kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Wanita UMNO: Srikandi Negara I

WANITA UMNO : SRIKANDI NEGARA

Inti pati Perbahasan Perhimpunan Wanita UMNO

PEMBUKAAN

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh



Setinggi-tinggi kesyukuran dan limpah kurnia ke hadarat Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. keluarga dan para sahabat Baginda di atas rahmat yang diberikan kepada kita semua.

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Napsiah Omar,

Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato' Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed,

Yang Berhormat Wakil-wakil Ahli Majlis Tertinggi,

Yang Berhormat Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Dun,

Barisan Pegawai-Pegawai, Ahli-ahli Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,

Para perwakilan yang saya kasihi,

Dif-dif jemputan, tetamu-tetamu khas, veteran-veteran Wanita UMNO, para pemerhati yang ada di dalam dewan dan di luar sana, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

PEMBUKA BICARA

Alhamdulillah dengan IzinNYA kita terus dikurniakan kesihatan, keberkatan dan kesempatan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Tahun 2014. Di sini kita berakur janji kepada parti demi mengangkat kesucian Agama, kemuliaan Bangsa dan kesejahteraan Negara.

Bagi pihak barisan kepimpinan tertinggi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya mengalu-alukan kehadiran 955 orang perwakilan wanita dari 191 bahagian seluruh Negara ke perhimpunan ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan!. Puan-puan adalah wakil dan perutusan kepada 1,330,926 (satu juta tiga ratus tiga puluh ribu sembilan ratus dua puluh enam) ahli Wanita UMNO menunaikan tanggungjawab seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO. Puan-puan jugalah pembawa suara akar umbi dan obor harapan rakyat.

Selagi nadi masih berdenyut, selagi siang berganti malam, selagi langit tegak dijunjung selagi itulah perjuangan Wanita UMNO akan terus beristiqamah menggenggam teras Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Ayuh wanita, kita eratkan tali sillaturrahim, bermuafakat, berpakat, bersatu, melangkah seirama waima kita datang dari kali berbeza, namun pastinya pertemuan kita di muara yang sama.

SRIKANDI NEGARA

Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO kali ini dimulakan dengan tiupan semangat baru apabila kelmarin, 25 November 2014, YAB Presiden UMNO, Dato' Sri Najib Tun Razak merasmikan Buku Tinta Sejarah Wanita UMNO iaitu SRIKANDI NEGARA. Saya sedut kata-kata keramat YAB Dato' Sri Najib dalam Kata Pendahuluan "Hari ini Pergerakan Wanita UMNO bukan lagi menjadi tulang rusuk lelaki tetapi tulang belakang yang menjadi denyut nadi dan pemangkin untuk transformasi kepada budaya baru dalam UMNO"

"Wanita UMNO adalah saf pejuang parti yang telah terbukti dalam pilihanraya kecil dan pilihanraya umum, menjadi barisan hadapan menghadapi parti-parti pembangkang. Kepintaran, kegagahan, kesegaran daya juang Wanita UMNO telah membantu memastikan kemenangan demi kemenangan dalam perjuangan kita yang masih panjang."

YAB Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan "sebagai tulang belakang parti politik di Negara ini, peranan dan tanggungjawab Pergerakan Wanita UMNO semakin mencabar, terutama dalam memastikan kaum wanita terus bergerak seiring dengan kepesatan kemajuan Negara. Hakikatnya walaupun Wanita UMNO telah melepasi usia enam dekad, namun perjuangan kita semua belum berakhir."

WANITA UMNO SRIKANDI NEGARA

Puan-puan yang dihormati sekalian,

Keunggulan sifat wanita, dalam lembut ada tegasnya. Semangat hebat. Tutur kata yang petah, kebijaksanaannya terserlah. Srikandi Negara, walau berjuang tanpa senjata, tapi perjuangannya nekad, tekadnya bulat, niatnya tepat, langkahnya padat, menyuluh kesejahteraan sejagat.

Kita singkap kegemilangan perjuangan Saidina Khadijah Al-Khuwailid penghulu syurga, Aisyah umul mukminin, Ummu Salamah bijak bestari, Fatimah Al-Zahrah anak solehah, Sumaiyah sanggup berkorban nyawa, Nusaibah mujahidah tabah. Mereka adalah diantara Srikandi Islam yang mendahulukan apa yang hak, mengendahkan segala yang nista dan dusta. Mereka menjadi sumber inspirasi Srikandi Negara.

Puan-puan dan tuan-tuan yang dimuliakan,

Bermula dari Puan Sri Puteh Mariah hingga kini, Wanita UMNO adalah Srikandi Negara. Sejak penubuhan Kaum Ibu yang mencecah usia 67 tahun hingga sekarang itulah gelarannya.

Kitalah pahlawan wanita yang gagah berani, yang mewarisi kepahlawanan Tun Fatimah. Kitalah wanita yang bersemangat nasional sejati yang setia berjuang untuk Agama, Bangsa dan Negara.

Semangat kepahlawanan itu tidak pernah luntur bahkan terus menyala dan membara di hati setiap sanubari ahli Pergerakan Wanita UMNO. Lebih enam dekad Pergerakan Wanita UMNO melebarkan sayapnya, tanpa rasa gentar dan mampu mengatasi apa jua halangan, rintangan dan risiko. Dalam tempoh itu, kita telah mengalami banyak perubahan besar dan mencapai kemajuan yang amat-amat membanggakan.

Ke hadapan Wanita UMNO akan terus berjuang tanpa mengenal penat lelah menyumbangkan seluruh sumber kekuatan ke arah memperkasakan perjuangan UMNO yang suci lagi murni.

Ke hadapan dengan landskap politik yang serba baru, perjuangan Wanita UMNO akan lebih menguja. Berbekalkan pengalaman dan kejayaan lalu, Wanita UMNO akan terus menjadi tulang belakang BAHTERA ini bagi mendepani apa jua halangan dan rintangan kerana kita Srikandi Negara.

Para hadirin sekalian,

Hari ini, saya nak iktiraf puan-puan yang hadir di dewan ini sebagai Srikandi Negara. Semangat pengorbanan dan khidmat tanpa sempadan telah melakarkan banyak kejayaan. Kita menang PRU 13, kita menang beberapa pilihan raya kecil walaupun ada ramalan ahli nujum mengatakan kita akan kalah. Tetapi berkat sepakat dan tinggi iltizam, Alhamdulillah semua rintangan dapat kita atasi bersama. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Wanita UMNO terkenal dengan juara kebajikan, sehinggakan pihak pembangkang mengalah dan mengakui kebenaran hakikat ini. Kitalah yang berkhidmat untuk rakyat dengan program-program Skuad Sayang, Jalinan Rakyat, Skuad An-Nur, JUWITA dan program-program lain. Setitik keringat puan-puan yang mengalir ke bumi ini akan menentukan masa depan anak bangsa pewaris Negara. Malaysia tanah tumpah darahku.

Para hadirin sekelian,

Perhimpunan kali ini adalah kesinambungan sebuah perjuangan yang pernah dimadah oleh Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah al-Haj, Sultan Selangor, ketika baginda merasmikan Kongres Melayu Pertama pada bulan Mac 1946 di Padang Kelab Sulaiman, Kuala Lumpur. Dalam kongres ini, orang-orang Melayu sepakat untuk menyatukan anak bangsa dengan menubuhkan UMNO yang merupakan medan penyatuan bangsa Melayu dan kini bumiputera, di bumi bertuah ini.

Dua prasyarat bagi orang Melayu berjaya. Pertama, mereka mesti berpegang kepada agama. Kedua mereka mestilah bersatu hati. Inilah asas yang diletakkan pada tahun 1946 dan inilah juga semangat perjuangan yang kita kobarkan pada setiap perhimpunan di PWTC. UMNO tidak pernah dan tidak akan berhenti mengobarkan semangat yang menjadi asas penyatuan orang Melayu yang dimulakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman itu.

Wanita UMNO melahirkan rasa bimbang kerana kedua-dua perkara yang disebutkan oleh Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah al-Haj, kini semakin dilupakan. Jika orang Melayu longgar pegangan agama dan berpecah-belah, tatkala itulah kita akan menemui kehancuran. Jika orang Melayu sudah tidak lagi bersatu hati, tatkala itulah kita akan musnah, ibarat telur sesangkak, pecah satu, pecah semua.

Wanita UMNO percaya bahawa sementara kita ingin melihat sebuah masyarakat yang lebih terbuka, kita mahu kerajaan menentukan bahawa proses itu tidak menyebabkan orang Melayu dan bumiputera berasa terpinggir di tanahair sendiri, tidak dibela.

Teguh dan padunya UMNO selama 68 tahun ditunjangi teras perjuangan suci, demi Agama, Bangsa dan Negara. Zaman berzaman UMNO bertuah dikurniakan pemimpin yang bijaksana sesuai dengan cabaran yang mendatangi Negara seperti Tengku Abdul Rahman ketika rakyat mendambakan kemerdekaan. Tun Abdul Razak ketika Negara perlukan pembangunan. Tun Hussein Onn ketika bangsa perlu disatukan. Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan Malaysia di mata dunia. Tun Abdullah Ahmad Badawi memimpin modal insan dan pada hari ini, YAB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian, mentransformasikan Negara.

Wanita UMNO selaku tulang belakang menyokong kepimpinan Dato' Sri Najib Tun Razak, Presiden UMNO Malaysia merangkap Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Timbalan Perdana Menteri, Naib-Naib Presiden dan saf kepimpinan parti. Jangan sesiapa pandang remeh sokongan kita Wanita sebagai ibu kepada pucuk pimpinan parti. Kita akan terus memberi kekuatan dan sokongan kepada YAB Dato' Sri Najib selaku Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia supaya beliau dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan tenang tanpa perlu menoleh ke belakang, mengkalis jika ada gunting dalam lipatan.

Bersambung ... Wanita UMNO Srikandi Negara II

Tags: politik
Subscribe

  • The value of friendship, old and new

    Happy New Year everyone! How time flies! Mark my words, very soon we’ll be wishing everyone the same greeting again. Twelve months breeze…

  • Forging lasting friendships in school

    STUDENT life is one of the most memorable times of our growing years. Most of us have many treasured memories associated with it. Ties formed during…

  • Perspective: Conception of friendship

    RECENTLY I have had cause to ponder on an issue which I have taken for granted but which upon reflection strikes me as something worthy of writing…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments