kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sebaris ayat runtuhkan negara

Adalah lumrah masyarakat membuat perbandingan zaman mereka pada era sebelumnya khususnya pada ketika ibu bapa mereka dilahir dan dibesarkan, malah kadangkala perbandingan dibuat menyelusuri tempoh lebih lama.

Setiap generasi akan mengatakan era mereka lebih hebat daripada sebelumnya. Selalu perbandingan dibuat dari segi kemudahan hidup dan kemajuan sains dan teknologi yang memungkinkan kehidupan manusia lebih selesa, aman dan makmur.




Tetapi, hujah ini tidak berapa kukuh jika dikaji dari sudut perangai dan sikap manusia. Jika seribu, seratus atau sepuluh tahun dahulu manusia suka berbohong, menipu, memfitnah, mengadu domba atau berperang sesama sendiri, sifat itu terus kekal hingga ke hari ini.

Sifat manusia kekal walaupun zaman berubah

Teknologi berubah mengikut arus perubahan zaman, tetapi hakikat manusia yang dibekalkan dengan sifat murni dan buruk akan kekal selama-lamanya, tidak mungkin terkesan dengan perubahan alam di sekelilingnya.

Begitu juga dengan perubahan dalam industri media yang melihat satu lompatan dari segi perkembangan dan kemajuan teknologi percetakan.

Selepas kemunculan teknologi penyiaran yang membolehkan manusia seluruh dunia menonton pelbagai rancangan termasuk berita dan bermacam program oleh stesen televisyen, teknologi berkaitan media terus mengorak langkah yang mengujakan.

Kini, sejak 20 tahun yang lalu, dunia media menyaksikan pula kehadiran sejenis media yang lain daripada yang pernah disaksikan sebelum ini. Ia dipanggil media baharu kerana memang baharu berbanding media cetak dan media elektronik - media ini disebut sebagai media sosial.

Media baharu yang dinamakan media sosial diulas dan dikaji dengan teliti oleh pengamal media global dan mereka mencapai kesimpulan bahawa media jenis ini adalah jauh lebih berpengaruh dan ampuh, lantas mengatasi populariti dua kategori media yang dilihat lebih tradisional.

Pengaruh media sosial

Media sosial adalah media alaf baru, malah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu, ia dianggap penentu kepada pihak mana yang akan muncul sebagai pemenang.

Bagaimana maju sekali pun industri media, persoalan lebih penting yang harus difikirkan apakah manusia sebagai pengguna mampu memahami potensi teknologi yang berada dalam tangan mereka?

Setiap pemilik peralatan komunikasi sama ada dalam bentuk telefon pintar, komputer bimbit, tablet atau komputer meja sebenarnya adalah pemilik media.

Apabila disebut istilah media dalam konteks kehadiran pelbagai peralatan komunikasi yang canggih dan berteknologi tinggi, skop dan takrifan media tidak lagi boleh disempitkan kepada hanya media cetak, elektronik mahupun sosial. Kini, setiap pemilik peralatan komunikasi yang mempunyai akses kepada internet yang mampu menghantar apa jua mesej dalam bentuk teks atau imej adalah pemilik dan pengamal media.

Kini, tidak perlu lagi seseorang itu menjalani kursus kewartawanan untuk menjadi wartawan. Sesiapa sahaja boleh dikategorikan sebagai 'wartawan' tidak kira pelajar sekolah mahasiswa, suri rumah, tukang kebun hatta pemandu teksi sekali pun seperti nada slogan sebuah syarikat penerbangan tambang murah, 'now everybody can be a reporter!'

Bezanya, wartawan yang bekerja di organisasi media dianggap profesional. Mereka dilatih secara sistematik dalam bidang ini dan diikat dengan prinsip dan etika kewartawanan.

Dalam menulis sesuatu berita atau artikel, setiap wartawan atau pengamal media tidak boleh lari daripada mematuhi etika kewartawanan yang berpaksikan kebenaran.

Ia berlainan pula dengan kumpulan 'wartawan' yang lahir daripada perkembangan teknologi media sosial dan sering kali disebut sebagai blogger yang kebanyakannya tidak seharusnya digolongkan sebagai wartawan profesional.

Kerosakan media baharu

Ada ramai blogger yang masih atau pernah menjadi wartawan tetapi yang dimaksudkan adalah mereka yang menamakan diri mereka sebagai pengamal media tetapi tidak terikat dengan peraturan, garis panduan atau norma dunia kewartawanan. Di sinilah bermulanya kerosakan dalam bidang media baharu yang hanya bergantung kepada dunia maya tanpa sempadan dan kekangan.

Sesiapa sahaja boleh menulis, mengepos, memberi pendapat, menghantar imej mengenai apa sahaja yang terlintas di benak mereka atau isu yang menarik perhatian sehingga kadangkala undang-undang dan peraturan hidup bermasyarakat dan bernegara diabai, malah tidak dipedulikan.

Jadilah pengguna dan pemilik media yang berhemah, bertanggungjawab terhadap apa sahaja teks atau imej yang dihantar melalui alam maya dan ke dalam alam maya.

Mungkin sebaris ayat atau sekeping imej boleh menyelamatkan nyawa atau sebaliknya ia boleh meruntuhkan sebuah negara.

Tags: ayat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments