kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Wanita UMNO : Srikandi Negara II

Para hadirin sekalian,

Inti pati Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO

Sejak kebelakangan ini saya lihat keadaan politik Negara seolah-olah sudah tidak ada sempadan lagi. Politik digunakan sebagai senjata untuk menghentam dan menembak secara melulu. Kononnya politik, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, menjadi alasan dan alat untuk memusnahkan apa yang telah terbina sejak 57 tahun merdeka. Isu-isu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri seperti kontrak sosial, agama, institusi raja-raja, hak keistimewaan dan lain-lain, dijaja, disula, disalai seolah-olah tidak ada batas perundangan demi menakluki Putrajaya.

KEPERLUAN MEMPERTAHANKAN KELUHURAN PERLEMBAGAAN

Latar belakang sejarah pembentukan negara semasa mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia hendaklah menjadi asas kefahaman mengenai kontrak sosial di Malaysia. Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa pada 31 Ogos 1957 adalah suatu dokumen yang menjadi asas bagi Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia apabila Sabah dan Sarawak bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Prinsip bahawa Perlembagaan Persekutuan menjadi teras kepada negara Malaysia yang merdeka diperuntukkan dengan jelas mengikut Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa dengan izin "This Constitution is the supreme law of the Federation and any law passed after Merdeka Day which is inconsistent with this Constitution shall, to the extend of the inconsistency, be void." Prinsip ini telah dijelaskan dalam keputusan-keputusan mahkamah antaranya seperti penghakiman Hakim Mahkamah Persekutuan Raja Azlan Shah (pada masa itu) dalam kes Loh Kooi Choon v Government of Malaysia. Berdasarkan premis tersebut, masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa hidup berpaksikan asas-asas yang dizahirkan melalui prinsip-prinsip yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Malaysia adalah suatu bentuk tolak ansur antara etnik Melayu, Cina dan India mengenai hak bersama dan masing-masing, kedudukan istimewa serta persetujuan dengan Raja-Raja Melayu dan British bagi mewujudkan suatu kerajaan dengan sistem demokrasi, beraja, bersekutu (federal) serta tidak teokratik (non-theocratic).

Persetujuan Antara Kaum Dalam Menuju Kemerdekaan (1955-1957)

Saya ingin mengajak puan-puan mengimbau kembali sejarah tanah air kita. Penjelasan mengenai kontrak sosial di Malaysia mengambilkira keadaan sosio politik negara dalam masa negara menuju kemerdekaan.

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan bermula selepas pilihanraya Dewan Undangan Persekutuan pada tahun 1955. Tuanku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri dan Jemaah Menteri telah dilantik terdiri daripada anggota yang mewakili komposisi kaum iaitu 6 Melayu, 3 Cina serta 1 India.

Suatu Constitutional Conference telah diadakan pada bulan Januari dan Februari 1956 yang dihadiri oleh wakil Kerajaan British, 4 wakil Raja-Raja Melayu, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu (YAB Tuanku Abdul Rahman), 3 Menteri Persekutuan serta Pesuruhjaya Tinggi British.

Persidangan itu telah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan bagi Persekutuan pada Ogos 1957 dan penubuhan suatu Suruhanjaya Kemerdekaan (Suruhanjaya Reid) bagi menggubal Perlembagaan untuk Persekutuan.

Tugas-tugas Suruhanjaya Reid

Suruhanjaya Reid terdiri daripada Lord Reid, Sir Ivor Jennings, Sir William McKell, Justice B. Malik and Justice Abdul Hamid yang bertindak mengikut terma rujukan berikut dengan izin:

"To examine the present constitutional arrangements, throughout the Federation of Malaya, taking into account the positions and dignities of Her Majesty the Queen and Their Highnesses the Rulers;

And to make recommendations for a Federal form of constitution for the whole country as a single, self-governing unit within the Commonwealth based on Parliamentary democracy with a bicameral legislature, which would include provision for:

i. the establishment of a strong central government with the States and Settlements enjoying a measure of autonomy (the question of the residual legislative power to be examined by, and to be the subject for recommendations by the Commission) and with machinery for consultation between the central Government and the States and Settelments on certain financial matters to be specified in the Constitution;

ii. the safeguarding of the position and prestige of Their Highnesses as constitutional Rulers of their respective States;

iii. a constitutional Yang di-Pertuan Besar (Head of State) for the Federation to be chosen from among Their Highnesses the Rulers;

iv. a common nationality for the whole of the Federation;

v. the safeguarding of the special position of the Malays and the legitimate interest of other communities". (Para 3 Federation of Malaya Constitutional Commission Report 1956-1957 ("Laporan Suruhanjaya Reid")

Suruhanjaya Reid menjemput semua pertubuhan dan individu mengemukakan cadangan bagi Perlembagaan. Suruhanjaya menerima 131 Memorandum cadangan.

Antaranya yang diterima, Memorandum daripada Parti Perikatan yang disediakan oleh suatu Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada anggota UMNO, MCA dan MIC. Antara yang dikemukakan ialah lebih warganegara diberikan kepada bukan Melayu manakala hak dan keistimewaan Melayu terus dipelihara.

118 mesyuarat diadakan bagi mendengar dan berbincang mengenai semua cadangan, termasuk dengan pegawai Kerajaan. Semua pandangan telah diambil kira dalam laporannya dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Reid. Laporan tersebut diterbitkan di London dan Kuala Lumpur pada 20 Februari 1957.

Perlembagaan Persekutuan Menzahirkan Kontrak Sosial Malaysia

Berdasarkan rundingan yang berlangsung dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan, perkara-perkara seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, pemeliharaan Tanah Rizab Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu serta adat resam dan pengagihan jawatan dalam kerajaan telah dimasukkan dalam Perlembagaan berkenaan. Bahasa Melayu juga telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan manakala kaum Cina dan India masih boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai medium komunikasi tidak rasmi. Pemimpin Cina dan India juga menuntut agar kewarganegaraan yang diberikan menjadi suatu hak yang tidak boleh dibatalkan dan mereka juga menuntut supaya mereka boleh mengekalkan bahasa, agama dan budaya, dan sebagai warganegara, mereka mempunyai hak dari segi politik sama seperti warganegara yang lain. Semua persetujuan ini dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagi setiap suatu perkara yang diberikan kepada kaum Melayu, adalah terdapat peruntukan yang diberikan kepada kaum bukan Melayu. Persetujuan yang merupakan jalan tengah ini dapat dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu peruntukan mengenai kewarganegaraan (Bahagian III), kebebasan beragama (Perkara 11), pelajaran (Perkara 12) dan bahasa (Perkara 152), kedudukan istimewa kaum Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan perlindungan sah kaum-kaum lain (Perkara 153).

Malah dengan tertubuhnya Malaysia hasil daripada gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu 1957, Sabah dan Sarawak telah diberikan kedudukan istimewa di bawah Bahagian XIIA Perlembagaan demi memastikan hak-hak rakyat negeri tersebut terpelihara.

Harus ditekankan bahawa kajian-kajian ke atas dokumen sejarah sejak sebelum penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 menunjukkan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa dan adat resam adalah perkara yang merupakan 'traditional elements' yang terus terpelihara (preserved) setelah terbentuknya Negara ini melalui Perlembagaan Persekutuan. Di samping itu, jaminan seperti Tanah Rizab Melayu turut dinyatakan dalam Perlembagaan demi menjamin kesinambungan kaum Melayu, yang amnya ketinggalan dari segi ekonomi, untuk menikmati dan mempunyai pegangan tanah di Negara sendiri. Bagi setiap Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan maka suatu jumlah keluasan tanah yang sama hendaklah digantikan, begitu berhati-hatinya perlindungan yang diberikan mengikut Perkara 89 Perlembagaan.

Latar belakang sejarah menunjukkan bahawa kompromi antara semua etnik di Malaysia seperti Melayu, Cina dan India serta pribumi Sabah dan Sarawak tentang hak-hak bersama kaum-kaum tersebut dan hak-hak istimewa serta hasil rundingan dan persetujuan dengan Raja-Raja Melayu dan pihak Inggeris bagi mencipta suatu sistem negara yang mengamalkan ciri-ciri demokrasi, bebas, adil dan makmur telah melahirkan Perlembagaan Persekutuan yang pada hakikatnya merupakan suatu kontrak sosial untuk semua masyarakat di Malaysia.

Kenapa saya bawa sejarah tanah air pada perhimpunan ini kerana di luar sana ada beberapa anasir-anasir terutama yang mempunyai agenda politik, yang mencabul integriti Perlembagaan Persekutuan, yang cuba membawa kepada keresahan semua kaum, yang cuba mahu memecah belahkan rakyat Malaysia, yang cuba menggunakan dakyah extremisme untuk meracuni pemikiran rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Mungkin mereka rasakan bahawa kerana kita di dalam UMNO berjuang dengan beradab, tidak mengacu mereka dengan fitnah, tohmahan, mungkin mereka rasakan kita boleh dirogol secara politik tanpa kita menyerang balas, mungkin sebab itu mereka dengan sewenang-wenangnya telah membawa negara Malaysia yang satu ketika dahulu bersatu padu tetapi pada hari ini berada di ambang bahaya dari segi perpaduan.

Di dalam perhimpunan ini saya dan Wanita UMNO secara tegas menyatakan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu di luar sana yang mahu menggugat atau mempertikaikan Agama Islam sebagai agama rasmi, hak keistimewaan Raja-Raja, hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun kita sebagai orang Melayu dan Bumiputera mempunyai tanggungjawab untuk hidup dengan harmoni bersama bangsa-bangsa lain dalam Negara ini dan kita juga mesti menghormati hak-hak bukan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka saya mohon supaya janganlah sesiapa mempersoalkan kerakyatan dan kewarganegaraan bangsa seperti kaum Cina dan India yang lahir di sini. Jika kita tak mahu mereka mempersoalkan keistimewaan kita sebagai orang asal tanah ini, kita juga mesti menghormati mereka sebagai rakyat yang mempunyai hak di Negara ini.

AKTA HASUTAN 1948

Mengambil kira senario politik yang keterlaluan pada hari ini, suara-suara daripada aktivis politikus yang mirip dan (obsessed) dengan liberalisme maka pada Julai 2012 yang lalu, Kerajaan telah mengumumkan hasrat untuk kemungkinan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Sejak pengumuman itu, pelbagai reaksi, pandangan dan cadangan telah disuarakan oleh pelbagai pihak berhubung isu pemansuhan Akta Hasutan 1948 ini. Ada yang mengalu-alukan pengumuman kemungkinan pemansuhan Akta tersebut yang dianggap kononnya sudah tidak lagi sesuai digunapakai di dalam landskap sosio-politik hari ini. Kononnya isu hasutan adalah isu kuno. Kononnya isu hasutan mencabuli hak asasi manusia dan individu untuk bersuara. Kononnya Negara ini dan semua yang telah dibina mesti dibuka seluas-luasnya untuk dikunyah atas nama perjuangan hak asasi manusia. Tetapi pada yang sama begitu ramai dari "the silent majority" yang amat gusar, khuatir serta bimbang akan kesan pemansuhan Akta Hasutan 1948 kelak yang dikatakan boleh mengugat ketenteraman dan kehormanian Negara yang berbilang kaum di Malaysia.

Berdasarkan maklum balas yang diterima setakat ini, terdapat empat pandangan berlainan berhubung isu Akta Hasutan 1948 iaitu:-

Pertama, terdapat permintaan agar Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan sedikit pindaan sahaja;

Kedua, ada juga yang meminta supaya Akta Hasutan 1948 dihapuskan sama sekali;

Ketiga, ada yang memilih untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan Akta Keharmonian Nasional demi menjaga perpaduan rakyat dan kestabilan Negara; dan

Keempat, ada yang berpendapat supaya Akta Keharmonian Nasional diwujudkan sebagai akta baru di samping Akta Hasutan 1948 dikekalkan.

Perkembangan Semasa Yang Tidak Sihat

Saya amat bimbang dengan keadaan semasa yang tidak sihat. Ada pihak-pihak di kalangan masyarakat kita yang dengan sengaja membuat kenyataan-kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan mengambil kesempatan akan isu pemansuhan Akta Hasutan 1948 ini.

Saya dapati bahawa sejak kebelakangan ini telah berlaku peningkatan yang mendadak terhadap perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak yang dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertujuan untuk mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum di Malaysia. Mereka ini juga dengan lantang dan tanpa rasa hormat telah mengeluarkan kenyataan yang menghina dan boleh membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang merupakan paksi kepada sistem Raja Berpelembagaan yang kita amalkan sejak sekian lama Tidak cukup dengan itu, mereka juga dengan begitu angkuh mempersoalkan perkara, hak, taraf kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang telah diperuntukkan di bawah Perlembangaan Persekutuan sejak kita mencapai kemerdekaan.

Kesemua tindakan dan perbuatan tidak bertanggungjawab ini telah menyebabkan rakyat berbilang kaum berasa risau, bimbang dan tergugat akan kedudukan dan hak-hak mereka. Tidak kiralah Melayu, Cina, India dari Sabah, dari Sarawak dan semua yang lain-lain. Perasaan sebeginilah yang dikhuatiri kelak akan menjadi benih-benih liar yang menyemai perasaan saling berprasangka di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, dan menggugat keharmonian Negara.

Melihat kepada perkembangan tidak sihat ini, maka timbul tanda tanya, apakah masyarakat kita sudah benar-benar bersedia menguatkuasakan kebebasan bercakap dan bersuara tanpa sempadan masing-masing, dan pada masa yang sama menghormati kebebasan dan hak asasi orang lain?

Sebagaimana di negara-negara lain yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law), kebebasan bercakap dan bersuara yang diperuntukkan di dalam perenggan (a) Fasal (1) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu hak yang diberikan secara mutlak. Ia perlulah diimbangi dengan keperluan untuk mengekalkan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan awam melalui sekatan-sekatan yang sewajarnya sebagaimana dibenarkan di bawah perenggan (a) Fasal (2) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak 57 tahun yang lalu, namun perlulah diakui bahawa bangsa kita yang terdiri daripada pelbagai kaum ini masih belum cukup teguh semangat perpaduannya. Isu polorisasi kaum menjadi satu isu yang tidak mampu untuk kita sembunyi di bawah karpet 'hide under the carpet' ataupun 'be in denial'. Malah walaupun sebangsa dan seagama, masih lagi ada di antara kita yang mempunyai prasangka di antara satu sama lain dan menjadi gunting dalam lipatan, semata-mata demi kelangsungan politik dan kepentingan peribadi masing-masing.

Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlarutan hanya kerana nak menonjol atau mempertahankan hak individu di kala Negara kita di ambang keresahan. Maka, sebagai langkah pencegahan adalah amat penting supaya kuasa sewajarnya diperuntukkan bagi membendung tindakan-tindakan yang boleh membakar api perkauman dengan mempersoalkan hal-hal perkara sensitif seperti hak kewarganegaraan mana-mana orang (Bahagian III Perlembagaan Persekutuan), kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan), kedudukan istimewa Orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak (Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan) serta kedaulatan Raja-Raja sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah telah membuktikan bahawa hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif sebagaimana yang diperuntukkan di Bahagian III, Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan ini adalah hal perkara yang begitu sensitif yang sekiranya dipersoalkan, boleh membangkitkan perasaan prasangka, bimbang dan tergugat di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

Malangnya, terdapat sesetengah kumpulan yang tidak bertanggungjawab telah membuat tohmahan, bahawa larangan untuk mempersoalkan peruntukan-peruntukan berhubung perkara sensitif di dalam Perlembagaan Persekutuan hanya bertujuan untuk melindungi dan menguntungkan sesetengah kaum serta meminggirkan kaum lain.

Perlu ditekankan di sini bahawa tohmahan sedemikian adalah tidak berasas sama sekali. Dalam mencapai kemerdekaan daripada pihak penjajah, peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan telah diperhalusi oleh ibu bapa kemerdekaan dengan begitu bijaksana dan penuh tolerensi bagi memastikan ia memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak. Justeru, tohmahan sedemikian seakan-akan memperkecil usaha dan tenaga yang telah mereka korban demi memastikan kita dapat hidup sebagai sebuah bangsa yang merdeka hingga hari ini.

Sebagai contoh, masyarakat hendaklah sedar bahawa walaupun Perkara 152 telah mengangkat kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, namun peruntukan yang sama ini juga telah menjamin hak mana-mana orang untuk menggunakan, (selain bagi maksud rasmi) mengajar atau belajar apa-apa Bahasa lain. Begitu juga percaturannya dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang diseimbangkan dengan jaminan perlindungan terhadap kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

Oleh yang demikian, larangan untuk mempersoalkan peruntukan-peruntukan tersebut sebenarnya akan melindungi bukan sahaja sesuatu kaum tertentu malah turut menjamin hak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Pendirian Wanita UMNO Tentang Halatuju Akta Hasutan 1948

Dalam mempertimbangkan perkara yang melibatkan keselamatan, keamanan dan keharmonian negara, kita tidak boleh mengambil tindakan yang boleh menimbulkan risiko suasana dalam negara yang tidak tenteram. Lantaran itu, dengan melihat kepada keadaan semasa dan setelah menimbangkan semua pandangan dan pendapat daripada pelbagai pihak, Wanita UMNO selaku tulang belakang UMNO, iaitu parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional telah mengambil keputusan untuk menggesa kerajaan supaya jangan menggantikan atau mansuh Akta Hasutan 1948 dengan undang-undang yang baru tanpa meneliti semua aspek yang berkaitan.

Kami Wanita UMNO tidak bersetuju sama sekali Akta Hasutan 1948 dihapuskan. Saya dan Exco telah membuat ketetapan dan telah disambut baik oleh puan-puan semua dan ahli-ahli Wanita UMNO, dan juga beberapa NGO dan golongan profesional dan bukan profesional yang terdiri daripada berbilang kaum, bahawa kita akan bergabung tenaga untuk menggerakkan satu kempen untuk mendapatkan satu juta tandatangan menggesa kerajaan supaya tidak memansuh Akta Hasutan 1948 demi keselamatan, keamanan dan perpaduan tanah air. Satu juta tandatangan ini akan diserahkan kepada YAB Perdana Menteri seawal mungkin sebagai bukti bahawa Wanita UMNO memandang serius tentang perkara ini dengan harapan YAB Perdana Menteri dan kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Wanita UMNO mendesak kerajaan bagi mengekalkan pemakaian Akta Hasutan 1948 dengan penambahbaikan yang bersesuaian dengan mengambilkira keperluan menjaga hak-hak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjamin keselamatan rakyat dan kepentingan negara. Pada masa yang sama penggubalan Akta Keharmonian Nasional juga wajar diteruskan untuk mempromosi dan menggalakkan semangat harmoni dan saling hormat menghormati di antara semua kaum di Malaysia.

Akta Keharmonian Nasional boleh digubalkan bagi memperuntukkan peruntukan-peruntukan yang bertujuan untuk menggalakkan perasaan muhibah sesama kaum dan keharmonian nasional. Akta ini tidak sewajarnya bersifat menghukum tetapi lebih menumpukan kepada elemen memupuk semangat saling hormat menghormati di antara kaum yang berbeza agama dan kebudayaan.

Elemen pencegahan dan hukuman terhadap perbuatan-perbuatan yang boleh antara lain, mencetuskan ketidakharmonian sesama kaum hendaklah diperuntukkan di bawah Akta Hasutan 1948 yang sedia ada. Oleh yang demikian, adalah juga disyorkan supaya Akta Hasutan 1948 ini dikekalkan demi mengekalkan mekanisma perundangan yang boleh mengawal perbuatan-perbuatan yang tidak bertanggungjawab sedemikian dan mempunyai kecenderungan menghasut.

Walau bagaimanapun mana-mana peruntukan Akta Hasutan 1948 yang tidak lagi relevan, mengambilkira keterbukaan kepimpinan Barisan Nasional hari ini, bolehlah dipinda maupun dimansuhkan dengan segera. Sebagai contoh, peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik Kerajaan dan pentadbiran sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta Hasutan 1948 sedia ada, boleh di mansuhkan demi menyediakan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bebas bersuara. Sesungguhnya pandangan yang membina dan bertujuan untuk menambahbaik pentabiran dan sistem yang sedia ada hendaklah dialu-alukan dan tidak wajar disekat.

Akan tetapi walau apapun hala tuju berhubung Akta Hasutan 1948 yang bakal dipertimbangkan oleh kerajaan kelak, Wanita UMNO bertegas untuk meminta kerajaan berjanji perkara-perkara berikut dilarang dari segi perundangan negara:

Mendatangkan kebencian dan penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja;

Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; dan

Mempersoalkan apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan kedaulatan atau prerogatif sebagaimana yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutan.

Saya berharap YAB Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia serta kabinet akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Jangan menang sorak hari ini kampung digadai pada hari esok. Nanti jika tangis air mata darah sekalipun, kampung tidak akan kembali lagi.

Suara akar umbi yang selama ini istiqamah dan sabar telah menyatakan rasa hatinya. Dengarlah suara hati ini. Dengarlah suara hati yang lahir daripada fikiran yang jernih, yang sentiasa mendahulukan Agama, Bangsa dan Negara dalam setiap langkah untuk maju ke hadapan. Dengarlah, suara hati ini yang tidak mahu dusta dan sengsara terus membayangi perjalanan negara kelak. Biar patah kaki bertongkat sayap, patah sayap bertongkat paruh, namun hak-hak Rakyat Malaysia dalam Perlembagaan akan terus Wanita pertahankan.

Bersambung ... Wanita UMNO : Srikandi Negara III

Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments