perkara yang boleh mengikat kita bersama - contohnya bahasa kebangsaan.

36) Tapi lihat saja statistik peserta PLKN, masih ramai yang tak mampu bertutur dalam Bahasa Kebangsaan. Petaka apa kah ini untuk bangsa merdeka? Bahasa Melayu itu Bahasa Kebangsaan, di dadanya tersimpan segala rahsia untuk menyatukan kita, tapi masih ramai yang tak mampu bertutur dalam bahasa Melayu - terutama mereka yang memilih sekolah vernakular.

37) Sekolah vernakular teruskanlah, tapi buatlah sesuatu untuk mengukuhkan perpaduan nasional pertiwi ini. Pastikan murid-murid sekolah vernakular fasih dalam bahasa kebangsaan. Jadilah sebahagian daripada proses integrasi, jangan jadi masyarakat yang tersisih dari yang lain. Tunjuklah sikit semangat cintakan negara. Janganlah banyak mengomel kalau tak boleh berdiri bila Negaraku berkumandang! Tunjukkan pada dunia, bahawa kita rakyat Malaysia.

38) Merintihlah merdeka, pincanglah perpaduan jika kita terus-terusan begini. Dokonglah kerakyatan cara orang terhormat, busungkan dada mu menjulang Malaysia tanpa sebab atau alasan. Kerana jadi rakyat itu maknanya kita sama, kita satu, kita serupa, kita rakyat Malaysia!

Bersambung ... Melayu II

Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments