kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kehidupan tanpa subsidi

MULAI Isnin lalu, kedua-dua harga petrol dan diesel diapungkan. Dengan keputusan kerajaan untuk mengapungkan harga petrol RON95 dan diesel secara terkawal, maka bermulalah era kehidupan rakyat Malaysia tanpa subsidi minyak.

Sebelum ini kerajaan telah melaksanakan pengapungan terkawal bagi harga petrol RON97. Sudah tentu, keputusan sepenting ini yang dibuat oleh kerajaan akan mendapat pelbagai reaksi dari rakyat. Pada kala ini, harga pasaran minyak dunia semakin rendah. Kesan positifnya sudah tentu dirasai oleh rakyat apabila kerajaan telah menurunkan harga petrol RON95 kepada RM2.26 seliter berbanding RM2.30 seliter sebelum ini. Harga petrol RON97 pula ditetapkan kepada RM2.46 seliter, penurunan sebanyak 9 sen. Bagaimanapun, harga diesel meningkat sebanyak 3 sen seliter kepada RM2.23 seliter.

Dengan pemansuhan subsidi minyak, tidaklah perlu lagi pihak-pihak berkenaan mengulang tayang alasan yang sama untuk merasionalkan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi minyak.

Selepas ini, sebagai rakyat biasa mahu tidak mahu kita akan berhadapan dengan situasi naik turun harga minyak pada setiap bulan. Sememangnya keputusan ini disambut baik oleh penganalisis dan pakar kewangan kerana selama ini subsidi minyak juga disalurkan kepada golongan yang ‘terlebih’ berkemampuan yang mana pendapatan mereka berpuluh-puluh ribu ringgit ke atas sebulan.

Walhal, tujuan asal subsidi minyak untuk membantu golongan bawahan berpendapatan rendah yang mana pada era 20-30 tahun lalu, ramai rakyat kita berpendapatan rendah. Pada masa sekarang, golongan berpendapatan sederhana semakin ramai dan ada di antara mereka sudah berjaya keluar menjadi golongan berpendapatan tinggi. Jadi, adakah subsidi juga perlu diberikan kepada mereka?

Sebelum ini bukan setakat mereka menikmati subsidi minyak, warga asing yang bekerja dan belajar di sini pun menikmati subsidi minyak sedangkan wang untuk menampung subsidi berkenaan adalah wang rakyat Malaysia. Disebabkan penambahan populasi rakyat Malaysia dan warga asing, ditambah pula harga minyak yang tidak semurah dahulu, subsidi minyak yang ditanggung oleh kerajaan meningkat sama sekali.

Peningkatan ini menyebabkan berlakunya herotan dalam pasaran dan akhirnya pasaran tidak mencapai kecekapan sepenuhnya. Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang melaksanakan harga minyak berasaskan harga pasaran. Banyak negara lain yang melaksanakannya. Sebenarnya, apa yang membimbangkan rakyat ialah harga minyak dunia meningkat.

Ada penganalisis kewangan berpendapat harga minyak tidak akan meningkat dalam tempoh dua tahun ini. Ada juga yang berpendapat sebaliknya. Sukar untuk meramal secara tepat harga minyak dunia kerana ia dipengaruhi oleh banyak faktor. Namun jika harga minyak dunia meningkat kerajaan perlu bersedia mengambil tindakan membantu rakyat.

Cuma sebagai rakyat biasa apa yang perlu kita lakukan ialah menyesuaikan diri dengan keadaan semasa ini. Selama ini kita banyak menikmati subsidi sehinggakan sudah terbiasa dengan kehidupan bersubsidi. Ini termasuklah golongan berpendapatan tinggi.

Jadi, untuk membuang mentaliti dan sikap lama sudah tentu memakan masa. Dalam konteks ini, era subsidi ini sewajarnya bukan setakat ditamatkan dalam konteks subsidi petrol dan diesel sahaja tetapi juga meliputi subsidi gas yang selama ini dinikmati oleh sektor tenaga.

Dengan kata lain, bukan setakat rakyat sahaja terpaksa mengharungi kehidupan tanpa subsidi tetapi juga pihak korporat seperti sektor tenaga juga perlu menerima hakikat bahawa mereka perlu beroperasi tanpa mengharapkan sebarang subsidi.

Di pihak kerajaan pula, wang yang selama ini digunakan untuk menanggung subsidi perlu disalurkan sebaik mungkin kepada rakyat yang memerlukan. Wang rakyat ini sewajarnya dioptimumkan untuk kesejahteraan rakyat. Wang rakyat akan mampu dioptimumkan untuk kebaikan rakyat kalau wang yang selama ini digunakan untuk menampung subsidi bersama-sama dengan perolehan kerajaan yang dijangka meningkat melalui pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disalurkan kepada rakyat secara cekap dan berkesan.

Malah, jika digabungkan pula dengan memastikan pembaziran, ketirisan, penyelewengan dan rasuah di tahap minimum, pastinya, kebaikan yang tidak terhingga bakal dirasai oleh rakyat Malaysia.

Dalam konteks wang subsidi, ia sewajarnya disalurkan secara cekap dan berkesan kepada sektor yang lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan. Sudah terbukti, peningkatan taraf hidup rakyat pada masa kini berbanding dahulu disebabkan faktor semakin ramai rakyat berpendidikan tinggi. Semakin ramai rakyat berpendidikan tinggi, semakin banyak idea-idea baharu akan dilaksanakan untuk kemajuan negara. Berpendidikan tinggi ini bukanlah setakat tamat belajar di menara gading tetapi juga bagi yang meminati bidang kemahiran mereka perlu juga diberi peluang seluas-luasnya untuk meningkatkan kemahiran diri.

Kerajaan sewajarnya secara konsisten, menyeluruh dan berusaha bersungguh-sungguh membantu pelajar-pelajar luar bandar agar mereka tidak keciciran dalam mengharungi situasi yang semakin mencabar. Sudah terbukti pelajar-pelajar miskin dan luar bandar mampu mengubah status kehidupan mereka sehingga tergolong sebagai golongan berpendapatan tinggi yang kaya-raya.

Selain pendidikan, sektor kesihatan juga tidak boleh dipandang sepi. Ekonomi negara tidak mampu dilonjakkan ke tahap terbaik, jika ramai pekerja Malaysia yang tidak sihat dan berpenyakit. Kesihatan merupakan teras produktiviti para pekerja. Begitu juga, wang yang sebelum ini digunakan untuk subsidi minyak sewajarnya disalurkan untuk sektor pertanian.

Pertanian berteknologi tinggi diusahakan di seluruh Malaysia dan tidak hanya tertumpu di sesuatu tempat sahaja seperti Cameron Highlands. Dengan ini, dapat menjana pendapatan rakyat, di samping mengurangkan kebergantungan negara terhadap import barangan pertanian yang juga berasaskan harga pasaran yang semakin tidak menentu.

Melihat hakikat ini, semua pihak mempunyai peranan masing-masing. Bukan setakat rakyat sahaja perlu bersedia dan menerima hakikat menjalani kehidupan seharian tanpa subsidi tetapi juga sektor swasta dan kerajaan bersama-sama dengan rakyat merealisasikan paradigma dan sikap baharu sebagai sebuah negara yang tidak lama lagi bakal bergelar negara maju berpendapatan tinggi.

ROHAMI SHAFIE Utusan Malaysia Rencana 03 Disember 2014 1:13 AM ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB),Universiti Utara Malaysia

Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments