kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Akta Antidiskriminasi Pekerja jamin kesaksamaan hak

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam ucapan dasar sempena persidangan pergerakan itu dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 ada menyebut akan keperluan diwujudkan Akta Antidiskriminasi Pekerja bagi menangani masalah anak Melayu dan Bumiputera terlepas peluang bekerja di syarikat swasta.
Dalam hal ini katanya, syarat sampingan tidak munasabah yang ditetapkan syarikat swasta dalam iklan kerja kosong seperti 'calon memiliki kebolehan berbahasa  Mandarin akan diberi keutamaan' adalah satu bentuk diskriminasi pihak syarikat swasta terhadap anak Melayu dan Bumiputera dalam penawaran kerja.
Ada kewajaran bagi Khairy membangkitkan isu ini kerana memang tidak dinafikan amalan ini boleh dikesan dan dilihat dalam iklan tawaran kerja syarikat swasta yang dipaparkan di internet atau dalam talian.

Begitupun, mungkin ada pihak di luar sana yang akan mempertikai ucapan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) ini dan menuduh ia sekadar ucapan berbentuk populis untuk meraih perhatian masyarakat khasnya generasi muda atau lebih tepat lagi, graduan universiti.
Malah, ada pihak bimbang dengan ucapan itu kerana ia mungkin akan menyinggung perasaan kaum lain atau syarikat swasta kerana ia dilihat seolah-olah lebih terarah kepada perkauman, pendirian cauvinis atau ultra Melayu.
Diamal Australia, New Zealand
Berhubung cadangan dikemukakan Khairy ini, mungkin kita wajar mencontohi akta antidiskriminasi pekerja seperti dilaksanakan di Australia yang antara lain melarang majikan menjadikan kaum, warna kulit, jantina atau usia sebagai 'isu' dalam urusan mengendalikan pekerja atau bakal pekerja.
Undang-undang antidiskriminasi yang digubal dan dilaksanakan Australia serta New Zealand, walaupun agak rumit untuk diintepretasikan, ia tetap mempunyai kewibawaan bagi membendung gejala diskriminasi terhadap  penduduk negara berkenaan khasnya kaum pribumi atau pendatang yang mendapat taraf kewarganegaraan.
Namun, ada juga pihak mempersoalkan apakah wajar untuk mewujudkan akta antidiskriminasi di negara ini. Apakah undang-undang sedia ada seperti termaktub dalam Perlembagaan tidak mencukupi sehingga satu akta seperti ini perlu digubal dan dilaksana di Malaysia.
Mengikut Perkara 8 (2) Perlembagaan yang menyentuh tajuk Kesamarataan, ia menetapkan diskriminasi tidak dibenarkan terhadap mana-mana warganegara Malaysia atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina, termasuk dalam urusan pelantikan dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah agensi awam atau pentadbiran dan juga apa-apa pekerjaan dikhususkan.
Bagi pengamal undang-undang, apa yang tertulis pada Perlembagaan ini masih boleh diperdebatkan atau dibincangkan kerana ia menzahirkan pelbagai intepretasi yang pelbagai mengikut konteks dan keadaan.
Bela nasib Melayu, Bumiputera
Dalam hal ini, pakar undang-undang, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek menganggap cadangan dikemukakan Khairy itu mempunyai kewajaran dan kewibawaan kerana bukan sahaja ia mengukuhkan lagi Perlembagaan, bahkan membela nasib Melayu serta Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Baginya, undang-undang seperti itu relevan diwujudkan kerana jika tidak, peluang Melayu dan Bumiputera serta kaum lain untuk mendapat peluang pekerjaan di syarikat swasta akan tertutup dan hanya diisi oleh kelompok kaum tertentu yang menguasai bahasa Mandarin sahaja.
Beliau yang juga Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Negara, Majlis Profesor Negara (MPN) menganggap iklan tawaran kerja kosong yang menyelitkan syarat 'calon yang mahir atau menguasai bahasa Mandarin amat diutamakan' memang terang-terangan satu diskriminasi.
"Amalan ini perlu dihentikan tetapi kita tidak mempunyai undang-undang khusus menyekatnya.
"Justeru, apa yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO itu wajar. Ini bukan satu cadangan populis atau antigolongan tertentu di negara ini, tetapi ia tindakan untuk menjamin hak Melayu, Bumiputera dan kaum lain agar mendapat peluang pekerjaan saksama dalam syarikat swasta.
"Jika dalam sektor awam, kerajaan bersifat adil menawarkan peluang pekerjaan, mengapa pula syarikat swasta meletakkan syarat mengutamakan orang mahir bahasa Mandarin jika hendak mengambil bekerja," katanya.
Realitinya, iklan tawaran kerja berunsur diskriminasi memang berlaku di negara ini cuma mungkin bagi mereka yang tidak faham terhadap konsep kemajmukan yang wujud dalam negara, ia adalah satu perbuatan bertentangan dengan semangat dan aspirasi kebangsaan seperti ditetapkan dalam Perkara 152 Perlembagaan.
Akta Antidiskriminasi Pekerja ini hakikatnya mempunyai asas atau sebab kukuh untuk diwujudkan memandangkan ia bukan sahaja menyentuh untung nasib, masa depan dan hak rakyat negara ini, bahkan menjamin keadilan dan kesaksamaan hak seluruh warganegara untuk mendapat peluang pekerjaan, selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan.
Tags: perlembagaan
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments