kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengekalan Akta Hasutan langkah tepat

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekal dan menambah baik Akta Hasutan 1948 menzahirkan satu komitmen jelas tampuk kepimpinan negara dalam menamatkan kemelut yang berlarutan dalam setahun dua ini mengenai cadangan dan cubaan pemansuhan suatu akta penting yang terbukti berjaya memastikan rakyat berbilang kaum, budaya dan agama di negara ini menikmati kestabilan, keharmonian dan kemakmuran hidup sehingga ke hari ini.

Sepanjang setahun dua ini, pihak-pihak yang bersungguh-sungguh mendesak supaya akta ini dihapuskan telah menjadikan isu hak asasi manusia seperti hak-hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat sebagai hujah utama mereka dalam menekan kerajaan supaya pemansuhan akta ini segera dilaksanakan.



Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersama Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat serta sebahagian daripada ahli Wanita UMNO mengangkat tangan sebagai tanda sokongan kepada Akta Hasutan pada Majlis Program Pemahaman Akta Hasutan 1948 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penghujahan berdasarkan alasan-alasan hak asasi manusia yang dikemukakan oleh badan-badan seperti Majlis Peguam, Promotions of Human Rights (Proham), Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan tidak ketinggalan satu unit kecil undang-undang dan Dasar, Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) telah menampakkan bagaimana badan-badan ini lebih cenderung dan selesa untuk mengikut fahaman hak asasi manusia yang berpaksikan nilai-nilai Barat yang sekular dan liberal tanpa agama berbanding dengan nilai-nilai budaya, etika dan agama masyarakat di negara kita sendiri.

Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) yang prihatin terhadap pembinaan fahaman dan amalan hak asasi yang berteraskan nilai-nilai budaya, etika dan agama khususnya dalam konteks masyarakat Malaysia mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri untuk tidak tunduk kepada badan-badan yang enggan menerima hakikat bahawa fahaman dan amalan hak asasi manusia tidaklah universal sepertimana yang disangka mereka.

Sangat ketara sekali keupayaan untuk memformulasi fahaman dan amalan hak asasi manusia yang lebih sesuai dengan jati diri atau identiti, konteks sejarah, budaya, etika, dan agama, juga konteks sosiopolitik negara jelas gagal untuk dijadikan asas pemikiran dan gagasan hak asasi manusia badan-badan tersebut.

Malah badan-badan seperti Majlis Peguam, Proham, GMM dan MKPN saling tidak tumpah seperti burung kakak tua yang mengulang-ulang fahaman dan amalan hak asasi manusia yang mereka dengan dari ‘tuan-tuan’ mereka dari badan-badan hak asasi manusia Barat seperti Amnesty International dan Human Rights Watch.

Seperti yang dijangkakan pengumuman Perdana Menteri mengenai Akta Hasutan ini telah mendapat reaksi negatif dari badan-badan tersebut.

Reaksi ini pasti akan dituruti dengan strategi pendekatan berbentuk name and shame terhadap negara kita melalui badan-badan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Paksi utama usaha melobi mereka ialah di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan beberapa platform lain berkaitan hak asasi manusia di negara-negara Barat.

Centhra dengan ini meminta badan-badan yang memperjuangkan hak asasi manusia berdasarkan acuan dan aspirasi Barat yang sekular dan liberal tanpa agama ini supaya lebih kreatif dan inovatif untuk meneroka dimensi-dimensi baru hak asasi manusia yang tidak dijumpai di Barat dalam soal-soal budaya, etika dan agama.

Falsafah dan perspektif hak asasi manusia semasa yang berpaksi di Geneva, Paris dan New York bukan satu yang mutlak malah de­ngan mendogmatisasikan pelbagai konvensyen dan kovenan hak-hak asasi manusia, misionari-misionari hak-hak asasi manusia Barat telah mengabsahkan kitab-kitab suci agama baharu hak-hak asasi manusia yang Perdana Menteri pernah sebutkan sebagai fenomena ‘humanrightism’ tidak lama dahulu.

Sudah sampai masanya badan-badan hak asasi manusia yang selama ini terpedaya dan terpersona dengan slogan dan retorik hak asasi manusia yang dipropagandakan sebagai ‘universal, objektif dan neutral’ dalam memperjuangkan kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat supaya menjadi lebih kritis dan analitikal dalam meneliti paradigma hak asasi manusia mereka.

Sudah tentu, di dalam konteks Malaysia, kerangka Perlembagaan Persekutuan itu mesti dijadikan rujukan utama di dalam merealisasikan situasi dan pencapaian hak asasi manusia.

Prinsip-prinsip hak asasi manusia yang sering dilaung-laungkan di peringkat global hanya layak dijadikan ikutan selagi mana tidak bercanggah dengan latar belakang dan hakikat sejarah, budaya, etika, dan agama, juga konteks sosio politik negara berdaulat ini.

Dalam era pasca moden yang mencetuskan pelbagai konsep pemikiran kritis seperti konstruksi sosial dan relativism budaya sudah sepatutnya jelas bagi masyarakat dunia di sebelah sini khususnya tentang dominasi dan hegemoni pemikiran dan kehidupan dari koridor-koridor kuasa berpangkalan di Geneva, Paris dan New York bertujuan meneruskan cengkaman tuan-tuan kolonial dunia lama terhadap dunia baharu global.

Adakah badan-badan hak asasi manusia di negara kita benar-benar mengetahui permainan geopolitik dan kuasa atas nama hak-hak asasi manusia ini?

Atau mereka tanpa sedar sekadar menjadi bidak-bidak yang bakal memusnahkan kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia yang kita kecapi selama ini?

Tags: akta
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments