kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bukan Madrasah Al-Hadi



Mohamad Yaahya menunjukkan rumah yang pernah menjadi madrasah mengaji al-Quran dan ilmu agama pada awal abad ke-20.

LAPORAN awal mengatakan sebuah rumah terbiar di pekarangan Masjid Melayu Lebuh Acheh Pulau Pinang merupakan tinggalan Syed Syeikh Ahl-Hadi kurang tepat.

Penduduk asal Kampung Melayu Lebuh Acheh, Mohamad Yaahya, 76, memberitahu, sepanjang ingatan serta maklumat daripada generasi terdahulu, rumah tersebut merupakan madrasah mengaji al-Quran.

“Syeikh Al-Hadi mengajar di sini, bukan dia mengasas atau madrasah ini milik dia. Setahu saya rumah ini milik keluarga Syed Zakaria Basheer,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Beliau yang tinggal di rumah sebelah madrasah berkenaan memberitahu, pada asalnya madrasah al-Quran itu terletak di luar pekarangan masjid.

“Dulu di kawasan Dewan Belia Perbandaran banyak rumah Melayu. Orang keturunan Arab ada membuka madrasah mengaji al-Quran dan ilmu agama tetapi penyertaannya terhad kepada masyarakat Arab.

“Selepas dipindahkan ke rumah di pekarangan masjid baru penyertaannya terbuka sehingga sesak yang menyebabkan timbul usaha membuka madrasah baharu” katanya.

Beliau menambah, selepas dipindahkan, madrasah tersebut pernah menjadi pusat transit jemaah haji kerana di zaman pergi ke Mekah menaiki kapal, pusat operasi haji adalah di sekitar Lebuh Acheh.

“Saya masih ingat jemaah dari Kelantan dan Terangganu akan datang lebih awal, sebab mereka jauh. Lagipun datang awal sebab mereka perlu membeli kelengkapan dan tidak membawa kelengkapan dari tempat sendiri kerana menyusahkan perjalanan.

“Selalunya mereka datang ditemani seorang guru dan setiap kali selesai solat kita melihat kemeriahan kumpulan ini berguru dengan guru masing-masing atau makan masakan yang dimasak sendiri. Apa yang saya sedar, jemaah dari Kelantan tidak boleh menerima nasi kandar yang banyak dijual di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman Ismail dalam tulisannya bertajuk Syed Syeikh Al-Hadi: Penggerak Kebangkitan Melayu Abad Ke-20: menyatakan Syeikh Al-Hadi terlibat secara langsung mendirikan sekolah-sekolah Arab-agama cara moden seperti Madrasah Al-Iqbal di Singapura pada tahun 1907.

Pada 1915, dia membuka Madrasah Al-Hadi di Melaka dan Madrasah Al-Mashoor di Pulau Pinang pada tahun 1919.

Walaupun Madrasah Al-Iqbal dan Madrasah Al-Hadi terpaksa ditutup setelah kira-kira dua tahun kerana masyarakat belum bersedia menerima unsur-unsur baru yang diperkenalkannya, Madrasah Al-Mashoor kekal dan terus berperanan hingga ke hari ini.

Sheikh Syed Al-Hadi berkhidmat membina dan membimbing Al-Mashoor hingga 1926 sebelum beliau sekali lagi menumpukan perhatian penuh pada penerbitan dan penulisan.

Menurut Abdul Rahman, semua madrasah itu didirikan dengan matlamat mengatasi kelemahan dan kekolotan orang Melayu pada masa itu.

Tags: madrasah, sejarah, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments