kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berhubung cara pantas dalam era Ict

DALAM era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini, hampir segalanya berdasarkan kepantasan.

Perubahan dalam teknologi komunikasi



Bukan saja manusia terutama generasi muda semakin diasuh dalam budaya realiti maya dan perolehan maklumat secara real time iaitu secara langsung pada masa dan saat yang sama dengan berlakunya apa-apa perkara, tetapi semakin jelas telah muncul budaya ‘kepuasan segera’, yang mencerminkan kecenderungan untuk:

- Tidak mahu menunggu lama untuk apa jua, seperti tidak sabar menunggu muat turun data atau maklumat dan mahukan broadband yang sepantas mungkin.

- Komunikasi segera dan pantas.

- Komunikasi yang diolah semula pendekatannya, demi kepantasan, dengan menggunakan perkataan yang serba disingkatkan dan yang hanya berasaskan bunyi semata-mata serta simbol yang mencerminkan perasaan dan respon kepada sesuatu.

- Komunikasi yang serba ringkas sehingga tidak dapat menyampaikan dengan jelas intipati apa yang diperkatakan atau apa jua emosi dan perasaan di sebalik komunikasi tersebut.

Masyarakat telah diperkenalkan dengan penceraian melalui pesanan ringkas. Begitu juga aktiviti antisosial dan merosak masyarakat melalui hubungan secara maya, dengan komunikasi menggunakan Twitter dan aplikasi lain media sosial. Pendek kata hampir segala komunikasi merupakan ‘komunikasi talian’, dipercepatkan oleh ICT.

Persoalannya adakah semua itu benar-benar ‘komunikasi’ atau semata-mata ‘berhubung’?

Komunikasi pastinya sewajarnya, melibatkan pelbagai faktor seperti: adanya fahaman mendalam tentang apa yang dilafazkan melalui proses menekan butang-butang di komputer atau telefon bimbit; penghayatan tentang kesan pesanan pendek yang dihantar dan diterima, khususnya apabila tidak cukup jelas atau tidak lengkap menyampaikan apa jua hasrat; komunikasi dua hala dengan berhemah dan cermat, untuk mengelakkan selisih faham.

Contohnya dalam komunikasi secara persuratan yang memberi ruang secukupnya untuk penjelasan dan penerangan, serta bertukar-tukar pendapat secara mendalam, semangat berkomunikasi tetap segar.

Bagaimanapun, dalam era hubungan cara ICT, khususnya melalui komunikasi ringkas dan pantas, komunikasi sebenarnya semakin terhakis terutama apabila:

- Kata-kata yang dilafazkan itu dibuat tanpa fikir panjang atau mendalam dan dibuat semata-mata secara spontan.

- Individu boleh berselindung di sebalik identiti palsu di alam maya yang sukar disusuli atau dikesan seperti mereka yang berniat jahat untuk menarik perhatian sasaran tertentu, untuk motif-motif negatif.

- Semakin hilang keupayaan di kalangan anak muda untuk benar-benar berkomunikasi, terutama secara bersurat.

- Apabila komunikasi bertahan hanya setakat saat segala yang diperkatakan, ditiadakan dengan menekan butang ‘delete’.

Jelas bahawa generasi muda semakin tidak berupaya berkomunikasi secara yang lebih meluas daripada aspek-aspek pesanan ringkas. Ekspresi diri sukar dilakukan dalam apa jua bahasa. Mereka tidak akan berupaya menulis karangan atau menjawab soalan yang memerlukan penjelasan panjang lebar.

Mereka akan didorongi oleh desakan untuk mendapat segala-galanya yang mungkin, secara pantas dan segera.

Mereka tidak mungkin berupaya membuat analisis mendalam atas perkara-perkara tertentu kerana telah diasuh berfikir dan bertindak dengan pendekatan serba segera, yang dibolehkan oleh ICT.

Sekarang pelbagai bentuk maklumat, yang positif serta yang negatif, dengan begitu pantas, boleh dimuat naik dan dimuat turun kepada sesiapa dan di mana jua, asalkan ada jaringan Internet dan telefon.

Sangat penting dalam unit-unit keluarga, diawasi bagaimana anak-anak muda menggunakan aplikasi ICT, supaya tidak memudaratkan. Dan dikesan sentiasa ciri-ciri budaya baru generasi muda yang berkemungkinan membawa berunsur-unsur negatif.

Mereka perlu digalakkan menggunakan ICT untuk menambah ilmu dan pengetahuan dan meluaskan minda, serta memupuk nilai-nilai yang berfaedah.

Komputer boleh menyediakan perpustakaan maya, dengan pelbagai penerbitan berfaedah boleh dimuat turun dan meliputi apa jua bidang, seperti sejarah, sains, kesusasteraan dan lain-lain.

Anak-anak kecil dan muda lebih cenderung untuk memuat turun pelbagai permainan dan hiburan. Ini tiada apa salahnya, asalkan tidak mengganggu gugat waktu belajar, melakukan semakan pelajaran, atau pun masa bersama keluarga seperti waktu makan bersama. Wajar juga ibu bapa melengkapkan keupayaan anak-anak mereka mengendalikan ICT, dengan memandu anak-anak mengenal pasti aspek-aspek positif Internet dan ICT yang lain, yang boleh meningkatkan kecerdasan minda dan pemikiran mereka. Dan memberi input positif kepada proses pembelajaran mereka.

Tidak semuanya mesti berlaku dengan segera dan pantas dan di alam maya. Dan ICT mampu digunakan untuk kebaikan kita.

TAN SRI RAFIDAH AZIZ pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.

Tags: ict, komunikasi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments