MINGGUAN: Sebagai orang yang terlibat secara konsisten sejak awal, apakah faktor yang menyebabkan PKM menerima Perjanjian Damai Hat Yai 1989?
ABDUL RAHIM: Terdapat lima sesi pertemuan. Kita menyemak rekod mengapakah Rundingan Baling gagal. Kita percaya dalam pertemuan kali ini pasti Parti Komunis Malaya (PKM) akan menimbulkan semula hasrat mereka semasa Rundingan Baling 1955. Itulah sebetulnya yang mereka lakukan pada hari pertama rundingan damai yang diadakan di Phuket, Thailand pada 2 Februari 1989. Ada 11 permintaan yang dikemukakan mereka untuk berdamai.
Tidak perlulah saya menyebutnya satu persatu. Memadai saya katakan, mereka mahu kerajaan mengiktiraf PKM dan sumbangan mereka untuk kemerdekaan negara, menghapuskan ISA, anggota-anggota PKM yang pulang ke Malaysia tidak dikenakan tahanan ISA, mereka juga minta diwujudkan apa yang disebut “National Political Consultative Council” dengan PKM turut menyertainya. Permintaan yang keempat ini, bagi kami, cukup hebat bunyinya.
Pihak kita menolak mentah-mentah empat permintaan PKM itu. Mereka pun tidak menunjukkan ketegasan mereka dalam membuat empat tuntutan itu. Tujuh tuntutan yang selebihnya yang membabitkan soal-soal kerakyatan dan kebajikan menjadi bahan-bahan rundingan yang mengambil banyak masa. Ini juga kerana ia membabitkan pihak berkuasa kerajaan Thailand. Namun begitu, satu-satunya perkara yang agak rumit untuk dibereskan hingga ke saat-saat terakhir sesi perundingan, menyentuh isu penggunaan ISA terhadap anggota PKM yang mahu pulang ke Malaysia.
Seperti saya sebut tadi, PKM tidak mahu anggota mereka ditangkap di bawah ISA sebaik-baik sahaja merentas sempadan masuk ke Malaysia. Ini akhirnya, telah dapat kita atasi setelah pihak saya membuat rundingan dengan Tun Dr. Mahathir. Apabila isu ini tidak lagi menjadi isu, maka jalan telah terbuka dengan seluas-luasnya untuk Perjanjian Damai Hat Yai dimeterai pada 2 Disember 1989.
Patut saya katakan juga, rundingan damai sebanyak lima sesi itu diwakili Cawangan Khas yang diketuai saya sendiri bagi pihak Malaysia, manakala wakil PKM ialah Chang Ling Yun sebagai ketua dan tiga orang anggota Jawatankuasa Pusat PKM iaitu Rashid Maidin, Ah Yen atau nama perjuangannya Zainon yang diutuskan dari China mewakili Chin Peng dan Ah Sek sebagai ketua anggota yang mereka bilang gerila komunis PKM. Di samping itu, Timbalan Komander Wilayah 4, Angkatan Tentera Thailand yang berpangkalan di Selatan Thai, Major Jeneral Kitty Ratanachaya, turut hadir sebagai mewakili kerajaan Thailand.
Selepas 25 tahun Perjanjian Damai Hat Yai 1989, perjuangan PKM dikatakan masih wujud kerana mereka didakwa tidak menyerah kalah, cuma bersetuju melakukan gencatan senjata. Apa pandangan Tan sri?
ABDUL RAHIM: Siapa kata perjuangan PKM masih hidup. Dari segi undang-undang, PKM telah diharamkan sebagai sebuah parti siasah mulai 23 Julai 1948 menurut warta kerajaan LN No. 2037 bertarikh 23 Julai 1948. Pengharaman ini dibuat atas perbuatan PKM sendiri iaitu mengangkat senjata untuk merampas kuasa politik walaupun pada masa itu negara kita masih di bawah pentadbiran Inggeris.
Jadi barang siapa yang berura-ura meneruskan perjuangan PKM bererti mereka tidak peduli status PKM yang telah diharamkan di sisi undang-undang. Sudah tentu tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka kerana meneruskan perjuangan sebuah parti politik yang telah diharamkan di sisi undang-undang. Itulah sebabnya kenapa pihak kerajaan menolak bulat-bulat permintaan wakil PKM agar kerajaan mengiktiraf kewujudan PKM sebagai sebuah parti politik.
Betul, anggota-anggota PKM tidak “menyerah kalah” dalam perjanjian damai. Benar, perjanjian itu hanya memfokus kepada isu menamatkan penentangan bersenjata PKM. Tetapi, janganlah lupa PKM terus kekal sebagai sebuah parti yang diharamkan. Bererti, perjuangannya pun tetap terus diharamkan.
Status anggota-anggota PKM, baik sebelum atau sesudah perjanjian damai, tetap berstatus 'pengganas-pengganas komunis' di bawah naungan PKM yang telah dibatalkan pendaftarannya itu. Kalau mereka ingin mengambil bahagian dalam kegiatan politik – dan ini memang tidak ditegah di bawah Perjanjian Damai Hat Yai – ia boleh dilakukan jika mereka berbuat demikian menerusi parti-parti politik yang sedia ada (UMNO, Pas, dan DAP, misalnya) sekiranya kemasukan mereka dipersetujui oleh mana-mana parti tersebut. Atau, mereka dibolehkan menubuh parti baru yang asas perjuangannya bukan untuk menyebarkan fahaman komunis, apatah lagi untuk menubuhkan sebuah negara republik komunis Malaysia. Orang putih bilang, ini semacam Putting same wine in different bottle. Sudah tentu ini sangat bertentangan dengan undang-udang sedia ada. Pihak-pihak berkuasa negara yang berkenaan sudah pasti tidak akan menutup mata sahaja.
Baru-baru ini, ada satu perjumpaan oleh bekas-bekas anggota komunis diadakan di Pulau Pinang. Adakah perkara ini boleh mengancam keselamatan negara?
ABDUL RAHIM: Bagi saya, di bawah syarat-syarat perjanjian damai, tidak salah bagi bekas-bekas anggota PKM mengadakan perjumpaan-perjumpaan demikian di mana-mana sahaja tempat di Malaysia, asalkan tiada udang di sebalik batu tentang tujuan sebenar mereka. Udang di sebalik batu, yakni yang boleh mengancam keselamatan negara, yang tidak diizinkan oleh syarat-syarat perjanjian damai.
Saya fikir, bekas anggota-anggota PKM yang membaca ulasan saya ini, faham maksud saya. Kalau setakat sekali-sekala mengadakan pertemuan sesama mereka, sekadar mengeratkan silaturahim yang telah terjalin dalam kalangan mereka sejak hidup dalam hutan belantara baik di Malaysia atau Thailand sekian lama, saya berpendapat itu tidak menjadi kudis. Tidakkah kita semua, pokoknya, adalah manusia biasa? Ini juga, saya rasa, merupakan langkah positif pihak kerajaan menamatkan sengketa berdarah angkara perbuatan PKM itu.
Saya tidak fikir pertemuan-pertemuan seperti itu boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara, kecualilah terdapat bukti-bukti kukuh bahawa ada niat dalam kalangan mereka untuk menghidupkan semula perjuangan semangat PKM.
Mengikut laporan akhbar, semasa perjumpaan bekas anggota komunis di Pulau Pinang itu, pihak penganjur program itu ada meminta supaya kerajaan membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke tempat kelahirannya. Apa komen Tan Sri?
ABDUL RAHIM: Saya telah pun memberi pendapat saya sebelum ini tentang soal abu Chin Peng. Pendapat saya berdasarkan lunas-lunas perjanjian damai. Perjanjian itu menyangkut diri Chin Peng sebagai orang nombor satu PKM, kalau kita menganggap dia begitu. Jadi kerajaan kenalah memenuhi syarat-syarat perjanjian tentang diri Chin Peng sebagaimana juga kerajaan telah memenuhi perjanjian yang menyentuh diri dua orang pemimpin kanan komunis Melayu iaitu Abdullah C.D dan Rashid Maidin.
Jangan kita sangka kedua-dua komunis Melayu ini telah dirasuk oleh Chin Peng menjadi komunis sejak mereka masih muda. Abdullah C.D dan Rashid Maidin adalah antara sebilangan komunis Melayu yang sangat teguh pegangan komunisnya sejak mula memasuki PKM. Lain-lain komunis Melayu yang saya boleh sebut secara rambang ialah Musa Ahmad, Wahi Anwar, Jasman, Mat Indra, Ibrahim Chik, Abu Sama Muhammad Kasim, Ibrahim Muhammad, Abdul Kadir Murei’h dan Shamsudin Salleh sebagai contoh. Mereka menjadi komunis daripada hari pertama pergerakan politik mereka.
Bagi saya, tidak ada perbezaan, walau secebis pun, dari segi sikap dan perangai seseorang anggota PKM yang berketurunan Melayu atau Cina atau India. Ketaatan adalah kepada perjuangan parti semata-mata mengikut lunas-lunas Perlembagaan PKM iaitu merampas kuasa secara pemberontakan bersenjata untuk menegakkan sebuah negara republik komunis. Saya mengambil contoh Abdullah C.D, misalnya. Dia satu-satunya pemimpin komunis Melayu yang sangkat dipercayai oleh pucuk pimpinan PKM dalam usaha mereka menyebarkan fahaman komunis dalam kalangan orang Melayu dan menambah bilangan anak-anak muda Melayu masuk hutan menyertai PKM sebaik-baik sahaja tamat peperangan Jepun di negara kita (1945).
Abdullah C.D ditugaskan oleh Chin Peng pada 1947 untuk menubuhkan satu unit baharu dalam PKM yang dinamakan Jabatan Kerja-Kerja Melayu, khas untuk dua tujuan yang saya katakan di atas tadi. Ini telah dilaksanakan oleh Abdullah C.D dengan jayanya dan menggembeleng tenaga dua orang komunis lain iaitu Rashid Maidin dan Musa Ahmad.
Tetapi, Chin Peng 'pintar' orangnya. Dia melantik seorang komunis keturunan Cina bernama Chen Nan untuk mengetuai unit kerja-kerja Melayu yang dimaksudkan. Chen Nan ialah seorang intelek komunis yang sangat tajam pengetahuan komunisnya dan masak dalam hal-hal bahasa dan budaya orang Melayu. Sampai komunis–komunis Melayu dalam Rejimen ke-10 PKM, yang diketuai Abdullah C.D, memberi nama jolokan Chen Nan sebagai “Haji Hashim”.
Oleh itu, saya agak pelik kenapa Abdullah C.D dan Rashid Maidin diberi kelulusan untuk membuat lawatan sosial ke Malaysia sedangkan Chin Peng – seperti kita ketahui tidak diberi kebenaran itu. Sampai dalam soal membawa balik abu Chin Peng pun menjadi isu 'keselamatan negara'. Saya bertanya pada diri saya: Apakah ada perbezaan, bagi sesetengah pihak antara komunis keturunan Melayu dengan komunis keturunan Cina?
Jadi, bagi saya, sepatutnya tidak harus menjadi isu soal membawa balik abu Chin Peng. Jika pun ada ura-ura untuk mendirikan semacam sebuah tugu peringatan yang didirikan di atas abu Chin Peng – sama ada di kampungnya atau di mana-mana pun di Malaysia – saya fikir ini boleh diatasi menerusi tindakan undang-undang yang sedia ada berhubung kait dengan mendirikan sesebuah struktur sedemikian.
Berbalik kepada majlis makan malam di Pulau Pinang itu, ada dakwaan mengatakan ia turut mengagung-agungkan Chin Peng.
ABDUL RAHIM: Apa tujuan mereka 'mengagung-agungkan' Chin Peng? Semasa saya berjumpa Chin Peng one-to-one selepas makan malam di Phuket pada hari pertama ketibaannya, antara banyak soalan yang saya tanya Chin Peng ialah kenapa dia telah memulakan pemberontakan bersenjata terhadap pemerintah Inggeris pada 1948 itu? Tidakkah dia atau pucuk pimpinan PKM pada masa itu tahu bahawa it is a matter of time sebelum kerajaan Inggeris membebaskan tanah-tanah jajahan mereka di serata dunia? Tidakkah dia tahu, Comintern iaitu komunis antarabangsa, telah membuat telahan akan runtuhnya penjajahan pihak Barat setelah tamat Perang Dunia Kedua?
Dia memberi satu jawapan yang cukup tidak meyakinkan saya bila dia berkata bahawa keputusan untuk merampas kuasa secara kekerasan itu adalah atas kehendak sebahagian besar pemimpin kanan PKM. Bila saya bertanya apa pula pendirian peribadinya, dia menjawab bahawa dia merasa masa telah banyak terbuang kerana telah ditipu oleh bekas Setiausaha Agung PKM, Loi Teck yang tidak mengizinkan parti mengangkat senjata sebaik-baik sahaja Jepun menyerah kalah seperti yang dikehendaki kebanyakan pemimpin kanan parti.
Bila saya tanya lagi, apakah dia yakin yang PKM boleh menang melawan Inggeris, dia tidak menjawab soalan saya. Inilah sifat seorang pemimpin politik yang cuba hendak diagung-agungkan oleh sesetengah pihak di Malaysia. Maksud saya, dengan mendiamkan diri kepada soalan saya itu, dia mengelak daripada dituduh oleh saya sebagai seorang pemimpin yang gagal membuat keputusan waras dan bijak khususnya dalam suatu isu yang melibatkan kemusnahan nyawa, harta benda dan kerosakan negara. Saya harap jawapan saya ini dapat difahami pihak-pihak yang mengagungkan Chin Peng.
Sejak kebelakangan ini, ada pihak cuba mengangkat dan mahu komunis diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara. Komen Tan Sri?
Abdul Rahim: Soal ini telah banyak dikupas dalam coretan saya dalam Mingguan Malaysia. Mungkin pihak-pihak yang berminat boleh merujuk kepada coretan-coretan saya itu. Dipendekkan kata, tujuan PKM adalah untuk menubuhkan sebuah negara sekular republik komunis Malaya (termasuk Singapura) dengan cara merampas kuasa politik daripada pemerintahan penjajah Inggeris secara tumpah darah. Dalam proses itu, seluruh tenaga propaganda dan dakyah PKM menyeru penduduk Tanah Melayu supaya ikut serta perjuangan mereka kononnya untuk menghalau penjajah Inggeris. Tetapi, seperti yang telah saya kupas dalam coretan saya di Mingguan Malaysia, langkah merampas kuasa dan menghalau Inggeris itu adalah bersifat incidental (secara kebetulan) sahaja.
Sekalipun Malaya, misalnya, tidak di bawah naungan penjajah Inggeris pada masa itu, PKM akan tetap menumbangkan sesiapa jua yang merupakan pemerintah Tanah Melayu. Sebabnya ternyata dalam Perlembagaan PKM menyebut ada tiga tahap perjuangan PKM: pertama, merampas kuasa politik secara kekerasan terhadap pihak berkuasa; kedua, menyusun semula masyarakt mengikut lunas-lunas ajaran komunis; ketiga, dan ini akan mengambil masa lebih lama, mewujudkan masyarakat komunis di Tanah Melayu dengan erti kata bahawa semua warganegara Malaya akan akhirnya dijadikan orang komunis tidak kira latar belakang keturunan, budaya atau agama.