kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Demi kedaulatan dan keselamatan

SESEORANG presiden atau perdana menteri adalah ketua eksekutif keselamat­an nasional. Mereka bertanggungjawab memelihara kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan rakyat serta mempertahankan keselamatan dan kelangsungan negara. Fungsi ini termaktub dalam pelbagai karya keselamatan, cabang utama Pengajian Hubungan Antarabangsa.

Fungsi di atas merangkumi negara maju dan membangun. Antara huraiannya adalah dalam tulisan R.D. McLaurin (1988), William W. Newmann (2001), Sam C. Sarkesian, John Allen Williams & Stephen J. Cimbala (2008), Stephen Lobell (2009) serta Roger Z. George & Harvey Rishikof (2011).

Dalam konteks ini, kuasa Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri untuk memelihara keselamatan nasional Malaysia adalah setaraf dengan kuasa Pre­siden Barack Obama untuk memelihara keselamatan nasional Amerika Syarikat (AS), walaupun AS global superpower atau adikuasa sejagat.

Seseorang perdana menteri atau presiden memainkan fungsi di atas bersumberkan konsep kedaulatan. Menurut David Held & Anthony McGrew (1993), kedaulatan adalah konsep undang-undang yang didefinisikan dalam sistem negara pasca Westphalia.

Konsep ini melegitimasi atau mengabsahkan kewujudan sesebuah negara, monopolinya terhadap kegunaan kekerasan, menentukan haknya untuk membentuk dan melaksanakan pelbagai undang-undang, peraturan, tatacara, dan dasar-dasar keselamatannya dan untuk mencorakkan hubungannya dengan negara-negara lain di dalam sistem antarabangsa.

Konsep kedaulatan juga merujuk kepada kuasa mutlak negara untuk menguruskan hal ehwal dalamannya dan untuk menangkis sebarang campur tangan luar terhadap hal ehwal kenegaraannya.

Ini sebabnya Barry Buzan (1991) menyatakan, kedaulatan bermaksud self-government atau kerajaan sendiri yang membolehkan negara menjadi kuasa pembuat keputusan yang terunggul di dalam wilayah pemerintahannya dan ke atas rakyat jelatanya.

Memang konsep kedaulatan dikatakan rapuh, terutama sekali di era pasca Perang Dingin. Tetapi, pihak-pihak yang menggugat kedaulatan negara adalah aktor bukan negara seperti kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lainnya.

Namun Stephen D. Krasner (2001) menegaskan; “Pihak yang mengisytiharkan kematian kedaulatan negara kerana autonomi dan entitinya yang merdeka sedang runtuh akibat ancaman organisasi kewangan, CNN, rangkaian internet dan pertubuhan bukan kerajaan, adalah pihak yang gagal untuk mentafsirkan sejarah secara tepat.”

Ini disebabkan; “...negara-bangsa mempunyai naluri yang jitu untuk mempertahankan survivalnya, dan sehingga kini, sudah berjaya menyesuaikan kewujudannya de­ngan cabaran-cabaran baru, waima cabaran daripada globalisasi.”

Maka, jika hakikatnya adalah se­perti di atas, jelaslah bahawa tidak ada negara, waima AS, berhak untuk mempersoal, mempertikai atau campur tangan terhadap corak dan bentuk undang-undang keselamatan yang dikuatkuasakan di Malaysia.

Ini kerana pelbagai instrumen undang-undang, serta keutamaan dan pendekatan keselamatan yang dikuatkuasakan oleh Malaysia bukan sama seperti AS. Malaysia adalah negara kecil, membangun, majmuk, pelbagai agama dan berbilang sosiobudaya.

Ciri-ciri ini menyebabkan nilai-nilai teras yang mendefinisikan keselamatan dan mencorakkan instrumen undang-undang keselamatan Malaysia berbeza dengan nilai-nilai teras dan instrumen undang-undang di AS.

Malaysia dituntut untuk meminimumkan keterdedahan dalamannya, terutama sekali mengenai permasalahan kaum, perpaduan rakyat dan keharmonian agama. Jika tidak, perpaduan rakyat dan keharmonian beragama menjejaskan kemantapan politik dan mengancam kesejahte­raan rakyat, kemakmuran ekonomi, keselamatan dan kelangsungan nasional Malaysia.

Para pemimpin tertinggi AS serta para diplomatnya arif mengenai hakikat di atas kerana konsep ke­selamatan nasional adalah dipelo­pori oleh AS pada tahun 1946. Oleh sebab itu falsafah, matlamat, objektif dan dasar keselamatan AS hingga sekarang adalah berpaksikan kepada permasalahan kenegaraannya.

Lantas alasan, motif, hak atau dasar apakah yang menghalalkan tindakan Naib Presiden AS dan Duta Besar AS di Kuala Lumpur untuk mempersoalkan ketegasan Najib mengekal dan mengukuhkan Akta Hasutan 1948?

Naib Presiden dan Duta Besar AS di Malaysia juga mengetahui bahawa tugas memelihara keharmonian, kesejahteraan dan perpaduan rakyat di sesebuah negara majmuk merupakan satu daripada tuntutan ke­selamatan yang perlu diutamakan.

Jika tidak, Edward E Azar & Chung-in Moon (1988) tidak me­negaskan bahawa antara prasyarat keselamatan yang utama di negara majmuk adalah untuk mengelakkan konflik etnik.

Pengurusan keselamatan di sesebuah negara membangun, kecil dan majmuk seperti Malaysia juga adalah berdasarkan landskap, ancaman dan keterdedahannya yang tersendiri. Ini sebabnya McLaurin (1988) menegaskan, pengurusan keselamatan di negara-negara membangun tidak boleh mengikut piawaian keselamatan barat.

Konsep, pendekatan dan instrumen undang-undang keselamatan nasional di negara-negara membangun seperti Malaysia juga perlu berlandaskan kepada objektif pembinaan negara atau state-making.

Lantaran itu Mohammed Ayoob (1995) menyatakan bahawa permasalahan keselamatan di negara-negara membangun adalah berkait rapat dengan permasalahan pembentukan negara dan permasalahan politik domestik.

Maka, ini sebabnya Ruhanas Harun (2009) menyatakan bahawa sejak merdeka para pemimpin Malaysia memfokus dan bekerja keras untuk memelihara serta mempertahankan perpaduan rakyat dan membentuk sebuah negara yang benar-benar bersatu-padu.

Hakikatnya demikian kerana me­nurut Arjunan Narayanan & Kamarulnizam Abdullah (2012), hubungan kaum “merupakan permasalahan api dalam sekam dalam konteks pembinaan negara-bangsa di Malaysia. Permasalahan hubungan kaum (juga) merupakan salah satu teras utama (core values) Malaysia mempertahankan keselamatan nasionalnya.”

Dengan ini jelas Malaysia menitikberatkan permasalahan-permasalahan di atas kerana ia mahu membangun, maju, kukuh dan makmur. Menurut Barry Buzan (1988), sesebuah negara yang lemah mudah terdedah kepada campur tangan politik dari luar.

Kesimpulannya, pentadbiran Na­jib mengekal dan mengukuhkan Akta Hasutan 1948 untuk memelihara perpaduan rakyat serta mempertahankan keselamatan dan kelangsung­an nasional Malaysia. AS, walaupun adikuasa sejagat, tidak berhak campur tangan dalam urusan ini.

Datuk Ruhanie Ahmad ialah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor, yang 
sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ph.D dalam bidang strategi dan keselamatan 
di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Utusan Malaysia Rencana 12 Disember 2014

Tags: keselamatan
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments