kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Orang Melayu sendiri rendahkan bahasa

KUALA LUMPUR - Bahasa Melayu pernah melalui zaman kegemilangannya sebagai ‘Lingua Franca di rantau ini pada suatu masa dahulu.

Hakikatnya itu semua hanya tinggal bacaan dalam kitab-kitab sejarah sahaja.

Bahasa Melayu bukan lagi menjadi bahasa serantau, malah bahasa yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan itu dilihat lemah untuk menjadi wahana penyatuan rakyat Malaysia sendiri.

Bahasa Jiwa Bangsa



Rais Yatim
Sesuatu yang membimbangkan ialah kecenderungan terhadap Bahasa Inggeris oleh orang Melayu sendiri hingga meletakkan Bahasa Melayu seolah-olah sebagai bahasa kelas kedua.

"Kita terlalu bertolak ansur sehingga Bahasa Melayu sering diensot dan diansur. Kadang-kadang kita sendiri yang ensotkan.

"Ada 'kawasan' tetapi ditukar saja kepada 'presint' seperti di Putrajaya.

Ada 'barangan terpakai' kita jadikan barang 'sekenhend' seperti dalam Akta Barang Sekenhend 1946," demikian luahan Tan Sri Dr Rais Yatim kepada Bernama ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu baru-baru ini.

Mantan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata, berdasarkan pemerhatiannya kebanyakan keluarga Melayu kini lebih gemar berbual dalam Bahasa Inggeris dengan anak.

"Golongan bukan Melayu mahu bercakap Melayu tetapi apabila melihat Melayu sendiri bertutur Bahasa Inggeris mereka mungkin tumpul semangat. Akhirnya di Malaysia kalau tak tahupun bercakap Melayu sudah tidak menjadi apa lagi.

Mereka boleh berjaya hidup di pekan dan bandar dengan mengguna Bahasa Inggeris, Kantonis atau Mandarin," kata tokoh politik itu.

Beliau, yang kini Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, berkata, kebolehan menguasai pelbagai bahasa memang perlu, terutama dalam bidang diplomasi dan untuk penambahan ilmu, namun itu tidak bermakna keupayaan bahasa sendiri dipandang sepi dan terus diketepikan.

Bagaimanapun bagi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Awang Sariyan, usaha memartabat Bahasa Melayu bukanlah tanggungjawab bangsa Melayu sahaja.

"Saya katakan Bahasa Melayu bukan milik orang Melayu. Semua warganegara, pemilik Mykad dan Mykid, itulah pemilik Bahasa Melayu," katanya pada majlis yang sama.

Tambahnya beban memperjuangkan Bahasa Melayu itu juga tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada DBP yang bertindak sebagai sebuah jabatan kerajaan.

Yang Indah Itu Bahasa

Walaupun mungkin dipandang rendah oleh rakyat Malaysia sendiri, Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai daya tarikan tersendiri kepada orang asing.

Ini terbukti apabila muncul personaliti internet dari Amerika Syarikat (USA) seperti Ben Bradshaw selain gandingan rakan baik yang menggelarkan diri mereka 'Belacan dan Paku', yang berkongsi video memaparkan mereka berbahasa Melayu di laman Youtube.

Kecenderungan untuk menjadi individu yang unik membuatkan Bradshaw, atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Ben, memilih untuk mempelajari Bahasa Melayu.

"Ramai orang di USA suka belajar bahasa Sepanyol, bahasa Perancis dan bahasa lain dari Eropah. Bagi saya, saya suka menjadi orang yang unik dan berbeza daripada majoriti.

"Saya tahu bahawa ramai orang berbahasa Melayu, (kalau termasuk bahasa Indonesia), tetapi tidak ramai orang asing dapat bercakap dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Jadi, saya memilih untuk belajar bahasa ini supaya saya dalam minoriti, bukan majoriti. Ini membantu saya untuk menjadi seorang yang unik dan berbeza daripada orang ramai," jelas beliau.

Pemuda berasal dari Salt Lake City, Utah itu, merasakan Bahasa Melayu lebih mudah dipelajari berbanding bahasa lain kerana hukum tatabahasa, sebutan, dan cara bercakap yang terus kepada maksud atau 'direct'.

"Dalam Bahasa Inggeris, (bagi saya, Bahasa Inggeris Amerika), kami selalunya menggunakan peribahasa dan frasa yang mempunyai makna yang tidak literal dan sering menggunakan kiasan dalam perbualan seharian.

"Bahasa Melayu, pada pengalaman saya, tidak begitu. Kita terus menyatakan erti yang dimaksudkan tanpa menggunakan perkataan yang berbunga-bunga," kata guru Bahasa Inggeris itu yang kini mula berjinak-jinak dengan Bahasa Thailand pula.

Kepimpinan Melalui Teladan

Jika mengikut Penyata Razak 1956, Bahasa Melayu sudah diwartakan sebagai bahasa utama di negara ini. Namun, malangnya, usaha untuk mengamalkan falsafah penyata itu tidak konsisten atau disifatkan Awang sebagai 'ada pasang surutnya'.

"Langkah bersepadu dalam mewujudkan kesedaran tentang peri pentingnya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perlulah dijalankan oleh semua pihak, khususnya para pemimpin dari pimpinan politik, badan kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah dan korporat.

"Dengan pimpinan baru Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan) diharapkan dapat mengembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama," katanya.

Seperti Awang, Rais turut menekankan kepentingan prinsip 'kepimpinan melalui teladan' dalam usaha menghapuskan layanan kelas kedua atau 'double standard' kepada Bahasa Melayu.

"Ini tidak ada mantra yang mudah. Ramuan yang harus kita laksanakan ialah jati diri. Pengajaran diksi harus kita buat, pengajaran pertuturan mesti kita buat, dan para pemimpin atau saya panggil penghulu-penghulu kita sendiri harus berani berucap dalam Bahasa Melayu dengan baik.

"Jadi kalau penghulu-penghulu kita pun segan bertutur dalam Bahasa Melayu maka lama-kelamaan imej dan penyampaian tidak menjadi realiti. Justeru kita anjurkan para pemimpin pun harus bersama-sama dengan rakyat memajukan program bahasa," kata Rais lagi.

Sementara itu, Awang percaya usaha berterusan yang dijalankan saban tahun oleh DBP selama ini, seperti kempen Bulan Bahasa Kebangsaan dan Audit Bahasa membuahkan hasil.

"Meskipun masih banyak ruang untuk penambahbaikan, saya tetap yakin dengan Audit Bahasa. Lonjakan kesedaran dan semangat itu nampaknya sudah ada kesan.

Berbondong-bondong orang minta kursus Bahasa Melayu sekarang ini di DBP," katanya.

Antara langkah lain dijalankan DBP bagi menaikkan Bahasa Melayu ialah penarafan bintang untuk kerajaan tempatan bagi menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu yang betul di tempat awam, mewujudkan Ujian Standard Bahasa Melayu bagi penutur asing, dan memperkemas usahasama dengan pelbagai pihak untuk mengantarabangsa Bahasa Melayu. - Bernama
Tags: bahasa, melayu
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments