kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melayu persoal Agenda Melayu?

PENULIS tidak menafikan kemungkinan se­memang­nya ada Melayu yang tahap ke­yakinannya melonjak ting­gi, seakan-akan bahawa mereka tidak perlukan lagi ‘kad Me­layu’ di dalam memperkenalkan diri sendiri. Mungkin ada juga agaknya, ka­langan Melayu elitis yang sudah tidak peduli lagi akan peri pentingnya soal survival Melayu.

Kajian The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia, karya Dr. Muhammed Abdul Khalid.



Apa Lagi Orang Melayu Mahu?

Mereka sedang menikmati laba jutaan ringgit. Saham. debentur. stok. dividen. Yang lebih bernasib baik diberikan tempat sebagai ahli lembaga pengarah beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan menikmati elaun yang berterusan.

Semuanya ini dinikmati kononnya di atas ‘kebijaksanaan’ sendiri dan tidak pernah menggunakan istilah ‘Melayu’ waima sekali. Kata-kata yang keluar dari mulut mereka adakalanya angkuh dan sombong. Adakalanya mereka sendiri yang sinikal dan menganggap perjuangan Melayu itu sudah semakin kurang relevan.

Hari ini, mereka buat-buat bertanya, apakah masih perlu lagi UMNO berteriak dan menjulang-julang niat menjaga kedaulatan dan ketuanan Melayu? Kepada kumpulan kecil ini, mereka sudah melepasi ‘bar’ untuk terus dibantu. Kepedulian mereka akan untung nasib Melayu lain cukup kecil.

Agak penulis, tidak ada pengkaji polisi dan dasar mutakhir ini yang boleh mengenepikan sama sekali dapatan kajian The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia, karya Dr. Muhammed Abdul Khalid.

Inilah realiti Melayu sebenar. Ada dua asas penting yang perlu dilihat secara teliti; jurang perbezaan pendapatan Melayu-bukan Melayu; dan jurang pendapatan sesama Melayu.

Penulis ingin bersangka baik, bahawa pekikan, jeritan, tonasi suara garang dan bersungguh sesetengah perwakilan di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang lalu bukan lagi omong kosong. Janji sudah dimeterai - bahawa semua pihak, baik kepemimpinan mahupun ahli biasa, untuk melihat semula ‘agenda Melayu’ dalam perspektif yang bersungguh.

Ada beberapa perwakilan yang kita boleh anggap ucapan mereka bersungguh merungkai permasalahan politik-ekonomi Melayu dengan kedap dan tuntas. Perwakilan dari Bahagian Merbok, Kedah; perwakilan Pemuda dari Terengganu; perwakilan Wanita dari Cheras - adalah antara yang mengemukakan pandangan terbuka dan tidak berselindung.

Kepada penulis, suara-suara inilah yang memberi harapan kepada pengundi dan orang Melayu. Suara-suara yang tidak takut bercakap di landasan kebenaran, walaupun mungkin akan mendatangkan luka sedikit kepada mereka yang kurang gemar mendengarnya.

Jika dapatan kajian Dr. Muhammed Abdul Khalid mahu dijadikan asas - sudah tentu UMNO dan kerajaan perlu melakukan koreksi. Ini bukan lagi soal ‘ratusan KPI’ yang dibentuk untuk memenuhkan ruang ‘kad laporan prestasi’.

Gegak gempita sekian bilion yang telah dicurahkan kepada parameter ekonomi Melayu - sedangkan kesannya tidak ‘dirasai’ oleh orang Melayu secara keseluruhannya?

Apa Lagi Orang Melayu Mahu?

Kepada penulis, soalan sebenarnya bukanlah ‘Apa lagi orang Melayu mahu?’; tetapi ‘Apa lagi yang UMNO mampu lakukan untuk orang Melayu?’, termasuk melakukan koreksi yang disebutkan di atas. Koreksi kepada dasar yang masih memihak kepada ‘segelintir kecil’ orang Melayu.

UMNO mesti bersungguh memperluas ruang dan peluang untuk lebih ramai Melayu dapat melangkaui sedikit ‘garis’ kesederhanaan dan kemiskinan; dan hidup dengan selesa.

Perlu dilakukan koreksi polisi, agar tekanan ekonomi dapat melihat impaknya kepada ‘mobiliti sosial’ (social mobility) di dalam masyarakat Melayu; baik di desa mahupun di bandar.

Andai UMNO selalu mendendangkan keinginan untuk menjadi lebih ‘inklusif’ secara politik; mungkin pimpinan UMNO juga perlu menggunakan model sama dalam bidang ekonomi. ‘Ekonomi inklusif’ adalah juga perkara yang meniti di bibir dan makalah ekonomi dunia pada ketika ini.

Antara prinsip asas kepada pendekatan ekonomi inklusif adalah:-

n Perencanaan dasar yang benar-benar membantu penciptaan kekayaan (wealth creation) khususnya kepada mereka yang berada di kumpulan terbawah;

n Polisi yang melihat kepada kumpulan masyarakat yang terlepas pandang;

n Memperbanyak data dan statistik tepat mengenai kondisi ekonomi mengikut kaum;

n Pembangunan ekonomi ber­te­raskan komuniti;

Jika UMNO dan kerajaan mampu merubah pendekatan, memperteguh niat ketelusan, memperbaiki disiplin tata kelola kewangan, membuat keputusan yang tidak menyukarkan dan menghimpit kehidupan rakyat; pasti ada ruang untuk UMNO kembali menjadi modal bicara rakyat, tidak kira mereka Melayu di kelompok mana sekalipun.

Kajian United Nations Development Report (UNDP) mungkin boleh menceritakan realiti sebenar ekonomi masyarakat kita. Dapatan kajian bahawa 90 % masyarakat luar bandar; 86 % di bandar tidak mempunyai simpanan memberikan sedikit gambaran. Walaupun dapatan itu dinafikan Bank Negara Malaysia (BNM); tetapi ia tidak bermakna ianya boleh diketepikan begitu sahaja.

Masanya sudah tiba, untuk semua pihak menilai ‘agenda Melayu’, baik politik mahupun ekonomi secara penuh insaf dan sedar. Tidak perlu ‘warnakan’ laporan dengan angka yang gah; tetapi realiti sebenar tidak membayangkan keadaan yang sama.

Kepada Melayu yang punya keyakinan yang ‘super-tinggi’, cubalah renungkan keadaan kumpulan Melayu dan bumiputera yang lain. Jangan terlalu angkuh dan takbur dengan kedudukan sendiri; kerana kita perlukan ‘kekuatan ekonomi’ Melayu-bumiputera yang jauh lebih besar.

Andai mereka sudah terlalu tinggi ‘taraf’ dan ‘martabatnya’; jangan sesekali sinikal dengan perjuangan bangsa. Tak perlu dipersoalkan angka-angka lama, tetapi lihatlah ke hadapan dan fahami cabaran yang bakal mendatang. Canggung rasanya bila ‘Melayu’ sendiri; mempersoal agenda Melayu.

Tags: melayu, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments