kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Legenda Puteri Saadong

Mengikut mitos purba, nama Bukit Marak muncul setelah seorang ahli sihir dihumbankan ke atas puncak bukit itu lalu muncul api yang menyala. Ahli sihir terbabit sebelum itu dikatakan melakukan pelbagai kejahatan dengan menggunakan ilmu hitamnya.


Menjejaki Bukit Marak yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kota Bharu.

Sehinggalah pada suatu hari, muncul seorang lelaki yang mematahkan sihir lelaki berkenaan dengan ayat-ayat suci al-Quran. Ahli sihir itu kemudiannya ditangkap dan ditempatkan di atas puncak Bukit Marak. Pada ketika itu, muncul api yang marak dari arah bukit tersebut. Berdasarkan cerita itu, maka muncullah nama Bukit Marak.

Pendapat lain pula ada mengatakan nama bukit berasal daripada perkataan burung Merak dan diubah menjadi Marak. Sungguhpun terdapat pelbagai cerita mengenai asal-usul Bukit Marak namun menurut Kamus Dewan, perkataan marak bermaksud bernyala besar atau bernyala dengan hebatnya.

Terletak di jajahan Bachok, Bukit Marak cukup sinonim dengan legenda Puteri Saadong. Bila menyebut tentang puteri jelita itu, sudah tentu Bukit Marak menjadi salah satu daripada legendanya yang termashyur dalam kalangan rakyat Kelantan sehingga hari ini.

Sesuatu yang menarik mengenai bukit tersebut apabila dikatakan terdapat kesan peninggalan sejarah Puteri Saadong seperti tapak kaki Awang Selamat, batu hampar besar, batu asah, gendang batik, perigi dan bilik persolekan peninggalan puteri legenda tersebut.

Menyelusuri sejarah Puteri Saadong, wartawan S2, ROZIANAH RISMAN bersama jufutoto NUR AISHAH MAZALAN dan WAHIDIN SALIM



Puteri Saadong bersemayam 
di Bukit Marak

Bukit Marak merupakan sebuah bukit yang agak tersohor kerana mempunyai hubung kait dengan sejarah Kesultanan Negeri Kelantan. Puteri Saadong yang merupakan anak angkat kepada Che Siti Wan Kembang dikatakan pernah bersemayam di Bukit Marak yang terletak di daerah Bekelam, Bachok, setelah kemangkatan suaminya, Raja Abdullah pada tahun 1671.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK), Raja Sulaiman Raja Hassan, sebelum berangkat dan bersemayam di Bukit Marak, berlaku pertengkaran di antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah.

“Perbalahan antara suami isteri itu terjadi setelah Puteri Saadong mendapat tahu Raja Abdullah berkahwin lain. Puteri Saadong sebelum itu telah menyerah diri kepada Raja Siam yang terpikat dengan kecantikan wajahnya bagi mengelakkan peperangan bertambah dahsyat sehingga membunuh lebih ramai rakyat dan memusnahkan harta benda. Ketika hendak bertolak ke Siam, Puteri Saadong telah berpesan kepada suaminya agar menunggu kepulangannya semula ke Kota Mahligai.

“Sepanjang berada di Siam, dia yang tidak mudah tunduk pada kehendak dan pujukan Raja Siam mengatur strategi bagi menyelamatkan diri. Dia menggunakan helah dengan mengatakan tubuhnya tidak boleh disentuh Raja Siam sehingga terpaksa disediakan sebuah istana untuknya bersemayam. Ketika Raja Siam diserang penyakit kudis, Puteri Saadong berjaya menyembuhkan penyakit Raja Siam dan membuat permintaan supaya dia dihantar balik ke Kelantan.

“Namun, sekembalinya ke Kota Mahligai, dia menjadi berang dan marah dengan tindakan Raja Abdullah yang memungkiri janjinya untuk setia menantinya. Pertelingkahan yang berlaku akhirnya menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah,” ujarnya.

Berhubung kemangkatan Raja Abdullah, menurut Raja Sulaiman, terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan mengenai punca yang menyebabkan kematian suami Puteri Saadong itu.

“Ada pendapat mengatakan wujudnya konspirasi atau pakatan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang sengaja mencetuskan ketegangan di antara suami isteri itu yang seterusnya menyebabkan Puteri Saadong menikam Raja Abdullah. Kematian Raja Abdullah seolah-olah dirancang supaya takhta raja tersebut dapat dirampas.

“Ada pendapat lain pula menafikan Puteri Saadong menikam suaminya dengan menggunakan cucuk sanggul akibat mengikut perasaan marah dan cemburu kerana dia disifatkan sebagai seorang yang mempunyai pegangan agama dan berperibadi baik, mana mungkin dia sanggup membunuh suaminya. Jadi, kematian Raja Abdullah dikatakan tiada kaitan dengan Puteri Saadong.

“Pendapat seterusnya mengatakan Puteri Saadong tanpa sengaja tertikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya yang akhirnya menyebabkan suaminya terbunuh. Berdasarkan kesemua pendapat ini, kita tidak tahu mana satu yang tepat,” katanya.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong membawa diri ke Bukit Marak bersama dayang-dayangnya termasuk seorang pengawal yang dikenali Awang Selamat.

“Meskipun Puteri Saadong bersemayam di bukit itu, namun perhubungannya dengan raja-raja Jembal tidak terputus. Setiap kali majlis keramaian diadakan, dia pasti diundang untuk hadir bersama,” ujarnya.

Beberapa bulan kemudian, Raja Abdul Rahim (adik Raja Abdullah) dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 1671 (dengan gelaran Sultan Abdul Rahim) atas kehendak Puteri Saadong sendiri yang membuat keputusan untuk turun takhta.

Namun, sepanjang pemerintahan Sultan Abdul Rahim, pelbagai bentuk kezaliman berlaku menyebabkan rakyat terpaksa mengadu dan merayu Puteri Saadong di Bukit Marak supaya campur tangan dalam usaha mengembalikan semula keamanan di Kota Mahligai.

Kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman akhirnya mengakibatkan Sultan Abdul Rahim terbunuh di tepi Tasik Lelayang. Pendapat lain pula mengatakan bahawa Sultan Abdul Rahim mati dibunuh atas arahan sepupunya, Raja Kechil Sulong.

“Dengan kemangkatan Sultan Abdul Rahim, maka berakhirnya kerajaan yang berpusat di Kota Mahligai dan selepas itu wujud kembali kerajaan Jembal di bawah pemerintahan Raja Umar yang bergelar Sultan Umar pada 1675. Sultan Umar merupakan adik kepada Raja Loyor (Sultan Adiludin) iaitu bapa kepada Puteri Saadong.

“Sepanjang pemerintahan Sultan Umar, tiada sebarang permusuhan mahupun pergaduhan tercetus di antara negara jiran, malah rakyat hidup dalam keadaan aman damai. Bapa saudara Puteri Saadong itu juga melakukan pelbagai bentuk pembangunan termasuk membuka kawasan tanaman padi yang luas dinamakan Padang Jembal, melakukan lawatan kerja ke seluruh kawasan dan jajahan takluk dan membina hubungan diplomatik dengan kerajaan luar seperti Patani, China dan Jawa,” katanya.

Dalam pada itu, berita mengenai Puteri Saadong tidak diketahui lagi selepas kali terakhir dia didakwa berpindah dari Bukit Marak ke Gunung Ayam yang terletak berhampiran Sungai Nenggiri, Ulu Kelantan.



Merajuk, bawa diri ke Gunung Ayam

SELEPAS berpindah dari Bukit Marak ke Gunung Ayam, berita tentang Puteri Saadong sudah tidak diketahui lagi. Di gunung tersebut, Puteri Saadong dikatakan bertindak menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan.



Gua yang didakwa menjadi tempat bersemayam Puteri Saadong di Bukit Marak.

Ada pendapat mengatakan Puteri Saadong berpindah ke Gunung Ayam bersama ibu angkatnya iaitu Che Siti Wan Kembang selepas sering merasa tidak tenteram berada di Bukit Marak.

Pendapat lain pula mengatakan Puteri Saadong membawa diri ke Gunung Ayam kerana merajuk dan makan hati dengan sikap segelintir penduduk kampung yang tidak bertanggungjawab dan tidak menepati janji dalam memulangkan semula pinggan mangkuk yang dipinjam daripadanya.

Menurut Setiausaha Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK), Raja Yusof Raja Abd. Rahman, ketika bersemayam di sebuah gua di Bukit Marak, penduduk kampung sering datang ke gua itu untuk meminjam pinggan mangkuk apabila mengadakan majlis jamuan.

“Di dalam gua tersebut, dikatakan tidak ada sesiapa pun yang dapat melihat wajahnya dengan jelas. Puteri Saadong akan mengarahkan dayang-dayangnya menyerahkan barang-barang yang ingin dipinjam penduduk.

“Dayang-dayang yang menyerahkan barangan tersebut juga tidak menampakkan diri melainkan dua tangan sahaja yang kelihatan dihulurkan keluar dari pintu gua, sementara anggota badan yang lain disembunyikan di sebalik gua,” katanya.

Namun, selepas menggunakan pinggan mangkuk tersebut, mereka tidak memulangkan semula barang-barang yang dipinjam untuk diserahkan semula kepada Puteri Saadong.
Malah ada juga yang nakal sengaja memegang tangan dayang-dayang ketika mereka menghulurkan barang-barang yang hendak dipinjam.

“Keadaan ini menyebabkan Puteri Saadong marah dan bertindak meninggalkan Bukit Marak lalu berpindah ke Gunung Ayam. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kebenaran cerita tersebut kerana terdapat pelbagai pendapat mengenai Puteri Saadong yang menghilangkan diri tanpa diketahui di mana pengakhiran kisahnya,” ujarnya.


Isytiharkan Bukit Marak tapak warisan


Bukit Marak perlu diisytiharkan sebagai tapak warisan memandangkan nilai sejarah yang terdapat di lokasi itu sudah melebihi 100 tahun.



Mohd. Yudin Mat menjejaki gua yang dipercayai pernah dihuni oleh Puteri Saadong suatu ketika dahulu di Bukit Marak.

Menurut aktivis budaya dan sejarah Mohd. Yudin Mat, usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan warisan dan sejarah Puteri Saadong dapat dikekalkan dan menjadi tatapan generasi akan datang.

“Berdasarkan sejarah, Puteri Saadong pernah bersemayam di situ dalam jangka waktu tertentu dan meninggalkan beberapa kesan yang menjadi bukti keberadaannya di Bukit Marak. Sehingga kini, apabila bercakap mengenai Puteri Saadong, pasti ia akan dikaitkan dengan Bukit Marak.

“Justeru, mengapa tidak lokasi itu dijadikan sebagai tapak warisan memandangkan usianya sudah menjangkau kira-kira 300 tahun. Pengisytiharan sebagai tapak warisan amat penting bagi mengelakkan monumen peninggalan Puteri Saadong terancam oleh kemusnahan atau hilang sehingga menyebabkan kepupusan warisan dan budaya tempatan.

“Bagi mengelakkan kepupusan berlaku dan kehilangan warisan kita, maka kita perlulah mengambil langkah memulihara warisan yang ada pada hari ini,” katanya.

Tags: heritage, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments