kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tangani isu PATI di Sabah secara bijaksana

Jika anda ke Sabah, pasti anda akan terserempak dengan begitu banyak warga asing, terutamanya dari Filipina dan Indonesia. Sebahagian daripada mereka sudah berjaya menyebatikan diri ke dalam masyarakat tempatan sehingga sukar untuk mengenal pasti sama ada mereka orang tempatan atau asing. Lebih-lebih lagi wajah dan gaya pertuturan mereka seperti orang Sabah. Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan isu kewarganegaraan di Sabah sudah menjadi duri dalam daging dan membengkak sehingga bernanah. Isu ini perlu ditangani dengan bijaksna dan kesungguhan politik yang tinggi. Kita tidak boleh menyoroknya di bawah karpet atau berpura-pura ia tidak wujud. Sebab, lagi lama masalah ini kita biarkan, lagi mudarat untuk masa depan Sabah dan negara ini. Orang Sabah perlu dibela.

Paparan gambar sebagai contoh sahaja ... bukan produk ni yang di maksudkan ... Sumber: google images

Kebanjiran PATI di Sabah bukan saja boleh menimbulkan masalah dari segi kedaulatan negara pada jangka panjang, tetapi boleh mencetuskan masalah sosial, politik, ekonomi dan keselamatan. Ia boleh menjadi bom jangka yang bakal meledak pada bila-bila masa. Penduduk Sabah hanya 651,304 orang pada tahun 1970, dan meningkat kepada 929,299 sedekad kemudian. Hanya dalam tempoh dua dekad selepas 1980, penduduk negeri itu naik 1.5 juta, dan mencecah 2,468,246 menjelang tahun tahun 2000. Dalam tempoh tiga dekad, antara tahun 1970-2000, mengikut laporan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja mengenai pendatang asing, peningkatan penduduk Sabah adalah 301 peratus, berbanding Sarawak 106 peratus, dengan peningkatan terbesar sebanyak 78 peratus pada tahun 1991. Media melaporkan sejak tahun 2010, jumlah itu mencecah 3.12 juta, dengan rakyat asing meningkat sebanyak 27 peratus atau 889,799 orang.

Perlu tindakan segera

Tindakan segera dan pragmatik perlu dilakukan agar segala usaha penyiasatan, tidak sia-sia. Syor yang terkandung dalam laporan RCI agar ditubuhkan sekretariat kekal bagi mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah perlu disegerakan.

Mengapakah kita begitu mudah membiarkan rakyat asing memasuki dan membolosi negara ini, dan membiarkan mereka terus menetap sebagai pendatang tanpa izin? Berapa kalikah kita perlu mengadakan operasi pemutihan? Di sebalik isu pendatang asing dan memberi kewarganegaraan kepada mereka, isu pekerja asing juga tidak boleh diambil mudah. Mengikut angka kerajaan, sebanyak 1.58 juta pekerja asing berdaftar untuk bekerja di negara ini sehingga Julai lalu. Jumlah pekerja asing tanpa izin di negara ini dikatakan dalam lingkungan antara 480,000 hingga sejuta orang, terutama dalam sektor pembinaan, perladangan, dan pembuatan. Yang memburukkan keadaan adalah apabila dikatakan dua daripada sepuluh warga asing yang memasuki negara ini secara sah, tidak keluar semula.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang didapati bersekongkol atau terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan kuasa dan rasuah sehingga golongan terbabit mudah memasuki negara ini, seterusnya mendapat kad pengenalan, sijil beranak serta dokumen rasmi lain. Kita tidak harus pandang bulu jika mahu masalah ini dapat ditangani dengan berkesan.

Memang diakui bahawa pihak imigresen telah mengambil tindakan tertentu terhadap golongan PATI. Misalnya, 446,173 orang pelarian dan pendatang tanpa izin di Sabah telah diusir ke negara masing-masing sejak tahun 1990 sehingga tahun 2012. Sementara itu, kehadiran golongan tanpa sijil dan dokumen rasmi lain turut menimbulkan masalah, terutama mereka yang berkahwin dengan rakyat Sabah. Masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri berlaku bukan saja di Sabah, tetapi juga di Sarawak, khususnya dalam kalangan mereka yang tinggal jauh di pedalaman. Ketiadaan dokumen berkenaan menyukarkan mereka untuk hidup normal, termasuk menikmati hak sebagai warganegara.

Penguat kuasa usah 'rabun mata'

Kelihatannya, segala usaha kita selama ini, bagai mencurahkan air ke daun keladi. Persoalannya, berapa orang majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin, dikenakan hukuman setimpal? Berapa orangkah warga asing berkenaan yang telah disebat dengan rotan? Apakah yang tindakan yang telah diambil terhadap pegawai penguat kuasa yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa? Pegawai penguat kuasa dan mereka yang bekerja di barisan depan, perlu mempunyai integiriti yang tinggi. Mereka tidak harus rabun mata. Kita tidak boleh terus membiarkan gejala harapkan pegar, pegar makan padi, berterusan.

Kita perlu pertahankan kedaulatan negara, dan beri jaminan bahawa negara ini selamat daripada sebarang bentuk ancaman. Kita tentu tidak mahu pisang berbuah dua kali. Biar tragedi di Lahad Datu menjadi pengajaran berguna kepada kita semua. Yang penting, negara ini tidak mudah dibolosi dan didominasi warga asing tidak sah. Duri dalam daging di Sabah perlu segera dicabut.

Tags: pati
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments