kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran menjadi universiti penyelidikan

LIMA universiti di Malaysia iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan sebagai universiti penyelidikan (UP).

Pelbagai tuntutan telah dibuat untuk menyerlahkan lagi UP seperti penerokaan idea baharu, pengujian kaedah inovatif, penerokaan yang dilakukan berdasarkan inisiatif yang intelektual dan pengembangan ilmu yang ke hadapan.



IDRIS Jusoh menerima bingkisan buku dari Naib Canselor UKM, Noor Azlan Ghazali sempena Pameran Universiti Penyelidikan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hari ini, bertempat di Dewan Canselor UKM, universiti ini menjadi tuan rumah untuk menganjurkan Sidang Media dan Pameran Pencapaian Kejayaan Universiti Penyelidikan Siri 5.

Tema `Universiti untuk Komuniti’ memberi penekanan bagaimana penyelidikan di UP telah membawa kepada transformasi dalam bidang sains sosial, transformasi ekonomi, alam sekitar, perubatan dan kesihatan, serta teknologi dan kejuruteraan.

Misi UP adalah untuk menjadi enjin pertumbuhan bagi negara, membuka peluang bagi pelajar dan para sarjana bertukar fikiran. Di sini juga, mereka melakukan penyelidikan dalam suasana yang kondusif yang menyemarakkan eksplorasi dan kreativiti untuk meneroka ilmu dan menjana kekayaan, dan akhirnya meningkat kualiti hidup.

Dalam kata lain, UP berpegang kepada empat tonggak utama yakni menyerlahkan penyelidikan, membina modal insan, menjana pendapatan dan mendekatkan jurang di antara universiti, komuniti dan industri.

Tahun-tahun yang mendatang bakal menyaksikan perubahan pesat keadaan sosial, ekonomi dan politik. Bagaimanakah pendidikan dan penyelidikan universiti yang dijalankan dapat membantu negara yang akan berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi, risiko alam sekitar, perubahan sosial dan kuasa-kuasa lain yang turun naik. Bagaimanakah UP, melalui kepakaran kolektif yang dimilikinya, melalui penyelidikan, dapat membantu Malaysia di dalam konteks persekitaran yang cepat berubah?

UP melalui kurikulum yang dipacu oleh penyelidikan, mesti terus peka dengan keadaan yang menuntut kepekaan kepada keperluan komuniti. Ekosistem penyelidikan di universiti-universiti yang melibatkan pelajar, penyelidik, ketua-ketua industri dan komuniti memastikan bahawa setiap segmen masyarakat bertindak balas terhadap keperluan dalam penyelidikan yang didorong mengikut keperluan semasa atau keperluan khusus mengikut komuniti masing-masing.

Oleh itu, isu-isu seperti kemiskinan bandar, populasi warga emas yang semakin meningkat, pembangunan mampan, teknologi hijau, persetaraan gender, perubahan dalam penggunaan dan pengguna pasaran, toleransi agama dan kepelbagaian budaya adalah sebahagian daripada isu yang mendorong penyelidikan di UP.

Di UKM, umpamanya, Profesor Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid, melalui penyelidikan mengenai kelemahan insurans kesihatan sosial telah membina Sistem Gabungan Kes MY-DRGTM, iaitu alat pembayaran pembekal bertaraf dunia. Sistem ini adalah satu perisian yang berjaya meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan. Perisian ini mengelompokkan semua jenis kes yang dirawat di hospital termasuklah kes akut, sub-akut dan kes kronik.

Perisian ini telah diperkenalkan di 20 negara termasuklah Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina, Bhutan, China, Iran dan Yemen. Sistem ini telah memanfaatkan hampir 300 juta penduduk dunia dan digunapakai lebih 5,000 hospital di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Profesor Madya Dr. Noran Naqiah Mohd. Hairi dari UM membuat kajian mengenai masalah penderaan warga emas. Penganiayaan dan pengabaian warga emas merupakan masalah sosial yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian. Masalah yang disebabkan oleh banyak faktor ini masih boleh dibendung dan diatasi. Mengambil kira keadaan ini, penyelidik ini menjalankan penyelidikan yang memberi fokus kepada masalah penderaan, penganiayaan dan pengabaian warga emas yang dikenali sebagai projek PEACE (Preventing Elder Abuse and Neglect Initiative).

Objektif utama PEACE adalah untuk mengenalpasti, mengolah dan menjalankan intervensi bagi memperkukuhkan keharmonian keluarga dan masyarakat untuk mengatasi isu penderaan dan pengabaian warga emas.

Sementara itu, hasil usaha Profesor Dr. Nazamid Saari dari UPM dengan usahasama selama 2 tahun dengan Qundur AgroFood telah berjaya memperkenalkan produk makanan berasaskan kundur atau secara saintifik dikenali sebagai Benincasa hispida dalam kalangan masyarakat tempatan.

Masalah awal mendapati masyarakat tempatan tidak menyedari akan kewujudan dan kurang sambutan terhadap produk-produk makanan berasaskan buah kundur yang terdapat di pasaran tempatan. Pelbagai penyelidikan berkaitan khasiat buah kundur yang dipercayai mampu mengubati penyakit seperti epilepsi dan darah tinggi ini telah dijalankan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh telah menekankan pentingnya UP bekerjasama dengan pelbagai lapisan komuniti yang berhadapan dengan cabaran dan tuntutan. Kegiatan khidmat masyarakat memang giat dijalankan di kalangan pelajar universiti bersama-sama dengan pengajarnya. Namun, cabaran yang lebih besar menuntut untuk penyelidik universiti kekal relevan dengan membuat kajian yang boleh membantu transformasi komuniti tempatan dan global.

Walaupun universiti berinteraksi dengan masyarakat dalam pelbagai cara, penglibatan universiti-komuniti khusus membayangkan hubungan kerjasama yang membawa kepada perkongsian yang produktif yang menghasilkan hasil yang saling menguntungkan.

Inisiatif penglibatan universiti memerlukan ekosistem yang lestari. Ia melibatkan masyarakat sebagai rakan kongsi tulen dan penyelidikan universiti bermatlamat ‘untuk menangani masalah masyarakat dan memenuhi aspirasi mereka.

Pendekatan kepada penyelidikan boleh menyebabkan pemindahan pengetahuan dan pertukaran maklumat, pengkomersialan harta intelek, penubuhan ‘spin off’ syarikat dan aktiviti usaha sama antara universiti dan rakan-rakan masyarakat.

Apa yang penting, penyelidikan menjanjikan faedah sosial yang mampan. Ada penyelidikan di komuniti yang boleh diukur daripada segi ekonomi.

Namun, banyak juga penyelidikan yang manfaatnya tidak boleh dikira dalam wang ringgit, tetapi pemindahan dan peningkatan ilmu menyumbang kepada kesejahteraan dalam masyarakat.

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments