kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Guang-mei teruk diseksa

Tindakan Mao Tse-tung menamatkan kedudukan Liu Shao-chi sebagai Presiden China dilakukan dalam bulan Ogos 1966 iaitu empat tahun setengah selepas berlangsungnya persidangan 7,000 kader Parti Komunis China di mana Mao telah ditempelak oleh Liu di depan perwakilan kader. Tugas negara yang terakhir bagi Liu ialah pada 5 Ogos tahun itu apabila Liu, sebagai Presiden China, menerima kunjungan hormat rombongan rasmi dari Zambia. Sebaik-baik sahaja Liu selesai membuat tugasan rasmi itu, dia menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri China, Chou En-lai yang mengarahkan Liu Shao-chi agar jangan lagi membuat apa jua tugas rasmi atau tampil di khalayak ramai kecuali jika diberi kebenaran terlebih dahulu oleh kerajaan.


WANG Guang-mei, isteri Liu Shao-chi, pada saat-saat kemenangan Parti Komunis China merampas kuasa di China pada 1949

Pada hari itu juga Mao menulis satu ucapan mengecam Liu yang kemudian dibacakannya di depan Jawatankuasa Pusat Parti, yang turut dihadiri Liu Shao-chi, pada 7 Ogos, dua hari kemudian. Semasa itulah Mao mengisytiharkan kepada parti bahawa Liu Shao-chi telah dipecat daripada jawatan Presiden China. Mao juga mengisytiharkan, dia telah memilih Lin Biau sebagai orang nombor dua menggantikan Liu Shao-chi. Semua anggota Jawatankuasa Pusat yang hadir mendiamkan diri, tidak berani membantah. Menurut penulis Jung Chang - Jon Halliday, Mao sebenarnya telah memberi arahan kepada Lin Biau, sehari sebelum itu (6 Ogos) supaya ‘bersiap sedia untuk bertindak’ jika Jawatankuasa Parti membantah dah menolak keputusan Mao memecat Liu Shao-chi.

Ini adalah kali kedua Mao Tse-tung meminta sokongan padu daripada Lin Biau, dengan bala tentera China di belakangnya sebagai Menteri Pertahanan, dalam menghadapi kemelut politik yang dihadapi Mao. (Atas sikap setia Lin Biau itu, Mao Tse-tung telah mengambil inisiatif meminda Perlembagaan Parti Komunis China pada April 1969 khusus untuk menetapkan bahawa Lin Biau ialah “Mao Zedong’s close comrade-in-arms and successor”. Pindaan ini dibuat semasa Kongres Parti Komunis China Kali Kesembilan. Selepas kematian Mao Tse-tung (1976), ketentuan-ketentuan dalam perlembagaan parti seperti ini telah diharamkan sama-sekali. Ia dianggap satu penyelewengan yang serius terhadap dasar democratic centralism yang sepatutnya menjadi amalan Parti Komunis China.

Mulai bulan Ogos 1966 itu Liu Shao-chi sebenarnya telah dikenakan tahanan dalam rumah. Kediaman rasmi Liu, sebagai Presiden China, terletak dalam kawasan yang dinamakan Zhongnanhai bersebelahan dengan Dataran Tiananmen. Dalam bahasa Mandarin, Zhongnanhai bermakna ‘Laut Tengah dan Selatan’ atau sering juga dibilang ‘Istana-istana Laut’. Dengan lokasinya di tengah-tengah bandar raya Beijing, Zhongnanhai sangat luas dan indah pemandangan, penuh dengan tasik-tasik, pohon-pohon yang rendang dan rumah-rumah istirehat untuk maharaja atau pembesar-pembesar negara China pada masa silam. Boleh dikatakan ia semacam sebuah taman diraja yang unggul di zaman kebesaran pemerintahan beraja China dahulu kala. Sering juga sesetengah rumah itu digunakan sebagai pejabat oleh pembesar-pembesar maharaja China. Setelah Parti Komunis China merampas kuasa pada 1949, Zhongnanhai tidak dimusnahkan atas alasan ia sinonim dengan kehidupan feudal. Sebaliknya, Mao Tse-tung mahu semua pemimpin kanan parti tinggal dalam kawasan Zhongnanhai. Atas kehendak Mao itu, kecuali Lin Biau yang tinggal di luar tidak berapa jauh dari Zhongnanhai, lain-lain Menteri China tinggal dalam kawasan Zhengnanhai. Selain itu, kompleks di Zhongnanhai menempatkan juga Ibu Pejabat Parti Komunis China pusat pemerintahan atau apa yang dibilang Majlis Negara (semacam kabinet), Republik Rakyat China dan Pejabat Umum parti untuk berurusan dengan orang ramai.

Kediaman

Rumah Mao Tse-tung yang dinamakan Youyonghai merupakan satu-satunya kediaman di Zhongnanhai yang mempunyai kolam renang. Ia sangat terasing dari rumah-rumah lain, kecuali kediaman Liu Shao-chi yang letaknya hanya di belakang rumah Mao. Liu menjadikan rumahnya sebagai pejabatnya juga. Harrison-Salisbury, dalam bukunya The New Emperors: Mao and Deng, berkata, boleh dikatakan mulai awal tahun 1966, Liu Shao-chi menjadi Presiden China pada nama sahaja, ibarat retak menanti belah. Dia sudah merasa dia semakin dipinggirkan. Kata Salisbury: “To live in Liu’s house in 1966 was to live on the edge. Liu Shaoqi was still president of China. He went to his office every day. His secretaries reported for work. But the telephone never rang. The in-basket was empty. No one knocked at his door. No papers were sent for his signature. Liu was ‘standing behind the line’, as the Chinese put it, suspended from duty, drawing his pay, holding his title but in limbo, suspected of everything, charged with nothing (halaman 266).”

Liu Shao-chi mempunyai empat orang anak hasil perkahwinannya dengan Wang Guang-mei (isteri ketiga, selepas gagal perkahwinan sebelumnya. Isteri keduanya dibunuh tentera Kuomintang). Keempat-empat anaknya– Pingping 18 tahun, Yuanyuan (17), Tingting (14) dan Xiaoxiao (6) – tinggal bersama Liu di Zhongnanhai. Liu mempunyai empat orang anak lagi daripada perkahwinan terdahulu, tetapi mereka tidak tinggal bersama Liu (kesemua lapan orang anak Liu ini bakal diseksa oleh Mao menerusi 'jentera’ yang diciptanya). Patut saya catatkan, Wang Guang-mei, berasal dari keluarga ternama. Bapanya pernah menjadi menteri dan diplomat di bawah pemerintahan Kuomintang, ibunya seorang pegawai pelajaran, juga semasa kerajaan Kuomintang. Wang Guang-mei memiliki ijazah fizik dari universiti yang ditubuhkan oleh mubaligh Kristian dari Amerika Syarikat di Beijing. Dia telah dijadualkan untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Michigan, Amerika Syarikat pada tahun 1946 atas tawaran biasiswa universiti itu.

Tetapi pada tahun 1946, Wang sebaliknya telah memasuki Parti Komunis China atas desakan ibunya yang senyap-senyap menyokong kuat pergerakan komunis. Dia mengahwini Liu Shao-chi pada 1948, dua tahun selepas menjadi ahli parti. Akan saya ceritakan kelak bagaimana Wang Guang-mei, bukan sahaja seorang wanita yang berpendidikan tinggi dan cerdas akal fikirannya, malah berpendirian teguh serta berdisiplin tinggi semasa dia, suaminya dan anak-anak mereka menghadapi pelbagai macam penganiayaan dan penyeksaan, angkara perbuatan Mao Tse-tung menerusi Kumpulan Kecil Revolusi Kebudayaan (di bawah naungan Mao) yang turut dianggotai antara lain, Chou En-lai, isteri Mao, Jiang Qing dan Lin Biau. Wang Guang-mei menjadi sumber kekuatan kepada suaminya untuk tidak mudah tunduk atau mengaku kalah terhadap perbuatan Mao yang dianggap oleh Wang sebagai menyalahi dasar-dasar parti dan bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan di sisi ajaran Marx. Kerana kecekalannya jugalah, Wang Guang-mei telah teruk diseksa dan menderita di tangan Mao.

Ikutilah cerita selanjutnya pada minggu hadapan tentang perbuatan zalim Mao Tse-tung terhadap Liu Shao-chi dan keluarganya.

Tags: komunis
Subscribe

  • We can make CEFR work for us

    A GLOBALLY-RECOGNISED framework does not make English curriculum less Malaysian. I refer to the article, “Adopt a Malaysian…

  • Arguments against use of CEFR flawed

    I REFER to the letter “Adopt a Malaysian framework” (NST, May 28), in which the writer attempts to make a case for rejecting the…

  • Kita kurang guru bahasa Inggeris

    “Desak guru ambil MUET, NUTP minta menteri campur tangan” adalah berdasarkan cadangan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments