kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Tabik rakyat Malaysia

Walaupun impian Malaysia untuk menjulang Piala AFF 2014 tidak kesampaian ekoran kekalahan kepada Thailand (agregat 4-3 ) malam tadi, Awang tetap berbangga dengan barisan pemain negara. Mereka telah mempamerkan semangat juang yang tinggi sehingga mendahului 3-0 seolah-olah juara sudah milik Malaysia. Namun nasib tidak menyebelahi selain ternyata hakikatnya - pemain Thailand lebih tangkas pada separuh masa kedua. Dalam perlawanan bola sepak, segalagalanya boleh berlaku. Brazil yang dianggap hebat dalam sukan itu pernah dikejutkan dengan kekalahan memalukan 1-7 di gelanggang sendiri pada Piala Dunia lalu.

Awang berharap kegagalan pada final Piala AFF kali ini tidak terlalu mengecewakan para pemain. Mereka tidak harus rasa terhukum dan patah hati. Prestasi Harimau Malaya menjadi Naib Juara Piala AFF 2014, adalah lebih baik berbanding musim lepas. Mereka layak diberikan ucapan tahniah oleh rakyat Malaysia. Menewaskan Vietnam dengan jaringan agak besar di negara itu antara memori manis buat rakyat Malaysia yang bakal menutup tirai 2014. Awang yakin peluang buat Harimau Malaya untuk bangkit terbuka luas pada masa depan.

Semoga semua pihak berkenaan terutama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pengajaran bernilai bagi melonjakkan prestasi skuad bola sepak kita. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengembalikan era kegemilangan bola sepak negara di arena antarabangsa sebagaimana dekad 1960-an dan '70-an. Musim Piala AFF kali ini menyerlahkan betapa rakyat Malaysia dahagakan kejayaan dalam sukan paling popular itu. Biarpun Malaysia tewas semalam Awang tabik kepada rakyat Malaysia atas sokongan padu kepada Harimau Malaya. Para peminat tegar terutama Ultras Malaya yang sentiasa memenuhi stadium memberikan tahap sokongan yang cukup luar biasa umpama pembawa panji-panji di medan perang. Perlawanan semalam turut menyaksikan kehadiran peminat bola sepak nombor satu negara, Najib Tun Razak di Stadium Bukit Jalil sebagai tanda sokongan kepada skuad negara. Aktiviti harian rakyat Malaysia terhenti kerana tumpuan kepada siaran secara langsung final tersebut. Semangat kesukanan telah menyatukan kita semua, yang ngauman Harimau Malaya menjadi pencetusnya. Terima Kasih Harimau Malaya.

ADNAN DAN SAMAN

Beberapa pengamal media bertanyakan reaksi Awang tentang saman Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob ke atas Utusan Melayu berhubung tulisan dalam ruangan Bisik-Bisik Awang Selamat yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 5 Disember lalu. Awang jawab pertanyaan demi pertanyaan dengan senyuman dan adakalanya secara jenaka. Tiada apa yang harus digundahkan, alah bisa tegal biasa. Awang sudah lali dengan kes mahkamah dan tidak rasa terganggu. Ini cabaran dalam media yang bukan untuk dirintihi sebaliknya diterima dengan keterbukaan. Atas semangat itu, Awang dan rakan-rakan di Utusan menghormati tindakan Adnan menggunakan saluran undang-undang, itu hak beliau. Biar apa pun dugaan, obor perjuangan ini tidak akan padam dengan satu mahupun 1,000 saman. Ini semua akan menjadikan kami lebih cekal dan kuat, insya-Allah. Ada hikmahnya.

Awang ingin merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga atas segala sokongan kepada Utusan ekoran tindakan saman Adnan. Banyak SMS, e-mel dan ucapan secara lisan yang diterima daripada pelbagai pihak - para pembaca, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik hinggalah kepada negarawan. Kesemua mengharapkan Utusan tidak gentar dengan sebarang tekanan termasuk tindakan mahkamah, sebaliknya teruskan laporan bersifat pendedahan sebagai mana isu Cameron Highlands. Paling menarik perhatian ialah sokongan daripada banyak pembaca di Pahang. Malah ada yang mencadangkan agar dilancarkan kempen tabung kutipan membantu Utusan.

Walaupun mereka tahu syarikat akhbar tersebut mampu menghadapi risiko saman dan tidak mengharapkan bantuan bentuk itu tetapi ia adalah simbol sokongan moral yang padu. Awang cukup terharu. Malah banyak komen pembaca bagi tujuan siaran dihantar, yang sebahagiannya keras mempersoalkan tindakan mahkamah tersebut. Namun akhbar tempat Awang berkhidmat, mengambil pendirian untuk tidak menyiarkannya. Biarlah mahkamah menjadi medan sebenar. Banyak yang boleh terdedah untuk dinilai. Apa pun, terima kasih kepada semua kerana berdiri teguh bersama Utusan. Ia begitu besar maknanya kepada kebebasan bersuara dan dalam mendokong integriti - demi rakyat dan negara.

SERBAN, JANGGUT DIRENTAP

Sampai bila Pas mahu dihina dan diperlekehkan oleh rakan dalam pakatan pembangkang? Terbaharu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terus mempersoalkan komitmen Pas untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Makin lama makin ketara Pas dihenyak-henyak oleh DAP. Kebelakangan ini, para pemimpin DAP secara terbuka menyerang Pas pada Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Putrajaya. Pada Awang, secara analoginya, bukan lagi sekadar serban dan janggut pemimpin Pas direntap bahkan kain juga cuba dilondehkan.

Inilah musim penghinaan yang paling dahsyat ke atas Pas dalam sejarah kerjasama pakatan pembangkang. Kenapa Guan Eng terus berani menekan Pas? Jawapannya kerana beliau yakin dengan 'kesetiaan luar biasa' penasihat PKR, Anwar Ibrahim terhadap DAP selain sudah terlalu selesa dengan sokongan masyarakat Cina. Meskipun berdepan dengan asakan berterusan DAP, Awang bersyukur kerana para pemimpin utama Pas terutama Hadi Awang, Nik Aziz Nik Mat dan Dewan Ulama tidak tunduk dalam isu hudud dan kalimah Allah. Pas sudah berani menolak Anwar dalam banyak isu kritikal berkaitan Islam. Awang yakin Pas boleh menjadi sandaran yang bermaruah.

Tinggal lagi bila parti itu mahu bersikap realistik dan tidak lagi menjadi mangsa buli, apakah mahu terus menadah najis yang dihumban oleh sekutunya atas menu tahaluf siyasi? Hakikatnya akar umbi Pas dalam diam sudah lama resah dan tidak mahu parti itu terus dimalukan lagi. Jangan sampai kain -simbol maruah- terlondeh, baru melompat. Ketika itu, DAP pasti ketawa besar.

IKTIBAR BUAT KITA

Pakistan digemparkan dengan serangan pemisah Taliban di sekolah awam milik tentera di Peshawar, Pakistan baru-baru ini yang mengorbankan 148 orang, kebanyakannya pelajar yang tidak berdosa. Peristiwa itu satu lagi tragedi hitam bukan sahaja kepada Pakistan bahkan kepada dunia. Ia perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Awang sedih ia berlaku di sebuah negara Islam.
Indeks Keganasan Global 2014 melaporkan, Pakistan adalah satu daripada negara yang paling terjejas di dunia akibat kegiatan pengganas dengan hampir 2,000 insiden pada 2013 yang mengorbankan 2,345 orang manakala lebih 5,000 lagi cedera. Awang bersyukur Malaysia jauh lebih aman, stabil dan harmoni. Semoga nikmat kesejahteraan ini tidak diambil mudah oleh rakyat pelbagai kaum dan agama. Ambillah iktibar. Apa yang terjadi di Pakistan juga boleh menimpa negara ini jika aliran dan percikan ekstremisme tidak ditangani dengan tegas dan holistik. Lebih-lebih lagi Malaysia kini berdepan dengan ancaman gerakan militan Negara Islam (IS) yang merekrut ramai orang muda selain negara ini dijadikan transit militan untuk kononnya berjihad ke Syria. Tahniah kepada polis atas banyak tangkapan yang telah dilakukan bagi membendung kegiatan mereka. Namun sekali lagi janganlah mengambil mudah. Cabarannya - apa lagi yang kita tidak tahu tentang militansi di negara ini yang bergerak senyap dan meledak apabila tiba masanya. Nauzubillah...

KENAPA KUMPULAN 25 ENGGAN?

Siapa sebenarnya 25 bekas pegawai tinggi Melayu, apa latar belakang, tahap jati diri, gaya hidup dan pemikiran mereka? Inilah antara banyak maklum balas yang Awang terima mempersoalkan tindakan mereka menyentuh kedudukan dan amalan undang-undang Islam.

Kumpulan itu menjadi perhatian pada 7 Disember lalu apabila menulis surat terbuka kepada rakyat negara ini yang antara lain menyarankan supaya undang-undang jenayah Syariah dinilai semula.

Bagi pendokong gerakan liberalisme dan pluralisme yang begitu agresif sekarang, kumpulan 25 itu dijaja sebagai hero moderation sedangkan mereka mungkin tanpa disedari telah diperalatkan.

Sebenarnya majoriti umat Islam tidak selesa dengan tindakan mereka seolah-olah mahu mencabar undang-undang syariah. Boleh dirumuskan pandangan mereka tidak mencerminkan pemikiran keseluruhan umat Islam di negara ini. Maka Awang tertarik dengan saranan agar dikaji latar belakang mereka. Lebih-lebih lagi ada dakwaan terdapat sebahagian mereka yang diketahui dengan gaya hidup yang sangat liberal ketika berkhidmat dalam kerajaan.

Yang lebih menjadi tanda tanya, mereka berani mengeluarkan surat terbuka tetapi enggan menemui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) apabila diundang untuk dialog. Awang pun tidak faham, mereka diundang secara terhormat oleh Jakim tetapi enggan hadir seperti ada sesuatu yang tidak kena. Lalu timbul lagi persoalan, apa motif sebenar dan siapa di belakang mereka?

Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 21 Disember 2014
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments