kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Apabila kejahatan dibalas salam persahabatan

TAHNIAH Harimau Malaya! Walaupun tidak banyak harapan diberikan untuk mara ke pertandingan akhir setelah tewas 1-2 pada perlawanan pertama separuh akhir di tempat sendiri, skuad negara membuktikan semangat mengatasi segala-galanya. Mereka menang untuk melangkah ke final. Semoga semangat yang sama dapat dikekalkan dalam perlawanan akhir pada 17 dan 20 Disember ini.


PENYOKONG Vietnam `mengajar’ penyokong Malaysia tentang semangat kesukanan menerusi kain rentang yang digantung pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional My Dinh, kelmarin.

Perlawanan di Stadium My Dinh, Hanoi malam tadi berlangsung tanpa sebarang insiden buruk. Para penyokong pasukan tuan rumah mengo­takan janji untuk tidak membalas dendam atas apa yang mereka alami di Stadium Shah Alam, Ahad lalu. Segelintir samseng bola sepak Malaysia menyerang dan mencedera­kan beberapa penyokong pasukan Vietnam dalam perlawanan pusingan pertama.

Perbuatan tidak itu dikutuk dan mendapat kecaman seluruh rakyat Malaysia. Perlakuan buruk mereka sangat memalukan. Lebih memalukan mereka bertindak hanya kerana Malaysia tewas dalam perlawanan itu. Keseronokan menonton bola sepak musnah kerana perbuatan samseng-samseng ‘mental’ seperti itu.

Semoga pihak polis dapat me­nge­­­san dan menangkap kesemua sam­­seng terlibat sebelum perla­wa­nan akhir pusingan kedua 20 Disember depan di Stadium Bukit Jalil. Semalam sembilan daripada mereka sudah dikenakan perintah reman selama lima hari. Samseng yang berselindung di sebalik nama penyokong tegar bola sepak negara tidak layak duduk di stadium. Mereka lebih layak dikurung ‘di dalam.’

Apa yang mengharukan, rakyat Vietnam mengetepikan insiden buruk yang berlaku di Malaysia tempoh hari. Ketika insiden tersebut tersebar dengan meluas di media-media sosial, para penyokong dan rakyat Vietnam memberi reaksi sangat berbeza. Mereka tidak membalas dengan mesej kemarahan dan kebencian. Sebaliknya mereka memberi satu jaminan. Penyokong Malaysia tidak akan menerima layanan sebagaimana yang mereka terima di Stadium Shah Alam.

Dan mereka membuktikannya dalam perlawanan di Stadium My Dinh, Hanoi malam semalam. Tidak ada kejadian buruk. Sekumpulan penyokong Malaysia yang hadir juga tidak diganggu. Penyokong Malaysia sebaliknya berseronok sepanjang perlawanan tersebut. Mereka merasa selamat dan tidak ubah seperti bermain di tempat sendiri.

Para penyokong Vietnam me­nunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. Banyak kain rentang dinaikkan di stadium tersebut bagi membuktikan keikhlasan mereka. Antara yang menarik berbunyi ‘Football helps us become friends. Do not do the opposite.’ Pelbagai mesej persahabatan lain juga disebarkan dalam media sosial. Kelihatannya seolah-olah tidak ada apa yang berlaku sebelum ini.

Sedangkan penyokong pasukan Vietnam ada sebab yang kuat untuk membalas dendam. Penyokong mereka diserang sehingga ada yang tercedera. Malam semalam pula mereka tewas ketika sebelah kaki sudah berada di gelanggang perlawanan akhir. Mereka sudah tentu kecewa. Tetapi mereka tidak terbawa-bawa dengan kekecewaan itu. Mereka masih ada kewarasan. Tidak seperti perbuatan segelintir samseng bola sepak Ahad lalu.

Begitu mudah mereka melupakan kejadian itu. Begitu senang mereka memaafkan. Tidak ubah seperti lirik lagu ‘Kemaafan dendam yang terindah.’

Samseng-samseng yang memukul dan menyerang penyokong Vietnam pada hari tersebut patut merasa amat malu. Pasti ada kalangan samseng yang terlibat menonton siaran langsung perlawanan tersebut. Tidak ada kejadian tidak diingini dicetuskan oleh penonton tuan rumah. Kalau mereka masih tidak merasa menyesal dan malu, manusia jenis apa yang patut dikategorikan mereka ini!

Dalam satu-satu perlawanan bola sepak, penonton atau penyokong memainkan peranan penting. Selain memeriahkan sukan tersebut, penonton adalah ‘pemain ke-12’ bagi sesebuah pasukan.

Penyokong setia pada waktu menang dan kalah boleh menambahkan semangat juang para pemain.

Kata-kata provokasi, ejekan, kecaman dan maki-hamun yang dihamburkan penonton juga memberi kesan kepada satu-satu pasukan bertanding. Pada masa yang sama juga, penonton boleh memusnahkan keindahan sukan tersebut.

Ada banyak kelab bola sepak ter­kenal dunia yang terpaksa berlawan di stadium kosong gara-gara penontonnya sendiri yang bertindak liar. Pergaduhan sesama penonton, rusuh­an, penghinaan berbaur perkauman dan perbuatan vandalisme banyak kali mencemarkan keindahan sukan bola sepak.

Perkara seumpama ini sudah mula menular ke dalam dunia bola sepak Malaysia. Sebelum ini sudah ada banyak kes pergaduhan sesama samseng bola sepak dalam liga tempatan. Semoga mereka yang terlibat dalam kejadian memukul penyokong Vietnam didakwa dengan segera. Memang amat wajar sebuah persatuan pasukan bola sepak negeri mengharamkan mereka daripada memasuki stadium seumur hidup. Walaupun tidak pasti bagaimana mekanisme yang akan digunakan untuk mengenal pasti samseng-samseng terlibat, sekurang-kurangnya langkah ini memberi mesej jelas bahawa samseng bola sepak tidak ada tempat dalam dunia bola sepak negara.

Jadilah sebagaimana pasukan sorak Ultras Malaya. Penyokong tegar pasukan kebangsaan ini sangat­ agresif dalam memberi sokongan padu kepada pasukan bola sepak negara. Kumpulan ini menyemarakkan gelanggang perlawanan setiap kali ada pertandingan bola sepak. Pasukan sorak ini menambah keseronokan dalam menonton perlawanan yang melibatkan pasukan negara.

Mereka sanggup mengiringi pasukan negara bertanding termasuk di luar negara. Kumpulan penyokong yang dibentuk atas dasar kecintaan kepada sukan negara ini bagaimana­pun menjaga disiplin dan nama baik negara. Mereka tidak bertindak agresif seperti samseng bola sepak walaupun pasukan kebangsaan tewas.

Ahli-ahli Ultras Malaya masih lagi boleh berseronok, berarak sambil menyanyi ketika melangkah keluar dari Stadium Shah Alam walaupun pasukan dokongan mereka kalah. Mereka sudah pasti amat kecewa dengan kekalahan pasukan negara. Bagaimanapun kekecewaan itu tidak diterjemahkan dengan cara yang salah. Tidak ada rusuhan apatah lagi membelasah penyokong pasukan lawan.

Mereka ialah penyokong sejati. Mereka ialah pemain ke-12 dalam pasukan kebangsaan yang sebenar-benarnya.

Tags: sukan
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments