kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Demokrasi patut hargai suara majoriti, minoriti

Majoriti adalah konsep yang sinonim dengan demokrasi. Demokrasi lahir daripada pemerintahan berasaskan sokongan rakyat terbanyak. Justeru, kita biasa mendengar demokrasi dimaksudkan sebagai kerajaan yang ditadbir suara majoriti. Konsep majoriti dalam demokrasi sememangnya diterima pakai sejak dahulu.

Lebih-lebih lagi, ia membabitkan kepentingan umum melangkaui kepentingan individu. Malah, jika berlaku pertembungan antara kepentingan umum dan peribadi, maka kepentingan umum perlu diutama. Islam turut mengutamakan kepentingan awam. Konsep syura yang berasaskan kepada perundingan dan muafakat memperakukan pandangan ramai dan bukannya kepada suatu aliran pemikiran.

Pertama, musyawarah tidak membabitkan perkara yang diputuskan secara terang dalam al-Quran dan sunah. Ruang lingkup musyawarah hanya mencari penjelasan terhadap perkara ditetapkan dan bukannya mempersoalkan.

Dalam konteks demokrasi, kerajaan perlu mengutamakan suara majoriti yang membentuknya. Ini bertepatan dengan pandangan Lord Bryce dalam buku Modern Democracies yang mendefinisikan demokrasi sebagai, 'as denoting a government in which the will of the majority of qualified citizens rules, taking the qualified citizens to constitute at least three-fourths, so that the physical force of the citizens (broadly speaking) with their voting power'.

Namun, ini tidak bermakna pemerintahan majoriti menafikan hak minoriti. Di Malaysia, kita tetap menghargai kumpulan minoriti dan menerima mereka sebagai rakan kongsi kehidupan saling lengkap melengkapi.

Konsep majoriti dipersoal

Konsep majoriti bagaimanapun semakin dipersoalkan apabila ia dilihat dominasi satu pihak kepada pihak lain. Majoriti dianggap ancaman sehingga timbul istilah 'the tyranny of the majority' seperti diungkapkan oleh John Stuart Mill.

Contohnya, kerajaan yang ada sokongan majoriti rakyat dikhuatiri menggunakan kelebihan itu untuk bertindak sesuka hati sehingga melebihkan tuntutan majoriti serta menafikan hak kumpulan minoriti. Dalam hal ini, kumpulan minoriti berasa tertindas sehingga mendorong mereka memperjuangkan hak mereka.

Keadaan semakin parah apabila gerakan demokrasi liberal semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat yang mahukan kepentingan individu diutamakan atau setanding kepentingan umum. Rakyat perlu diberikan kebebasan mutlak atas segala tindakan dan perbuatan. Kemaraan fahaman demokrasi liberal seolah-olah mencabar konsep majoriti dalam demokrasi, malah sehingga menimbulkan persepsi bahawa minoriti adalah majoriti baharu dalam demokrasi.

Perkembangan ini menarik kerana ia boleh mengubah dimensi dan kelaziman demokrasi. Demokrasi yang menjunjung kepentingan majoriti dan awam tidak lagi adil kepada kumpulan minoriti atas nama keadilan dan hak asasi manusia. Malah, ketegasan UMNO memperkukuhkanmartabat Islam dan kedudukan orang Melayu seperti disuarakan perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dilihat ancaman kepada pihak tertentu sedangkan Melayu dan Islam adalah kaum dan agama majoriti rakyat Malaysia.

Persoalan mengenai majoriti dan minoriti dalam konteks demokrasi tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut mewarnai politik jiran kita, Indonesia. Isu pelantikan Basuki Tjahaja Purnama sebagai Gabenor Jakarta baharu pada 18 November menimbulkan polemik antara kedudukan majoriti dan minoriti di Indonesia. Basuki atau lebih popular dengan panggilan Ahok adalah Gabenor Jakarta pertama berketurunan Cina. Pelantikannya menimbulkan sedikit kontroversi kerana kaum Cina adalah minoriti di Indonesia.

Mereka yang menentang pelantikannya mempersoalkan bagaimana kaum minoriti boleh memimpin kaum majoriti. Pihak yang paling lantang mengkritik pelantikan Ahok adalah Front Pembela Islam (FPI) sehingga mahu mengganggu upacara angkat sumpah. Kumpulan Islamis itu menolak Ahok kerana bukan beragama Islam dan khuatir suara Islam akan terus terpinggir. Ahok bagaimanapun membela dirinya bahawa beliau mampu menjadi pemimpin yang baik dan adil kepada masyarakat Islam.

Malah, dalam acaranya dengan Majlis Ulamak Indonesia, Ahok memberi jaminan beliau bukan anti-Islam. Beliau turut membangkitkan usahanya membantu umat Islam di Belitung seperti memperbesarkan masjid. Untuk menyalahkan Ahok 100 peratus tidak adil kerana beliau diangkat kumpulan majoriti di Indonesia khususnya Jakarta. Malah, kemampuannya diangkat Wali Kota di Belitung sebelum ini adalah pencapaian luar biasa kerana 93 peratus masyarakat di Belitung beragama Islam.

Sudah pasti ada sisi yang baik ada pada Ahok sehingga dipercayai dan diyakini pengundi Islam di sana. Perkembangan yang berlaku mutakhir ini membawa kita persoalan apakah konsep demokrasi tidak lagi mengenal siapa majoriti dan minoriti. Apakah minoriti kini menjadi majoriti baharu dalam demokrasi? Adakah kita bersedia?

Tags: demokrasi
Subscribe

  • Semua akan hilang kerana politik dan berpolitik

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments