kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Janganlah lupa golongan pertengahan

Kini sudah lebih dua bulan Bajet 2015 bertemakan “Ekonomi Keperluan Rakyat” dibentangkan, adakah anda masih ingat kandungan utamanya. Pasti yang kita tidak lupa ialah pemberian setengah bulan bonus untuk kakitangan awam dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula pada 1 April 2015.


Mapuh keghah la puok-puok ning !

Harap-harap pemberian bonus itu tidak diikuti dengan sedikit kenaikan harga barangan pengguna. Khabarnya pada Januari depan kerajaan juga bercadang akan menurunkan lagi harga runcit petrol dan diesel.

Adakah dengan penurunan bahan api itu akan diikuti dengan penurunan harga barang keperluan lain? Jangan kita terlalu berharap sebab biasanya perkara ini sukar menjadi kenyataan – harga barangan cepat naik tetapi lambat turun.

Apa pun, selepas kerajaan memutuskan menghapuskan subsidi bahan api, kesannya ada dua. Legalah pemilik kenderaan kalau trend penurunan harga minyak mentah dunia berpanjangan.

Tetapi pengeluar minyak dunia tidak akan membiarkan mereka terus rugi, akan dicari jalan supaya harga bahan api dunia kembali pulih dan naik semula. Pada ketika itu, kita sebagai pengguna akan rasa bebanannya. Bukan sahaja harga bahan api itu naik, malah dikuti dengan kenaikan harga barangan lain.

Jika harga minyak mentah dunia naik pada masa akan datang, barangkali kerajaan akan berusaha melindungi golongan berpendapatan rendah dengan pemberian subsidi dalam bentuk baharu – mungkin pemberian kupon harga minyak atau apa sahaja.

Bagi golongan kaya, turun dan naik harga petrol atau diesel tidak menjadi “kudis” kepada mereka, hal ini berbeza kepada golongan pertengahan. Mereka ini selalunya terkapai-kapai, tidak siapa peduli. Kos pengangkutan naik, begitu juga kos sara hidup.

Jika difikir-fikirkan, barangkali kehidupan tanpa bergaji besar pun tidak mengapa, malah mungkin untung sedikit. Misalnya, kalau dalam satu rumah, suami dan isteri yang bekerja dibantu oleh dua anak mereka juga bekerja dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 bermakna dalam sebulan pendapatan keluarga itu mencapai hampir RM12,000.

Cuba bandingkan dengan pasangan baharu berkahwin dengan pendapatan suami dan isteri masing-masing lebih RM4,000 sebulan, bermakna keluarga itu berpendapatan bulanan melebihi RM8,000.

Jika diteliti, mereka berada dalam golongan yang rugi. Sebab apa dikatakan rugi – kerana mereka sudah dikategorikan golongan pertengahan. Mereka ter­masuk dalam kumpulan yang ti­dak layak menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Go­lo­ngan pertengahan ini juga tidak mampu membeli rumah mewah ratusan ribu ringgit dewasa ini dan tidak layak untuk membeli rumah kos rendah.

Pada awal Disember lalu saya ada berurusan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jalan Duta, Kuala lumpur. Saya lihat orang ramai berpusu-pusu pada waktu pagi mengerumuni kaunter pendaftaran permohonan baharu BR1M.

Pelbagai kaum sibuk mengisi borang, sebab tahun 2015 bantuan BR1M sudah ditingkatkan da­ri­pada RM650 kepada RM950 ba­gi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah. Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, bantuan BR1M akan ditingkatkan daripada RM450 kepada RM750.

Rugilah golongan berkeluarga yang berpendapatan lebih RM­4,000 sebulan sebab mereka yang bergaji bawah RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai. Golongan berpendaptan lebih RM4,000 terpaksa membayar cukai pendapatan setiap tahun. Golongan berpendapatan melebihi paras kemiskinan mendapat bermacam-macam faedah itu dan ini termasuk pemberian BR1M dan mereka tidak perlu pening kepala memikirkan soal bayar cukai pendapatan.

Bagaimanapun mulai tahun 2015, golongan yang berpendapatan lebih daripada RM4,000 sebulan akan mendapat pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak satu hingga tiga peratus. Terima kasih kerajaan. Tapi kalau lambat isytihar cukai taksiran tahun semasa, kena denda pula 15 hingga 20 peratus daripada jumlah kena cukai. Aduh!

Apa pun kerajaan amat prihatin akan nasib golongan bawahan. Tetapi bagaimana dengan taraf hidup golongan pertengahan. Tidakkah mereka juga patut dibantu. Jangan lupa, mereka juga penyokong parti kerajaan. Golongan ini ada dalam sektor kerajaan, sektor swasta dan bekerja sendiri.

Golongan pertengahan ini kadang-kadang tersepit dengan perbelanjaan keluarga kerana apabila harga barang naik, mereka tidak ada pilihan terpaksa juga membeli.

Kerajaan kena pandang-pandang dan jeling-jeling golongan pertengahan. Walaupun golongan ini yang disebut sebagai “bos pun bukan, orang bawah pun bukan" tetapi bukan semua mereka mampu beli.

Merekalah golongan pertengahan yang tidak mampu membeli rumah mewah ratusan ribu ringgit dan juga tidak layak untuk membeli rumah kos rendah. Kalau ada pun rumah yang mampu dimiliki, ia terletak jauh dari kawasan bandar dan tempat kerja.

Jika mereka mengharapkan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), barangkali tidak layak. PR1MA ialah satu program perumahan khusus untuk warganegara yang berpendapatan sederhana dengan gaji bulanan tidak lebih daripada RM6,000 sebulan. Program tersebut adalah untuk kakitangan kerajaan dan pekerja swasta. Rumah PR1MA dijual pada harga diskaun daripada RM150,000 hingga RM300,000. Harganya adalah sama kepada pembeli bumiputera dan bukan bumiputera.

Di samping kerajaan membela nasib golongan bawahan, kedudukan dan kos sara hidup yang ditanggung oleh golongan kelas pertengahan juga elok diberi perhatian. Dalam menjaga kebajikan rakyat, golongan pertengahan jangan dilupakan begitu sahaja. Sudah bertahun-tahun, golongan ini selalu diabaikan.

Mereka ialah golongan pembayar cukai. Mereka berhak menerima apa-apa manfaat daripada pelbagai dasar kerajaan, sebagaimana dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah.

Ingatlah mereka terdiri daripada kumpulan utama yang menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara. Jangan biarkan mereka bagaikan melukut di tepi gantang. Jadi berilah perhatian dan kembalikan kekuatan ekonomi golongan pertengahan ini.

Tags: ekonomi, gaji
Subscribe

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments