kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perkasa Pendidikan Perkukuh Ekonomi

Sedutan ucapan penggulungan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perhimpunan Agung UMNO Ke-68 di Dewan Merdeka, PWTC semalam.

Assalamualaikum Waramatullah Hiwabarakatuh.

Alhamdulillah marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana dapat sama-sama berada di Perhimpunan Agung UMNO ini sebagai menunaikan tanggungjawab kita terhadap parti kita iaitu UMNO yang kita kasihi ini demi kesejahteraan bangsa, agama dan negara.


Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan parti, izinkan saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh perwakilan yang telah pun berkampung selama lima hari di sini untuk terlibat bersama-sama membahaskan perkara-perkara yang dianggap penting bagi kelangsungan parti ini.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini juga untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua wakil-wakil negeri yang telah pun tampil untuk membahaskan usul-usul yang telah pun dibentangkan, dan saya ucapkan terima kasih kerana semua usul penting itu telah diterima dan diluluskan dengan sebulat suara.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh pegawai di peringkat urusetia yang diketuai oleh Setiausaha Agung dan juga Setiausaha Kerja yang saya tahu telah pun bekerja keras lebih sebulan yang lalu menyiapkan segala kelengkapan dan menentukan agar proses perhimpunan agung ini berjalan dengan licin dan lancar.

Tan Sri Pengerusi Tetap, saya tidak hendak mengambil masa yang panjang kerana kita juga sedang menunggu ucapan penggulungan yang akan disampaikan sebentar lagi oleh Yang Amat Berhormat Presiden parti.

Namun, saya akan menyentuh hanya beberapa perkara yang saya anggap penting sahaja. Pertamanya ialah isu-isu yang telah pun dibangkitkan menyentuh aspek pendidikan negara. Saya telah pun mengikuti perbahasan yang agak begitu mendalam, yang telah pun dibawa oleh wakil-wakil yang menyentuh isu-isu pendidikan di negara kita khususnya yang menyentuh tentang sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama, soal yang berkaitan dengan kualiti guru, demikian juga yang berkaitan dengan infrastruktur untuk sekolah-sekolah kita, pemerkasaan bahasa Melayu, peranan sekolah kebangsaan kita dalam memupuk perpaduan nasional.

Saya ingin menyatakan bahawa kita menerima banyak usul yang datang daripada bahagian-bahagian yang menyentuh tentang aspek ini yang menunjukkan betapa prihatinnya ahli UMNO di semua peringkat tentang betapa pentingnya soal pendidikan itu sentiasa diberikan perhatian dan diberikan keutamaan.

Sebagai contoh, daripada 638 usul yang telah pun dibawa oleh bahagian-bahagian, 121 usul ataupun hampir 20 peratus adalah yang berkaitan dengan isu pendidikan.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Presiden parti sebagai Perdana Menteri, yang sejak dahulu sampailah waktu kini meletakkan pendidikan sebagai agenda utama negara kita dengan menyediakan sebuah peruntukan yang begitu besar.

Bagi 2015 sebagai contoh, bajet yang baru telah diluluskan di peringkat Parlimen dua hari yang lalu, Kementerian Pendidikan telah pun diberi peruntukan sejumlah RM56.6 bilion iaitu sebanyak 20.11 peratus daripada keseluruhan bajet yang telah pun diluluskan baru-baru ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, cumanya bagaimana suara-suara yang telah pun banyak saya dengar dalam perbahasan yang menyentuh tentang soal pemerkasaan sekolah kebangsaan, meningkatkan infrastruktur, melatih guru-guru supaya lebih berkualiti dan lain-lain perkara yang telah pun disarankan tadi, saya berharap waktu mana di tahun-tahun hadapan sebagaimana Datuk Shafie (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) pun sebutkan tadi, dengan adanya pelaksanaan GST dan juga proses rasionalisasi subsidi, ada penjimatan dan juga pengumpulan dana baru, maka kita harapkan peruntukan akan terus diberikan dengan lebih banyak lagi kepada aspek pendidikan di negara kita. Terima kasih, insya-Allah kita harapkan begitu.

Ada beberapa wakil yang telah menyentuh tentang aspek pendidikan vokasional dan teknikal. Sebenarnya dalam Dasar Pendidikan Negara kita sekarang, aspek ini kita berikan suatu perhatian yang cukup penting. Dimaklumkan kepada saya bahawa hampir 80 peratus daripada sejumlah 10 juta pekerja dalam sektor awam dan swasta hanya berkelulusan SPM sahaja.

Maka pendapatan mereka dalam bentuk gaji dan lain-lain lagi adalah amat rendah dan ini tidak akan menjamin satu masa depan yang lebih baik untuk mereka. Maka sebab itulah antara inisiatif yang sudah pun mula diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan ialah memperkenalkan program transformasi pendidikan vokasional dan teknikal sebagai satu langkah untuk menambah ilmu dan kemahiran terutamanya bagi anak-anak kita bumiputera ataupun orang Melayu yang saya kira kalau ini dapat kita usahakan dengan lebih banyak lagi dalam tempoh yang mendatang maka mereka bukan sahaja peroleh kemahiran, soal yang berkaitan dengan peluang pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi dan lebih terjamin akan dapat kita laksanakan. Insya-Allah.

Sebab itu dalam Bajet 2015 sebagai contoh, kementerian saya telah pun diperuntukkan satu peruntukan yang jauh lebih besar oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu sebanyak RM1.2 bilion untuk membolehkan kita menyediakan lebih banyak prasarana sekolah-sekolah vokasional, kolej-kolej vokasional dan Perdana Menteri bermurah hati untuk tahun hadapan, menyediakan peruntukan RM100 juta untuk membolehkan kita membeli tempat-tempat di sekolah-sekolah swasta untuk menampung sekurang-kurangnya 10,000 pelajar kita dan keutamaan akan kita berikan kepada anak-anak Melayu yang memerlukan latihan teknikal dan vokasional ini.

Isu berkaitan bahasa yang juga diperkatakan oleh banyak pembahas terutama tentang penguasaan bahasa Melayu bukan sahaja di sekolah kebangsaan yang menjadi bahasa pengantar, tetapi yang tidak kurang penting ialah sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Ada yang telah memetik Prof. Dr. Teo Kok Seong yang mengkaji tentang tahap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan anak kita di sekolah ini yang mendapati sebahagian daripada mereka tidak berupaya untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan walaupun sudah lama berada dalam sistem pendidikan persekolahan kita.

Oleh itu, saya telah mengarahkan supaya aspek kokurikulum dan guru yang terlatih yang hendak dihantar ke sekolah-sekolah akan kita tingkatkan baik dari segi jadual waktunya, baik dari segi content (kandungan) kokurikulumnya, baik dari segi bentuk peperiksaannya supaya dalam tempoh yang lebih munasabah daripada apa yang kita laksanakan sekarang ini akan dapat menghasilkan kualiti bahasa Melayu yang lebih tinggi dalam kalangan anak-anak yang belajar di sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Yang bercakap tentang soal bahasa ketiga, ada yang menyarankan supaya diperkenalkan bahasa ketiga. Saya ingin memaklumkan dalam sistem sekolah kita sudah ada dasar itu dan sebahagian daripada anak-anak kita sudah pun mengambil bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol. Kesemua ini kita telah sediakan dalam sistem pendidikan kita, tetapi bilangan yang terlibat dalam pengambilan subjek ini sebagai bahasa ketiga adalah amat kecil sekali.

Sebab itu saya menyokong usul supaya bahasa ketiga ini yang juga disarankan oleh Datuk Seri Shahrizat, dijadikan sebagai satu pilihan elektif di mana seramai mungkin terutamanya anak-anak Melayu dapat menguasai lebih daripada dua bahasa dan kalau boleh bahasa Mandarin dikuasai oleh anak-anak Melayu, dapat mengetahui apa yang dibicarakan oleh rakan-rakan mereka dalam kalangan anak-anak Cina atau bahasa Tamil dalam kalangan anak-anak India yang ada di sekolah kita ini.

Ini adalah satu langkah yang akan kita ambil, tetapi saya ingin memperingatkan kepada perwakilan supaya menjadikannya sebagai ruang baharu di mana lebih ramai anak kita mengambil bidang ini. Maka saya perlu melantik sekurang-kurangnya 30,000 guru bahasa-bahasa ketiga yang disebutkan tadi kerana kita mempunyai sejumlah 10,000 sekolah. Dalam satu sekolah pun ada tiga orang guru bahasa yang pakar, maka pastinya jumlahnya adalah sangat besar.

Diharapkan dengan sokongan perwakilan sekalian dan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan, jawatan-jawatan baharu dapat diwujudkan, maka akan mudahlah kita laksanakan dasar baharu yang saya sebutkan tadi.

Langkah Drastik

We are very serius, saya sebutkan do or be dead, kalau tak buat kita akan mati. Sebab itu dalamsoal ini kita kena ambil langkahlangkah yang drastik. Saya dah beritahu kepada Presiden parti, saya akan memantau keadaan ini. Kalau satu kawasan yang tergolong dalam golongan 44 tadi dalam kategori yang dikatakan kelabu dah menjadi hampirhampir hitam, maka saudara tahu apa yang harus kita buat. Saya nak tengok siapa ketua bahagian di situ. Apa masalah ketua bahagian dengan Pemudakah, Wanitanya kah atau tak ada program langsung dilaksanakan atau dia syok sendiri buat program tetapi tidak melibatkan rakyat jelata yang sepatutnya memberi sokongan kepada kita. Jadi sebab itu saudara, saya nak mengingatkan, mulai awal tahun hadapan inisiatif ini akan kita laksanakan dan kita akan turun ke setiap peringkat dan saya nak minta supaya kerjasama daripada semua pemimpin bahagian termasuklah sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri untuk tampil ke depan bergerak sebagai satu saf untuk tempur mana-mana musuh politik kita dan pastikan kawasan-kawasan kita ini terus dipertahankan. Mana-mana agak yang kurang sokongan perlu dipertingkatkan lagi dan inisiatif-inisiatif baharu mesti diambil untuk mengatasi masalah di peringkat kawasan masing-masing.

Cabaran Pilihan Raya Umum

Saya dalam ucapan perasmian di Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri telah menyebut sepotong ayat al-Quran dan saya bacakan di sini yang bertujuan memberi peringatan kepada kita semua yang bermaksud: “Jika kamu dalam Peperangan Uhud mendapat luka atau tercedera, maka sesungguhnya kaum musyrik yang mencerobohi kamu itu telah tercedera juga dan mendapat luka yang sama dalam Peperangan Badar. Dan itulah keadaan hari-hari dunia ini dengan peristiwa kemenangan-kemenangan dan kekalahan, kami gilirkan di antara sesama manusia supaya menjadi pengajaran dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman dan yang sebaliknya supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang yang mati syahid dan ingatlah Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.”

Bacaan ayat ini adalah sebagai satu peringatan tentang apa yang Allah nyatakan dalam al-Quran iaitu penggiliran kerajaan dan pemerintahan di satu peringkat. Kadang-kadang Islam menjadi kerajaan, di peringkat lain Islam kalah dan diambil oleh pihak-pihak musyrikin dan sebagainya. Ini adalah satu lontaran penting khususnya bagi kita orang Melayu atau pimpinan yang ada dalam masyarakat kita terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO tentang pentingnya kita berlapang dada dan sanggup untuk melihat ke hadapan bahawa ada cabaran-cabaran lebih besar yang akan kita hadapi dalam tempoh ke hadapan ini.

Saya ingin menunjukkan tentang adanya situasi umumnya orang sudah tahu untuk memperingatkan di mana kita berada. Ini adalah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13. Bukan satu perkara sulit, umum mengetahui dan kita perlu mengingatkan di mana kedudukan kita. Ada warna putih, kelabu putih, kelabu dan kalau dilihat, 44 kawasan Parlimen kelabu di mana kita menang antara 0.1 peratus sehingga 5.9 peratus majoriti.

Sebahagian yang hadir di sini adalah mereka yang tergolong dalam bahagian yang saya sebutkan. Yang kat bawah (hitam) tak payah tengok lagilah memang yang sudah kita kalah. Yang saya hendak sebutkan adalah situasi di mana kita berada sekarang selepas Pilihan Raya Umum Ke-11, kita ada 198 (Parlimen) turun kepada 140 dan yang terakhir kita ketahui adalah 134 sebenarnya, sebab kita memenangi Teluk Intan baru-baru ini. Tahniah kepada Ahli Parlimennya.

Suruhan Jaya Kepelbagaian Sekolah

Saya juga ingin mengucapkan, kerana dalam usul tadi disarankan penubuhan sebuah Suruhanjaya Kepelbagaian Sekolah. Maka, dengan penubuhan suruhanjaya ini kita akan dapat meneliti sejauh mana dalam sistem persekolahan yang lain daripada aliran sekolah kebangsaan dapat menghasilkan anak-anak kita yang dikatakan terdidik dengan semangat patriotisme dan nasionalisme. Jadi, kalau ada aspek-aspek yang dikenal pasti oleh suruhanjaya ini dan diperakukan oleh pihak kementerian, maka saya harap ada langkah-langkah proaktif yang kita ambil untuk menyelesaikan masalah atau isu yang berbangkit nanti. Saya ingin menyatakan bahawa ada satu berita baik yang saya ingin umumkan di sini selepas berbincang dengan Perdana Menteri di sebelah pagi tadi. Di atas saranan beberapa wakil tentang perlunya kita beri sokongan kepada usahausaha yang dibuat oleh persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di sekolah-sekolah di seluruh negara, saya ingin maklumkan Perdana Menteri telah bersetuju menubuhkan Yayasan Tabung PIBG Nasional. Idea ini telah dikemukakan oleh Datuk Seri Idris bersama-sama saya dan beliau dengan cepat mengatakan boleh umum, tetapi umum sahaja tidak memandai, maka kita perlukan satu dana. Beliau kata kita boleh usahakan. Saya berharap  tidak kurang daripada RM200 juta sebagai dana permulaan, sebahagiannya sumbangan daripada pihak kerajaan yang lain kita akan usahakan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) dan sumbangan sektor swasta dan akan diagihkan ke semua sekolah terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dua peratus , bukannya banyak

Tapi saya sebutkan di sini untuk menunjukkan kalau situasi kita tidak bertambah baik dengan perbahasan, peremajaan dan perbicaraan yang panjang lebar, yang kita buat dalam dewan hari ini untuk membangkitkan kesedaran hanya dengan dua peratus sahaja penurunan undi, ke bawah paras bahaya menjadi hanya 103 kawasan. Kalau 103, kurang dari 112, bermakna Barisan Nasional pastinya kalah, nauzubillah. Dua peratus, bukannya banyak. Kalau saudara mengira setiap kawasan Parlimen di mana saudara berada, kalau jumlah undinya sekian banyak, kiralah kalau dua peratus menurun daripada keadaan sedia ada, maka kita akan berada dalam satu tahap yang amat berbahaya. Saya tidak tahu kalau kita boleh bersidang tiga tahun akan datang selepas pilihan raya, sama ada kita boleh panggil Presiden kita sebagai Perdana Menteri atau tidak. Tak usah cakap fasal Timbalan Perdana Menterilah. Dan kalau sekiranya usaha ini hendak diatasi bermakna inisiatif kita mesti kita ambil secara bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kalau dua peratus kita naikkan kepada 141 kawasan Parlimen. Saya tidak tahu sama ada bolehkah kita naik kepada 141? (Sorakan boleh). Tidak kuat (bertambah kuat sorakan boleh). Kurang yakin... Yakin atau tidak? (Sorakan kuat boleh). Barulah confident (yakin) sikit. Kalau kitakerja kuat sikit, naik lima peratus, 159 kawasan, dua pertiga kita sasarkan insya-Allah kita tercapai. Sebab itu bila ada dibincangkan keadaan di sini, saya telah mengingatkan diri saya sebagai Pengarah Pilihan Raya, saya percaya masih kekal jadi pengarah agaknya. Bila Presiden mengumumkan akan mengadakan pilihan raya untuk yang ke-14 nanti. Maka soalnya, hanya dengan lebih kurang 39 bulan sahaja saudara, pilihan raya pasti diadakan. Soalnya dalam tempoh begini singkat, apakah inisiatif baharu yang boleh kita laksanakan untuk mengembalikan sokongan dan memperbetulkan persepsi yang telah dibahaskan usulnya pada peringkat Pemuda dan Wanita? Tentang soal sikap orang muda, pandangan orang muda, bukan saya kata, yang saya sebutkan hari itu berjela-jela lamanya. Selepas itu dibahas dan dipersetujui. Kalau tiada apa-apa inisiatif untuk membawa satu pembaharuan dalam tempoh segera, kita akan berada dalam satu keadaan yang cukup berbahaya. Untuk itu, saya dan Presiden parti, boleh saya sebutkan di sini, di mana beliau sendiri telah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi untuk meluangkan lebih banyak masa untuk parti dalam tempoh tiga tahun yang akan datang. Kita ucapkan terima kasih. Bermakna Perdana Menteri sendiri akan mengorbankan masa selain daripada tugas-tugas rasmi untuk melihat urusan parti, membantu saya dan rakan-rakan yang lain, untuk turun ke setiap kawasan. Sebab itu ucapan saya di peringkat Pemuda dan saya hendak ulang di sini, bahawa kita akan melihat secara lebih rapi dan terperinci dengan menubuhkan apa yang saya sebutkan sebagai Badan Naziran Politik UMNO, di mana saya akan melantik orang yang tidak semestinya daripada kalangan ahli parti yang memegang jawatan, tetapi ada kelayakan diberikan tugas untuk memantau setiap peringkat bahagian. Kalau dahulu kita serahkan kepada Ahli Majlis Tertinggi, sebahagian jadi menteri, timbalan menteri, jadi tak banyak masa.

Tumpuan Agenda Ekonomi Bumiputera

Presiden juga telah berkata dalam ucapan dasar beliau iaitu beliau bukan setakat Perdana Menteri ataupun Presiden UMNO sahaja, tetapi sebagai penyambung lidah warisan perjuangan Melayu bumiputera. Inilah untuk menentukan supaya agenda ekonomi bumiputera terutama yang kita amati memerlukan perhatian dan tumpuan yang lebih istimewa.

Saya telah memberi pandangan dan pendapat saya walaupun sudah ada inisiatif yang telah diambil oleh tidak lain daripada Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Bumiputera, tetapi tumpuan yang lebih patut diberikan kepada sekumpulan besar 40 peratus daripada golongan yang dikatakan di peringkat bawah yang sebahagiannya bumiputera adalah mesti diberikan perhatian dan pembelaan yang seadil-adilnya supaya kedudukan ekonomi bumiputera akan terus dapat dimaju dan dibangunkan. Saya yakin dengan adanya keputusan ini, maka insya-Allah masa depan bumiputera khasnya Melayu akan terus terpelihara.

Penambahbaikan Akta Hasutan 1948

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Presiden sekali lagi, walaupun tanpa disebut ulang-ulang secara peribadi atas keputusan beliau bersetuju untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948, ada pihak menyatakan kenyataan yang telah saya buat awal sedikit daripada keputusan Presiden itu sebagai satu desakan.

Saya katakan itu bukan desakan, itu peranan yang bertanggungjawab untuk mengemukakan apa jua yang saya dapati hasil daripada penemuan dan perbincangan pelbagai pihak supaya Presiden dapat mentakrif dan saya ucapkan syukur kerana dengan keputusan ini maka Akta Hasutan bukan saja terus dikekalkan tapi diperkukuh, dikuatkuasakan, dilaksanakan dengan penambahbaikan yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini. Terima kasih dan tahniah diucapkan. Kita berikan tepukan kepada Presiden kita.

Buluh sembilu rumpunnya keras,

Dibuat orang pancang penanda,

Bangsa Melayu bangsa teras,

Namun adil kepada semua.

Pasang pelita di tepi tangga,

Penerang halaman penyinar cahaya,

Habuan dunia manfaatkan bersama,

Usah kita lupakan lunas agama.

Besi disepuh dibuat senjata,

Di bawa berjuang tiadakan alah,

Melayu teguh berteraskan agama,

Di dunia dan akhirat dikurniakan barakah.

Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments