kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia ‘syurga’ sampah?

SIKAP tamak dan bermewah-mewah dengan makanan antara faktor menyumbang kepada penjanaan sisa pepejal di negara ini.

Berdasarkan Kajian Komposisi dan Sisa-sisa Pepejal 2012, jumlah penjanaan sisa pepejal di Malaysia telah mencecah 33,000 tan setiap hari.Daripada jumlah itu, sebanyak 45 peratus (%) atau 14,850 tan merupakan sisa makanan, diikuti sampah seperti plastik (42.9%/14,157 tan) dan lampin pakai buang (12.1%/3,993 tan).

Berdasarkan Kajian Komposisi dan Sisa-sisa Pepejal 2012, jumlah penjanaan sisa pepejal di Malaysia telah mencecah 33,000 tan setiap hari. Daripada jumlah itu, sebanyak 45 peratus (%) atau 14,850 tan merupakan sisa makanan, diikuti sampah seperti plastik (42.9%/14,157 tan) dan lampin pakai buang (12.1%/3,993 tan).




Timbunan sampah sarap termasuk sisa makanan dibuang di tepi Jalan Tiga Off Jalan Chan Sow Lin di Kuala Lumpur hingga mencemarkan pemandangan orang ramai yang melalui jalan tersebut dalam tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini. – utusan/AZLAN HADI ABU BAKAR

Sisa makanan menduduki carta teratas. Bukan fakta mengejutkan kerana sudah menjadi budaya rakyat negara ini gemar menghidangkan pelbagai juadah semasa sesuatu sambutan dan majlis yang kadang kala makanan berlambak dan jika tidak habis, dibuang begitu saja.

Sikap tamak individu boleh dilihat dalam mana-mana majlis yang menyediakan hidangan secara bufet.

Selain rambang mata, nafsu tinggi mendorong seseorang mengambil makanan dalam kuantiti banyak.

Sebahagian mereka ghairah hendak merasa semua hidangan.

Jika ada 20 jenis juadah, maka diisi setiap satu juadah ke dalam pinggan. Sedap dihabiskan, man­akala yang kurang digemari, ditinggalkan.

Bagi yang menggemari satu-satu jenis juadah, mereka akan mengambilnya dalam kuantiti banyak tanpa menghirau jika orang ‘belakang’ dapat atau tidak.

Perkara seperti ini pernah berlaku ketika majlis berbuka puasa tajaan sebuah syarikat tahun ini. Kami yang tiba lewat terkejut apabila lauk utama sudah habis, hanya sayur dan sambal yang tinggal.

Ini kerana ramai yang sampai terdahulu yang saya lihat sebahagian pinggan mereka mempunyai dua atau tiga ketul ayam goreng serta lauk-pauk lain. Patutlah tak cukup!

Di hujung santapan, saya sempat mengerling ke pinggan si polan berkenaan.

Hanya dua ketul ayam dihabiskan manakala seketul ayam dicarik-carik sedikit isinya dan ditinggalkan.

Saya dan kawan-kawan lain yang hanya berlaukkan sayur tadi terkulat-kulat melihat ayam itu.

Sikap tamak seperti inilah membuatkan berlakunya pembaziran. Makanan terbuang begitu sahaja. Sedangkan ramai orang yang susah, mengikat perut kerana tidak mampu membeli makanan.

Bercakap mengenai perkara sama, baru-baru ini saya berkesempatan menghadiri majlis tahlil di sebuah daerah di utara tanah air.

Dikhabarkan ribuan tetamu dijemput, dan sudah tentunya juadah dihidangkan dalam skala besar.

Bagaimanapun hujan lebat sebelum majlis bermula. Hati berasa cuak dan sudah terbayang banyak lambakan makanan jika tetamu tidak datang disebabkan kekangan cuaca.

Telahan saya meleset kerana usai solat Isyak, hujan reda dan tetamu yang datang agak ramai, dianggarkan 70 hingga 80 peratus hadirin yang dijemput datang.

Pastinya tuan rumah menarik nafas lega dan kembali senyum.

Sebagaimana diduga, juadah khas Timur Tengah yang dida­tangkan khas dari Kuala Lumpur menjadi tarikan dan niat tuan rumah hendak beri tetamu makan sedap-sedap itu memang sangat murni.

Begitupun keterujaan tetamu hanya seketika setelah pihak tuan rumah menghentikan pengedaran juadah istimewa tersebut yang telah sedia diisi dalam bekas plastik lutsinar oleh pihak restoran bagi memudahkan tetamu makan di majlis itu mahupun dibawa balik.

Rupa-rupanya sajian khas dari ibu negara itu sudah basi!

Kelam kabut jugalah tuan rumah memasak nasi putih sebagai gantian untuk dimakan bersama lauk-pauk lain.

Bayangkanlah beribu bekas makanan mengandungi sajian istimewa tadi terpaksa dibuang sekali gus menyumbang penambahan sisa pepejal yang dihasilkan Malaysia.

Dua tahun lepas, negara mencatatkan penjanaan sisa pepejal sebanyak 33,000 tan sehari dan ia amat membimbangkan kerana jumlah itu merupakan sasaran kerajaan untuk tahun 2020, tetapi ia dicapai tujuh tahun lebih awal.

“Jumlah itu (33,000 tan sisa pepejal sehari) melebihi jangkaan penghasilan 30,000 tan pada 2020,” memetik kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan sempena sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2013.

Itu fakta dua tahun lepas. Baru-baru ini, saya terdengar dalam sebuah program bual bicara di RTM1, salah seorang tetamu jemputan mengupas isu sama menyatakan penghasilan sisa pepejal negara sudah menjangkau hampir 36,000 tan sehari.

Jika itulah yang berlaku, semua pihak perlu beri perhatian supaya Malaysia tidak mengalami krisis pengurusan sisa pepejal dan akhirnya menjadi negara ‘syurga’ sampah.

Tags: health
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments