kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rumah kini jadi tokong

SELEPAS mengetahui sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan Syed Syeikh Al-Hadi kepada agama dan bangsa, pasti kita akan berasa sedih melihat nasib bekas kediaman tokoh itu yang beralamat di 410, Jalan Jelutong, Pulau Pinang.



Sohaimi Abdul Aziz menunjukkan buku tentang Syed Syeikh Al-Hadi yang pernah dihasilkannya.

Tiada lagi bangunan Jelutong Press yang banyak menghasilkan akhbar dan buku bagi membangkitkan kesedaran orang Melayu tentang kefahaman Islam sebenar dan pentingnya ilmu pengetahuan.

Khabarnya bangunan Jelutong Press itu telah bertukar menjadi kedai cat sebelum kedai itu dirobohkan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan raya.

Bangunan rumah pula sudah terdapat papan tanda bertulis tulisan Cina yang menandakan ia kini sudah menjadi pusat ibadat kaum tersebut selepas hak miliknya berpindah tangan lebih 60 tahun dahulu.

Presiden Karyawan Pulau Pinang, Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz berkata, status rumah itu pada hari ini seolah-olah seperti tidak mengiktiraf jasa-jasa besar pemiliknya sebelum ini.

“Jelutong Press adalah lambang visi Syeikh Al-Hadi dalam percetakan, iaitu mahu menerbitkan bahan bacaan secara lebih murah dan banyak untuk keperluan masyarakat yang inginkan bahan-bahan bacaan yang lebih maju kandungannya,” ujarnya.




Banglo milik tokoh Melayu, Syed Syeikh Al Hadi di Jalan Jelutong, Pulau Pinang kini menjadi tempat sembahyang penganut agama Buddha selepas hak milik bertukar tangan 60 tahun lalu. – S2/AZMAN ASMAYATIM

Sohaimi berkata, melalui kajiannya, rumah banglo tersebut dipajakkan kepada seorang ceti pada 1930-an akibat kesempitan wang ekoran kemelesetan ekonomi dunia pada 30-an hingga 40-an.

Rumah itu tidak dapat ditebus dan dilelong pada 1942. Seorang penganut Buddha, Khoo Kim Kee membeli rumah tersebut.

Bagaimanapun pembelian itu berdepan masalah kerana tanah dan bangunan milik orang Melayu. Kim Kee akhirnya mendapat geran tanah banglo itu pada 1947 dan menjadikan ia tempat ibadat penganut Buddha dengan nama Pak Ee Tong atau Tokong Pakaian Puteh. Seterusnya pada 1952, Kim Hee mendapat hak milik rumah terbabit.

Sehingga hari, ini belum ada usaha serius untuk mengembalikan warisan Melayu itu dan meletakkan ia di tempat yang sewajarnya.

Sementara itu, cucu Syed Syeikh Al-Hadi, Sharifah Nadia Syed Alwi berkata, tidak arif tentang syarat pajakan menyebabkan pihak keluarga pada masa itu tidak berbuat apa-apa sehingga pajakan itu lupus dan bertukar tangan.




PREMIS di Jalan Jelutong yang sudah dirobohkan bagi membina jalan raya, dahulunya merupakan bangunan operasi Jelutong Press yang ditubuhkan oleh Syed Sheikh Al Hadi. -

“Malah apabila arwah abang, Dr. Syed Mohammad Alwi Al-Hadi pulang belajar dari luar negara dan cuba membetulkan keadaan, ia sudah terlambat,” katanya.

Ada alasan kukuh

Sementara itu Sohaimi berkata, kerajaan mempunyai alasan kukuh untuk menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi mengembalikan semula rumah Syeikh Al-Hadi kepada kedudukan sewajarnya.

Katanya, ini kerana rumah berkenaan membawa makna besar dalam sejarah perjuangan orang Melayu dan Arab yang menjadi identiti Pulau Pinang.

“Rumah ini wajar digazetkan menjadi warisan sebagai simbol pemikiran positif masyarakat Melayu Pulau Pinang yang sudah wujud pada 1920-an lagi. Syed Syeikh Al-Hadi adalah seorang tokoh besar,” katanya.

Contohi Hagia Sophia

Beliau menambah, jika berjaya diwartakan sebagai bangunan warisan, rumah tersebut boleh dijadikan muzium atau Pusat Dokumentasi Persuratan dan Budaya Pulau Pinang.

Katanya, dalam menangani kemelut itu, cara Turki menyelesaikan status Hagia Sophia boleh dicontohi.

“Hagia Sophia asalnya gereja tetapi ditukar kepada masjid. Selepas itu, dijadikan muzium untuk semua orang,” katanya.

Tags: sejarah, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments