kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Antara pemimpin, memimpin 
dan kepemimpinan

KERAPKALI terdapat perbincangan tentang soal kepimpinan dalam pelbagai sektor dan bidang sama ada politik, swasta, organisasi atau pun dalam masyarakat amnya.


Setiap perbincangan pasti berkisar pada isu-isu ja­watan atau kedudukan, seperti pemimpin-pemimpin dalam parti-parti politik, ketua-ketua eksekutif syarikat-syarikat dan pemimpin dalam mana-mana organisasi seperti yang berkaitan sukan, belia atau seumpamanya.

Dan pasti yang menjadi tumpuan adalah jawatan yang terlibat kerana yang lazim dikaitkan dengan pemimpin adalah jawatan. Secara nyata perkara ini sememangnya betul kerana masyarakat pasti mengaitkan pemimpin de­ngan jawatan yang diduduki seseorang itu.

Sebenarnya yang lebih penting adalah kepimpinan seseorang itu untuk melayakkannya diiktiraf, diterima dan dihormati sebagai pemimpin. Kepimpinan wajar dinilai dari beberapa aspek termasuk ciri-ciri keperibadian seseorang individu yang merupakan kualiti-kualiti asas yang membolehkannya memberi kepemimpinan positif kepada kumpulan yang dipimpinnya, antara lain seperti:-

* Amanah dan integriti serta kejujuran yang mana boleh menentukan arah haluan kepimpinan, terutama dalam membuat keputusan dan memikul tanggungjawab.

* Sikap adil dan saksama dan sentiasa objektif dalam setiap pertimbangan dan tidak diskriminasi, berat sebelah atau subjektif. Dan mementingkan apa yang betul bukan apa yang dianggap `baik’ oleh mana-mana pihak. Ini bererti kebijaksanaan menilai antara apa yang betul dan yang tidak.

* Berdisiplin dalam tindakan serta mampu menggembleng komitmen dan keazaman kumpulan atau pasukan yang dipimpinnya. Disiplin termasuk disiplin mengurus masa yang terhad, mengurus pelbagai isu dan agenda yang perlu ditangani serta disiplin membuat keputusan supaya benar-benar diteliti buruk baiknya secara mendalam.

* Mempunyai pandangan jauh dan berupaya mendorong serta mendatangkan perubahan dan inovasi untuk pencapaian yang berterusan. Ini bererti tidak dikongkong oleh kelaziman-kelaziman lama yang menghalang kemajuan atau pun disekat oleh anggapan dan pandangan-pandangan lama yang tidak lagi relevan dan sesuai.

* Mempunyai minda yang terbuka yang mampu memikirkan dan menilai, perkara-perkara baharu yang membawa pelbagai kesan dan pengaruh; iaitu tidak dikongkong oleh keusangan minda yang enggan menerima perubahan dan pembaharuan dan bergerak balas kepadanya. Atau pun minda yang enggan melihat opsyen lain dan baharu, serta pilihan-pilihan lain yang lebih baik, serta dibelenggu oleh pegangan-pegangan pendapat yang sebati dengannya.

* Menghayati bahawa memimpin membawa tanggungjawab berat dan sedia atau sanggup menerima segala risiko dan kesan yang berkait dengan bertindak sebagai pemimpin. Ini bererti ia sanggup menerima akibat daripada keputusan-keputusan dan tindakan yang diambil dan dibuat, dan tidak memindahkan tanggungjawab itu kepada orang lain untuk menanggung akibatnya. Buruk atau baik kesan dan padahnya, mesti dipikul oleh mereka yang memimpin.

Jelas bahawa me­mimpin bukan semata-mata memegang peranan atau menduduki tempat dan kerusi pemimpin, tetapi ia bererti me­laksana dengan sebaik mungkin, apa jua yang mesti dilakukan oleh seseorang itu sebagai orang yang memimpin. Dan dengan itu, prestasi dan hasil ke­pimpinan seseorang itu sangat penting menjadi ukuran dan tanda aras kepimpinan.

Dalam persekitaran yang sentiasa dinamik dan berubah, ukuran kepimpinan dalam apa jua organisasi atau bidang adalah kebolehan dan kemampuan menangani serta mengurus perubahan. Iaitu bagaimana ia mengenalpasti perubahan-perubahan, merangka strategi menangani perubahan dan melaksana langkah-langkah yang wajar dan diperlukan untuk berjaya menghadapi apa jua perubahan yang berlaku dalam persekitaran.

Yang sangat penting setiap daripada kita adalah pemimpin dalam lingkaran atau kumpulan masing-masing contohnya :-

* Ibu bapa dalam keluarga, mereka mesti memimpin dengan penuh keupayaan dan rasa tanggungjawab dan komitmen. Bukan hanya merupakan ibu bapa, tetapi, tugas-tugas ibu bapa diserahkan kepada penjaga anak, pe­ngasuh dan kepada guru-guru dan sekolah.

* Eksekutif-ekskutif dalam syarikat-syarikat mereka mesti memimpin dengan cekap supaya syarikat mampu mencapai sasaran dan matlamatnya. Begitu juga ketua-ketua dalam setiap bahagian syarikat, seperti ketua di bahagian operasi, kewangan, sekuriti dan keselamatan, pemasaran dan tenaga pekerja mereka setiap seorang itu memimpin kumpulan masing-masing.

* Ketua-ketua dalam setiap peringkat atau bahagian organisasi masing-masing mengetuai kumpulan-kumpulan yang setiap satu akan menyumbang kepada kejayaan atau kegagalan, organisasi, contohnya badan-badan politik, NGO, dan pertubuhan-pertubuhan lain.

Setiap yang berperanan sebagai ketua wajib memberi kepimpinan yang positif dan yang menambah nilai dan membawa kemajuan dan kemajuan yang diperlukan. Selagi seseorang itu belum menunjukkan ciri-ciri pe­mimpin, bertindak untuk memimpin, serta menyerlahkan kepimpin­an yang boleh dibanggakan dan dihormati maka tidak boleh atau belum boleh ia dianggap pemimpin.

Tidak kira sama ada ibu bapa dalam keluarga, ketua dalam syarikat atau organisasi atau mereka yang menge­tuai badan-badan dalam struktur masyarakat dan politik.

Yang diperlukan ialah bukan bilangan ramai orang yang berada dalam kedudukan-kedudukan sebagai ketua, tetapi orang yang benar-benar mampu memimpin dan mempunyai kepemimpinan yang selaras dengan tuntutan-tuntutan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 dan seterusnya.

TAN SRI RAFIDAH AZIZ pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.

Tags: pemimpin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments