kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Amalan plagiat boleh jejas integriti akademik

Saya mengucapkan tahniah dan berbangga dengan inisiatif kerajaan memperkukuhkan budaya integriti dalam kalangan penjawat awam. Kepentingan membina 'tadbir urus baik' dengan memberikan perhatian kepada membasmi rasuah, penyalahgunaan kuasa, memastikan penggunaan sumber manusia dan kewangan secara berhemah adalah asas pengurusan yang ingin diterapkan.

Bagi agensi kerajaan yang berurusan dengan masyarakat awam, khususnya bertanggungjawab menilai dan meluluskan pelbagai projek pembangunan, kecenderungan untuk melanggar etika integriti berkaitan rasuah adalah tinggi. Sebaliknya bagi institusi pendidikan, sekolah dan universiti umpamanya, mereka lebih terbabit dengan pelajar dan isu integriti lebih berkait rapat dengan penyampaian ilmu secara jujur dan berdedikasi tinggi.

Di universiti umpamanya, masyarakat global melihat integriti akademik daripada perspektif etika akademik. Pada prinsipnya, etika akademik berkait rapat dengan nilai teras iaitu a) sentiasa mencari kebenaran; b) mengejar kecemerlangan; c) menghormati kepelbagaian ilmu dan ilmuwan dan d) berkongsi ilmu untuk kepentingan ramai. Dalam konteks ini, ahli akademik ialah ilmuwan yang pemimpin masyarakat sentiasa menegakkan kebenaran (kebebasan akademik) dan berkongsi ilmu sesama ilmuwan dengan masyarakat (intelek awam).

Etika atau integriti akademik sering dikaitkan dengan penyelidikan untuk mengumpul fakta jitu dan boleh dipertahankan. Ahli akademik tidak boleh bercakap tanpa fakta, tidak sesuai memberikan pandangan di luar bidangnya dan haram memanipulasikan maklumat untuk menegakkan pegangan atau fahaman songsang.

Oleh kerana ilmuwan mudah dipercayai masyarakat awam, isu melanggar etika yang paling berat ialah tidak menyatakan kebenaran berasaskan fakta. Inilah yang dimaksudkan dengan kebebasan akademik berserta tanggungjawab tinggi.

Modal insan cemerlang

Konsep mengejar kecemerlangan ialah memahami tahap kecemerlangan semasa dan meningkatkan kecemerlangan secara berterusan. Pendekatan penilaian prestasi hanya tujuh peratus cemerlang seperti amalan pegawai kerajaan kurang sesuai. Pemilihan bakat akademik mengambil kira 10 peratus teratas daripada bakat sedia ada. Mereka dilatih pada tahap akademik tertinggi (PhD) dan perlu melahirkan modal insan cemerlang.

Sepatutnya setiap ahli akademik menghayati Akademik Berbudaya Cemerlang. Mereka yang tiada kecenderungan mengejar kecemerlangan, sebetulnya melanggar etika akademik. Menghormati kepelbagaian ilmu dan ilmuwan meletakkan etika akademik pada satu tahap unggul dalam amalan sumbangan dan perkongsian ilmu. Satu isu yang sering dibangkitkan dalam konteks etika akademik ialah perbuatan plagiat, iaitu menerbitkan kerja orang lain tanpa merujuk atau memaklumi sumbernya.

Plagiat kesalahan serius

Plagiat juga boleh berlaku apabila ahli akademik menggunakan hasil penyelidikan pelajar tanpa menghormati sumbangan mereka. Plagiat dianggap kesalahan etika akademik paling serius yang tidak dapat diterima oleh komuniti ilmuwan. Daripada perspektif akademik, ilmu bukan 'produk perniagaan' yang boleh dijual beli, sebaliknya pengetahuan yang dijana perlu dikongsi untuk kesejahteraan sejagat. Ilmu yang bermanfaat perlu dikongsi bersama pelajar, pegawai kerajaan dan masyarakat awam.

Profesor terkemuka dunia, Dr Terry P Hughes dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains dari Universiti Malaysia Terengganu menyatakan pandangannya: "Jika mahu jadi kaya, usah menjadi ahli akademik." Beliau memilih dunia akademik kerana menyintai ilmu mengenai terumbu karang, dan ghairah untuk berkongsi dengan seluruh komuniti dunia.

Saya berkongsi pengalaman mengenai perbezaan antara etika akademik dan integriti awam kerana melihat amalan kurang sihat dalam dunia akademik. Oleh kerana kebanyakan ahli akademik di Malaysia terdiri daripada penjawat awam, budaya integriti pegawai kerajaan lebih ditekankan untuk pusat pengajian tinggi berbanding etika akademik.

Pada masa sama, kita mulai melihat ahli akademik tempatan kurang menghormati etika akademik dan berani secara terang-terangan menodai konsep mencari kebenaran, mengungguli kecemerlangan, dan menghormati kepelbagaian ilmuwan.

Kewibawaan, integriti akademik dan profesionalisme seharusnya menjadi tunggak akademik berbudaya cemerlang, mengatasi integriti awam jika negara berhasrat menjadikan institut pengajian tingginya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan universiti bertaraf dunia. Dr Ibrahim Komo Berita Harian Kolumnis 2014

Tags: plagiarism
Subscribe

  • Menteri

    Peranan menteri pendidikan dan kesihatan sangat penting untuk mengembangkan modal insan yang penting untuk pembangunan ekonomi yang mampan.…

  • Adakah inflasi gred baik atau buruk

    Anda tentunya mahu memperoleh gred yang baik di sekolah, kolej atau universiti. Dengan keputusan peperiksaan yang baik atau cemerlang pastinya…

  • SPM 2020: 3 persoalan kejayaan sistem pendidikan negara

    TAHNIAH diucapkan kepada 401,105 murid-murid yang telah mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka hari ini untuk tahun…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments