kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tokoh intelektual Melayu merentasi zaman

SEORANG pemikir Islam yang berani, progresif dan berkesan. Selain itu, ada juga pengkaji yang menyifatkan Syed Syeikh Al-Hadi sebagai reformis dan tokoh sastera Melayu.

Walau apapun label yang diberikan, jasa Syeikh Al-Hadi kepada kemajuan Islam dan perubahan minda orang Melayu sukar untuk dinafikan.

Kegigihannya dan semangatnya yang percaya bahawa Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan maju dan bukannya sekadar soal ibadat dan mati, terserlah mendasari perjuangannya sepanjang hayat meskipun ada ketikanya menerima tentangan yang amat hebat.





Syed Syeikh Al Hadi bersama keluarga di hadapan rumah di Jelutong.
Gambar ARKIB

Ahli akademik, Prof. Madya Dr. Fadhlullah Jamil berkata, Syed Syeikh Al-Hadi melihat berlaku banyak kepincangan dalam masyarakat Melayu yang disebabkan salah faham tentang ajaran Islam. Sehubungan itu, beliau berusaha mengubahnya menerusi pelbagai pendekatan sama ada dengan mengajar agama, membina madrasah, menerbitkan akhbar, majalah, buku agama dan novel.

Katanya, apa yang mengkagumkan adalah kebanyakan usaha itu dilakukan menggunakan wang sendiri atau bantuan rakan-rakan yang sealiran dengannya.

“Dia bukannya kaya, tetapi dia berusaha dalam perniagaan dan hasil itu, kemudiannya digunakan untuk melakukan aktiviti dakwah termasuk penerbitan akhbar, majalah dan buku,” ujarnya kepada S2 baru-baru ini.

Beliau yang pernah menghasilkan kertas kerja bertajuk Syed Syeikh Al-Hadi: Pemikirannya Terhadap Islam dan Perubahan memberitahu, antara kejayaan awal dakwahnya apabila berjaya menentang bidaah yang terdapat pada ajaran Tarekat Naqshabandiyah di Singapura.

“Kemudian di Pulau Pinang bersama rakannya, Syeikh Abdullah Al-Maghribi dan Syeikh Tahir Jalaluddin, mereka berjaya menghapuskan pengaruh ajaran Taslim atau agama matahari setelah menjalankan penyelidikan selama tiga bulan.

“Sehubungan itu dalam satu perhimpunan di Masjid Jelutong, beliau membuktikan ajaran tersebut salah dan seterusnya kitab-kitab berkaitan ajaran itu di bakar,” ujarnya.

Fadhlullah menambah, pemikiran lain Syeikh Al-Hadi berkaitan Islam adalah menolak tanggapan solat lima waktu menyebabkan umat Islam sukar bekerja dan bersaing dengan kaum lain.

“Syeikh Al-Hadi berpendapat umat Islam tertinggal kerana menyertai tarekat-tarekat dan membuang terlalu banyak masa berzikir serta memenuhi hambatan tasawuf yang lainnya.

“Justeru beliau menuntut perubahan yakni orang Melayu kembali kepada Islam yang tulen dan meninggalkan amalan tarekat,” tambahnya.

Beliau berkata, dalam soal berpakaian semasa solat pula, Syeikh Al-Hadi mengambil sikap liberal.

“Ulama tradisional berpegang, seorang lelaki Muslim bersolat mesti mengenakan kain sarung, baju dan memakai kopiah tetapi Syeikh Al-Hadi berpendirian, seorang lelaki Muslim boleh bersolat selagi beliau memakai pakaian yang menutup tubuhnya dari pusat ke lutut. Ini termasuk memakai seluar, kot, kemeja dan tali leher.

“Pendapat ini menjadi kontroversi hebat dalam kalangan masyarakat ketika itu dan hanya diterima umum selepas lewat tahun 1960-an,” ujarnya.

Aspek lain yang diperjuangkan Syeikh Al-Hadi ialah kepincangan pengurusan zakat dan keperluan membetulkannya, persamaan hak dan taraf umat Islam tanpa mengira darjat, menyarankan supaya umat Islam menjaga dan memperkemaskan keseimbangan duniawi dengan ukhrawi bagi memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Sementara itu, Pensyarah di Fakulti Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz berkata, Syeikh Al-Hadi seorang reformis yang lantang menegur dan mengkritik tingkah laku orang Melayu melalui penulisan.

“Tulisan dalam akhbar Al-Ikhwan mengajak orang Melayu mencari ilmu pengetahuan dan bekerja keras bagi memartabatkan bangsa. Selain masalah kemiskinan dan kejahilan orang Melayu, Syeikh Al-Hadi juga mengajak orang Melayu memikirkan tentang masa depan mereka di tangan penjajah iaitu Inggeris. Beliau menyedarkan orang Melayu tentang kelicikan penjajah yang bukan hendak membantu orang Melayu, sebaliknya menjaga kepentingan mereka sahaja.

“Majalah Al-Imam yang diterbitkan lebih awal membincangkan soal kefahaman agama, menggalakkan orang Melayu berijtihad dan mengelak daripada melakukan taklid buta, mengadakan sistem pendidikan yang moden berteraskan pendidikan Islam progresif dan mempelajari ilmu-ilmu lain seperti bahasa Inggeris, Arab dan Matematik,” katanya.

Sementara itu, Talib Samat dalam kajiannya bertajuk Syed Syeikh Al-Hadi: Kehidupan dan Pandangan Hidupnya Yang Terpancar Dalam Karya Sastera, memberitahu Syeikh Al-Hadi mempunyai sifat semula jadi yang tidak mudah tertarik dengan apa-apa ajaran gurunya yang dianggap tidak logik, bertentangan dengan akal fikiran dan prinsip kebenaran. Beliau begitu berhati-hati dan kritis dengan segala hujah yang dilontarkan oleh gurunya.

Menurutnya, Syeikh Al-Hadi turut menyampaikan pendiriannya menerusi karya sastera seperti novel saduran Hikayat Faridah Hanom atau Hikayat Setia Ashek kepada Maashok-nya (1925-26) dan Taman Chinta Berahi atau Mahir Afandi dengan Iqbal Hanom (1925-1926) yang memancarkan pandangan Syeikh Al-Hadi terhadap wanita.

Melalui novel itu Syeikh Al-Hadi mahu wanita diberikan kedudukan yang lebih baik dalam masyarakat seperti mendapat taraf pendidikan sama dengan lelaki, bercita-cita tinggi dan berani mengeluarkan pendapat yang bernas.

Sementara itu, cinta tokoh itu kepada dunia penulisan dan penerbitan tiada tandingan apabila di penghujung hayatnya masih mengambil berat akan hal itu.

Abdul Rahman Ismail dalam kajiannya, Syed Syeikh Al-Hadi: Penggerak Kebangkitan Melayu Abad Ke-20 memberitahu, dalam satu tulisan rencana pengarang akhbar Saudara yang ditulis Mohd. Yunos Abdul Hamid menceritakan pengalamannya bekerja dengan Syeikh Al-Hadi yang masih mengorbankan masa, tenaga dan fikiran dalam kerja ‘karang-mengarang’ meskipun sudah berusia 70 tahun.

Tags: sejarah, tokoh
Subscribe

  • Unhappy over unfair competition

    I WOULD like to express my thoughts on a public speaking competition organised by the Girl Guides Association Malaysia, that was held recently. I…

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments