kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melayu jangan takut mencuba

UTUSAN: Apakah pendapat Tan Sri mengenai pandangan sesetengah pihak yang mempertikaikan keupayaan pelajar Melayu ketika ini?



Tan Sri Arsha Ayub

ARSHAD: Peluang pendidikan kepada anak-anak Melayu sebenarnya telah disediakan oleh kerajaan bermula di peringkat sekolah hinggalah ke institusi pengajian tinggi (IPT). Jadi terpulang kepada mereka yang bertanggungjawab mengurus institusi pendidikan ini sama ada guru besar, pejabat pelajaran atau pengurusan IPT untuk melaksanakan dasar-dasar melibatkan pendidikan yang digariskan oleh kerajaan.

Saya tidak mahu tuduh sesiapa. Kalau di sekolah, tanggungjawab mendidik para pelajar adalah terpulang kepada guru, dialah menjadi katalis (pemangkin), menggalak, memberi manfaat dan menunjukkan.

Bila bercakap mengenai guru, ia termasuklah di universiti-universiti. Kalau kita perhatikan pada hari ini, kerajaan telah buat pelbagai kaedah sama ada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan lain-lain tetapi isinya perlu dikotakan.

Sebagai contoh di UiTM, kerajaan telah menyediakan kemudahan pendidikan kepada pelajar Melayu dan bumiputera, jadi terpulanglah kepada pensyarah-pensyarah, Naib Canselor dan pucuk pimpinan universiti untuk melaksanakannya. Di mana-mana pun, universiti, sekolah atau rumah, siapa yang memimpin itulah yang paling mustahak. Sesetengah orang ada lapan orang anak, tapi dia berjaya memimpin kesemua anaknya masuk universiti.

Kerajaan sediakan kemudahan sahaja, tapi kita yang menggunakan sepenuhnya (kemudahan itu). Masing-masing ada tugas. Perancangan untuk pendidikan anak-anak Melayu sebenarnya telah disediakan. Cumanya orang menjalankan pengurusan kemudahan pendidikan itu perlu pastikan adakah para pelajar mengambil kesempatan menggunakan kemudahan tersebut.

Kalau tanya saya, majoriti pelajar mengambil kesempatan ini dan tidak ada orang nak membazir kemudahan yang disediakan, mungkin ada tapi peratusannya terlalu kecil. Namun, dalam apa-apa pelaksanaan perancangan tidak boleh dinafikan mesti ada sedikit kelemahan, tidak ada 100 peratus sempurna, tapi mesti ada bilangan yang signifikan menggunakan manfaat tersebut untuk membangunkan pelajar. Tenaga pengajar mesti faham tugas mereka.

Dasar kerajaan cuma menyediakan sahaja, yang memantau ialah pihak yang terlibat menguruskan kemudahan pendidikan tersebut.

Kalau di UiTM, Timbalan Cancelor ada empat, tapi UiTM ini besar dan cabarannya adalah tinggi untuk melaksanakan dasar itu kerana mempunyai kampus di setiap negeri, ada kampus bandar lagi. Ada sesetengah pihak berpendapat sebab kita banyak, kualiti turun...pada saya tidak.

Di UiTM kita ada banyak profesional, macam sesi ini (Konvokesyen UiTM Ke-81) ini, kita ada 31,000 graduan. Katakan kalau satu peratus gradu­an kurang cemerlang, ia tidak boleh mewakili semua tidak elok.

Apa pandangan Tan Sri mengenai pencapaian keseluruhan anak-anak Melayu, apakah mereka sudah cukup berjaya atau sebaliknya?

Pencapaian anak-anak Melayu memang sudah tinggi, tetapi kalau kita ambil nisbah 65 peratus populasi orang Melayu ianya masih tidak cukup. Contohnya dalam bidang perakaunan, berapa bilangan anak Melayu sebagai akauntan profesional? Ia masih tidak cukup. Dengan populasi kira-kira 65 peratus maka sekurang-kurangnya kita perlu ada 65 peratus doktor Melayu. Komposisi kita belum capai lagi, masih jauh. Angka itu perlu dipertingkatkan. Banyak yang perlu kita tingkatkan, seperti jurutera.

Kita kena tanya mengapa kita tidak boleh hasilkan ramai profesional Melayu? Hal ini kerana sesetengah pelajar tidak berminat menjadi profesional seperti jurutera, akauntan, juruukur bahan dan juruukur tanah selain kursus insurance dan marketing yang bagus untuk menjalankan perniagaan.

Oleh kerana kita berpuas hati hanya dengan mendapat ijazah, kita tidak mahu ceburkan diri dalam bidang profesional kerana takut tak lulus peperiksaan (badan profesional).

Ini pemikiran yang perlu diubah, bukan kita tidak boleh buat, sebenarnya boleh. Saya pernah melanjutkan pengajian dalam bidang pertanian, ada banyak benih. Ada benih yang elok, ada benih yang tidak elok. Kalau benih yang elok, kita tanam dan biarkan, hasilnya kurang. Tapi kalau benih yang tidak elok kita jaga, bagi baja, jirus air, jaga serangga, hasilnya lebih baik daripada benih yang elok tadi.

Ada pandangan mengatakan sekolah vernakular antara punca pola­risasi kaum di negara ini. Apa pendapat Tan Sri dan apakah wujud kelemahan dalam sistem pendidikan negara?

Kita tidak boleh nak adakan hanya sekolah kebangsaan, tidak boleh...perang besar kita. Cuma kalau tanya saya, kita perlu memperkuat, memperhebatkan sekolah kebangsaan. Hari ini kalau sekolah kebangsaan, boleh atau tidak orang Melayu belajar bahasa Cina? Tidak ada opsyen belajar bahasa Cina di sekolah kebangsaan. Patutnya kita dulu dalam undang-undang kalau ada 15 bahasa di negara ini perlu adakan bahasa-bahasa lain di sekolah kebangsaan sebagai subjek elektif.

Kalau dulu dah ada subjek bahasa lain di sekolah, orang Melayu boleh belajar bahasa Cina. Sekarang bila di universiti baru boleh belajar bahasa Cina, Tamil, Arab, Perancis. Kalau sekarang kalau nak perkasakan sekolah kebangsaan, perlu ada subjek bahasa lain sebagai elektif manakala bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, kita ada bahasa elektif. Orang Melayu boleh menguasai bahasa ibunda, bahasa Inggeris selain bahasa Cina dan Tamil.

Hari ini kalau lihat sekolah pendidikan awal seperti taska, ada yang guna bahasa Melayu, ada bahasa Cina ada bahasa Inggeris, bahasa Tamil. Begitu juga sekolah rendah, ada sekolah rendah kebangsaan, ada sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan juga ada sekolah baharu iaitu sekolah antarabangsa yang guna bahasa Inggeris begitu juga dengan sekolah menengah. Jadi siapa yang hantar anak-anak ke sekolah antarabangsa itu, orang ada duit. Jadi masa depan orang kaya hantar anak mereka ke sekolah antarabangsa, luar negara untuk belajar, dia ada duit, tak apalah. Tapi orang kita yang tidak ada duit macam mana? Orang kita di kampung ini hanyalah sekolah kebangsaan belajar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sekolah kebangsaan mesti diperhebatkan. Kita tidak ada harapan lain lagi. Kalau nak bangunkan golongan muda, semuanya terletak kepada sekolah kebangsaan terma­suk taska.

Ada pandangan bahawa jati diri orang Melayu makin terhakis selain masih mempunyai mentaliti bergantung kepada bantuan kerajaan. Apa pendapat Tan Sri?

Orang Melayu perlu ada perubahan pemikiran. Kalau sebut mengenai bantuan, memang kita berkehendakkan bantuan, tapi berapa lama kita hendakkan bantuan? Dasar Ekonomi Baru (DEB) dulu ada masalah sedikit kerana krisis ekonomi pada 1997, kalau tidak kita dah maju dah. Sekarang bangsa lain nak masuk bekerja dengan kerajaan tapi orang Melayu nak bekerja di syarikat Cina susah sikit, dia nakkan bahasa Mandarin.

Tapi UiTM dah adakan kursus bahasa Mandarin selain bahasa asing­ lain Jerman, Arab, Perancis. Tiga tahun diploma, tahun pertama pelajar kena belajar sama ada bahasa Jepun, Mandarin atau Tamil. Untuk tahun kedua dan ketiga, kena belajar bahasa Jerman, Perancis dan Russia. Itu dululah sebagai subjek.

Melayu kena fikirkan survival. Kalau nak survive macam mana? Kita nak cari rotan, tapi tak ada rotan, akar pun jadi. Sekarang ini persaingan, persaingan, persaingan...bukan lagi persaingan dalam negeri tapi persaingan luar negara juga.

Saya berpegang teguh dengan pendidikan untuk memastikan survival orang Melayu, tidak ada jalan lain lagi.

Ada persepsi di kalangan pelajar bahawa ijazah pertama sudah cukup untuk mereka mendapatkan pekerjaan yang baik dan tidak perlu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Mengapa wujudnya persepsi sedemikian?

UiTM sahaja mengeluarkan kira-kira 4,000 graduan perakaunan termasuk diploma. Dari jumlah itu saya tidak jangkakan setiap daripada mereka pergi ke tahap profesional. Kita ni kalau dah manja, selalu bergantung. Tapi kalau anak yang ada kemampuan tak ada masalah tapi ada anak-anak yang miskin inilah UiTM kena bantu dengan yuran peperiksaan profesional. Tetapi bila pelajar itu ada ijazah sebenarnya yurannya tidak besar hanya anggaran RM4,000 sahaja. Jadi kalau bercakap soal bantuan, subsidi inilah yang diperlukan.

Kita bantu mereka bayar RM4,000, lepas itu bila dah keluar, dapat pengiktirafan profesional, kita minta baliklah daripada dia.

Bagaimana Tan Sri melihat secara perbandingan di antara pelajar sekarang dengan pelajar dahulu dalam mendepani sesuatu isu tertentu.

Masa saya dahulu tidak ramai dapat peluang pendidikan, sekarang dah ramai. Dulu kurang gangguan, tidak ada televisyen, apa-apa. Maknanya lebih menekankan pendidikan, nak kata minat susah juga sebab kita tidak ada kaunselor, apa pun tak ada..kita nak jadi doktor ke apa ke. Sekarang ada banyak kaunselor. Dulu kemudahan tidak ada, sekolah saya dulu sains pun tak ada, saya cuma bagus dalam matematik, bahasa Inggeris pun kurang membaca.

Walaupun hari ini pelajar terlibat dalam politik, kita kena terima kerana politik adalah sebahagian daripada kehidupan, tidak boleh lari daripada itu. Tetapi janganlah politik itu sehingga pergi demonstrasi, keluar tak pasal-pasal menjahanamkan, buat apa? Politik boleh, tapi lebih baik tumpu kepada diri dahulu seperti kemudahan kampus dan pensyarah. Jangan fokus terlalu banyak di luar. Kalau nak fokus di luar, masa dah keluar (tamat pengajian) tapi sebelum itu perlu pastikan melengkapkan diri dengan persediaan sebanyak mungkin.

Sebenarnya terpulang kepada pelajar sendiri sama ada dah cukup matang atau tidak. Jika suka diperkudakan, tak apalah. Walaupun pelajar adalah pemimpin masa depan, tapi kena belajar.

Kita orang Melayu ini, tak usah ada mentaliti yang terlalu susah. Jangan rasa susah, kita buat dan jangan bising-bising sangat.

Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments