kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rahsia kejayaan tokoh perbankan

BUKU ini adalah biografi tokoh perbankan, Tan Sri Azman Hashim, 75, yang kini menjawat jawatan Pengerusi Kumpulan AmBank. Walaupun terkenal kerana memajukan Kumpulan AmBank, banyak lagi kejayaan beliau yang dibesarkan di Setapak dan Kampung Baru, Kuala Lumpur yang tidak diketahui ramai.

Penulis dalam pendahuluan buku berkenaan, menyifatkan Azman sebagai usahawan perbankan yang mempunyai ciri-ciri sebagai pengurus bank profesional dan ahli perniagaan berani.

Walaupun berstatus bilionair, tokoh berkelulusan bidang perakaunan dari Australia berkenaan mengamalkan cara hidup sederhana termasuk tinggal di rumah sama yang dibinanya lebih 30 tahun lalu.




Beliau juga seorang pendiam dan tidak sukakan publisiti. Penerbitan biografi adalah satu peluang yang jarang diperoleh oleh orang ramai bagi mengetahui rahsia di sebalik kejayaan beliau yang dikenali dengan gaya pengurusan tersendiri.

Satu lagi sifat beliau ialah sentiasa menegaskan segala kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada kerja berkumpulan dan bukan dirinya seorang sahaja.

Antara faktor kejayaan beliau adalah sikap keyakinan diri tinggi yang ditonjolkan sejak muda lagi termasuk menceburi sektor perbankan yang pada satu waktu dahulu dikuasai bukan Melayu.

Beliau antara segelintir individu dari Tanah Melayu yang berjaya lulus sebagai akauntan berkanun sebelum berusia 21 tahun. Berita mengenai kejayaannya telah disiarkan dalam akhbar New Straits Times pada 1960.

Azman yang mempunyai darah campuran Jawa daripada sebelah ibu dan Jepun daripada nenek sebelah bapa ini mewakili segelintir bumiputera yang sanggup menanggung risiko bergiat dalam bidang berkenaan berbanding orang Melayu lain yang memilih jalan selamat untuk berkhidmat dengan kerajaan.

Sikap tidak takutkan cabaran dan tidak mudah mengalah berpunca kerana beliau dibesarkan bersama-sama 12 adik-beradik yang saling bersaing antara satu sama lain.

Anak ketiga dalam keluarga itu bercita-cita besar sejak kecil dan pernah ketika berusia enam tahun pada 1945 terserempak dengan taikun, Low Yat dengan kereta mewahnya, lalu terus terpacul ungkapan: “Saya mahu kereta seperti itu.”

Sifat tidak mudah mengalah itu juga berpunca kerana beliau sentiasa berpegang kepada prinsip: “Jika kamu tidak mendapat apa yang dimahu, kamu ditakdirkan untuk mendapat sesuatu yang lebih baik.”

Prinsip itulah yang dipegangnya apabila tidak berjaya memiliki Kwong Yik Bank yang kemudiannya ditebus semula dengan mengambil alih AmBank mulai 1982.

Kerana sikap tidak takutkan cabaran, beliau terus melamar bakal isteri yang mempunyai status jauh berbeza iaitu kerabat diraja Negeri Sembilan, Tunku Arishah Tunku Maamor hanya setelah dua setengah bulan berkenalan.

Tunku Arishah ialah cucunda kepada Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad. Azman pula daripada keluarga penjawat awam. Bapanya, Hashim Yusof pernah berkhidmat dengan Lembaga Letrik Negara (LLN) manakala ibunya, Zabedah Shahid ialah seorang guru besar.

Satu lagi sifat beliau ialah tidak suka membuang masa dan mahukan segala sesuatu dilakukan dengan pantas jika peluang sudah berada di depan mata.

Sikap mementingkan masa menyebabkan beliau yang ketika itu berusia 50 tahun tetap menguruskan AmBank dari katil hospital setelah terlibat dalam kemalangan kereta pada 1989.

Antara punca lain kejayaan membangun AmBank kerana sifat Azman yang kuat bekerja. Paling awal beliau pulang ke rumah adalah pada pukul 7.30 malam.

Rutin itu jarang berlaku kerana beliau mempunyai banyak acara yang perlu dihadiri pada waktu malam yang selalunya beliau akan pergi terus dari pejabatnya.

Beliau tidak pernah mengeluh walaupun perlu bekerja sehingga lewat malam kerana sentiasa berpegang kepada prinsip jika seorang itu menggemari kerja yang dilakukan, dia tidak akan ada perasaan tidak senang hati.

Azman sentiasa berusaha menjadikan pekerja seronok untuk bekerja dengan bank berkenaan dan bagi mewujudkan suasana ceria beliau telah mendapatkan khidmat kartunis Lat untuk melakarkan segala gelagat pekerja dan aktiviti bank berkenaan.

Sebenarnya banyak lagi rahsia kejayaan tokoh ini yang hanya boleh diketahui dengan membaca buku berkenaan, antaranya bagaimana beliau berupaya mengambil alih sebuah bank dengan cara bersaing di pasaran terbuka.

Beliau antara tokoh yang berjaya tanpa mengharapkan sokongan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam interviu penulis dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan Azman sebagai individu yang perlu dicontohi oleh semua orang Melayu.

Menurut Dr. Mahathir: “Azman membuktikan jika orang Melayu meletakkan matlamat untuk melakukan sesuatu dan berusaha bersungguh-sungguh, mereka boleh berjaya.”

Tags: tokoh
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments