kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan biar pembunuh bermaharajalela

SEMALAM satu lagi kes pembunuhan kejam dilaporkan di negeri ini. Daripada siasatan awal, mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang ditemui itu dipercayai warga asing kerana tiada suntikan BCG di bahunya.

Penemuan terbaharu itu meni­ng­katkan lagi kebimbangan pen­duduk di negeri berhubung ke­jadian pembunuhan ngeri membabitkan warga asing khususnya dari Myanmar.

Sejak awal tahun ini, sebanyak 18 kes pembunuhan warga Myanmar dilaporkan di negeri ini. Jumlah itu adalah sebahagian daripada lebih 50 kes pembunuhan yang dilaporkan di negeri ini bagi tempoh sama - angka yang cukup membimbangkan orang ramai.

Dalam kes pembunuhan warga Myanmar ini, trend pembunuhan juga menunjukkan perubahan ke arah yang lebih ganas.

Jika sebelum ini mayat mangsa hanya dikafankan dan diletakkan di tepi jalan, tetapi sejak kebelakangan ini mayat mangsa diperlakukan dengan kejam.

Ada yang dipotong tangan dan kaki malah dipotong kepala dan dibuang merata-rata. Lebih mengejutkan, warga Myanmar ini menjadikan rumah sewa mereka sebagai lokasi menyembelih mangsa seperti yang ditemukan di Machang Bubuk baru-baru ini.

Sudah semestinya perlakuan kejam ini menuntut tindakan segera daripada pihak berkuasa. Meskipun kejadian pembunuhan itu lebih cenderung kepada pergaduhan sesama warga Myanmar kerana faktor yang dibawa dari negara asal mereka, namun itu bukan alasan untuk perlakuan kejam tersebut dibiarkan begitu sahaja sehingga meresahkan penduduk tempatan.

Perlu diingatkan komuniti warga Myanmar di negeri ini bukan sedikit. Dalam kalangan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) sahaja terdapat sekurang-kurangnya 20,000 warga Myanmar di negeri ini.

Jumlah itu sebenarnya berlipat kali ganda jika ditambah dengan warga Myanmar yang masuk secara haram. Selain Selangor, negeri ini sememangnya terkenal sebagai destinasi kepada pendatang asing termasuk dari Myanmar untuk mencari rezeki.

Malah, ada yang sudah lama bertapak di negeri ini sehingga boleh mengusahakan perniagaan kebiasaannya menjual makanan di gerai-gerai.

Paling membimbangkan apabila warga Myanmar ini membentuk komuniti sendiri di beberapa lokasi di sekitar di negeri ini dan hanya bergaul sesama mereka.

Komuniti itu pula dibentuk berdasarkan sentimen yang dibawa dari negara asal seperti susur galur keturunan dan kampung kelahiran.

Faktor-faktor ini menyebabkan kes pergaduhan sesama mereka kerap berlaku di negara ini kerana turut terbawa-bawa dengan perkembangan di kampung mereka terutama pergaduhan antara kumpulan berbeza.

Apa yang dibimbangkan apabila terdapat warga Myanmar yang masuk ke negara ini dan memohon kad UNHCR bukan untuk mendapatkan perlindungan, tetapi bagi menjejak warga mereka sendiri untuk melunas dendam.

Bayangkan bagaimana sekiranya pergaduhan sesama mereka itu merebak dalam komuniti yang besar sehingga menimbulkan rusuhan? Siapa yang boleh memberi jaminan terhadap keselamatan penduduk tempatan sedangkan warga Myanmar itu hidup berjiran dengan penduduk tempatan?

Sebelum menjadi lebih parah, pihak berkuasa perlu memastikan kumpulan pembunuh warga Myanmar ini diburu habis-habisan. Apatah lagi difahamkan kejadian itu dilakukan secara berkumpulan dengan satu kumpulan sedang bergerak bebas ketika ini.

Selain meredakan keresahan penduduk tempatan, kumpulan pembunuh warga Myanmar itu juga perlu dihapuskan sebagai mesej jelas negara ini mempunyai undang-undang yang bukan hanya terpakai kepada rakyat tempatan, tetapi warga asing supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan jenayah. MOHD. KHUZAIRI ISMAIL Utusan Malaysia Rencana 12 Disember 2014 1:07 AM

Tags: bunuh, etnik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments