kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

UPSR dan kita

TULISAN ini saya nukilkan bagi tujuan membawa suara alternatif terhadap status-status di Facebook (FB) berkenaan peperiksaan kebangsaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Adik-adik kita yang baru tamat darjah 6 telahpun mendapat keputusan UPSR mereka. Saya memerhati dengan penuh minat terhadap status dan komen-komen yang ditulis di FB berkenaan keputusan UPSR ini.




Saya amat tertarik kepada beberapa komen yang pada pendapat saya wajar diperhalusi segera demi memberikan alternatif yang lebih baik terhadap adik-adik yang kita sayangi itu.

Beberapa komen yang saya perhatikan menonjolkan ciri-ciri “generalization”, “underestimate”, dan “overestimate”.

Rakan-rakan yang saya kasihi,

Setiap nasihat yang ditulis di ruangan FB harus memiliki ciri-ciri kebijaksanaan. FB bukan lagi medan untuk perkara peribadi. FB kini telah menjangkaui fungsi yang bersifat medium awam kerana di situlah manusia bersosial secara alam maya.

Oleh yang demikian, segala apa yang ditulis di FB memberi kesan terhadap orang lain, sama ada disedari atau tidak.

Tatkala keputusan peperiksaan nasional seperti UPSR dikeluarkan, akan timbulnya komen yang bunyinya seakan begini:

(1) “Adik-adik takyah risau. UPSR aja pun.”

(2) “Adik-adik, dulu abang dapat 1A saja, tapi abang sekarang dah ada PhD. Kawan abang dulu yang dapat 5A ada degree aje sekarang.”

(3) “Adik-adik, keputusan cemerlang 5A adik tu tak kemana. Banyak lagi halangan adik akan tempuhi dalam hidup ni.”

(4) “Adik-adik, kalau adik takde dapat A apa-apa subjek pun tak apa. Hidup kita ni bukan dilihat pada gred peperiksaan.”


Anda sebagai pengguna FB pastinya pernah terlihat tulisan-tulisan yang berbunyi seperti di atas. Sekiranya anda menilai semula status seperti ini, apakah anda akan memperbaikinya jika diberikan peluang kedua?

Seperti yang saya utarakan, tulisan di FB mempunyai kesan tersendiri. Paling teruk adalah tulisan ini menimbulkan salah faham yang sepatutnya boleh dielakkan.

Untuk itu, saya ingin berhujah bahawa tulisan-tulisan seperti di FB yang ditulis di atas wajar dilihat semula atas beberapa sebab:

(1) UPSR merupakan peperiksaan akhir bagi murid sekolah rendah. Jika dalam sistem, kalau hendak masuk sekolah yang bagus perlu adanya keputusan UPSR yang bagus. Jadi, UPSR adalah ukuran penting melihat perjalanan awal seseorang insan di Malaysia.

(2) Dunia hari ini tidak seperti dunia kita dahulu. Dunia sekarang jauh lebih kompetitif berbanding dahulu. Mahu tidak mahu, adik-adik kita terpaksa bersaing untuk mendapat gred yang baik dalam UPSR.

(3) Sekiranya kita beranggapan UPSR tidak penting, ia nyata memberikan mesej yang salah kepada adik-adik yang bakal menghadapi UPSR tahun depan. Salah faham terjadi tatkala ada nasihat yang diberikan kepada adik-adik ini bahawa UPSR hanya sekadar peperiksaan biasa yang tidak menentukan perjalanan hidup seseorang murid di Malaysia.

(4) Pendapat bahawa jika kita mendapat hanya 1A dalam UPSR dahulu dan kini sudah mempunyai master atau PhD dikira sebagai satu bentuk kesimpulan yang lemah. Disebabkan kebolehan murid yang berbeza-beza, situasi anda dan situasi adik-adik itu tidak akan sama. Nasib yang berlainan boleh terjadi kepada mereka kerana nasib mereka mungkin tidak sebaik anda.

(5) Peperiksaan hanyalah satu cara untuk melihat kemampuan murid. Perkara yang lebih utama bagi murid sekolah rendah adalah mendapatkan kemahiran-kemahiran asas 4M: Membaca, mengira, menulis, dan menaakul (lihat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013). Sekiranya murid mendapat 1A atau tiada A itu kerana tidak menguasai 4M diatas, maka isu 4M adalah lebih mustahak diketengahkan berbanding keputusan UPSR.

Ya. Penilaian sekolah rendah harus melihat secara mendalam perihal 4M itu. Jika murid menguasai 4M, itu bererti beliau sedikit sebanyak akan menguasai ilmu penulisan Bahasa Melayu, penulisan Bahasa Inggeris, pengiraan Matematik, dan juga penggunaan akal logik bagi menjawab persoalan Sains. Nah. Bukankah subjek-subjek UPSR itu hakikatnya dan seharusnya mengukur keupayaan 4M itu?

Inilah hujah saya yang terkuat untuk menolak pandangan bahawa UPSR tidak mustahak. Mereka yang beranggapan UPSR hanya peperiksaan biasa harus memikir kembali pencapaian diri mereka dan sejauh mana mereka menguasai 4M itu sendiri.

Saya secara peribadi lebih suka untuk membicarakan persoalan dan penguasaan 4M berbanding keputusan UPSR. Pada hemat saya, penguasaan 4M yang mantap akan memberikan murid sekolah rendah bekalan hidup yang baik kerana pendidikan di sekolah seharusnya menyumbang kepada kesejahteraan hidup.

Fokuslah kepada pembinaan dan penguasaan 4M itu berbanding keputusan UPSR. Penguasaan 4M yang lebih tinggi sememangnya amat baik untuk adik-adik kita.

Akhir kata, tulisan ini sekali lagi bertujuan untuk mengemukakan alternatif kepada tulisan-tulisan di FB mengenai keputusan UPSR.

Andai anda tidak setuju dengan pendapat saya, tiada masalah untuk membuat ruang perbincangan.Pintu dialog sentiasa terbuka untuk kita semua. Penulis merupakan pelajar PhD Malaysia di University of Minnesota, Amerika Syarikat. Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.
Tags: assessment, pentaksiran, upsr
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments