Siapa ganti Gani?
Siapa bakal Peguam Negara yang baharu, mula menjadi bahan spekulasi. Ini berikutan tempoh perkhidmatan Peguam Negara, Gani Patail dijangka berakhir Oktober tahun depan. Beliau mula menyandang jawatan itu pada 2002.
Difahamkan, menjadi tradisi atas banyak faktor, kerajaan akan membuat keputusan lebih awal bagi menentukan status dan kedudukan Peguam Negara. Jawatan Peguam Negara adalah kerusi panas, Gani sendiri terdedah kepada banyak kritikan, tidak kurang juga penghargaan sepanjang 12 tahun perkhidmatannya.
Beliau kerap dibidas kerana isu kegagalan dan kelewatan bertindak terutama penghinaan terhadap agama dan kaum. Antara sumbangan beliau yang tidak disedari ramai ialah kewujudan pasukan petugas khas dalam soal integriti yang telah berjaya menyelamatkan banyak wang negara daripada ketirisan dan penyelewengan.
Tanpa mahu menafikan jasa beliau, Awang berpendapat 12 tahun adalah tempoh yang lama dan sudah tiba masanya untuk jawatan itu disandang oleh orang lain. Awang percaya Gani juga sudah bersedia untuk memberi laluan atas hakikat tiada sesiapa yang indispensable. Lebih-lebih lagi menjadi harapan ramai mahu melihat muka baharu bagi jawatan yang penting itu supaya dinamisme negara ini terserlah.
Persoalannya, siapakah bakal menggantikan beliau? Khabarnya beberapa calon telah dikenal pasti bagi jawatan tersebut, yang cakap-cakap tentangnya dalam dunia guaman dan kehakiman makin rancak.
Awang berharap sesiapa pun yang diberi kepercayaan, mestilah seorang pakar dalam perundangan, berkeyakinan tinggi, jati diri yang kental serta berani, lebih-lebih lagi dalam landskap yang makin mencabar. Cuma, elakkanlah individu yang asyik teragak-agak dan mahu mengambil jalan selamat kerana besar mudaratnya kepada negara. Kita sudah sepatutnya belajar dan ambil iktibar.
Kisah KL ...
Sebuah organisasi antarabangsa The New7 Wonders Cities menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai salah satu daripada tujuh bandar raya paling menarik di dunia, menggamit perhatian Awang.
Seperti yang dilaporkan Rabu lalu, Kuala Lumpur menduduki tempat kelima selepas Beirut (Lubnan), Doha (Qatar), Durban (Afrika Selatan) dan Havana (Cuba). La Paz (Bolivia) menduduki tempat keenam manakala Vigan (Filipina) ketujuh.
Bagi memilih bandar raya paling menarik di dunia, kira-kira 600 juta undian dibuat menerusi platform undian global N7W, new7wonders.com atau www.new7wonders.com.
Sebagai rakyat Malaysia dan warga kota, Awang tumpang bangga dengan pengiktirafan tersebut. Namun diharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak merasa selesa apalagi untuk pukul canang.
Banyak lagi permasalahan Kuala Lumpur yang perlu diatasi. Paling ketara yang menjadi rungutan orang ramai termasuk ekspatriat dan pelancong ialah kualiti jalan raya di ibu negara.
Entah kenapa isu permukaan jalan yang berlubang, compang-camping dan tidak rata masih belum mampu diatasi. Sedangkan bandar raya utama negara-negara ASEAN sudah banyak peningkatan dengan Singapura jauh lebih ke hadapan. Warga kota terutama penunggang motosikal sudah tidak larat geleng kepala kerana banyak laluan berisiko untuk jatuh dan nahas umpama jerangkap samar. Dari segi kebersihan pula, Melaka dikatakan lebih bersih daripada Kuala Lumpur berdasarkan maklum balas orang ramai.
Pada Awang, kita tidak boleh hanya bermegah dengan Menara Berkembar KLCC dan beberapa tarikan lain. Janganlah asyik mendongak ke atas hingga lupa realiti di bawah seperti perihal jalan raya. Selagi isu-isu pokok dan lebih kritikal tidak selesai, Kuala Lumpur belum boleh dianggap hebat.
Harapan Malaysia
Awang ingin menyertai rakyat Malaysia mengucapkan tahniah kepada pasukan Harimau Malaya atas kejayaan layak ke final Piala AFF selepas menumbangkan Vietnam 4-2.
Kemampuan skuad Malaysia bimbingan Dollah Salleh bangkit pada perlawanan pusingan kedua di gelanggang lawan di Hanoi selepas tewas 1-2 di tanah air, cukup besar maknanya buat maruah negara.
Dollah dan barisan pemain telah memecahkan batas psikologi bahawa Harimau Malaya tahu untuk bangkit dan tidak mudah tunduk biarpun ramai meramalkan peluang untuk mara sangat tipis.
Berdasarkan pengamatan, pasukan negara bermain lebih baik berbanding perlawanan pertama, lebih bijak mengurus tekanan dan kurang melakukan kesilapan.
Ketika terdapat laporan media menyifatkannya kejayaan luar biasa dan ajaib, Awang mahu bersikap realistik. Mungkin istilah luar jangkaan adalah lebih tepat.
Mungkin harapan yang begitu tinggi kepada Harimau Malaya dan betapa dahaganya rakyat Malaysia kepada kejayaan lebih besar buat skuad negara, menjadikan ramai yang ghairah.
Sebab itu kemenangan ke atas Vietnam diraikan seolah-olah Malaysia telah menjuarai Piala AFF. Walaupun turut bangga dengan pencapaian tersebut, Awang belum mahu meraikannya selagi piala belum dalam genggaman pasukan kita.
Atas kertas, Thailand dilihat pasukan favourite pada final kali ini tetapi dengan motivasi besar selepas menewaskan Vietnam, tiada yang mustahil buat Harimau Malaya mengaum lagi. Kini peluang terbentang luas kepada barisan pemain untuk melakar sejarah.
Semoga tirai 2014 yang penuh dugaan termasuk dua tragedi membabitkan pesawat penumpang Penerbangan Malaysia, berakhir dengan keceriaan buat rakyat Malaysia – hadiah daripada Harimau Malaya.
Tabik Vietnam!
Selepas dimalukan dengan sikap segelintir penyokong Malaysia yang mengasari dan mencederakan penyokong Vietnam ketika perlawanan pusingan pertama Piala AFF di Shah Alam, Awang terpukul rasa malu sekali lagi ke atas penonton negara itu pada aksi di Hanoi.
Menerusi siaran secara langsung dan berdasarkan laporan media serta pemerhatian dan pengalaman para pemain, para penyokong Vietnam menampilkan sikap budiman. Tiada balas dendam terhadap kejadian di Shah Alam walaupun media negara itu memberikan laporan meluas di samping sedikit sebanyak sentimen marahkan penyokong Malaysia sebagaimana terpapar dalam laman sosial.
Awang terharu apabila penyokong Malaysia yang di kelilingi penyokong Vietnam dilayan dengan baik malah diberikan ucapan tahniah selepas perlawanan. Terdapat antara pemidang yang tertulis "Football helps us become friends. Do not do the opposite.'' Sekumpulan penyokong Malaysia turut membawa kain rentang yang memohon maaf atas insiden di Shah Alam.
Menariknya, penyokong kedua-dua negara boleh bersatu di Hanoi. Awang setuju beberapa komen di laman sosial, Malaysia menang perlawanan tetapi penyokong dan rakyat Vietnam mendapat penghormatan besar. Dalam erti kata semangat sukan, Vietnamlah pemenang sebenar. Awang tabik.
Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi pengajaran buat rakyat Malaysia terutama peminat sukan yang fanatik dan liar. Semoga ia tidak berulang ketika pasukan Thailand beraksi di negara kita nanti. Teladani Vietnam. Tolonglah jangan beri malu lagi.
Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim kini bagai tak keruan. Agaknya beliau makin terdesak menanti keputusan rayuan kes liwat dan berikutan ratingnya yang makin jatuh. Lebih-lebih selepas gelaran Datuk Seri ditarik balik oleh Sultan Selangor, yang mencerminkan hilang kepercayaan institusi raja ke atas pemimpin PKR itu.
Baru-baru ini, Anwar berpolitik sehingga berucap di dalam gereja dan mengaku kerap membaca kitab Injil. Ia membuktikan beliau mencari apa sahaja platform yang ada untuk meraih sokongan terutama bukan Islam. Terbaharu Anwar menyatakan sokongan terbuka kepada bukan Islam untuk bebas menggunakan kalimah Allah meskipun perkara itu telah ditentang oleh umat Islam.
Awang tidak mahu komen lebih-lebih, nilailah sendiri siapa Anwar. Cuma mahu nasihatkan Wan Azizah yang juga presiden boneka PKR, supaya 'menyelamatkan' suaminya. Lagi banyak beliau buka mulut, lagi banyak mudarat kepada Islam. Pemimpin parti lain berpolitik terutama DAP menguntungkan agama mereka, Anwar kelihatan sebaliknya. Sekadar cadangan kepada Wan Azizah, mulakanlah dengan membawa Anwar menunaikan umrah. Buatlah apa sahaja ibadat dan renunglah diri di tanah suci.