kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahasa Melayu bahasa ibunda rakyat Malaysia

Bingkisan Editor Pelita Bahasa, keluaran ke-10, 2014 mengutip petikan Dr.S. Nathesan bahawa bahasa Melayu kini sudah menjadi bahasa ibunda rakyat Malaysia.

Natijahnya, sebagai bahasa ibunda seharusnya rakyat Malaysia boleh bertutur, berfikir, dan bermimpi dalam bahasa Melayu.

Namun, penemuan Prof Dr. Teo Kok Seong, 604 peserta kaum Cina dan India peserta pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) daripada 14,000 orang peserta tidak menguasai bahasa Melayu adalah tidak menepati konsep bahasa ibunda.

Seharusnya peserta pelatih PLKN lepasan SPM itu boleh bertutur bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti bahasa ibunda.

Satu kajian holistik harus dilakukan untuk mengesan tahap penguasaan rakyat Malaysia dalam bahasa Melayu.

Penulis pernah terserempak dengan seorang pelajar tingkatan enam (prauniversiti) dengan ibunya berurusan di sebuah pejabat kerajaan.

Pelajar berkenaan tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar, sebaliknya ibu yang mengiringinya menjadi jurubahasa dalam urusan itu.

Si ibu boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu. Situasi itu menimbulkan persoalan, mengapakah generasi muda tidak boleh menguasai bahasa Melayu berbanding dengan generasi ibu mereka?

Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu kini kurang dihayati oleh rakyat Malaysia terutama golongan terpelajar.

Mereka lebih senang menggunakan bahasa Inggeris apabila berhubung dalam situasi santai dan rasmi.

Lebih-lebih lagi persekitaran kita kurang menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.

Kita sering melihat di tempat awam seperti pusat beli belah, perhimpunan, ceramah, dan sebagainya menggunakan bahasa asing sepenuhnya dalam komunikasi, iklan, kain rentang dan sebagainya.

Paling tidak, kita masih melihat pernyataan atau pengumuman, iklan, papan tanda, dan sebagainya menggunakan pelbagai bahasa.

Tidak cukupkah dengan bahasa kebangsaan yang boleh dibaca dan difahami oleh rakyat Malaysia?

Jika pernyataan atau pengumuman itu ditujukan kepada orang asing, cukuplah terjemahan dalam bahasa Inggeris yang secara umum digunakan oleh masyarakat antarabangsa.

Dasar bahasa dalam pendidikan telah jelas. Menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembe­lajaran (PdP) dalam semua mata pelajaran di sekolah menengah, dan kita dapat melihat penubuhan Universiti Kebangsaan yang dirancang berjaya menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar di institusi pengajian tinggi atau IPT.

Namun dasar tersebut telah berubah apabila kita ingin menjadi negara maju dan bersaing di peringkat global.

Maka dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan.

Dasar ini diharapkan dapat meningkatkan pencapaian dan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris.

Dasar ini menunjukkan masyarakat kurang yakin dengan dasar pendidikan kebangsaan dan usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam tempoh yang singkat, dasar ini telah melahirkan generasi yang kurang fasih dalam bahasa Melayu berbanding dengan generasi sebelumnya seperti yang kita lihat contoh pelajar dan ibunya di atas.

Dan kita baru memulakan dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris) melalui PPPM (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia)­ untuk mengatasi dan memperbaiki situasi tersebut.

Seharusnya dasar ini mendapat sokongan seluruh warga Malaysia dalam usaha melahirkan negara maju yang mempunyai identiti kebangsaan.

MD ISHAK A. RAHMAN Ledang, Johor Utusan Malaysia Forum 04 Disember 2014 1:42 AM

Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments