kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan pertikai hak melayu

Sedutan ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-68 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.



Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia!

Alhamdulillah kita sudah sampai kepada penghujung Perhimpunan Agung bagi 2014. Kalau kita lihat dalam masa empat hari ini, dalam semua media cetak, dalam semua channel televisyen dan media sosial, memang cerita Perhimpunan Agung ini menjadi berita utama.

Apakah ini bukan tanda dan bukti bahawa platform politik yang terpenting, platform politik yang amat dinanti-nantikan pada saban tahun, tidak lain dan tidak bukan ialah Perhimpunan Agung parti UMNO kita ini.

Ini membuktikan bahawa walaupun kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan gah parti UMNO kita sehingga hari ini.

Saya ingin memulakan ucapan penggulungan saya dengan menunjukkan edisi surat khabar salinannya yang telah diterbitkan pada tanggal 1 September 1957.

Tajuknya ialah pada masa itu dalam bahasa Inggeris ‘Look to the past with gratitude, look to the future with confidence’ kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman. Pada pendapat saya, kata-kata ini masih relevan dan masih tepat pada masa ini.

Melihat masa lampau dengan penuh kesyukuran dan memandang masa depan dengan penuh keyakinan. Dan inilah hasil perjuangan parti keramat parti UMNO kita. Saya berterima kasih kepada sidang perwakilan dan saya berterima kasih kepada semua jurucakap yang hampir semua telah menyambut tema ucapan dasar saya.

Makna Solidariti

Saya memilih perkataan..apa dia? SOLIDARITI. Saya boleh pilih perkataan lain, satu muafakat. Ada wakil yang tanya nak balik kampung macam mana nak cerita dengan orang kampung. Nak cerita pada mak long, pak long, mak ngah, pak ngah. Macam mana nak terangkan apa itu solidariti.

Solidariti bermakna bersatu dalam satu angkatan yang kukuh dan padu, itu dia solidariti dan apabila saya lihat akhbar tahun 1957 yang dimuatkan cerita kisah sambutan hari kemerdekaan, bagaimana kemerdekaan itu telah dicapai, asas dia apa?

Asas British bagi kita kemerdekaan dengan agak mudah kerana kekuatan yang kita perlihatkan atas semangat solidariti. Saya tengok wakil daripada Permatang Pauh dia gunakan perkataan keautentikan, tapi keautentikan belum masuk dalam Kamus Dewan.

Tapi solidariti dah masuk dan kalau kita sebut dengan intonasinya, SOLIDARITI...kita akan masukkannya dalam jiwa, dalam roh kita kerana inilah yang akan menjamin kita akan terus berjaya dalam masa pilihan raya umum akan datang dan selanjutnya.

Saya ucap terima kasih kepada sidang perwakilan kerana menyentuh banyak perkara. Oleh kerana Pengerusi Biro Agama tidak berucap, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dia minta saya mengulas sedikit tentang maqasid syariah.

Indeks Syariah

Saya dah pernah kata, bahawa kalau kita menganggap Malaysia ini di bawah pimpinan UMNO, berada di atas landasan perjuangan mengikut syariat Islam dan hukum syarak, dan ada orang kata sebaliknya pula, bagaimana kita nak cari satu penilaian yang boleh menggambarkan bahawa negara Malaysia ini hala tuju yang dibawa oleh UMNO dari dulu sampai sekarang ini adalah berpandu kepada tuntutan Islam sebenarnya. Maka, lahirlah cadangan supaya kita buat satu indeks syariah.

Indeks syariah ini akan membuat penilaian sejauh mana negara ini bawah UMNO telah menjaga agama kita, menjaga akal, menjaga keturunan, menjaga nyawa dan menjaga harta benda. Lima tuntutan maqasid syariah.

Saya telah minta supaya satu `task force’ ditubuhkan. Dikendalikan oleh UIA (Universiti Islam Antarabangsa) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jadi urus setianya, terdiri daripada pakar-pakar agama dan indeks syariah ini untuk negara Malaysia akan dibentangkan pada bulan dua tahun hadapan tidak lama lagi.

Apabila kita sudah bentangkan indeks syariah ini untuk Malaysia, kita boleh juga berbuat demikian untuk negara-negara Islam yang lain, supaya dengan ini mudah-mudahan, insya-Allah kita boleh gambarkan dan tunjukkan supaya tiada sesiapa boleh sangkal sama sekali bahawa negara yang di bawah pimpinan UMNO ini telah benar-benar menegakkan dan mengembangkan Islam di bumi yang bertuah ini.

Agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera

Bercakap sedikit tentang soal ekonomi, ada orang kata apabila ekonomi negara kita pertumbuhannya 6.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, kadar pencapaian Malaysia adalah tertinggi dalam kalangan negara Asia, satu pencapaian yang boleh dibanggakan, tapi ada orang kata dia tidak rasa angka 6.1 peratus ini, tiada apa-apa relevannya kepada dia.

Saya mahu beritahu bahawa kalau tidak dapat 6.1 peratus itu, kata dapat dua peratus, tiga peratus, tentu sekali kita semua akan merasai tekanannya, apatah lagi, dalam tahun 1997 kalau kita masih ingat lagi apabila ekonomi merudum pada masa itu, apa berlaku? Kita terpaksa potong peruntukan semua kementerian, jabatan kerajaan sampai tuntutan untuk penjawat awam pun terpaksa kita hadkan.

Kalau tidak ada pertumbuhan yang tinggi, macam mana kita boleh agihkan kekayaan? Macam mana kita boleh beri peruntukan yang amat diperlukan? Untuk siapa? Untuk kawasan-kawasan luar bandar yang mesti kita utamakan, untuk bidang pendidikan yang harus kita utamakan, untuk aspek-aspek yang penting kerana hasil negara amat wajar kita tokok tambah dan dengan ini maka kita bolehlah melaksanakan termasuk apa yang dihasratkan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Ramai yang cakap pasal Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tambahan GST. Apabila kita tambah GST, saya tidak dapat ramalkan lagi. Dengan rasionalisasi subsidi, kita tidak tahu, mungkin RM5 bilion, RM10 bilion tambahan dan kalau ada peruntukan tambahan saya ambil semangat dan hasrat Perhimpunan Agung UMNO ini. Hasrat perhimpunan ini apa? Supaya peruntukan ini dibelanjakan untuk kawasan luar bandar yang mesti kita utamakan.

Untuk bidang pendidikan, disebut oleh Timbalan Presiden mesti kita tambah lagi. Untuk apa? (golongan) pendapatan rendah, orang-orang Melayu kerana apa? Kerana kebanyakannya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita bagi latihan `upskilling’, ini kita tambah.

Untuk perumahan, orang muda minta tambah rumah transit. Wakil daripada Bahagian Kuala Kedah minta Projek Perumahan Rakyat (PPR) lagi. Ini semua kita kena tambah peruntukan melalui tambahan GST.

Saya nak buktikan GST tidak membebankan rakyat, GST akan membela rakyat. Siapa kata GST tidak menguntungkan kita? 160 lebih negara dah buat GST, takkan mereka ini semua salah, betul tidak? Takkanlah negara Burkina Faso yang miskin buat GST, yang kaya pun buat GST, sebab apa kita perlu GST? Sebab banyak orang yang berniaga tidak bayar cukai. Betul tuan-tuan? Apakah adil tuan-tuan bayar cukai? Tuan-tuan ini yang kerja, tiap-tiap bulan ada slip gaji, tidak boleh elak bayar cukai. Yang berniaga yang ada satu, kadang dua, kadang tiga buku, yang dikatakan `black economy’ ini, tidak bayar sampai ada `tax gap’ 30 peratus dalam negara kita. Mereka dapat perkhidmatan daripada kerajaan secara percuma, maknanya mereka tidak bayar apa.

Tidak adil, mereka patut bayar cukai kerana mereka patut menampung perbelanjaan untuk rakyat. Inilah konsepnya, sebab itu kita jangan politikkan GST ini. Kalau GST tidak baik tuan-tuan, saya tidak buat. Cerita GST ini sudah 20 tahun punya cerita.

Beberapa Menteri Kewangan termasuk Ketua Pembangkang. Dia pernah cadang GST, tarik balik, lepas itu. Oleh itu yakinlah, yakinlah niat kita tidak lain dan tidak bukan. Macam mana saya nak cari hasil? Tiap kali perhimpunan minta lagi peruntukan luar bandar ditambah, kerana di luar bandarlah kubu kuat untuk UMNO.

Peruntukan Mara

Tiap-tiap kali saya pandang pada muka Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dia tak nak sebut, dia segan tapi saya boleh baca dia nak (peruntukan) dan apabila saya dengar bibit-bibit perbahasan. (Majlis Amanah Rakyat) Mara mesti kita tambah (peruntukan) kerana Mara apa? Mara itu institusi lambang Melayu bumiputera. Banyak lagi anak-anak kita nak pergi luar negara tak ada biasiswa, anak sebahagian daripada saudara-saudari sekalian juga tak ada biasiswa lagi nak pergi ke Mara, kita tambah peruntukan daripada mana? Takkanlah kita nak pinjam lagi. Kalau kita pinjam daripada institusi kewangan dari luar negara kita akan kehilangan kedaulatan sebagai sebuah negara, ini kita tak boleh benarkan, kita mesti berdiri di atas kaki kita sendiri.

Ada wakil yang cakap tentang ramai graduan yang tak ada pekerjaan. Ini ada beberapa sebab. Antaranya kebolehan berkomunikasi umpamanya, bukan sahaja kelulusan ijazah itu tetapi kebolehan dia berkomunikasi kurang, mungkin personaliti dia, sebagainya. Jadi apa caranya, saya dah minta supaya Skim Latihan Satu Malaysia untuk graduan yang tak ada pekerjaan ini kita tambah 100 peratus lagi.

Saya dah cakap pagi tadi dengan Tan Sri Azman Mokhtar (Pengarah Urusan Khazanah Nasional), saya kata semua GLC kalau tahun depan rancangan 4,000 orang (untuk menyertai skim), kita jadikan 10,000 orang untuk graduan yang tak ada kerja. Saya buat ini sekali lagi kerana apa? Kerana hasrat para perwakilan dalam perhimpunan ini. Lagi apa?

Tanah Rizab Melayu.

Tanah Rizab Melayu mestilah kita pertahankan jadi minta semua menteri besar di negeri-negeri yang dikuasai oleh kita, pastikan tanah rizab itu kalau dibuka untuk pembangunan diganti dengan yang lain sahaja.

Yang kedua, saya nak sebut, tanah rizab ini jangan rizab sahaja mesti dibangunkan. Apabila nak bangunkan mesti ada sumber kewangan. Sekarang ini saya diberitahu bahawa ada kesukaran dari segi perundangan nasional land code dan juga enakmen-enakmen negeri untuk membolehkan akses kepada instrumen pinjaman Islam memajukan tanah-tanah rizab Melayu. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan laporannya telah disediakan.Saya minta semua undang-undang yang perlu dipinda dibuat pindaan supaya tanah-tanah rizab Melayu ini boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemilik-pemilik. Kita tak boleh bangga dengan jumlah tanah, tapi pulangan kepada pemilik tanah rizab yang penting.

Pengundi Cina

Ada yang kata kita tak perlukan pengundi orang Cina. Saya nak beritahu bahawa kalau kita tengok dari segi sejarah kenapa Tunku Abdul Rahman buat Perikatan kalau tak menguntungkan kita? Tuan-tuan ingat Tunku buat Perikatan untuk apa? Kalau pada tahun 1974 Tun Razak buat Barisan Nasional tak menguntungkan kita? Kalau lepas Tun Razak, Tun Dr. Mahathir (Mohamad), Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), sampai zaman sekarang kita pertahankan Barisan Nasional kenapa? Mestilah ada sebab. Kalau kita tak perlukan undi mereka, mengapa kita wujudkan Perikatan dan Barisan Nasional?

Saya masih ingat lagi beberapa kali Tun Dr. Mahathir sebut mengapa dia kalah dulu. Dia terangkan bahawa dalam `straight fight’ satu lawan satu, kalau dicabut 3,000 undi (bukan Melayu) daripada kita, diberi kepada pembangkang 3,000 defisitnya bukan 3,000 tetapi 6,000 undi. Sebab itulah dia kata dia kalah (kerana) undi orang Melayu tak cukup nak ditampung. Dia terkeluar ayat dia tak perlu undi Cina dan dia kalah. Itu satu pengajaran pada dia.

Tengok baru-baru ini di Pengkalan Kubor, saya pergi Pengkalan Kubor saya tanya berapa banyak kita menang tambah majoriti. Saya tanya undi orang Siam berapa? Dia kata lebih 1,700 undi. Kalau pindah pada Pas, terjongkang (tersungkur) Barisan Nasional, rebah kita.

Inilah yang dikatakan jangan menang sorak kampung tergadai. Gunalah akal sikit. Sebab itulah penting bagi kita menjaga Barisan Nasional ini, tapi tidaklah sampai mengorbankan prinsip-prinsip yang dekat di hati pada orang Melayu. Sebab semua orang kata orang Melayu adil, orang Melayu tegas. Tegas tapi adil pada orang lain. Kita nak tengok bukan sahaja soal pilihan raya tapi kita nak membina sebuah negara Malaysia, negara bangsa yang berjaya, ini hasrat kita.

Akta Hasutan 1948

Persidangan pada kali ini agak lain daripada biasa sebab boleh dikatakan hampir-hampir menjadi perhimpunan satu isu. Isunya Akta Hasutan 1948.

Saya selalu sebut bahawa sebagai seorang ahli politik kita mesti merasai denyut nadi rakyat. Saya mengikuti perkembangannya. Saya dengar pendapat, saya boleh pilih untuk mengumumkan keputusan kerajaan di Dewan Parlimen, tapi saya tahu bahawa ada satu lagi platform yakni perhimpunan agung.

Kenapa saya pilih Perhimpunan Agung UMNO nak umumkan keputusan? Kerana saya nak semua ahli UMNO sedar bahawa sebagai Presiden parti, saya bertanggungjawab kepada semua ahli-ahli parti. Kalau suara UMNO hendakkan supaya Akta Hasutan ini dikekalkan, maka saya memilih untuk menerima hasrat ahli-ahli UMNO seluruhnya. Tambah lagi bila saya bincang dengan Timbalan Presiden, dengan pemimpin-pemimpin UMNO semua kata bahawa itulah pendirian yang sebaik-baiknya. Dan ini bukan bererti bahawa kita takkan berlaku adil pada orang lain. Akta Hasutan ini melindungi semua orang. Melindungi orang Islam dan juga yang bukan Islam.

Saya dah sebut dalam ucapan saya, kita tak boleh menyakiti hati orang lain. Saya nak ingatkan bahawa pernah dalam tahun 1978, Mark Koding buat ucapan dalam Dewan Parlimen, bukan di luar supaya sekolah-sekolah Cina semua ditutup, sekolah India ditutup. Tahun 1978, kerajaan buat apa? dakwa dia dan Mark Koding telah didapati bersalah. Jadi kalau orang kata bahawa Akta Hasutan ini tidak demokratik, saya nak beritahu. Akhbar antarabangsa sehari dua ni serang saya. (Kata) Saya dah mungkir janji, saya dah guna cara kekerasan.

Saya nak beritahu bahawa tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri menjaga keamanan dan keselamatan dalam negara kita. Apa gunanya kita nak kata ini kebebasan? Kebebasan pun ada hadnya. Kebebasan bukan kebebasan mutlak. Tak boleh menghina agama Islam, tak boleh mencabar hak istimewa Melayu, tak boleh persoalkan sistem raja-raja Melayu, askar Melayu dan kita jaga juga kepentingan kaum-kaum lain.

Jadi amanlah kita. Asyik berbalah memanjang, kerja lain tak jadi. Saya nak kita melihat apa? Memberi fokus memajukan negara Malaysia kita yang tercinta ini. Kita nak bawa Malaysia ke hadapan. (Bukan) Asyik nak berbalah sahaja. Saya nak maklumkan bahawa Akta Hasutan negara ini bukan saja kita kekalkan, kita tokok tambah dan akan dibawa dalam sidang Parlimen yang akan datang ini.

Saya tak boleh arahkan sebab dalam Perlembagaan, Peguam Negara ada kuasa mutlak menentukan pendakwaan. Tapi kita minta ketegasan daripada Peguam Negara. Kita minta pihak polis buat siasatan yang rapi. Kita minta SKMM membuat siasatan yang sewajarnya juga supaya kita memberi isyarat yang jelas tak ada sesiapa yang harus takut dan bimbang kalau dia tidak melanggar undang-undang dalam negara kita.

Tak ada siapa yang harus takut kalau dia tidak mahu untuk mengapi-apikan, menghasut orang. Kalau kita ini bukan penghasut, tak ada apa yang kita harus bimbang. Jadi batu api sikit-sikit tak apa. Jangan jadi batu penghasut antara kaum agama dalam negara kita. Ini jelas, dah tak ada warning (amaran) lagi selepas ini. Kita nak pastikan keamanan dalam negara kita. Kita nak memastikan bahawa setiap orang, setiap kaum, setiap agama menghormati antara satu sama lain.

Pemimpin pembangkang

Saya tertarik pada ucapan wakil dari Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin. Dia kata, kalau tengok pada pembangkang, dia jaga pemimpin dia macam nak rak. Pemimpin tak betul pun dia bela habis-habisan. Dah keluar video, dia boleh kata “Eh tu bukan saya, perut saya tak boroi”. Terlepas, senang saja. Kalau kena pada orang UMNO, bukan saja pembangkang, orang UMNO sendiri pun dah hulur.

Itulah yang saya nak katakan bahawa kalau parti nak kuat, jagalah pemimpin-pemimpin kita. Kalau dia bersalah pun, tegurlah dengan baik supaya parti kita kuat, kita boleh ke depan. Kita ni semua manusia biasa, tiada yang sempurna sepenuhnya. Orang yang kata kat kita pun dia tak sempurna. Jadi kita sesamalah jaga sesama kita, baru parti kita kuat. Kita nak menang pilihan raya umum, sebab itulah saudara sekalian, kita mesti faham pembangkang lagi teruk daripada kita.

Ini saya nak buka lagi satu cerita. Dua hari lalu, cuba tengok akhbar ini (paparkan) Datuk Seri Anifah Aman ditawar RM100 juta lompat parti. Pada PRU Ke-12, 16 September 2008, beliau ditawar RM100 juta (untuk) bawa 10 ahli Parlimen Barisan Nasional masuk pembangkang, nak tubuh kerajaan. Cerita ini dah keluar dalam mahkamah, saya petik dalam akhbar sahaja. Jangan kata saya subjudis. Saya dah cek dengan peguam dah, boleh.

Saya petik apa ditulis dalam akhbar dan Datuk Seri Anifah sudah pun disoal balas RM100 juta nak tubuh kerajaan, bukan ke ini ibu segala rasuah? Kita UMNO dituduh macam-macam, tapi yang buat angkara yang dahsyat ialah parti pembangkang. Sebab itulah saudari sekalian jangan sangat fikir kita ni teruk, tidak, pembangkang lagi teruk. Boleh pula suruh wakil rakyat letak jawatan, isteri nak bertanding. Suruh pulak menteri besar yang tiada kesalahan letak jawatan sebab isteri kena jadi menteri besar.

Cuba bayangkan kalau saya suruh menteri besar Negeri Sembilan letak jawatan, isteri saya nak jadi menteri besar Negeri Sembilan, mati saya. Dia pun tak nak jadi menteri besar, jadi ketua wanita bahagian pun dia tak nak. Apa yang dia (pembangkang) kata kita ni teruk? Ini apa dia? Nepotisme yang terbesar. Kenapa kita tak persalahkan dia?

Jangan serang kita, serang pembangkang. Saya setuju Datuk Zahid kata bloggers kita ni kadang-kadang dia tembak kita dalam istilah perang, ‘friendly fire’. Saya beritahu anda, serang rakan bukan secara mesra, bloggers kita ni dia cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang, Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri, tak masuk akal.

Peremajaan UMNO

Ini semua sebabkan kita ni lemah. Kita lemah sebab kita sendiri buat masalah, cuba kita tak buat masalah, cuba kita menghayati `Solidariti’. Parti UMNO akan sentiasa kuat, insya-Allah, betul tuan-tuan? Saya nak cakap sikit tentang peremajaan, saya setuju Ketua Pemuda, saudara Khairy Jamaluddin dah bagi penjelasan. Saya tahu, saya bekas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya tahu zaman saya pun, saya ingat puluhan bahagian ketua pemuda ada masalah dengan ketua bahagian.

Apabila UMNO diharamkan, bila nak lantik ketua pemuda bahagian yang sedia ada, ada rombongan ketua bahagian datang dekat saya, desak jangan lantik ketua pemuda bahagian, (Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) saksi, (Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal) pun tahu.

Saya tahu banyak masalah. Sebab bila kita kata peremajaan parti, kita meremajakan parti. Kita mesti faham bahawa kita ada tiga golongan dalam UMNO. Kita perlu ketiga-tiga golongan ini untuk bekerjasama satu haluan. Tapi kalau kita asyik tengok belakang kita, dia nak serang kita ke? tak serang kita ke? sampai bila pun kita takkan wujud satu keadaan Solidariti.

Tapi dalam pada itu bagilah peluang. Mana yang patut bagi peluang pada orang muda, kita bagi. Kita akan bagi lebih banyak peluang pada orang muda, tetapi mesti layak, mesti berdasarkan merit, mesti menepati JIL UMNO. Itu mesti ada kriteria-kriterianya, bukan sembarangan orang boleh. Hari ini masuk (UMNO) nak bertanding tak boleh.Mungkin kita uji dia dulu, jadi perdana fellow ke, jadi setiausaha politik ke, jadi apa ke, barulah sampai masanya dia bertanding. Ada masanya kita perlu orang lama macam di (kerusi Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Kubor.

Ada masa kita perlu orang muda, kita tengok saudara Irmohizam bertanding di Kuala Selangor, giant killer, dia kalahkan Dr. Zul (Dr. Dzulkefly Ahmad), dia jadi calon, tak ada duit, pergi kenduri bagi sumbangan RM30. Saya fikir dalam UMNO ni, RM30 tak pandang pun. RM30 bagi dekat orang kahwin, sebab apa dia tak mampu, sebab dia menampakkan dia autentik, orang kesian dekat dia, dia menang, dia lain, cara dia lain, dia tak pakai stoking merah, ada orang pakai merah belang lagi, bukan sahaja merah, belang lagi tu, seluar bukan main ketat. Ada stail masing-masing, saya tak berani nak ikut stail dia. Sebab itulah saya nak kata bahawa kita perlukan semua orang. Bila berlakunya soal peremajaan ini dan sebagainya, banyak panggilan saya dapat, ada yang SMS dekat saya, eh saya ini patut berhenti ke?

Kalau yang dari Utara kata kat saya, ‘Najib, hang tak mau dah ke kami yang tua-tua ini?’ dia cakap macam itu dekat saya. Yang dari Kelantan pula ghoyak ‘demo tak nak ke aku?’ Saya kata sabar, bila pula saya tak nak, siapa kata? Semua kita nak.

Yang dari Pantai Timur pula (saya jawab), `buke lagu tu, dok eh, kito nak blako, kito nak semuo,’’ yang pentingnya ialah apanya? Kita remajakan jasad. Jadi, jasad remaja. Macam mana? kita remajakan lagi akal.

Akal kita ini perlu diremajakan, mesti ada `stigi’, sebab orang Pekan tidak boleh sebut strategi, dia sebut `stigi’. Mesti ada `stigi’, ada pelan, moden, mesti pandai guna media sosial dan sebagainya dan remajakanlah roh perjuangan UMNO, roh parti.

Saya tertarik kepada dua orang dalam perhimpunan ini. Yang pertama saya tertarik kepada Datuk Rahmah Kassim, 90 tahun, yang jual gelang biayai perjalanan Tunku Abdul Rahman (ke London), sanggup datang ke perhimpunan kita. Maknanya roh dia kuat, roh UMNO kuat. `Spirit of UMNO is strong’, sampai dia kata bila teringat Tunku dan Tun Abdul Razak dia menitis air mata dia. Inilah peremajaan UMNO yang kita maksudkan, roh kita ini.

Seorang lagi saya tertarik Dr. Mohammad Nawar Ariffin, wakil dari Kedah berucap, orang Pokok Sena. Apa dia kata? Dia kata setiap butir nasi yang dia makan itu adalah hasil perjuangan UMNO. Saya tersentuh perasaan. Kerana UMNOlah dia jadi seorang `Orthopedic Surgeon’ (Pakar bedah) hari ini. Sebab UMNO dia dapat sara keluarga dia. Sebab UMNOlah dia akan terhutang budi seumur hidup pada UMNO dan akan terus berjuang untuk UMNO. Inilah peremajaan UMNO yang sebenarnya. Bukan orang dapat pada kekayaan lupa pada UMNO, dapat jawatan dalam UMNO dan tinggalkan UMNO, dapat serba-serbi daripada UMNO, tikam UMNO dari belakang. Ini bukan peremajaan UMNO, ini pengkhianat UMNO.

Yakini perjuangan UMNO

Marilah kita bersama-sama meneruskan perjuangan kita. Perjuangan kita ini, ingatlah saudara-saudara sekalian jika rosaknya UMNO, maka tersingkirlah kita. Jika terbuangnya UMNO, maka hanyutlah kita. Percayalah jika kuatnya UMNO, maka terjaminlah kita. Jika hebatnya UMNO pasti berjayalah kita. Maka yakinlah saudara-saudara sekalian, yakinlah dengan mata hati, kerana segala tindakan telah diperhalusi. Usahlah dipertikai mahu pun diragui. Berilah kepercayaan sepenuh hati, hilangkan resah, hilangkan gelisah, janji yang kita lafazkan pasti tidak akan dimungkiri. Segala keputusan dan tindakan kepentingan Melayu dan bumiputera tidak pernah kita lupakan.

Saudara perwakilan sekalian,

Tariklah nafas kita, tariklah bersama roh perjuangan, tariklah bersama nafas keberanian, tariklah bersama nafas keyakinan. Jadilah kita barisan hadapan untuk mempertahankan tindakan dan keputusan yang dibuat oleh parti. Jadilah kita barisan hadapan untuk pertahankan maruah parti dan usah biarkan ia dicemari. Berjanjilah, berjanjilah selagi hayat dikandung badan, selagi mentari masih menyinar, parti UMNO kita perkukuhkan, Melayu dan bumiputera kita pertahankan, agama Islam kita muliakan, Malaysia tercinta kita makmurkan.

Tags: politik
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Elak bermain politik (politicking)

    Terdapat penyelidikan/kajian baru tentang mengenal pasti ciri keperibadian utama ahli politik yang berjaya Untuk berjaya dalam politik, individu…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments