Sekali lagi persoalan tahap kecekapan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita menjadi hangat. Seperti kelazimannya, ia disusuli perbahasan yang mengutarakan pelbagai penghujahan. Namun, ia hujah lama kerana persoalannya juga lama.
Persoalan lama ini yang membingungkan banyak pihak lain, tidak dapat dinafikan disebabkan kekurangan sistem pendidikan kita sendiri, khususnya mengenai pendidikan bahasa Inggeris. Bagaimanapun, ia disedari dan kini ditangani dengan serius, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Secara khususnya, ia ditangani oleh Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Ia sudah pun dimulai dengan menangani faktor kecekapan guru bahasa Inggeris itu sendiri. Pada masa sama, kurikulumnya ikut diteliti semula, agar bukan sahaja tahap kemahiran tinggi boleh dicapai.
Ia juga digubal semula dengan mengambil kira tuntutan abad 21, khususnya kepentingan bahasa Inggeris yang luar biasa sifatnya. Sebenarnya tidak banyak yang dapat dilakukan, sama ada oleh guru Bahasa Inggeris yang cekap, mahupun kurikulum yang baik sekali pun, jika pelajar itu sendiri tidak berminat untuk mempelajari bahasa Inggeris dengan sepenuh hati.
Faktor perwatakan pelajar perlu ikut disentuh dalam soal kecekapan berbahasa Inggeris yang lemah dan rendah ini. Ia adalah antara faktor penting dalam soal kejayaan pembelajaran Bahasa Inggeris itu atau sebaliknya.
Perlu pelbagai rangsangan
Dalam hal ini, dorongan adalah faktor paling penting dan ia pula merangkumi pelbagai rangsangan lain di dalamnya. Oleh itu, ia perlu diterangkan dengan sebaik mungkin kepada pelajar agar mereka bukan sahaja lebih terangsang untuk mempelajarinya. Tetapi mereka juga dapat melihat kepentingan bahasa Inggeris yang banyak untuk masa hadapan mereka.
Sebenarnya mudah untuk kita menyebut mengenai pentingnya faktor dorongan, tetapi ia jarang dan malah tidak mampu dijelaskan dengan baik, walaupun oleh ahli psikologi pendidikan sendiri. Faktor dorongan ini rumit sekali dan mengandungi, selain perlu disokong oleh pelbagai inspirasi dan insentif lain.
Namun, ia perlu dilakukan untuk mendorong pelajar kita agar mempelajarinya secara integratif, yakni untuk berfungsi dengan baik dalam komuniti bahasa Inggeris dan bukannya instrumental, iaitu memenuhi syarat wajib untuk lulus dalam peperiksaan tertentu. Selepas adanya dorongan, lebih-lebih lagi yang kuat pula, pelajar kita akan mempelajarinya sendiri, selain diajar guru berdasarkan kurikulum yang tersedia.
Sehubungan ini, mereka akan melakukannya atas inisiatif sendiri, antaranya dengan menggunakan kemudahan yang tersedia dalam dunia digital.
Usaha sendiri
Inilah yang dilakukan sesetengah pelajar kita yang kemaruk dan taksub terhadap beberapa produk budaya Korea. Melalui usaha sendiri yang gigih pula, ramai yang berjaya mempelajari bahasa Korea dengan baik, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisannya, dalam waktu yang singkat pula.
Sudah tentu faktor dorongan itu kuat, sehingga mereka ini sanggup mempelajari sistem bahasa Korea yang asing itu dan dengan tekun. Ia dilakukan untuk antaranya mengikuti plot drama dan mesej lagu dengan lebih baik lagi. Ini untuk ikut bersimpati dan berempati secara lebih dekat lagi.
Pengetahuan baik mengenai bahasa Korea ini didapati mempertingkatkan harga diri mereka. Ia dikaitkan dengan kejayaan, selain sanjungan dan penghormatan daripada rakan sebaya. Ini semua boleh dipindah dengan mudah untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik lagi.
Proses dan prinsip yang sama patut diterapkan oleh pelajar. Malangnya dorongan untuk menguasai bahasa Inggeris itu tidak sekuat yang ada pada bahasa Korea. Sudah sampai waktunya pendidikan bahasa Inggeris kita ikut mengandungi bab dorongan. Ia penting untuk memberi kesedaran kepada pelajar mengenai pentingnya bahasa Inggeris dalam era ini.
Antaranya sebagai bahasa dunia terpenting dalam diplomasi, perbankan, penerbangan dan segala macam yang lain. Selain itu, beberapa sifat perwatakan, seperti ego bahasa, ketidakyakinan, perasaan segan dan malu perlu juga dibincangkan secara terperinci. Semua ini hendaklah dibicarakan dalam kerangka Dasar MBMMBI.
Sehubungan ini, pendekatan linguistik nasionalis perlu digunakan. Ia akan membicarakan kesalinglengkapan dua bahasa ini, dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perdana dan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua penting.
Teo Kok Seong Berita Harian Kolumnis 18 Disember 2014