“Saya akan laporkan hingga kepada Perdana Menteri,” demikian dialog Haji Saaban, Pengerusi Melati Holding dalam filem Matinya Seorang Patriot (1984) arahan Rahim Razali. Ketika menuturkan dialog itu, di belakang Haji Saaban terdapat poster “Bersih Cekap Amanah,” slogan yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lama selepas menjadi Perdana Menteri pada 1981.
Belasungkawa 15.12.2014 |
Haji Saaban dalam Matinya Seorang Patriot memerangi rasuah dan penyelewengan dengan menganjurkan tatacara kerja “Bersih Cekap Amanah.” Watak yang memberi nyawa kepada filem itu dilakonkan oleh Mustapha Maarof. Beliau melakonkan watak itu dengan baik dan menyerlahkan karisma Mustapha walaupun bukan pelakon utama.
Haji Saaban ialah model korporat Melayu yang diangkat oleh Rahim berteraskan gagasan Dr. Mahathir yang memerlukan seseorang itu mempunyai teras agama dan amanah dalam menjalankan tugas. Haji Saaban sanggup mengorbankan dirinya kerana menolak untuk bersekongkol dengan Ahli Lembaga Pengarah Melati Holding yang menyeleweng dalam filem itu.
Walaupun watak itu pada relatifnya kecil tetapi memberi kesan yang besar dalam konteks gagasan negara untuk bersih daripada parasit korporat yang boleh meruntuhkan negara. Di luar filem, Mustapha adalah antara segelintir pelakon perfileman Melayu di Singapura yang berjaya dalam kehidupan dan juga kerjaya. Sama seperti kebanyakan watak yang dilakonkannya, Mustapha seorang yang berperibadi tinggi, berpendidikan dan sangat berhati-hati apabila berbicara.
Pagi Isnin lalu Mustapha yang mempunyai pertalian dengan pemilik nama Jalan Maarof di Bangsar, Kuala Lumpur telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun, meninggalkan tiga anak, Suzlynna, 50, Azlynna, 46 dan Rezainuddin, 38 serta tujuh cucu. Beliau tidak pernah hilang dalam dunia perfileman seperti sebahagian besar pelakon veteran lain terutama pada era Shaw Brothers dan Cathay Keris di Singapura. Sebaliknya terus menjadi 'pemain' utama dalam industri filem sama ada sebagai pelakon, penerbit atau dalam persatuan perfileman.
Dilahirkan pada 1 Januari 1935, pelakon yang dikenali menerusi beberapa filem penting zaman awal perfileman Melayu seperti Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Naga Tasik Chini, Keris Sempana Riau, Sumpah Pontianak dan banyak lagi mempunyai catatan kehidupan yang tragis sekali gus menarik. Mustapha menjejakkan kaki ke Cathay Keris di Singapura ketika berusia 19 tahun. Beliau berkelana dari kampung halamannya di Negeri Sembilan untuk mencuba nasib sebagai pelakon selepas pemergian ayahnya, Maarof Zakaria yang juga akauntan Melayu pertama.
Ayahnya yang ketika itu menjadi pemilik bank Melayu pertama, Malay National Bank telah dibunuh di kawasan hutan yang sekarang ini menjadi taman rekreasi Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Selepas pemergian ayahnya, Mustapha berhenti daripada pengajiannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) kerana menghadapi masalah kewangan. Sebagai mengenangkan perjuangan ayahnya mengangkat penguasaan ekonomi orang Melayu zaman itu, kerajaan memberi penghormatan menamakan sebatang jalan utama di Bangsar sebagai Jalan Maarof.
filem Naga Tasek Chini |
Difahamkan filem terakhir lakonan Mustapha ialah Lembing Awang Pulang Ke Dayang tahun 2009 tetapi watak dalam filem itu tidak menyumbang kepada tambah nilai profil Mustapha. Selain berlakon dan sebelum ini pernah menjadi Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), beliau juga aktif dalam penerbitan filem iklan dan dokumentari menerusi syarikatnya, Warna Motion.
Filem Sumpah Pontianak (1958) dan Raden Mas (1959) telah mempertaruhkan Mustapha sebagai watak pembantu. Namun watak pembantu itulah yang menyebabkan Mustapha semakin dikenali sehinggakan diberi watak utama sebagai putera raja dalam filem Bawang Merah Bawang Putih (1959). Keberkesanan watak itu telah memberi nafas baru terhadap cerita rakyat yang terkenal ini.
Karisma Mustapha semakin ketara apabila melakonkan watak Tun Aman dalam filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (1961), Walaupun berganding dengan pelakon hebat Nordin Ahmad yang memegang watak utama Datuk Megat Seri Rama tetapi beliau tetap menonjol kerana memberikan perwatakan kontras dengan Nordin yang kasar, bengis dan berhasrat membunuh Sultan Melaka.
Ketika muncul filem penyiasatan Dr. No yang mempopularkan watak perisik British, James Bond yang dilakonkan oleh Sean Connery pada 1962, industri filem Asia juga tidak terkecuali terpengaruh dengan filem genre penyiasatan. Mustapha dilihat mempunyai beberapa persamaan dengan Connery apabila dipilih menjayakan Play Boy (1967) dan Si Murai (1968).
Semasa hayatnya Mustapha menjalani kehidupan yang sederhana selepas pemergian isterinya, pelakon Roseyatimah pada 14 Disember 1987, genap 27 tahun lalu. Sejak itu Mustapha mengambil alih tugas sebagai ibu kepada anak-anak yang masih kecil. Beliau memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada ketiga-tiga anaknya dan terus menduda hingga ke akhir hayat.
Dalam satu temu bual di rumahnya di Subang Jaya yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia 29 Mei 2011, Mustapha berkata, pengalaman kehilangan ayah pada usia belasan tahun, mengukuhkan tekadnya supaya anak-anaknya tidak merasa kehilangan beliau selepas pemergian isterinya. Hidupnya selepas ketiadaan Roseyatimah hanyalah ke tempat kerja dan di rumah.
Apabila ditanya adakah beliau seperti sebahagian artis lain yang memburu keseronokan di pusat-pusat hiburan, Mustapha berkata, tidak ada masa untuk itu.
Beliau berkata, “Masa saya untuk anak-anak, anak sulung baru berusia 17 tahun waktu ibu mereka tiada. Saya tak terfikir untuk mencari keseronokan dan membiarkan anak-anak.” Dalam nada sedikit sebak Mustapha menyambung; “Di rumah ini Rose meninggal, di bahagian belakang itu dimandikan dan anak-anak ada kenangan di rumah ini.”
Semasa hayatnya Mustapha menjalani kehidupan sederhana, rumah yang dihuni di Subang Jaya dibeli tahun 1973 dengan harga RM34,000. Beliau menganggap, di situlah pangkalan terakhir. Secara berseloroh Mustapha berkata, “Bank mana yang nak bagi pinjaman kepada orang tua macam saya. Tak ada ke mana, di sini sajalah.”
Mustapha sangat terhutang budi dengan pengarah L. Krishnan yang mengambil beliau sebagai anak angkat semasa mula menjejak kaki ke Singapura. L. Krishnan banyak membantu menggilap dan memberi peluang kepada Mustapha. Kerana L. Krishnan juga Mustapha berpindah dari Cathay Keris di Singapura ke Studio Merdeka di Hulu Kelang, Selangor.