Alvin Tan, Ali Abdul Jalil dan Fahmi Zainol adalah tiga nama yang menjadi sorotan sejak beberapa minggu ini. Alvin adalah penulis blog seks. Ali aktivis politik yang cenderung mahu mengubah Malaysia menjadi negara republik manakala Fahmi politikus kampus dari Universiti Malaya (UM).
Ada persamaan daripada ketiga-tiga aktivis ini. Mereka masih muda dan mendapat banyak keistimewaan berbanding begitu banyak anak muda lain. Alvin yang dibuang dari universiti Singapura ialah pemegang biasiswa ASEAN manakala Fahmi menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.
Ada kecenderungan dalam kalangan mereka meraih populariti dengan menonjolkan diri sebagai aktivis, pejuang dan hero baharu hak asasi acuan parti pembangkang. Mereka bangga melakukannya tetapi sehingga ke tahap melampau iaitu melanggar batas kepatutan dan undang-undang. Mereka adalah ekstremis.
Mereka bermegah-megah melakukan apa yang disukai, bercakap besar dan berdegar-degar tetapi apabila dikenakan tindakan, berubah menjadi bacul. Alvin dan Ali malah menyusup keluar melarikan diri daripada proses undang-undang dan memohon suaka di negara asing.
Alvin seperti tiada hati perut dan pentingkan diri sendiri meninggalkan pasangan intimnya, Vivian Lee untuk menghadapi tindakan mahkamah dan kemarahan rakyat Malaysia bersendirian. Lelaki berusia 26 tahun ini yang mendapat perlindungan pelbagai NGO hak asasi tidak pernah insaf malah terus melakukan provokasi.
Alvin Tan
Ali Abdul Jalil
Fahmi Zainol Abidi
Ali yang disiasat atas dakwaan menghina institusi raja kini berada di Sweden. Pelik, dia mempertikaikan institusi raja tetapi mencari perlindungan di Sweden, sebuah negara yang mengamalkan kerajaan beraja. Tidak tahu pejuang jenis apa orang ini.
Barangkali gambaran aktivis pembangkang, Hishamuddin Rais yang pernah hidup dalam buangan di United Kingdom dan Belgium ada benarnya. Hishamuddin yang sehingga kini digambarkan masih terbuang memberi nasihat agar mereka meneruskan perjuangan bukan melarikan diri untuk mencari kerja atau membuka restoran tomyam.
Bagaimana nasib mereka kelak? Setakat ini kerajaan telah bertindak betul yakni, bertindak tegas. Hanya itu yang dapat menjawab provokasi dan keangkuhan mereka mencabar undang-undang serta kesabaran majoriti rakyat Malaysia. Berapa ramaikah rakyat Malaysia yang telah dikenakan tindakan sebegini?
Walaupun tindakan terbaharu menarik balik pasport kedua-duanya dikecam pengamal undang-undang propembangkang tetapi kerajaan bertegas bahawa mereka juga ada hak. Mereka dahulu yang mencari pasal, terimalah akibatnya.
Sekali lagi, jika kedua-dua pencari suaka ini pejuang sebenar hadapilah segala risiko seperti seorang pejuang sejati. Jangan baling batu sembunyi tangan. Jangan hanya berani berlindung di sebalik NGO hak asasi antarabangsa tajaan musuh Islam yang memang mempunyai tujuan buruk ke atas Malaysia.
Fahmi, 23, yang dikaitkan dengan peristiwa menggempur pagar UM demi membela Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dikenakan hukuman kerana meliwat pembantunya sendiri, kini bertindak sebaliknya.
Dia bersama tujuh pelajar lain yang kini sedang bertungkus lumus mengumpulkan kekuatan fizikal untuk menghalang UM daripada mengambil tindakan terhadapnya, hanya menggambarkan kecelaruan perjuangannya.
Bukankah dia yang dilaporkan berkata "saya bersedia untuk dipecat, untuk dipenjara, apa pun demi menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik"? Tetapi apabila hanya dikenakan tindakan gantung pengajian dua semester sudah menggelabah dan melatah.
Tiba-tiba terpacul di mulutnya pertanyaan "apa perasaan ibu bapa saya?" Tiba-tiba setelah dikenakan tindakan dia merintih tentang perasaan ibu bapanya yang menanti-nanti saat dia bergraduasi.
Dahulu semasa pihak universiti memberi nasihat dan kemudian amaran, pandai pula membuat provokasi tiada masalah jika dikenakan tindakan. Jangan hanya fikirkan hak sendiri tetapi mentah-mentah menafikan hak pihak lain.
Tiada masalah untuk Fahmi, contohnya menganjurkan kempen menentang rasuah atau pemuliharaan alam sekitar. Tetapi isu-isu rakyat ini tidak popular dan sukar untuk mengurusnya selain kurang mendapat perhatian.
Yang mudah ialah menggunakan kuasa sebagai pemimpin pelajar atas isu-isu popular. Fahmi ternampak berani apabila Anwar mengangkat tangannya sebagai pejuang pada malam pintu pagar UM dirempuh 27 Oktober lalu. Malangnya dia mudah kecut untuk menghadapi hukuman walaupun seringan digantung pengajian dua semester.
Apa yang mahu Fahmi lakukan dua semester ini? Kalau ikut nasihat Hishamuddin, ‘pejuang’ pelajar 1974, jangan jadi peniaga tomyam. Dan, mungkin juga Fahmi akan terus digunakan oleh PKR, DAP dan Pas berkeliling Malaysia untuk tujuan kepentingan politik mereka.
Tetapi itulah gambaran yang boleh diberikan kepada ‘pejuang’ muda ini. Ketiga-tiganya hanya berani membuat provokasi tetapi tidak sanggup pula mengambil risiko sebagai orang perjuangan. Barangkali mereka hanya syok sendiri, tidak lebih hanya pejuang tomyam.