kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perjalanan hidup masih terlalu jauh!

RABU minggu lalu, penuh dalam laman media sosial Facebook (FB) , posting ibu bapa, terutamanya kaum ibu yang bercerita mengenai kejayaan anak-anak mereka mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Berjela-jela panjang status melahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih pada para guru yang telah mendidik anak-anak mereka sehingga berjaya dapat keputusan yang secemerlang itu. Posting juga disertakan gambar anak bersama-sama cikgu-cikgu di sekolah.

Dalam pada itu, ada pula gurauan, mengucapkan tahniah kepada diri sendiri kerana mendapat 5A dalam ujian Penilaian Darjah 5, 20 tahun yang lepas!

Cerita kejayaan anak mereka ini, bukan berakhir pada hari itu , esok lusanya pun dalam FB mereka cerita tentang kejayaan itu lagi. Kali ini posting gambar makan bersama keluarga meraikan kejayaan itu, menunjuk pemberian hadiah gajet yang terkini dari mereka dan macam-macam lagi.

Gaya kegembiraan itu bagaikan kehidupan anaknya sudah benar-benar berjaya. Sedangkan itu baru fasa permulaan dalam kehidupan. Banyak lagi peperiksaan yang lebih besar serta ‘ujian hidup’ mahupun ranjau dan onak berduri yang perlu dilalui dalam menuju kejayaan.

Saya tidak mengatakan bahawa merasa bangga itu salah. Setiap ibu bapa pasti berbangga dengan kejayaan anak-anak mereka. Tetapi jangan terlampau dilihat keterlaluan sehingga ada yang menganggap mereka menunjuk-nunjuk.

Perjalanan hidup anak-anak kecil ini masih terlalu panjang. Ia bukan boleh diukur dengan kejayaan akademik semata-mata. Jangan diberikan gambaran kepada anak-anak bahawa kejayaan akademi itu adalah segala-galanya.

Jangan ditekan-tekankan sangat bahawa mendapat nombor 1 dalam kelas itu penting kerana dapat mengalahkan semua kawan yang ada. Tekanan-tekanan seperti ini kadang-kala mengakibatkan anak-anak itu akhirnya bersikap individualistik dan bagi mereka berjaya dalam pelajaran itulah segala-galanya dan itulah dunia mereka.

Apabila mereka mendapat kurang markah sedikit atau bila sudah bekerja ditegur sedikit oleh majikan mulalah jadi orang yang cukup kecewa, mengurung diri, tidak mahu bercakap dengan orang lain dan macam-macam lagi yang kita nampak macam mengada-ngada. Sebabnya mereka kurang daya tahan pada aspek-aspek yang lain.

Apabila ibu bapa terlalu menekankan perihal akademik tetapi dari segi lain dibiarkan kurang atau kosong, seperti pengisian rohani, kemahiran hidup dan nilai-nilai kemanusiaan lain, akhirnya anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran ini tidak dapat menempuh ujian yang lebih besar dalam hidup.

Sebenarnya, ramai yang tidak mendapat 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah 5 dulu sudah pun hidup kaya-raya dan senang sekarang. Mereka memperbaiki kelemahan dalam peperiksaan lain. Ada yang tidak pandai belajar tetapi mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu mengikut minat mereka yang boleh digilap melalui institusi-institusi kemahiran yang ada di negara ini.

Ada yang minat melukis, pertukangan, bermain alat muzik dan sebagainya yang mereka akhirnya berjaya dan menjadi senang dengan kemahiran yang mereka miliki itu.

Contohnya, kawan saya seorang ini. Dia pemuzik terkenal yang tidak masuk universiti pun, kerja dia main gitar sahaja, tetapi setiap kali dia mendapat job di televisyen atau mengiringi mana-mana konsert secara terbuka atau di hotel-hotel, dalam sekali show saja, kalah gaji sebulan orang yang belajar di universiti.

Memang, semua ibu bapa mahu yang terbaik untuk anak mereka. Tetapi anak-anak juga perlu diberi ruang memilih bidang yang mereka minati kerana mereka yang akan melalui kehidupan mereka sendiri bukan ibu bapa. Tugas kita memberi bimbingan, panduan dan nasihat agar tidak tersilap langkah.

Kepada anak-anak yang memperoleh 5A tahniah diucapkan dan kepada yang tidak, jangan putus asa, dunia belum berakhir! Perjalanan hidup ini masih terlalu jauh.


FAUZIAH AROF Utusan Malaysia Rencana  03 Disember 2014 1:12 AM
Tags: pentaksiran, peperiksaan, upsr
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments