Para perwakilan puan-puan dan tuan-tuan yang dihormati sekalian,
KEPERLUAN UNTUK MEMPERTAHANKAN TANAH RIZAB MELAYU
Tanah Rizab Melayu adalah satu daripada ciri-ciri dalam Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mempertahankan kedudukan istimewa kaum Melayu. Keperluan menghadkan tanah rizab tersebut bukanlah datang dengan begitu mudah hanya semata-mata untuk memberikan keistimewaan kepada kaum Melayu.
Dasar atau keperluan merizab tanah-tanah untuk kaum Melayu diwujudkan kerana keperluan untuk melindungi kaum Melayu yang merupakan penduduk asal dan tetap di Tanah Melayu daripada kehilangan tempat untuk berteduh, bergantung dan tinggal menetap di bumi sendiri, selepas kemasukan kaum-kaum lain seperti Cina dan India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu demi menjayakan agenda Empayar British dalam meningkatkan hasil ekonomi dan kekuatan mereka. Hasil daripada percaturan politik pada masa itu, yang mana kuasa politik masih lagi dipegang oleh Raja-Raja Melayu di Negeri-Negeri Melayu, kerajaan British merasakan terdapat keperluan untuk memastikan kepentingan Melayu dilindungi dan dipelihara daripada terhakis di bumi sendiri kerana peningkatan pengaruh kaum lain dalam bidang ekonomi dan perniagaan termasuklah pegangan tanah. Berdasarkan senario itu, terhasil Enakmen Rizab Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (pada 1953) serta bagi setiap Negeri-Negeri Melayu yang tidak bersekutu (sekitar tahun 1930an).
Enakmen-Enakmen ini memperuntukkan dasar British bahawa tanah rizab Melayu tidak boleh dijual, dipajak atau dilupuskan dalam apa cara sekalipun kepada mana-mana pihak yang bukan Melayu. Hanya orang Melayu atau syarikat yang diiktirafkan dalam Enakmen tersebut boleh memegang Tanah Rizab Melayu.
Kedudukan Tanah Rizab Melayu sebelum kemerdekaan ini telah diteruskan kesinambungannya dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam Perkara 89 dan 90. Kedua-dua peruntukan ini diwujudkan untuk kaum Melayu sebagai pribumi dan untuk memastikan kaum Melayu terus dapat menetap dan mempunyai legasi yang berterusan untuk generasi akan datang.
Perkara 89(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antaranya bahawa, mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang merupakan tanah simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu, iaitu suatu Enakmen:
yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli Dewan Undangan dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi; dan
yang dipersetujui melalui ketetapan setiap Majlis Parlimen yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang mengundi.
Perkara 89(3) pula memperuntukkan bahawa Kerajaan Negeri boleh mengikut undang-undang yang sedia ada mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu:-
mana-mana tanah yang diambil Kerajaan Negeri melalui perjanjian bagi maksud itu;
mana-mana tanah lain, apabila permohonan dibuat oleh tuan punya tanah itu, dan dengan persetujuan tiap-tiap orang yang mempunyai hak atau kepentingan mengenainya dan hendaklah, mengikut undang-undang yang sedia ada, dengan serta merta mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu, dalam hal jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, mana-mana tanah lain yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah itu.
Peruntukan Perkara 89 yang ketat tersebut adalah suatu jaminan untuk memastikan Kerajaan Negeri tidak melupuskan Tanah Rizab Melayu dengan mudah dan Kerajaan Negeri hendaklah terus menjaga kepentingan tanah yang dipegang oleh kaum Melayu.
Hasil daripada latar sejarah dan peruntukan yang diteruskan dalam Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada, Kerajaan-kerajaan Negeri hendaklah memberikan penekanan untuk memastikan kepentingan kaum Melayu dari aspek pemegangan tanah tetap terus terpelihara pada masa itu dan untuk masa generasi akan datang.
Maka dengan itu Wanita UMNO menggesa Kerajaan Negeri mematuhi dan memastikan semua tanah-tanah rizab Melayu yang telah dibatalkan diganti WAJIB semula mengikut Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing bagi tujuan mengekalkan pegangan tanah-tanah rizab untuk orang Melayu.
Saya difahamkan, malangnya, bahawa ada beberapa negeri dimana Tanah Rizab Melayu kian terhapus tanpa gantian wajib. Jika digantipun, tanah gantiannya tidak setaraf terutama dari segi nilai komersialnya. Saya ingin mencadangkan supaya pindaan undang-undang dibuat dengan memberi kuasa kepada Peguam Negara bagi pihak kepentingan umum 'public interest' untuk membuat permohonan terhadap Kerajaan Persekutuan maupun Kerajaan Negeri untuk ganti serupa Tanah-Tanah Rizab Melayu yang telah dilupus tanpa diganti semula.
Saya juga menyarankan apa juga tindakan untuk menggantikan semula Tanah-Tanah Rizab Melayu dan menambah jumlah Tanah Rizab Melayu sebagaimana kadar ditetapkan dalam perundangan dapat dilakukan sesegera yang mungkin. Jangan lagi bertangguh-tangguh, memberi seribu satu alasan teknikal yang akhirnya kita nanti akan dipersoalkan oleh anak cucu kerana gagal mengurus kuasa dan mewariskan sebuah negara yang induknya berkepentingan Melayu. Jadikan sasaran untuk memenuhi kuota Tanah Rizab Melayu sebagai KPI Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional.
PELAN TRANFORMASI PERKHIDMATAN AWAM
Saya bagi pihak Wanita UMNO mengucapkan syabas kepada Ketua Setiausaha Negara di atas pelaksanaan Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam demi menyahut seruan Kerajaan dalam menjayakan Agenda Transformasi Negara ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Inisiatif transformasi yang dijalankan menggambarkan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam menjadikan Perkhidmatan Awam yang kompetatif dan bersifat global.
Tahniah juga kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan pasukan beliau yang terdiri daripada Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam serta semua yang terlibat yang giat merancang Plan Transformasi ini dan mengimplimentasinya dengan gigih dan penuh komitmen.
Indikator antarabangsa telah menunjukkan perubahan prestasi daya saing Perkhidmatan Awam Negara yang lebih positif di mana kedudukan Malaysia melalui laporan World Competitiveness Yearbook (WCY) 2014 Institute for Management Development (IMD) telah meningkat kepada tangga ke-12 daripada 60 negara seluruh dunia berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2013. Terbaru adalah kedudukan Malaysia dalam World Bank Ease of Doing Business Report 2014 yang melonjak naik dari tempat 12 tahun sebelumnya, ke tempat 6 pada tahun ini.
Ini menunjukkan bahawa usaha transformasi yang dijalankan telah menunjukkan peningkatan terhadap tahap kecekapan Kerajaan sehingga mendapatkan pengiktirafan antarabangsa. Kita harus berasa bangga dan terus berusaha melaksanakan program transformasi dalam menjadikan Malaysia di dalam liga negara maju.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Keselamatan yang sanggup bergadai nyawa demi menjaga keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan Negara. Di mana jua anda berada Wanita UMNO sentiasa mendoakan keselamatan perwira negara.
PERANAN SEKTOR SWASTA
Dalam mencapai matlamat pertumbuhan negara dan meningkatkan daya saing global Malaysia, peranan sektor swasta juga adalah amat penting. Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak swasta, ahli korporat dan profesional di atas perkongsian pengalaman dan transformasi sumbangan, komitmen serta penyertaan positif dalam melaksanakan pelaburan dan projek yang menyokong Wawasan 2020.
Oleh yang demikian, gabungan pintar kerjasama antara kedua-dua sektor awam dan swasta dengan menggunakan kesemua komuniti yang pelbagai perlu dititik beratkan. Perkongsian tulin antara semua komuniti pelbagai kaum di Malaysia perlu digalakkan supaya pengagihan kekayaan seimbang dapat dinikmati oleh semua kaum. Sebagai menyahut seruan YAB Perdana Menteri, "Marilah Kita Terus Berusaha" bersama-sama mencapai sasaran Malaysia Berstatus Negara Maju.
PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH
Para Perwakilan yang dikasihi,
Hari ini kita dapat melihat bahawa sistem perundangan dan proses kehakiman di Malaysia, jauh lebih baik jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini. Wanita UMNO berbangga kerana turut terlibat di dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan perundangan Islam. Syabas Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menjadi dua badan terpenting mengurustadbir undang-undang syariah di Malaysia.
Namun, ada beberapa isu yang perlu diberi perhatian, demi mempertingkatkan lagi kualiti perlaksanaan undang-undang ini. Tidak dinafikan proses pengurusan kes di Mahkamah Syariah semakin baik dengan pengenalan beberapa KPI bagi memastikan keputusan kes dapat diperolehi dengan segera.
Satu isu yang menekan golongan wanita adalah penangguhan penguatkuasaan dan perlaksanaan perintah (lacking of enforcement and execution) kepada pihak yang dituntut. Wanita UMNO merasakan telah tiba masanya untuk pihak JKSM dan JAKIM memberi penekanan yang lebih serius bagi menggerakkan Mahkamah Syariah untuk membantu wanita Islam memperolehi hak mereka melalui perintah Mahkamah yang telah diterima.
Sebagai contoh, pelaksanaan pembayaran perintah nafkah anak boleh tertunggak bertahun-tahun lamanya, disebabkan keengganan bapa untuk mematuhi perintah mahkamah, dan menjadikan perintah tersebut hanya di atas kertas semata-mata (paper judgement). Tanggungjawab Mahkamah Syariah tidak sepatutnya berhenti setakat hanya mengeluarkan perintah, kerana Islam menegaskan bahawa keadilan perlu disempurnakan, sepertimana wakalah Saidina Umar kepada Abu Musa Al-Ashaari yang menyatakan:-
" Pengadilan adalah suatu kewajipan yang kukuh dan nyata, dan suatu sunnah yang berkesinambungan. Fahamilah apa yang disampaikan kepadamu, kerana tidak ada gunanya ucapan yang hak apabila tidak dilaksanakan."
Saya bagi pihak Wanita UMNO ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penubuhan Badan Sokongan Keluarga (BSK). Walau bagaimanapun saya difahamkan fungsi badan ini dibatasi beberapa sekatan, seperti kekurangan pegawai bertauliah untuk menguruskan kes, dan penolakan beberapa Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN), untuk mengiktiraf BSK sebagai satu badan penguatkuasa di negeri berkenaan. Saya difahamkan BSK telah berjaya menyelesaikan 4,077 kes daripada 4,259 kes di Unit Khidmat Nasihat Perundangan (UKNP) dan juga telah menyelesaikan 1,653 kes daripada 2,608 di bawah Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah (UPPP) sejak tahun 2009 hingga tahun 2013 penubuhannya. Saya yakin jika BSK diberi lebih ruang untuk membantu menyelesaikan isu paper judgement ini, maka lebih banyak isu perintah yang tertunggak dapat diselesaikan.
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian adalah usaha untuk menyemak semula kaedah pelaksanaan kes supaya Mahkamah Syariah di Malaysia dapat dijadikan sebagai sebuah genuine family court. Pelaksanaan undang-undang syariah perlu lebih mesra keluarga, dengan tatacara yang lebih mengupayakan penglibatan hakim dalam memberikan keadilan. Ini dapat dicapai jika Mahkamah Syariah menjadi more inquisitorial and less adversarial dalam mengendalikan kes.
Oleh itu, saya bercadang untuk menggerakkan Skuad An-Nur Wanita UMNO sebagai Sahabat Mahkamah Syariah di seluruh Negara dalam membantu mengenalpasti isu dan menyalurkannya kepada pihak yang berkaitan untuk diperhalusi dan diselesaikan. Usaha ini bertepatan dengan konsep tolong-menolong sepertimana firman Allah yang berbunyi:-
"...dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa..." - Al-Maidah, ayat 2
PENDIDIKAN
Demi untuk memastikan Malaysia terus mempunyai daya saing dalam menghadapi berbagai cabaran yang berkaitan dengan ekonomi dunia yang semakin pesat berubah, sistem pendidikan negara mestilah mantap dengan perancangan menyeluruh berlandaskan strategi perancangan yang panjang. Pembangunan insan merupakan salah satu kunci utama kepada kelangsungan martabat kita demi jati diri negara supaya dihormati dan dipandang tinggi di mata dunia. Dengan kepesatan teknologi, kita perlu menyediakan anak-anak kita bukan sahaja untuk menghadapi masa hadapan, tetapi membentuk masa hadapan berdasarkan acuan kita sendiri iaitu identiti nasional berdasarkan etika dan kerohanian. Kita bukan sahaja lagi inginkan anak-anak kita mendapat pekerjaan tetapi mampu mencipta pekerjaan. Kita bukan sahaja inginkan anak-anak kita tahu menggunakan teknologi tetapi mampu mencipta teknologi yang digunakan oleh warga dunia. Justeru, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang telah dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dapat memastikan bangsa Malaysia akan terus hidup, akan terus berada setaraf dengan Negara-negara maju di dunia.
Aspirasi pendidikan kita seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah sangat jelas. Melalui laporan kemajuan pelaksanaan PPPM 2013, beberapa kejayaan awalan telah diraih termasuklah perubahan yang menyerlah kepada anak-anak kita di bilik darjah. Berdasarkan laporan tersebut, antara kejayaannya ialah Program Transformasi Daerah (DTP). DTP yang dilaksanakan secara rintis di Sabah dan Kedah telah menunjukkan keberhasilan yang signifikan oleh kedua-dua negeri ini apabila kadar peningkatan keputusan peperiksaan nasional (UPSR, PMR dan SPM). Di samping itu, program yang dirancang dalam PPPM juga telah menunjukkan hasil seperti peningkatan profisiensi guru Bahasa Inggeris, peningkatan murid dalam penguasaan literasi dan numerasi, peningkatan sehingga 81.7 peratus enrolmen murid prasekolah serta pelaksanaan transformasi pendidikan vokasional.
Dari segi akses dan kualiti, saya melihat Kementerian Pendidikan telah memastikan semua kanak-kanak warganegara akan mendapat peluang pendidikan bertaraf dunia. Manakala dari segi ekuiti, Kementerian Pendidikan juga berusaha untuk merapatkan jurang antara Bandar dan luar Bandar, antara jantina dan sosioekonomi. Perpaduan menjadi teras penting pendidikan Negara untuk memastikan anak-anak kita menghargai kepelbagaian dalam semangat 1Malaysia. 11 Anjakan perubahan cara bekerja yang dianjurkan dalam Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 jelas menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang betul bagi membangunkan modal insan yang bakal menerajui Negara di masa kini dan akan datang.
Marilah kita bersama-sama menyokong usaha murni ini kerana pendidikan merupakan hak dan tanggungjawab kita semua. Saya nak minta supaya Kementerian Pendidikan menentukan Pelan Pendidikan Malaysia yang hebat ini menjadi kenyataan. Yang akan menjadi cabaran kepada Kementerian Pendidikan ialah untuk mengimplimentasikan pelan ini. Saya berharap Kementerian dan semua yang terlibat tidak akan menghampakan harapan ibu bapa yang menyerahkan nasib anak muda di tangan Kementerian Pedidikan.
Puan-puan sekalian,
Bahasa merupakan alat komunikasi yang menjadi pengikat kepada perpaduan kaum di Malaysia dan sistem pendidikan merupakan agen utama ke arah perpaduan masyarakat majmuk.
Kewujudan masyarakat majmuk adalah suatu Sunnah Illahiah yang memerlukan manusia membentuk hubungan yang harmoni. Masyarakat Islam khususnya perlu mencontohi hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam meningkatkan nilai persaudaraan dan menguruskan perpaduan antara kaum Ansar dan Muhajirin. Untuk perpaduan dan harmoni dalam ertikata sebenarnya berlaku, maka anak muda Malaysia mesti arif dengan sejarah Negara ini sendiri. Jangan pula gajah di depan mata kita tak tahu dan tak kenal, tetapi kuman di seberang laut kita hanyut mengejarnya.
Saya nak minta Kementerian Pendidikan meneliti semula subjek Sejarah yang diwajibkan kepada pelajar sekolah rendah. Sejarah ini hendaklah berdasarkan kepada sejarah penubuhan Malaysia disebabkan sukatan matapelajaran Sejarah yang diajar kini tiada spesifikasi kepada kecintaan Negara dan sejarah Tanah Melayu. Kalau adapun tidak mendalam, maupun mencukupi. Tak kenal maka tak cinta. Jika anak-anak kita yang berbilang kaum tidak mengenali siapa dia perintis Negara ini, siapa dia yang membawa pembangunan dan lain-lain, maka kita jangan salahkan anak muda kita.
Bagi menentukan anak-anak muda dan generasi akan datang lebih mesra, lebih erat tali silaturrahim, lebih global, maka perlu ada pengikat perpaduan. Bahasa adalah salah satu pengikat utama.
Dalam kita memastikan penguasaan Bahasa Melayu dipertingkatkan dan dimartabatkan bagi semua murid Sekolah Menengah mulai Tingkatan Satu, saya pohon pertimbangan Kementerian Pendidikan apalah kiranya jika pada masa yang sama menjadikan Bahasa Arab atau Mandarin atau Tamil sebagai mata pelajaran elektif yang wajib dipilih salah satu di semua Sekolah Rendah dan Menengah oleh semua murid bagi mewujudkan masyarakat yang berkemahiran untuk berkomunikasi dalam pelbagai Bahasa. Alangkah indahnya jikalau generasi akan datang di Malaysia terdiri daripada generasi multi lingual yang petah bercakap dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin, Tamil maupun bahasa-bahasa lain, seperti mana terdapat di banyak negara di Eropah. Saya percaya ia juga akan mengeratkan lagi perpaduan kaum di Malaysia.
EKONOMI DAN AUDIT IMPAK RAKYAT
Wanita UMNO mengucapkan terima kasih dan syabas kepada YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan atas pembentangan Bajet 2015 dimana pelbagai peruntukan telah disediakan oleh Kerajaan dalam usaha mengkukuh dan melonjakkan pembangunan ekonomi Negara. Yang istimewa apabila YAB Perdana Menteri memberi pengiktirafan kerajaan di dalam Ucapan Bajet Tahun 2015 bahawa kaum wanita merupakan tulang belakang pembangunan Negara. Malah, salah satu daripada tujuh strategi utama yang digariskan dalam pembentangan bajet tersebut adalah Memartabatkan Peranan Wanita.
Syabas juga saya ucapkan kerana pendekatan keseimbangan antara ekonomi modal "capital economy" dan ekonomi rakyat "people's economy" yang menyentuh kehidupan rakyat dititikberatkan oleh Perdana Menteri.
Maksud YAB Perdana Menteri ialah sementara kita bercakap mengenai KDNK dan GNI yang merupakan "capital economy," kita juga jangan lupakan "people's economy" atau pun "ekonomi rakyat." Apa guna KDNK kita meningkat tetapi rakyat tidak merasai manfaat peningkatan itu kerana kekayaan berlingkar di sekitar sekumpulan kecil manusia. Maka, di sinilah kita kena bercakap mengenai "ekonomi rakyat."
Dalam ekonomi rakyat, kita bercakap mengenai pendapatan isi rumah, kos sara hidup, jurang pendapatan antara miskin-kaya dan hal-hal yang secara langsung menyentuh kehidupan rakyat.
Kelemahan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional ialah kita tak pandai mengambil kesempatan untuk meraih dividen politik seperti yang dilakukan oleh pembangkang. Hari ini pemimpin Negeri Pulau Pinang dan Selangor berkokok mengenai pencapaian negeri-negeri tersebut dan sengaja buat-buat lupa bahawa prestasi itu adalah hasil pentadbiran dan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional sekian lama.
Oleh kerana kita tak pandai mengambil dividen politik, maka orang kata UMNO tak buat apa-apa. Orang lupa bahawa penubuhan institusi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebagai contoh, adalah hasil perjuangan kita. Sejak ditubuhkan ada tahun 1981 sehingga sekarang, PNB telah memberikan pendapatan sebanyak RM105 bilion kepada 10.7 juta orang Bumiputera yang menjadi pemegang unit Amanah Saham Bumiputera. Semua orang yang jadi pemegang saham, memperolehi pendapatan (dividen) tersebut.
Bagi membantu perusahaan mikro dan peniaga kecil, Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN telah meluluskan RM7.6 bilion pinjaman sepanjang 2011 sehingga Jun tahun ini. Bagi syarikat yang besar sikit, MARA dan PUNB telah beri pinjaman kepada mereka. Dalam tempoh yang sama, MARA telah memberikan pembiayaan kepada 24,881 buah syarikat manakala PUNB membiayai 2,016 buah syarikat. Manakala, bagi syarikat yang lebih besar pula, TERAJU meluluskan pembiayaan Dana Mudahcara berjumlah RM756.9 juta dan Dana Teras berjumlah RM814.15 juta sehingga Oktober 2014 melalui tiga buah bank.
Orang tak berniaga dapat manfaat melalui unit Amanah Saham Bumiputera, peniaga mikro dapat pembelaan AIM dan TEKUN, perusahaan kecil dapat pembiayaan MARA dan PUNB, manakala yang besar mendapat bantuan TERAJU. Pendek kata, semua orang dapat. Walaupun itu yang kita lakukan, namun orang masih kata kerajaan tak buat apa-apa dan UMNO tidak mendapat dividen politik.
Maka, sebab itulah Wanita UMNO ingin mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan "political impact assessment" kepada semua program yang dilaksanakan oleh rakyat, dan penilaian ini bolehlah dinamakan "Audit Impak Rakyat" (AIR). Selain dari menilai dividen politik, ia juga merupakan satu kaedah mengukur kepuasan rakyat kepada program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Kerajaan membuat program untuk rakyat, maka kita kena dapatkan maklumbalas rakyat sama ada mereka berpuas hati atau tidak terhadap program-program ini. Kita kena tanya rakyat, adakah program ini memberikan impak yang mereka harapkan.
Kita berharap dengan adanya "Audit Impak Rakyat" ini, kerajaan dapat tahu sama ada rakyat berpuas hati atau tidak dengan apa yang kerajaan lakukan. "Audit Impak Rakyat" ini juga boleh mengubah pendekatan kerajaan yang selama ini bersifat "managerial-centric" kepada "people-centric." Apa guna kita buat bermacam-macam program, tetapi rakyat tak berpuas hati dan parti tidak mendapat dividen politik.
Audit Impak Rakyat" ini juga penting untuk mengukur sejauh mana apa juga program dan bantuan kerajaan benar-benar sampai ke sasaran. Begitu banyak yang kerajaan lakukan untuk meningkatkan ekonomi rakyat tetapi saban masa, rungutan "tidak merasai kek ekonomi" terus kedengaran. Mungkin ada ketirisan di sana sini yang boleh dikesan dan kemudian diperbetulkan melalui "Audit Impak Rakyat" ini.
Puan-puan dan tuan-tuan,
Saya bersyukur kerana wanita di Malaysia terdiri daripada golongan yang rajin, dedikasi dan menjadi rakan pembangunan yang produktif. Diberikan tugas, dia sempurnakan. Diberikan amanah, dia laksanakan.
Sayang sekali sehingga kini, kita belum lagi mempunyai maklumat lengkap mengenai keusahawanan wanita. Kalau ada pun, ia terletak di merata-rata tempat. Apabila tidak ada maklumat, kita tidak dapat membuat analisis yang tepat. Akibatnya, kita membuat program keusahawanan secara serkap jarang.
Apa yang kita tahu ialah daripada lebih 1 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sekitar 20% adalah Bumiputera. Daripada lebih 200,000 syarikat Bumiputera, sebanyak 88% adalah perusahaan mikro, iaitu berpendapatan tahunan RM300,000 ke bawah atau mempunyai kakitangan kurang dari lima orang. Itu yang kita tahu.
Apa yang kita tak tahu ialah berapa ramaikah usahawan wanita? Apakah sektor-sektor tumpuan usahawan wanita? Berapa peratuskah kadar pertumbuhan syarikat-syarikat wanita dalam sektor-sektor tersebut? Walaupun Kerajaan memberikan pelbagai insentif kepada usahawan Bumiputera, kita tidak mempunyai program khusus untuk usahawan wanita. Kalau ada pun, ia terlalu kecil dan tidak diketahui oleh kebanyakan wanita.
Sekiranya kita serius untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam keusahawanan dan perniagaan, Wanita UMNO meminta kerajaan untuk membangunkan satu pengkalan data usahawan wanita dan untuk setiap program yang dilaksanakan oleh agensi-agensi pembangunan keusahawan atau "entrepreneurs development organisation," penyertaan wanita hendaklah mencerminkan satu tahap yang tinggi dan membanggakan.
PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO
Para perwakilan yang saya hormati,
Pada Perhimpunan tahun lepas, saya telah berucap bahawa Wanita UMNO adalah teras dan tulang belakang kepimpinan parti. Alhamdulillah semasa ucapan Dasar dan Amanat Presiden, YAB Dato' Sri Najib telah mengiktirafkan Wanita UMNO sebagai tulang belakang dan bukan lagi sayap parti. Pemuda dan Puteri selaku anak-anak yang kita sayangi dan hargai akan meneruskan perjuangan sebagai sayap dalam UMNO.
Saya juga berucap tentang transformasi politik Wanita UMNO dimana kita tidak harus dilihat sebagai hanya layak dan mampu berjuang isu-isu wanita dan keluarga sahaja, tetapi mesti dilibatkan dalam isu-isu polisi dan politik juga.
Bagi menghadapi cabaran politik semasa, Wanita UMNO tidak boleh lagi menghadkan diri sebagai jentera pilihanraya sahaja, tetapi perlu memperkuatkan pergerakan kita sebagai jentera politik juga.
Pada tahun ini, Wanita UMNO selaku tulang belakang parti mempunyai kekuatan keahlian seramai 1,330,926 (satu juta tiga ratus tiga puluh ribu sembilan ratus dua puluh enam). Selama enam dekad Wanita UMNO telah menjalankan peranan penting dalam menentukan keutuhan dan kestabilan UMNO. Kesungguhan Wanita UMNO sebagai nadi parti, berkhidmat dengan penuh amanah dan kesetiaan diibaratkan lilin membakar diri menerangi orang lain dalam memperjuangkan agenda UMNO.
Melalui Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian tahun ini, saya telah menerima cadangan daripada 171 Wanita UMNO Bahagian (89% dari seluruh Wanita UMNO Bahagian yang bersidang) dan dari 12,483 Wanita UMNO Cawangan (77% dari seluruh Wanita UMNO Cawangan yang bersidang) yang mana mereka telah mengusulkan peruntukan satu tempat tambahan khas diberikan kepada Wanita UMNO bagi jawatan Naib Presiden UMNO Malaysia (3+1) dan Naib Ketua UMNO Bahagian (1+1) apabila Pindaan Perlembagaan UMNO diadakan. Pemilihan untuk jawatan ini adalah melalui Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada tahun pemilihan yang ditetapkan.
Cadangan ini juga mendukung kehendak Fasal 3.4, Peraturan Pergerakan Wanita UMNO iaitu "Membangunkan wanita ke arah mencapai 30% wanita di dalam bidang pembangunan dan pembuat dasar Negara".
Saya berdoa dan yakin bahawa pucuk pimpinan UMNO akan membuat keputusan yang bijaksana apabila masanya tiba untuk Perlembagaan UMNO dipinda. UMNO dan kepemimpinannya tidak pernah ketinggalan zaman malah mendahului dalam perjuangan untuk semua termasuklah Wanita. Doa saya, selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia, supaya titik sejarah mengarusperdanakan Wanita UMNO ditempat membuat keputusan yang bermakna ini akan berlaku semasa kepimpinan YAB Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak selaku Presiden UMNO dan YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Timbalan Presiden UMNO. In Sha Allah.
TALI PERSAHABATAN RAKYAT MALAYSIA
Sidang perwakilan dan para hadiran sekalian,
Saya nak minta supaya marilah kita semua rakyat Malaysia ikhlas muhasabah diri. Lihatlah bumi bertuah ini, adakah seburuknya yang diconteng oleh pembangkang dan mereka yang tidak suka kepada Barisan Nasional. Adakah orang Cina, orang India, Serani, Punjabi atau sesiapapun yang bukan Melayu hidup tertindas di Malaysia ini, mati kelaparan, tidak kaya, tidak ada peluang, tidak ada perniagaan, tidak ada pekerjaan, tidak ada masa hadapan, saya rasa itu satu dusta. Adakah orang Melayu dan Bumiputera membolot segala-galanya, adakah orang Melayu dan Bumiputera sama ada pemimpin maupun pengikut maupun rakyat jelata, mengkaut kekayaan dan kuasa di bumi bertuah ini. Cukuplah, cukuplah jangan kita di antara rakyat Malaysia berbilang kaum di antara kita acah mengacah, gertak mengertak, cabar mencabar. Adakah orang Melayu dan Bumiputera ditindas tidak bernyawa, teruk sangatkah kehidupan kita di Malaysia ini. Jangan kita himpit di antara kita kepenjuru yang bahaya. Di pentas perhimpunan ini umat Melayu dan bumiputera ini, Wanita UMNO ingin tegaskan, cukuplah. Kita rakyat Malaysia berbilang kaum, kita mesti sayang dan hormat di antara satu dengan yang lain.
Saya selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia menghulur tangan tali persahabatan, tali silaturrahim kepada semua rakyat Malaysia berbilang kaum, tidak kira apa fahaman politik, maupun parti, tidak kira apa agama, maupun bangsa, marilah kita bersyukur dengan kenikmatan yang kita kecapi. Marilah kita balik ke pangkal jalan untuk meluncur kehadapan dan bersatu membina negara yang lebih berjaya dan lebih mulia di bawah kepimpinan Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri kita.
Semoga Allah memberkati perjuangan kita bersama kerana Allah demi Agama, Bangsa dan Negara.
WANITA UMNO SRIKANDI NEGARA
Mereka adalah srikandi bangsa
Hidup jelas pertahankan negara
Musuh datang gertak tak bisa
Hilang nyawa tak ambil kira
Mereka adalah srikandi rakyat
Hidup sentiasa abdikan ummat
Janji dipegang sumpah diingat
Masa dan tenaga tak indah dilumat
Srikandi Negara ibarat besi
Tahan dikerah tahan diuji
Dijadikan tiang gagah berdiri
Dijadikan pentas yakin dilangkahi
Srikandi bangsa bijak mendidik
Sentiasa berkhidmat penuh cerdik
Membela rakyat tahan ditindik
Membela negara tahan dibedik
Wanita UMNO Srikandi Negara
Berfikir cepat bekerja tangkas
Tunaikan tugas pantang mengira
Tunaikan janji pantang menculas
Dijadikan pemimpin rakyatkan puas
Sayapnya panjang terbangnya bebas......
Selamat bersidang.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.