kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cinta ke akhir hayat dan Hajat akhir tertunai

TERINGAT cerita beberapa tahun dahulu, penulis pernah membaca kisah cinta sejati Allahyarham Datuk Mustapha Maarof yang menyatakan pendiriannya untuk tidak berkahwin lagi demi cinta luhurnya terhadap arwah isterinya, Allahyarhamah Datin Roseyatimah atau nama sebenarnya Rosnah Jasni yang meninggal dunia pada 14 Disember 1987.

Dan semalam, Mustapha, 79, menghembuskan nafas terakhirnya. Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur, bersebelahan dengan pusara isterinya. Itulah permintaan Allahyarham.

Di tanah perkuburan itu juga tempat bersemadinya jenazah sahabat baik beliau antaranya Seniman Agung Negara, Allahyahram Tan Sri P. Ramlee, Biduanita Negara, Puan Sri Saloma Ismail, Aman Ramli Jaafar (AR Tompel) dan sahabat karibnya yang juga wartawan terkenal, Allahyarham Aimi Jar.

Dilahirkan pada 1 Januari 1935, Mustapha dianggap hero legenda Malaya kerana terkenal dengan lakonannya menerusi beberapa buah filem Melayu klasik seperti Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Naga Tasik Chini, Yatim Mustapha, Hang Tuah, Seri Mersing dan puluhan karya lain.

Pertama kali menjejakkan kali di Cathay Keris Film yang terletak di Singapura pada awal 1955, kerjaya seninya bermula selaku pelakon tambahan dengan membintangi filem Pendekar Bujang Lapuk yang diterajui tiga sekawan, P. Ramlee, Allahyarham Datuk Aziz Satar dan Allahyarham S. Shamsuddin.



Mustapha Maarof menunjukkan potret arwah isterinya, Roseyatimah di kediaman beliau ketika ditemuramah oleh Utusan Malaysia di Subang Jaya pada hujung 2011. Utusan/Amin Farij Hasan

Kemudian, rentetan perjalanan seninya semakin cemerlang tatkala menjadi pelakon pembantu dalam filem Hang Tuah, sekali gus mencipta populariti tersendiri di persada filem Melayu ketika era itu.

Kariernya terus berkembang maju apabila Mustapha diberi kepercayaan mendukung watak utama beberapa filem Melayu seperti mana yang disebutkan di atas, lalu menjadikannya antara pelakon lelaki Malaya yang disegani sebaris dengan rakan seperjuangannya.

Malah, kekacakannya menjadi pujaan wanita Malaya dan secara tidak langsung menambahkan lagi kemasyhuran dan kegemilangannya.

Kacak, segak dan bercakap dengan penuh tertib, itu imej peribadi yang tersimpan kemas dalam sanubari setiap yang mengenali insan berhemah tinggi ini.

Jarang sekali dia berbicara tentang hal-hal negatif, jauh sekali melemahkan semangat manusia lain.

Dalam bicara, dia banyak merangsang minda sesiapa jua lawan bicaranya supaya sentiasa mengingati Allah dan berpegang teguh kepada prinsip ‘ buat jahat jangan sekali.’

Merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Mustapha Azahari Maarof itu mengakhiri karier lakonannya menerusi dua buah filem epik iaitu 1957 Hati Malaya (2007) dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang pada (2009).

Ketika hayatnya, Mustapha pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuklah Anugerah Veteran dalam Festival Filem Malaysia ke-10 dan Anugerah Tokoh Perfileman Finas 2010.

Pun begitu, selain dikenali sebagai tokoh perfileman Melayu, Mustapha merupakan waris kepada pengasas Bank Kebangsaan Melayu, Maarof Zakaria yang telah menubuhkan institusi kewangan tersebut di Klang Street, Kuala Lumpur ketika era pra merdeka.

Arwah ayahnya itu merupakan seorang peguam yang berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan dan pernah menjawat jawatan awam sebagai pegawai daerah di Perak.

Namun, kebanggaan yang dikecapi Maarof sementelah menubuhkan bank berkenaan tidak mampu dinikmati dalam tempoh yang lama apabila dia mati dibunuh di Lake Garden, Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Taman Tasik Perdana) enam bulan selepas itu.

Segalanya dikatakan berpunca apabila ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keberaniannya menubuhkan bank berkenaan.

Ini kerana, pada 1947, waktu itu hanya ada dua buah bank dan orang Melayu tidak dibenarkan meminjam wang daripada institusi berkenaan, bahkan terpaksa membuat pinjaman daripada ceti-ceti haram yang mengenakan kadar bunga yang cukup tinggi.

Bagaimanapun, bagi menghargai keberaniannya serta kesungguhan tokoh perbankan Melayu terawal itu, kerajaan Malaysia telah mengabadikan namanya di sebatang jalan yang dikenali Jalan Maarof, di Bangsar.

Dalam pada itu, Allahyarham Mustapha sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan, Wangsa Maju.

Arwah menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 8.30 pagi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas dua minggu mendapatkan rawatan akibat penyakit paru-paru.

Jenazah seniman ini selamat dikebumikan selepas Zuhur dengan dihadiri ramai penggiat seni tempatan. Arwah meninggalkan tiga anak berserta menantu dan tujuh orang cucu. Al-Fatihah.

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Hajat terakhir ‘Hero Melayu Klasik’, Datuk Mustapha Maarof tertunai setelah selamat dikebumikan bersebelahan dengan pusara isterinya, Roseyatimah di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini.



Allahyarham Mustapha Maarof

Menurut anak bongsu Allahyarham, Mohd. Rezainuddin, 38, hajat itu disampaikan oleh Allahyarham ketika mereka membersihkan pusara ibunya.

“Ketika membersihkan pusara ibu pada bulan puasa lalu, dia ada memberitahu, kalau boleh mahu bersama-sama di sebelah ibu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mustapha, 79, dimasukkan ke Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November lalu akibat komplikasi paru-paru.

Allahyarham kemudian dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di situ pada kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

Mengulas lanjut, jelas Mohd. Rezainuddin, sejak kehilangan ibunya, Allahyarham membesarkan mereka dengan baik dan banyak menerapkan nilai-nilai kekeluargaan.

“Allahyarham adalah seorang yang sangat rapat dengan keluarga. Bagi dia, walau sibuk sekalipun, keluarga perlu diutamakan.

“Setiap hujung minggu, dia mahu ahli keluarga duduk meluangkan masa bersama-sama. Kalau dapat berkumpul makan malam, memang dia cukup suka. Memori dan sikap itu yang akan menjadi kenangan buat saya sekeluarga dan adik-beradik yang lain,” jelasnya.

Sebelum Roseyatimah, Mustapha pernah berkahwin dengan pelakon, Suraya Harun dan mempunyai seorang anak, Suzlynna, 50.

Tiga tahun selepas itu, mereka berpisah dan Mustapha berkahwin dengan Roseyatimah.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak, Rezainuddin dan Azlynna, 45.

Allahyarham membesarkan anak-anaknya sendirian setelah kehilang­an Roseyatimah yang mening­gal dunia pada tahun 1987.

Mustapha memulakan kerjaya seninya pada era 50-an dan antara filem yang mengangkat namanya termasuklah Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Seri Mersing dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments