kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Terjemahkan tekad presiden umno

KITA tidak tahu apa cabaran negara atau dunia pada 2015 nanti. Namun untuk UMNO, parti hanya ada 38 bulan sahaja lagi apabila memasuki Januari tahun baharu nanti untuk berdepan pilihan raya umum ke-14.

Bagi seorang Presiden UMNO bernama Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau memikul tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menguruskan bajet pembangunan satu hal, mengendalikan parti keramat UMNO yang berusia 68 tahun kepada rakyat dan orang Melayu pula satu perkara lain.

Mentadbir masyarakat majmuk menjadi cabaran bagaimana hendak menguruskannya - sejauh mana membenarkan keterbukaan dan setakat mana perbezaan pendapat diizinkan. Ini termasuklah bagaimana menguruskan media baharu.

Tahun 2014 yang bakal ditinggalkan meninggalkan kepahitan yang mendalam untuk negara. Musibah kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine merupakan dugaan besar bukan sahaja kepada Perdana Menteri, bahkan turut dirasai sendiri oleh rakyat Malaysia dan dunia.

Misteri kehilangan pesawat MH370 pula sehingga kini tidak bertemu jawapannya - membuatkan Perdana Menteri sendiri mencari pelbagai inisiatif bantuan seluruh dunia agar pesawat itu ditemukan.

Dalam era generasi Y dan Internet yang kian meluas, cabaran politik kini sukar untuk dibezakan antara yang benar dan palsu atau baik dengan buruk. Hanya dalam sekelip mata segala kebaikan diputar menjadi kejahatan. Segala kepalsuan pula mampu diputar sebagai kebenaran.

Mulai Januari 2015 juga, atas kesepakatan yang dipersetujui dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang berakhir 29 November lalu, Najib akan lebih kerap meluangkan masa bersama parti yang diketuainya.

Beliau sendiri akan mengorbankan masa selain dari tugas-tugas rasmi Perdana Menteri, meneliti urusan parti serta membantu rakan-rakan lain untuk turun kawasan.

Orang UMNO harus kerja lebih dalam tempoh tiga tahun mendatang ini. Iaitu kesedaran hanya dengan dua peratus sahaja penurunan undi melewati ke bawah paras bahaya menjadikan hanya 103 kawasan milik Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti itu. Kalau 103, kurang 112 kerusi bermakna BN pastinya kalah.

Namun, jika keberhasilan dari kerja keras tadi, naik lima peratus kepada 159 kerusi, dua pertiga yang disasarkan akan tercapai. Cabaran yang didepani Najib lebih getir dengan pelbagai bentuk dugaan luar jangka, ditambah dengan komunikasi yang sukar dibendung dalam kepelbagaian bentuk penyebaran berita dan fitnah.

Ini hakikatnya boleh merencatkan semangat mana-mana pe­­mimpin untuk meneruskan perjuangannya memartabatkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Untuk UMNO, banyak penbaharuan telah dijana oleh Najib. Antaranya memberi kuasa kepada lebih tiga juta ahli UMNO menentukan kepimpinan parti yang terbaik untuk diketengahkan.

Ini secara tidak langsung memberi nilai tambah kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap UMNO berbanding had kuasa memilih kepada hanya 2,500 perwakilan sebelum ini.

Dengan serangan dalaman dan luaran bertali arus menjelang pilihan raya umum ke-13 tempoh hari juga yang tempiasnya menyaksikan kekalahan teruk berulang menimpa parti-parti komponen MCA, MIC dan Gerakan, Najib masih sekurang-kurangnya berjaya mengetuai UMNO meraih 88 kerusi Parlimen daripada 120 kerusi yang ditandingi parti itu. Ia menunjukkan UMNO memperoleh lebih sembilan daripada 79 kerusi yang dimenangi pada PRU-12. Ini mencatat penambahan kerusi 11.4 peratus.

Untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, UMNO menang 244 kerusi, lebih lima daripada 239 DUN yang dimenangi pada 2008. Terdapat peningkatan 30 peratus sokongan pengundi kepada UMNO.

Era pilihan raya kecil pasca PRU-14 di bawah Presiden UMNO itu pula menunjukkan penurunan sokongan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam PRK Balingian sebanyak 33 peratus.

DAP pula berdepan penurunan sokongan sebanyak 27.3 peratus dalam PRK Parlimen Teluk Intan dan di Pengkalan Kubor, memperlihatkan kemerosotan sokongan diterima Pas sebanyak 13.18 peratus.

Ini semua adalah rentetan bahawa meskipun tampak sukar dilaksanakan ke arah menguatkan kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN, namun jika seluruh ahli UMNO pelbagai peringkat meliputi peringkat bahagian, cawangan sehinggalah Majlis Tertinggi secara serius dan penuh komitmen membantu Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak mustahil jika ditangani secara perlahan-lahan akan membuahkan hasil dengan baik.

Perubahan menyeluruh UMNO sedang berlaku. Pemimpin pengasas UMNO sudah mula menghilang akibat ditelan zaman dan usia.Peringkat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pak Lah dan Tengku Razaleigh sudah amat terhad kepada hanya beberapa orang.

Setiap ahli yang hendak menjadi menjadi anggota parti dan kemudian pengundi berdaftar mesti ditauliahkan dengan pengertian dan fahaman apa itu UMNO. Apa sejarahnya? Apa yang telah dicapainya? Apa sumbangan zaman pemimpinnya? Kenapa UMNO boleh survive dan memenangi pilihan raya demi pilihan raya?

Jentera penerangan UMNO Pusat jangan `syok sendiri’ sehingga penerangan tentang UMNO itu tidak disejagatkan pengertiannya demi ummah dan masyarakat bangsa yang dipimpin.

Ahli UMNO jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.7 juta ahli UMNO untuk menang pilihan raya. Jangan lupa, ahli DAP, Pas dan PKR tak lebih 600,000 secara purata tetapi mereka telah memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya berturut-turut. Bilangan sukarelawan parti dan para profesional mereka lebih daripada yang dimiliki UMNO dan BN.

Walaupun ahli mereka sedikit, leadership core mereka di peringkat bawah serba-serbi berkemampuan. Mereka hormat kepada apa kata akar umbi, sehinggakan kata wakil dari Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin ketika membahaskan ucapan dasar Presiden perhimpunan UMNO tempoh hari, ahli pembangkang jaga pemimpin mereka macam nak rak.

“Pemimpin tak betul pun dia bela habis-habisan. Dah keluar video pun dia boleh kata “eh! itu bukan saya, perut saya tak boroi.”

Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri akan terus berdepan cabaran yang rakyat sendiri tidak terjangka apa yang mendatang pada 2015 dan seterusnya.

Tiada gunanya ahli Majlis Tertinggi sehinggalah ke Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden menang pemilihan parti tetapi hilang kuasa memerintah.

Najib tidak boleh dibiarkan keseorangan. Seluruh ahli UMNO perlu sama-sama membantu mendepani cabaran mendatang, sekali gus mendapatkan kembali mandat dua pertiga yang terlepas sudah dua kali.

Bak kata wakil UMNO Negeri Sembilan, Datuk Dr. Awaluddin Said Jumaat lalu: “Jangan kata UMNO ini tenat, jasa UMNO amat besar, tanpa UMNO siapa kita? Di sebalik pelbagai persepsi terhadap UMNO hari ini, kita harus akui kehebatan pemimpin kita.”

ZULKIFLI JALIL Utusan Malaysia Rencana 04 Disember 2014 1:13 AM
Tags: melayu, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments