PENDEDAHAN oleh akhbar Utusan Malaysia sejak kebelakangan ini tentang kelemahan penguatkuasaan khususnya kes penyeludupan arak dan rokok, mesin judi haram dan yang terbaharu pencerobohan tanah oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) di Cameron Highlands, menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa penjawat awam kurang integriti.
Namun, tidak adil untuk kita mengatakan semua penjawat awam korup, tidak berintegriti atau kurang nilai amanah dan terlibat dalam rasuah kerana pada lazimnya, hanya segelintir kecil yang terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab ini.
Begitupun, disebabkan perbuatan mereka ini, imej keseluruhan perkhidmatan awam terpalit dan terjejas, sedangkan sebahagian besar penjawat awam bekerja dengan jujur serta amanah. Bak kata pepatah Melayu "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".
Jika dilihat dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014, Malaysia berada di kedudukan ke-50 daripada 175 negara iaitu naik tiga anak tangga berbanding tahun sebelumnya. Dalam konteks Asia Tenggara, kedudukan Malaysia jauh lebih baik berbanding negara-negara lain, kecuali Singapura yang sentiasa berada di kedudukan 10 terbaik.
Harus diingat dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara membangun pertama menubuhkan agensi untuk memerangi rasuah iaitu Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1967. Malah, pelantikan bekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Harun Hashim sebagai Ketua Pengarah BPR yang pertama sudah cukup menunjukkan keseriusan kerajaan dalam membanteras rasuah.
Tiada pihak berani melanggar undang-undang atau menawarkan rasuah sekiranya pihak berkuasa tegas dalam penguatkuasaan. |
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, BPR yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa kes yang disiasat termasuk melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta menteri dan menteri besar dengan menghadapkan mereka ke muka pengadilan atas dakwaan terlibat dalam rasuah.
Operasi besar-besaran yang dilakukan oleh SPRM ini termasuk melibatkan isu pembalakan dan penerokaan haram tanah di negeri-negeri tertentu juga merupakan bukti iltizam kerajaan untuk membanteras gejala rasuah supaya tidak menjadi barah yang boleh merosakkan masyarakat dan negara.
Dalam konteks negara kita, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan rasuah dalam kalangan penjawat awam dan golongan lain. Faktor pertama ialah deprivasi relatif. Pendapatan 75 peratus warga Kuala Lumpur ialah di bawah RM3,000. Walaupun golongan yang ada sedikit untuk dibelanjakan ini bukan golongan miskin tegar, tetapi mereka menghadapi banyak masalah dan bergelut untuk hidup.
Masalah ini kita sifatkan sebagai deprivasi relatif kerana mereka tahu orang kaya hidup begitu mewah dan mereka merasakan seperti golongan yang tercicir. Mereka mempunyai keinginan untuk memiliki kebendaan dan jika ada peluang, mereka akan menerima rasuah.
Seterusnya faktor kedua ialah keinginan memperoleh barangan tertentu yang kita boleh sifatkan sebagai budaya kebendaan. Akhirnya seluruh masyarakat terperangkap dalam budaya kebendaan ini dan menyebabkan mereka terlibat dalam rasuah.
Faktor ketiga ada kaitan dengan budaya kebendaan ini iaitu hutang. Kita boleh lihat memiliki barangan tertentu termasuk kenderaan menjadi trend kepada masyarakat, walaupun pendapatan mereka rendah. Akibatnya, mereka terperangkap dalam hutang dan mencari peluang menambah pendapatan.
Bagi membanteras rasuah, penguatkuasaan undang-undang yang tegas merupakan cara paling berkesan. Kelemahan aspek ini juga antara faktor berlakunya rasuah. Langkah kerajaan memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mungkin memberikan sedikit kesan tetapi tidak begitu efektif berbanding ketegasan penguatkuasaan undang-undang.
Kalau nampak orang buat salah, terus ambil tindakan dan jangan berkompromi. Kadang-kadang kita berkompromi kerana kasihan dengan orang itu mungkin dia orang susah. Namun, kita perlu ambil tindakan untuk kebaikan dia juga iaitu untuk mengubah dan memperbaiki karakter orang itu. Sama macam kita ambil tindakan ke atas anak-anak, bukan kita tidak sayang tetapi kerana sayang.
Kerajaan juga harus menggubal undang-undang baharu yang dengan jelas melarang sanak-saudara terdekat kepada pemegang jawatan, mereka yang ada kuasa meluluskan projek di peringkat negeri dan Persekutuan daripada membuat bidaan terhadap projek.
Budaya orang tengah juga perlu dihapuskan kerana ia merupakan antara punca rasuah. Kalau kita boleh beli secara terus daripada sumber, kenapa kita perlu lantik orang tengah atau ejen dan fasilitator ini? Kalau lantik mereka ini atas nama hendak menggalakkan perniagaan, mereka ini bukan ahli perniagaan sebenar yang menguasai kemahiran tertentu.
Semua wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga harus mengisytiharkan harta benda, aset dan liabiliti mereka serta keluarga terdekat kepada SPRM dan perlu dikemas kini setiap tahun atau dua tahun. Orang ramai yang hendak tahu tentang maklumat ini juga boleh mendapatkannya daripada SPRM.
Di samping itu, perlu ada undang-undang yang mewajibkan setiap sumbangan daripada syarikat dan individu kepada parti atau individu diumumkan kepada rakyat. Mesti ada undang-undang yang mewajibkan pengisytiharan ini. Jika semua undang-undang ini dapat diwujudkan, amalan rasuah dapat dielakkan.
Kalau kita benar-benar faham tentang amanah, undang-undang ini datang kemudian sebab amanah ada dalam DNA kita. Akhir sekali, saya menyanjung tinggi peranan Utusan Malaysia dalam mendedahkan isu mesin judi haram serta kegiatan haram lain dan soal Cameron Highlands. Utusan Malaysia telah memainkan peranan yang amat cemerlang.