kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

CEO paling sesuai untuk MAS baharu?

Perancangan pemulihan Penerbangan Malaysia (MAS) kena bermula Januari tahun depan. Kalau hen­dak membuka buku baharu, eloklah MAS dan rakyat Malaysia melupakan perkara yang lepas-lepas. Jadikan penga­laman pahit sebagai panduan dan jalan untuk penam­bah­baikan.

Orang Malaysia bodoh tak ....


Christoph R Mueller

Mengambil barakah hari Ju­ma­at (5 Disember 2014), Kha­­zanah Nasional Bhd., meng­­umumkan pe­­lantikan Chris­toph R Mueller se­bagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo) yang baharu.

Mueller yang kini ialah CEO Aer Lingus Plc (Aer Lingus), syarikat penerbangan kebangsaan Ireland, akan dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif MAS dan CEO MAS NewCo berkuat kuasa 1 Ja­nua­ri 2015. Namun kontrak Muel­ler sebagai CEO Aer Lingus akan ber­akhir 1 Mei 2015 dan beliau di­jangka dapat menyertai MAS NewCo paling awal 1 Mac dan paling lewat sebelum 1 Mei 2015.

Pelantikan Muller ini seiring ran­cangan pemulihan 12 perkara untuk membolehkan MAS kembali untung dalam tempoh tiga tahun selepas di­ke­luarkan daripada senarai­an awam Bursa Malaysia hujung tahun ini.

Muller sudah banyak pengalaman membangunkan Aer Lingus. Oleh demikian beliau difikirkan orang yang paling sesuai mengurus keadaan MAS sekarang.

Aer Lingus dahulu turut menghadapi masalah besar se­­bagai pembawa bendera negara Ireland, sama dengan pe­­ra­nan MAS. Ketika itu Aer Lingus sebuah syarikat pener­bangan yang tidak menguntungkan, peraturan kerja yang terbatas, persaingan daripada penerbangan tambang mu­rah Ryan Air (seperti Air Asia di negara ini) dan lain-lain.

Aer Lingus memang nazak dengan nilai saham di pasaran merosot, tidak banyak perbezaan yang dialami oleh MAS tetapi ditambah pula tragedi MH 370 dan MH 17.

Khazanah sudah melaksanakan carian dan penilaian menyeluruh calon tempatan dan antarabangsa daripada ka­langan peserta industri penerbangan dan di luar bidang itu.

Jadi yang dikenal pasti sesuai dan layak sebagai CEO ataupun “doktor” yang boleh merawat MAS ialah orang yang telah melalui pengalaman yang sama. Muller berjaya mengembalikan keuntungan kepada Aer Lingus dan ber­da­sarkan kebolehan itu beliau diharap mampu untuk membawa kejayaan kepada MAS yang baharu pula.

Bakat terbaik

Kita kena percaya pada pelantikan beliau itu. Se­ba­gaimana kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah pen­ting kita mempunyai bakat terbaik untuk mem­bantu me­ma­cu kejayaan penyusunan semula itu, mengembalikan ke­untungan dan melatih rakyat Malaysia untuk mengambil alih teraju kepimpinan syarikat penerbangan ini pada masa depan.

“Kerajaan komited untuk memastikan kelancaran pe­nyu­sunan semula MAS hingga akhirnya ia meraih kejayaan,” kata Najib.

Kalau diteliti kelayakan Muller, beliau memang dianggap se­bagai “Mr. Turnaround” untuk industri penerbangan. Be­­liau warganegara Jerman, berpengalaman lebih 25 ta­hun dalam industri ini dan telah berkhidmat dengan Aer Lingus sejak 2009. Secara keseluruhan, beliau mempunyai pengalaman selama 10 tahun sebagai CEO syarikat pener­bangan.

Beliau mempunyai rekod hebat dalam pemulihan dan transformasi industri penerbangan seperti yang di­buk­ti­kannya menerusi keupayaan dan perancangan stra­tegiknya hingga dapat memulihkan kerugian Aer Lingus dan kembali untung dalam tempoh setahun, di tengah-tengah penyusutan industri penerbangan Ireland dan kesuraman pasaran Eropah.

Di bawah kepimpinan beliau, Aer Lingus meneroka pa­saran dan model perniagaan baharu hingga dapat menempatkan diri dalam pasaran dengan model perniagaan-kepada-pengguna, yang mana 90 peratus sistem pengedaran secara dalam talian.

Kerjaya Mueller dalam bidang penerbangan bermula dengan Lufthansa sebelum berpindah dan menjawat jawatan Ketua Pegawai Operasi Sabena SA dan kemudian menjadi CEO. Beliau kemudian menjawat sebagai Pengerusi Delta Air Transport (DAT) yang kemudian dijual kepada pelabur persendirian dan kini dikenali Brussels Airlines.

Tanggungjawab Muller bukan mudah. Indeks Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapainya ialah membawa MAS kembali menguntungkan, memindahkan ilmu dan membimbing penggantinya daripada kalangan anak tempatan.

Polemik pelantikan CEO warga asing dalam syarikat tempatan sepatutnya diletak ke tepi dahulu. Isu yang utama ialah menyelamatkan sebuah syarikat yang menjadi lambang atau ikon kepada negara ini.

Kita ambil contoh pengeluar kereta Jepun, Nissan yang menjadi kebanggaan Negara Matahari Terbit itu. Apabila jualan dan pasaran saham Nissan menurun, syarikat itu ‘mengupah’ orang yang terbaik. Sekarang Nissan mampu meningkatkan sahamnya, dan kembali menguntungkan, malah Carlos Ghosn sebagai Pengerusi dan CEO Nissan di Jepun masih bersama dengan syarikat itu. Pada masa kini, ahli perniagaan kelahiran Brazil itu juga ialah Pengerusi dan CEO untuk Renault yang berpangkalan di Paris dan Pengerusi pembuat kenderaan Rusia, AvtoVAZ.

Contoh lain ialah Moten Lundal, warga Norway yang masih menjadi CEO Maxis Communications, syarikat telekomunikasi Malaysia yang pegangan majoriti saham syarikat itu ialah bilionaire Ananda Krishnan. Lundal pernah menjadi CEO untuk DiGi dengan mengubah syarikat Telco terkecil di Malaysia itu menjadi antara segmen pasaran prabayar terbesar di negara ini.

Apa yang mustahak sekarang terletak kepada warga kerja MAS. Dahulu mereka “bising” mempertikai ke­mam­puan anak tempatan untuk menerajui syarikat pe­nerbangan ini, kini mereka sudah mendapat ketua yang terbaik dan bertaraf dunia, jadi berilah kerjasama. Jangan asyik cari salah. Ingatlah pasti ada pembaharuan dari se­gi amalan bekerja dan mengurus syarikat daripada ketua yang baharu, hormatilah beliau dan teruskan beri kerjasama demi kelangsungan hidup MAS.

Tags: mas, melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments