kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melayu II

Sidang perwakilan sekalian,

39) Menjelang ambang 2020 - kita sudah bercakap soal peremajaan parti, kita juga sudah bercakap tentang hubungan antara kaum - sekarang molek jika kita menyentuh tentang Melayu itu sendiri. Kerana nadi perjuangan UMNO selamanya berdenyut untuk membela bangsa kita. Retorik banyak kedengaran, tapi keputusannya apa? Gerak kerjanya bagaimana?

40) Umum tahu kedudukan ekonomi kita masih berada di paras lebih rendah berbanding kaum lain - itu hakikat. Sehingga kini, pendapatan orang Melayu tetap rendah berbanding kaum lain. Ramai yang cakap, Melayu ada Amanah Saham! Tapi mengikut kajian terkini Dr. Muhammad Abdul Khalid dalam buku Colours of Inequality, ironis sekali bila pelaburan purata orang kita dalam Amanah Saham hanya RM 600. Bayangkan hanya RM 600 sahaja, sedangkan kita tahu had pelaburan RM 200 ribu.

41) Bila menyentuh soal pendidikan, walaupun kerajaan dah beri insentif pengecualian bayaran balik PTPTN untuk pelajar cemerlang, 78% yang dapat pujian kelas pertama dan tak payah bayar balik itu bukan budak Melayu.

42) Apalah nasib badan, sudahlah tersadung di ruang ekonomi dan pendidikan, di kancah gejala sosial pula, orang Melayu berada paling depan. Dalam 10 penagih dadah, 8 anak Melayu. Itu belum lagi dikira, dihitung kes-kes buang bayi, sumbang mahram dan jenayah jalanan.

43) Tapi tak guna kita berbahagi siapa salah, siapa berdosa. Saya mahu kita bangkit, kita tahu, kita faham betapa Melayu memerlukan halatuju yang mantap dalam usaha meningkatkan martabat. Masa tak menyebelahi kita sahabat, sungguh bangsa bertelekan malu kalau kita orang Melayu belum betul-betul maju, tatkala Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020 kelak. Lalu bagaimana kita mahu mengubah nasib?

44) Betul kita punya kuasa, tapi setakat ini, apa yang telah kita buat dengan kuasa itu? Cukupkah menggalas perjuangan setakat kuat bertempik "Hidup Melayu" tanpa sebarang strategi? Tanpa pemikiran dan perancangan yang mapan?

45) Perkara wahid dalam hidup adalah semangat dan keberanian untuk mengubah nasib. Kata penulis buku Bumi Manusia, Pramoedya Ananta Toer, "Dalam hidup kita, cuma satu yang kita punya, yaitu keberanian. Kalau tak punya itu, lantas apa harga hidup ini?" Dalam konteks kita mahu membangunkan martabat bangsa di alaf ini, saya menyeru semua bertindak tanpa lengah, dalam menjayakan agenda Melayu dengan keberanian dan perancangan yang rapi. Apa guna kita gegak gempita mempertahan kedudukan, tanpa menzahirkan aksi dan jasa. Halatuju baharu ini perlu dibaja dengan pencapaian yang jelas nyata, terbukti dengan keberhasilan yang boleh diukur kira.

46) Anggaplah senarai ringkas ini selaku pemangkin aksi, tiupan semboyan yang menyeru untuk kita bertindak. Pertama, soal tanah rizab Melayu. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan siri laporan bahawa keluasan tanah rizab, jatuh mendadak dari 50% kepada 12%. Saya mengajak Pemuda ke hadapan, mencari penyelesaian memastikan hak yang termaktub dalam enakmen sejak 1914, juga wasiat Raja-Raja Melayu, tak tergadai. Di manakah salahnya kita dalam soal ini? Kajian menunjukkan salah satu sebabnya adalah: bila pihak berkuasa tak menggantikan tanah rizab yang diwartakan keluar dengan merizabkan semula satu kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan tanah asal.

47) Pemuda tidak akan sama sekali berdiam diri dalam hal ini, kita akan membawa isu ini untuk ke pentas nasional dan menggesa agar Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri dikuatkuasakan sepenuhnya. Kita harus semak semula senarai tanah rizab yang diwarta keluar dan memastikan tanah-tanah tersebut digantikan dengan segera. Jangan sampai hak kita di bumi ini terus-terusan dicabuli oleh mereka yang tak bertanggungjawab. Rentung martabat dibakar cuai, kelak bangsa bakal melarat.

48) Pemuda mencadangkan agar diwujudkan satu Majlis Amanah Tanah Melayu melibatkan semua negeri. Majlis Amanah ini pula jangan hanya melindungi tanah rizab melayu, tetapi juga harus bertanggungjawab memastikan pembangunannya. Apa guna jadi orang bertanah, jika tak dapat menggandakan nilai untuk bangsa nusantara sendiri.

49) Kedua, soal pemilikan hartanah Melayu. Data terkini menunjukkan bumiputera memiliki hanya 5% jumlah hartanah di Malaysia. Pemuda memandang serius perangkaan yang menunjukkan bahawa - meskipun 58% penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah bumiputera - namun peratusan yang sama tidak diterjemahkan menerusi peratusan pemilikan hartanah.

50) Banyak sebab musibat ini berlaku. Pemaju perumahan kalau tak boleh jual kuota bumi dalam tempoh 6 bulan, mereka dapat pengecualian. Ada yang tak bertanggungjawab lagi kuat mengelat. Mereka akan kurangkan promosi sebab tahu akan dapat pengecualian dan boleh jual di pasaran terbuka. Pemuda cadangkan tempoh untuk mencari pembeli bumiputera dilanjutkan selama 3 bulan lagi. Dalam tempoh ini, Pemuda mencadangkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi peluang untuk mencari pembeli bumiputera atau terus menjual unit-unit tersebut kepada GLC-GLC, bagi tujuan memperkasa agenda bumiputera.

51) Seterusnya saudara, siapa tak pernah masuk pusat beli belah di bandaraya-bandaraya besar di negara kita? Kiri kanan kita tengok kebanyakan kedai-kedai ini tak dimiliki orang Melayu. Bila kita hitung kita dapati bahawa di pusat beli belah utama di bandaraya Kuala Lumpur yang mana pemiliknya bukan Melayu, peratusan peniaga bumiputera tak sampai 1%. Yang lebih menyakitkan hati kita, pusat-pusat beli belah yang dimilikki oleh GLC-GLC, termasuk pusat beli belah yang paling tersohor di Kuala Lumpur, hanya ada kurang daripada 3% peniaga bumiputera dalam premis mereka. Bukan kerana tak cukup peniaga-peniaga runcit Melayu tetapi kita pernah dengar cerita di mana mereka diusir keluar dari pusat-pusat beli belah. Kononnya peniaga-peniaga Melayu ini cikai. Keadaan ini perlu berhenti, janganlah Melayu pergi ke kompleks beli belah sekadar tengok-tengok, window shopping sahaja. Intailah juga peluang untuk berniaga dan menambah pendapatan.

52) Program yang ada perlu diperkemas, ruang untuk membantu golongan ini harus diperluaskan untuk menyokong peniaga bumiputera menembusi pasaran runcit ini. Kita tak mahu peniaga Melayu sekadar menembusi pasaran, kita nak mereka kekal dan mengembangkan perniagaan.

53) Keempat, soal kemahiran dan pendapatan profesional Melayu. Kita amat bangga bila ramai anak Melayu mengorak langkah dalam bidang profesional, berbanding beberapa dekad lalu - satu perkembangan positif untuk negara yang hampir mencapai status maju. Ia juga membuktikan kita orang Melayu tak tercicir dari arus perdana pembangunan.

54) Namun kita bukan mahu berbangga dengan kuantiti anak Melayu dalam sektor korporat sahaja, tetapi juga ingin memastikan lebih ramai orang Melayu berada dalam pekerjaan berpendapatan tinggi. Jika hari ini majoriti pekerja berpendapatan RM 2 ribu sebulan dan ke bawah, rata-ratanya terdiri daripada golongan orang Melayu, kelak biarlah Melayu turut menguasai pekerjaan-perkerjaan bergaji RM 10, 15 hatta 20 ribu sekalipun!

55) Program-program di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera perlu ditambah. Kita mahu ramai lagi anak muda Melayu ada pentauliahan profesional. Ini bila kita tengok akauntan dan pakar kewangan - jenuh nak cari Melayu. Atau bila kita tengok dalam bidang baru seperti Sains & Teknologi - payah nak cari Melayu. Tapi saya tahu, dalam dewan sekarang, ada profesional-profesional ini. Pemuda sendiri ada program seperti ProSkill bawah Biro Profesional Muda untuk memberi latihan kemahiran insaniah buat para profesional. Tetapi ini tak cukup, kita mesti menggandakan usaha untuk memperkasa dan seterusnya memastikan anak Melayu jadi majoriti dalam bidang profesional.

56) Yang kelima, kita nak bangkitkan sekali lagi isu diskriminasi di tempat kerja terutamanya terhadap orang Melayu dalam sektor swasta. Walaupun sudah diulang berkali-kali, masih ada lagi yang berani mempromosi jawatan kosong, khusus untuk satu bangsa sahaja. Dalam kerajaan, kita tak mengamalkan diskriminasi. Polis dan tentera, juga begitu. Jadi tolong berhenti buat perkara macam ini. Sudah tiba masa kita ada satu akta anti-diskriminasi dalam pengambilan pekerja.

57) GLC pula perlu ingat kepada agenda bumiputera yang diberi. Prestasi Ketua Pegawai Eksekutif jangan hanya dilihat setakat untung sahaja, tetapi agenda bumiputera yang digalas wajib disempurnakan. Ingat pesanan Y.A.B. Presiden semasa ucapan beliau di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun lepas, dengan jelas disebut bahawa semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC diwajibkan meletak sasaran ke atas penyertaan bumiputera, dan ini dimasukkan sebagai KPI kepada C.E.O-C.E.O tersebut. Jadi Pemuda nak tanya, dah setahun dah, kita nak tahu sejauh mana C.E.O-C.E.O telah mencapai KPI mereka? Kalau tak lepas KPI untuk tolong orang Melayu, ramai yang dapat ambil tempat Datuk-Datuk semua.

58) Bila sebut soal perolehan kerajaan dan agenda bumiputera, ada pulak yang memandai mengambil peluang. Penat cari orang, isi borang, kejar status syarikat bumiputera, tapi bila dah dapat kontrak kerajaan eksklusif untuk bumiputera, dijualnya pula kontrak ini kepada syarikat bukan bumiputera. Ada yang berstatus bumiputera, tapi hanya pada nama, hanya pada kertas, untung dan kawalan syarikat di tangan orang lain.

59) Rentetan dari masalah ini, Pemuda bersetuju dengan cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) untuk menubuhkan satu agensi perakuan di bawah SPRM untuk memastikan fenomena ini dapat dikekang. Pemuda juga bersetuju agar syarikat-syarikat yang buat perangai dapat disenaraihitamkan, agar agenda bumiputera kembali ke landasan objektif asal penubuhan.

60) Apa makna pencapaian ekonomi bagai, kalau orang Melayu sebagai orang beragama Islam, akidah tidak dipelihara, syiar agama tidak ditegakkan, nilai murni tidak disemai. Hari ini kita dikepung oleh ekstremisme yang datang dari kiri dan kanan. Dari satu sudut, ektremisme datang dalam bentuk ideologi militan yang menyalahgunakan agama untuk menghalalkan pembunuhan dan kemusnahan. Lihat sahaja kepada usaha kumpulan militan Islamic State (IS) memimpin anak muda kita ke arah durjana. Rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan ini, yang terpedaya bahawa ini jihad sebenar, majoritinya anak muda. Hari ini, satu kertas putih kerajaan tentang ancaman IS terhadap Malaysia sedang dibentang di Dewan Rakyat oleh YAB Presiden sendiri.

Ancaman ektremisme agama ini perlu dihentikan serta-merta. Yang perlu kita didik mereka adalah tentang pegangan Wasatiyyah, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143:

Yang bermaksud: "Dan demikianlah Aku (Tuhan) jadikan kalian umat yang "wasat" (adil, tengah-tengah, terbaik) agar kalian menjadi saksi (syuhada') bagi semua manusia, dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi (syahid) juga atas kalian."

Baik kita beri anak muda Islam kita, yang cukup idealistik, peluang lain nak salurkan kudrat mereka. Kita ajak mereka bantu anak muda Islam berniaga tambah pendapatan, ajak mereka mengajar rakan seagama yang tiada peluang pendidikan, ajak mereka bina rumah untuk mereka yang tak berumah kerana negara mereka miskin yang amat. Bina perigi di kampung pedalaman tanpa bekalan air dapat pahala. Bunuh orang awam secara kejam ikut perjuangan IS yang dapatnya dosa.

61) Dari sudut lagi satu, masyarakat kita berdepan pengaruh buruk dibawa gaya hidup bebas dan songsang. Kalau ini kita tak bendung, alamat runtuhlah akhlak anak bangsa kita dek ekstremisme sosial. Yang paling baik kalau kita didik mereka, ajar mereka untuk jauhi gejala sebegini. Tapi didikan dan ajaran bagus mana sekalipun perlu disokong dengan pengukuhan pentadbiran undang-undang syariah. Kami menyeru kerajaan untuk benar-benar merungkai konflik antara perundangan syariah dan sivil dengan mengambil kira keresahan umat Islam, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan prinsip ketertinggian Perlembagaan Persekutuan.

62) Agenda Melayu seperti yang saya perbutirkan tadi perlu dijadikan KPI kolektif di setiap paras perjuangan kita. Selesai persidangan cepat-cepat ambil tindakan, jangan berdiam diri, jangan berlengah lagi. Gunalah kekuatan kudrat Pemuda untuk menggerakkan, memperkasa agenda bangsa kita sendiri.

63) Saya merayu agar Pemuda jadi mata dan telinga kerajaan. Kita pantau di peringkat bahagian, kita buat satu mekanisme pengumpulan data, agar boleh diguna pakai oleh kerajaan. Saya nak beri anda semua satu tugasan, satu KPI. Sila kenal pasti berapa banyak profesional Melayu di bahagian anda; sila kira berapa banyak kontraktor Melayu dapat kontrak kerajaan di bahagian anda; sila hitung berapa ramai anak Melayu masuk universiti di bahagian anda; sila sukat berapa banyak anak muda Melayu terlibat dalam gejala sosial, merempit sana sini, dan hisap dadah di bahagian anda. Kita akan tubuhkan satu sekretariat khas di peringkat pusat bagi membantu pemantauan perlaksanaan agenda Melayu di peringkat akar umbi dengan memperkenalkan Skor Kad Pematuhan untuk agenda Melayu. Kita selalunya ada perancangan tapi kurang menyerlah bila tiba bab implementasi. Sekarang Pemuda akan tampil ke hadapan untuk memastikan agenda Melayu ini dipatuhi sepenuhnya.

64) Melayu itu bukan bangsa yang gagal; Melayu itu bukan bangsa yang sentiasa perlu ditongkat, Melayu tak tohor pencapaian. Sungguh Melayu maha perkasa, dari Kerajaan Langkasuka dan Kedah Tua, Gangga Negara mahupun Srivijaya, orang Melayu lah yang membawa ketamadunan ke Tanah Melayu sejak kurun pertama lagi.

65) Kerajaan Melayu lah yang mula mencipta struktur perundangan dan menyemai benih kesatuan penduduk Nusantara. Bibit yang kemudiannya mencetus konsep budaya dan bangsa, atas asas kejayaan kuasa politik Melayu. Kepimpinan Melayu lah yang mula membawa perdagangan dan pendedahan kepada dunia luar. Kemudian datang kejayaan yang lebih berganda di zaman Kesultanan Melayu Islam yang masih kekal hingga sekarang, di mana wilayah ini pernah menjadi pusat perdagangan utama dunia - digores pengaruh ketamadunan hebat Arab dan Parsi, China dan India - diiktiraf pula oleh para penulis dan pengembara ternama, dari Marco Polo hinggalah ke Laksamana Cheng Ho. Tetapi mewarisi legasi itu payah, justeru "Hidup Melayu" mu jangan murah. Perjuangan itu perlaksanaan kata-kata yang tak gawat di tengah jalan, yang tak digentar ditabuh halangan. Nah, sejarah sudah menunjukkan Melayu ini tamadun yang hebat, inilah masanya untuk membuktikan kehebatan kita bukan setakat dalam buku sejarah - Melayu itu hebat dulu, kini dan selamanya!

Sidang perwakilan sekalian,

66) Sudah lebih setahun kita menewaskan pembangkang dalam PRU13. Walaupun kita tawan 54% anak muda Melayu, pertempuran PRU14 bakal jadi lebih sengit lagi. Apatah lagi dengan penambahan hampir 5 juta pengundi baharu.

67) Sebelum saya memberi cadangan-cadangan Pemuda untuk pertimbangan kerajaan, ingin saya ucapkan terima kasih tak terhingga kepada Y.A.B. Presiden yang telah menzahirkan keinginan anak muda melalui pembentangan belanjawan yang lalu. Bukan hanya peruntukan untuk belia dipertingkat, isu-isu umum seperti perumahan dan keusahawanan nampak digubal mengikut langgam orang muda.

68) Dan ini memantapkan lagi evolusi Pemuda UMNO di bawah pimpinan kita semua. Jika empat tahun lalu kita ubah haluan ke arah politik khidmat bakti, kini kita pertajamkan lagi strategi ini. Kita tajamkan dengan cara berpolitik berpengaruh di mana Pemuda terus membentangkan cadangan untuk orang muda kepada pucuk pimpinan kerajaan, yang terbukti senantiasa bersedia menerima cadangan bernas. Contoh politik berpengaruh yang saya maksudkan tadi adalah rumah transit yang tercetus daripada idea Pemuda sendiri, yang telah menyempurnakan impian belia berkahwin untuk menyewa tempat berteduh yang tak jauh dari ibu kota. Terima kasih kepada mantan Setiausaha Pemuda UMNO, Y.B. Datuk Abdul Rahman Dahlan, kerana telah mengotakan cita-cita Pemuda ini. Kerana menjadi seorang Menteri yang bukan hanya mendengar suara Pemuda, tetapi yang telah bertindak atas desakan kami.

69) Memang benar sudah banyak yang diberi untuk anak muda. Tapi izinkan saya menyatakan keinginan Pemuda untuk sebuah urus janji baharu berkenaan anak-anak muda Malaysia. Halangan tak pernah surut, kos sara hidup terus meningkat, begitu juga dengan keperluan dan kebajikan generasi muda negara.

70) Dalam akad urus janji baharu ini, dari aspek kos sara hidup, isu perumahan kekal jadi faktor utama kesempitan anak muda. Sejak tahun 2012, kenaikan tahunan purata harga rumah meningkat 10%, berbanding kenaikan tahunan pendapatan median yang hanya sebanyak 8%. Purata harga rumah pula 5.5 kali ganda berbanding pendapatan median, walhal hanya 5.1 kali ganda di Singapura dan 4.7 kali ganda di UK. Mana mungkin dapat kita membentuk generasi yang mencintai Malaysia sebagai rumah mereka, jika mereka hanya mampu pandang, mampu idam, tapi tak boleh nak beli rumah sendiri.

71) Walau begitu, Pemuda berterima kasih atas usaha kerajaan untuk terus membantu anak muda dalam kemelut ini. Pemuda menyambut baik Bandar Belia yang diterjemahkan melalui 1Malaysia Youth Cities. Idea yang dibawa Pemuda sendiri akan bermula dengan tiga projek perintisnya, di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan objektif mengikuti naluri kehendak belia. Skim Perumahan Belia juga diumumkan untuk belia dalam Belanjawan 2015. Semua Ini kami amat alu-alukan.

72) Walaubagaimanapun, di Kuala Lumpur untuk tahun ini sahaja, jumlah pasangan belia yang berkahwin, sudah lebih 14,000. Mana cukup 20,000 unit melalui Skim Perumahan Belia yang saya sebut tadi untuk seluruh negara. Justeru skim ini biar jadi skim tahunan yang kekal dengan unitnya diperbanyakkan lagi untuk tahun-tahun mendatang. Rumah transit sebanyak 632 unit pun tak cukup. Walaupun lokasinya molek, intipatinya bersesuaian, mesti ditambah lagi demi menjaga kebajikan anak-anak muda yang baru mahu memulakan keluarga.

73) Bukan itu sahaja, pemaju-pemaju juga perlu beri kemudahan bina kemudian jual atau tidak kembalikan Skim Pemaju Tanggung Kadar Faedah (DIBS) untuk golongan muda. Jangan kita rosakkan harapan mereka memiliki rumah pertama dengan hutang bunga dan rumah terbengkalai. Tapi ada yang bantah yang kata pemaju kurang untung sebab kena bayar kos pembiayaan. Jangan sembang sembarang, jangan nak tamak - kita tahu margin untung pemaju di AS hanya 12%, di Thailand hanya 14%, tapi untung pemaju Malaysia melambung setinggi 21%.

74) Pemuda juga sambut baik tindakan kerajaan negeri Johor yang menyenaraihitamkan 28 pemaju kerana gagal membina rumah mampu milik. Jangan beri mereka projek baharu, jika tak dapat penuhi amanah bina tempat berteduh pada harga berpatutan. Pemuda rasa amat wajar jika tindakan sebegini diperluas ke seluruh negara.

75) Bila cakap pasal isu sara hidup, bebanan hutang orang muda sudah lama berada dalam radar perhatian Pemuda. Lebih merunsingkan, kadar anak muda bawah umur 25 tahun yang bankrap pada separuh pertama tahun ini sahaja, meningkat sebanyak 178% berbanding tahun lepas. Bayangkan anak muda kita, yang baru keluar universiti setahun dua, yang baru ingin mendirikan rumah tangga tapi diisytihar bankrap. Gelap dan punah masa depan mereka.

76) Tak tersangkal hutang perlu dibayar balik. Kesannya pada orang lain, pada peminjam di masa depan. Tetapi ada pula tukang kutip hutang atau 'debt collector agents' yang melampaui batas. Ada yang tak berhenti telefon, padahal hutang tak sampai satu ratus ringgit. Ada yang mengugut, bahasa kasar macam Ah Long, padahal baru seminggu terlewat bayar. Malahan ada yang datang ke rumah penghutang, datang dengan geng, ugut nak sita rumah, ugut nak rantai pintu rumah, ugut nak guna kekerasan. Pemuda nak beri amaran kepada tukang kutip hutang dan pelanggan mereka, nak kutip hutang tu kutip lah, tapi jangan sampai biadap, jangan sampai ada yang tertiarap.

77) Berbalik pada akar masalah ini, antara sebab hutang anak muda yang tinggi, adalah tahap kefahaman kewangan yang rendah. Ini lebih serius bagi golongan berpendapatan rendah. Mereka lebih cenderung memilih pinjaman yang mana ansuran bulanan atau mingguan nampak rendah, tapi bila dikumpulkan setahun, kadar peratus tahunannya jauh lebih tinggi berbanding pinjaman ansuran lain.

78) Nak gubal undang-undang hutang pengguna memang makan masa. Undang-undang bankrap yang Pemuda dah lama minta dipinda itu pun belum dizahirkan. Tapi buat sementara waktu, mereka ini perlu dilindungi. Pemuda mencadangkan kerajaan agar mewajibkan semua pemberi hutang menyatakan secara jelas jumlah sebenar kadar bunga mereka.

79) Hal sebegini nampak kecil, tapi besar kesannya. Tambahan pula apabila GST akan dilaksanakan pada tahun 2015. Namun tatkala ramai yang risau, ada pula pihak yang cuba mengambil kesempatan. Pemuda juga gesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memastikan pemantauan yang menyeluruh dan berkesan. Jangan kerana peniaga yang mengambil kesempatan mengaut untung beralasankan GST dan pegawai tak kuat kuasa - kita pula yang kalah pilihan raya.

80) Kita juga tahu ramai orang muda yang muflis kerana gagal bayar hutang kenderaan. Hutang pinjaman kenderaan adalah yang kedua tertinggi, setinggi 18% selepas hutang beli hartanah. Ramai anak muda bawah 35 tahun jadi muflis, mana tidaknya, nak beli kereta kena bayar 36 kali gaji bulanan. Di negara maju hanya 12 kali ganda.

81) Sudah terang lagikan bersuluh, kita perlukan satu inisiatif untuk membantu anak muda membeli kenderaan, meringankan beban hutang dan harap-harap mereka dijauhi daripada sumpahan muflis. Mengambil kira perkara ini, Pemuda mengusulkan kepada kerajaan Skim Kenderaan PertamaKu di mana anak muda yang berpendapatan kurang RM4000 sebulan boleh beli kenderaan pertama mereka tanpa membayar cukai atau duti eksais. Ini akan mengurangkan harga kenderaan khusus untuk anak muda yang membeli buat kali pertama sahaja. Kenderaan-kenderaan yang dibenar beli biar lah yang berharga sederhana, yang dipasang dalam negara.

82) Sebelum ada yang kata macam pernah dengar idea ini, bukan ini idea dari pihak lawan? Saya nak jelaskan ini bukan seperti pihak lawan yang telah mencadangkan satu dasar populis iaitu potongan cukai untuk semua pembeli kenderaan yang boleh menambah hutang kerajaan, meningkatkan kesesakan jalan raya, merosakkan alam sekitar dan memberi diskaun kepada orang kaya. Cadangan Pemuda bersasar kepada golongan yang memerlukannya iaitu anak muda sahaja - dan tidak melibatkan semua pembeli kenderaan.

83) Namun di kala kita bercerita tentang kehendak belia, jangan dilupakan belia-belia luar bandar. Kita kena ingat, suka tak suka, kekuatan UMNO hari ini masih datang dari luar bandar. Dan kemenangan kita hari ini datang dari sokongan belia luar bandar. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengupayakan anak muda luar bandar. Biar mereka ini lebih berkualiti, lebih berkeupayaan, lebih mudah dipasarkan.

84) Y.A.B. Presiden telah umumkan dalam Belanjawan 2015 bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan ditransformasikan. Pemuda cadangkan transformasi tersebut memberi fokus kepada belia luar bandar, diberi keutamaan untuk mengikut PLKN versi baharu di mana mereka bukan hanya diterap semangat patriotisme tetapi juga diberi kemahiran. Biar mereka menamatkan program ini dengan satu pentauliahan kemahiran - moga mudah mereka mendapat kerja di pasaran.

85) Pada masa yang sama, Pemuda menyokong segala usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan di kalangan belia luar bandar. Program-program seperti Rural Business Challenge di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani harus kita sokong. Pemuda bercadang supaya lebih banyak lagi peluang ekonomi diberi kepada anak muda luar bandar , agar mereka tak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.

86) Bagi merekayasa ekonomi anak muda luar bandar Pemuda cadangkan agar Revolusi Ekonomi Anak Muda Luar Bandar dilancarkan. Gunakanlah 120 ribu hektar tanah terbiar di negara ini, panggil anak-anak muda luar bandar untuk mengusahakannya, ini akan mencetus revolusi ekonomi ke arah menambah pendapatan masyarakat muda luar bandar.

87) Ini urus janji kita yang baharu, prakarsa yang bakal mencorak perjuangan kita di alaf baru. Kalau orang muda dekat dengan kita, kepentingan mereka kita jadikan tonggak perkhidmatan, hati mereka kita tawan, nescaya pilihan raya akan datang kita menang lagi!

Sidang perwakilan sekalian,

88) Tak ke mana seluang melaut, akhirnya balik ke tepi jua; tak ke mana Melayu merantau, ke tanah asal pulanglah mereka. Kita ini parti Melayu - walau ditala, ditabuh, diterajang bagaimana sekalipun - begitulah kita. Kalau asalnya benih yang baik, dicampak ke laut jadi pulau. Kalau asalnya berdarah pahlawan, dihumban ke mana tetap melawan!

89) Kalau dulu Melayu corot kelas bawahan, parti inilah yang mengangkat orang Melayu jadi usahawan, saintis dan pakar perubatan. Kalau dulu kita buta huruf, miskin ilmu, bangsa yang tiada visi mahupun misi, parti inilah yang menjadikan kita profesor, pensyarah dan pakar ekonomi. Kalau dulu ada yang kata Melayu itu koman, parti inilah yang mengangkat Melayu ke depan - dari Melayu macai jadi Melayu bijak pandai!

Anak watan

Jangan malu jadi orang berbangsa

Jangan silu mempertahankan hak kita

Jangan dipersia tradisi yang mulia

Jangan kau gadai harga diri

Jangan dinafi apa yang hakiki

Jangan berbohong dengan diri

Jangan pohon maaf, pohon kebenaran dari sesiapa

Kerana walau kita mati-matian berjuang demi bangsa

Kita tak pernah berjuang atas sengsara orang lain!

Maqasid perjuangan kita bukan untuk Melayu semata

Kita berjuang untuk semua anak Malaysia!

90) Jadi anak bangsa, lekas kau bangun dari lena. Akarkan legasi dalam hati, cekalkan perjuangan di sanubari, perjuangan untuk selamanya membela kedudukan bangsa, memacu negara ke puncak dunia, mendokong nusantara hingga ke akhir masa! Demi parti kita saudara-saudara, kau apikan lah obor yang menyala-nyala, tiupkan lah sangkakala sekuat rasa, luruskan barisan, rapatkan jurang antara mu para pahlawan! Yakinlah ini yang kamil untuk bangsa, untuk anak-anak kita, untuk para sarjana yang bakal mewaris negara!

Hidup mati kami untuk agama!

Hidup mati kami untuk bangsa!

Hidup mati kami untuk keramat parti tercinta!

Hidup UMNO!

Hidup UMNO!

Hidup UMNO!

Tags: politik
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Tidak ada cara yang betul untuk melakukan perkara yang salah

    Idea yang salah dan betul dalam perspektif setiap orang hari ini sangat berbeza antara satu sama lain. Begitu juga dengan isu ‘Timah’ ,…

  • Anda kebencian

    Kebencian telah menjadi perkataan dan tindakan kegemaran dibawa secara politik dulu. kini dan mungkin selamanya. Yang menarik perhatian adalah…

  • Bersihkan

    ‘Anda mesti membersihkan rumah anda terlebih dahulu sebelum anda memberitahu orang lain bahawa mereka tidak melakukannya dengan betul’ - Dan Webster…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments