kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hapuskan petualang rasuah

ISU integriti penjawat awam khususnya pegawai dan anggota agensi penguat kuasa terus mendapat perhatian. Pelbagai pihak memberi reaksi meminta kerajaan mela­kukan sesuatu bagi menghapuskan gejala rasuah dan penya­lahgunaan kuasa melibatkan agensi tersebut.

Sama ada diakui atau tidak, dalam keadaan gempak-­gempita berikutan pendedahan media mengenai penyele­weng­an yang dikaitkan dengan amalan rasuah, sehingga ke hari ini penulis masih menerima maklumat menyatakan ada kalangan anggota agensi penguat kuasa masih terus mahu menjamah wang haram.

Ia bukanlah tuduhan melulu sebaliknya berdasarkan maklumat yang penulis yakin ada kebenarannya. Soalnya sejauhmanakah siasatan akan membuktikan perkara itu? Apa yang pasti gejala rasuah masih lagi menjadi ‘virus perosak’ dalam agensi-agensi kerajaan. Mereka yang mempunyai kedudukan dan kuasa seolah-olah menjadikannya ‘tiket’ untuk hidup mewah.

Siapa yang tidak mahu kalau segalanya diuruskan? Ada ‘wang tambahan’ setiap bulan, kereta atau motosikal kita pakai tetapi orang lain bayar, mahu bermain golf di kelab-kelab mahal di dalam dan luar negara dan kalau mahu mengadakan majlis bila-bila masa ada yang sedia menaja.

Persoalannya sampai bilakah kita harus membiarkan budaya hidup mewah melalui cara haram dalam kalang­an segelintir pegawai dan anggota agensi penguat kuasa berterusan? Janganlah berdolak-dalik lagi, akui sahaja bahawa gejala rasuah ini masih berleluasa.

Justeru sudah tiba masanya kerajaan mencari pendekatan terbaik bagi membendung gejala ini khususnya melibatkan agensi-agensi penguat kuasa. Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya seseorang pegawai dan anggota agensi itu tidak ditempatkan melebihi lima tahun adalah idea yang tepat.

Ini memandangkan apabila seseorang itu sudah berada di satu-satu kawasan terlalu lama apatah lagi dengan kuasa menentukan segala-galanya maka tidak mustahil individu tersebut boleh terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Sebab itulah kita sering mendengar cerita bagaimana di sesetengah kawasan, ada pegawai penguat kuasa bagaikan `taiko’ sehingga ikan pun ada orang hantar ke rumah.

Kerajaan perlu mengkaji cadangan CUEPACS dengan serius kerana ia salah satu cara paling berkesan menangani amalan rasuah. Walaupun sedikit-sebanyak mendatangkan masalah dari segi logistik tetapi itu lebih baik daripada kita membiarkan ‘virus’ rasuah terus mendominasi pentadbiran kerajaan.

Selain itu, kaedah pengambilan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa juga harus diubah. Bukanlah sesuatu yang mustahil kalau dipertimbangkan agar semua pegawai dan anggota terlibat khususnya beragama Islam mengangkat sumpah jawatan dengan bersaksikan al-Quran. Biarpun agak ekstrem bunyinya tetapi apa salahnya jika mampu memastikan mereka yang mempunyai kuasa dan kedudukan benar-benar melak­sanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berkesan.

Apa pun pokok pangkal ialah individu itu sendiri. Sepatutnya mereka tidak mengkhianati amanah yang diberikan, apatah lagi apabila melibatkan undang-undang negara.

Apa akan berlaku jika mereka yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang sanggup bersekongkol de­ngan sindiket atau penjenayah asalkan mereka mendapatkan habuan. Tidakkah mereka juga boleh dianggap ‘berjiwa penjenayah’ kerana bersedia melanggar undang-undang?

Apa yang perlu difahami, antara kelompok paling jahat di muka bumi ini ialah mereka yang diberi tanggungjawab menegakkan undang-undang, menggadaikannya demi untuk hidup senang dengan menjamah wang haram.

Oleh itu, gejala rasuah dalam kalangan agensi penguat kuasa tidak harus dipandang ringan. Sesungguhnya tiada yang mustahil dalam soal penegakan undang-undang. Apa yang penting adalah kesungguhan dan keazaman untuk memastikan petualang-petualang tidak bermaharajalela sehingga akhirnya meruntuhkan negara.

Kata-kata hakim Zheng Yunzhan di Guanzhou China, ketika menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang bekas pengarah syarikat di negara itu kelmarin mungkin elok dijadikan renungan: “Kita mesti mengenakan hukuman yang keras ke atas orang yang mengambil kesempatan daripada jawatan yang disandangnya kerana itu sifat keji dan menyebabkan kemusnahan kepada negara,” katanya.

Zul Bakar Utusan Malaysia Rencana 13 Disember 2014
Tags: rasuah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Manusia Tanpa Kemanusiaan

    Manusia dan kemanusiaan harusnya seiring. Kata orang lama di tempat saya , manusia tanpa kemanusiaan umpama haiwan atau binatang. Sejak kecil…

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments