kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nasib politik Melayu

ORANG Melayu tidak perlu menyalahkan pihak lain apabila sudah ada keberanian luar biasa dalam kalangan pemimpin politik tertentu untuk memainkan isu sensitif berkaitan kedudukan kaum itu dan agama Islam.

Orang Melayu juga tidak perlu membuang masa untuk terpekik terlolong di jalan raya membantah tindakan biadab mana-mana par­ti politik kerana ia tidak akan menguatkan kedudukan politik mereka. Malah orang Melayu juga tidak perlu melenting tidak tentu pasal apabila ada parti politik yang menentang hukum hudud habis-habisan walaupun hukum itu bukannya hendak dilaksanakan ke atas orang bukan Islam.


Perwakilan Dewan Pemuda Pas yang hadir pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia bertempat di Dewan Choon Moi, Kota Tinggi, Johor pada September lalu.

Sebaliknya, orang Melayu harus bermuhasabah kenapakah mereka dilayan sedemikian rupa. Bukankah mereka kaum majoriti dalam negara ini? Bukankah mereka menjadi tonggak pemerintahan negara melalui UMNO? Kenapakah agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan dihina dan dicaci serta dipersendakan dalam laman-laman sosial? Di manakah silapnya?

Akuilah sahaja segalanya ber­punca daripada kelemahan orang Melayu itu sendiri, janganlah salah orang lain atau kaum lain tetapi salahlah diri sendiri kerana kita tidak tahu berpolitik dan seolah-olah terlalu jahil menggunakan kuasa politik yang ada.

Berikutan keadaan itulah, ki­ta menyaksikan bagaimana Pas begitu mudah diperkotak-katikkan dalam pakatan pembangkang. Se­lepas perjuangan parti itu untuk menegakkan negara Islam ditolak mentah-mentah oleh PKR dan DAP sehingga mereka terpaksa mengubah haluan perjuangan kepada negara berkebajikan, kini hukum hudud pula mahu ‘dikuburkan’ oleh sekutunya.

Walaupun Pas berhasrat untuk melaksanakan hukum itu di Ke­lantan dan hanya melibatkan orang Islam sahaja tetapi hasrat itu ditentang habis-habisan oleh DAP. Malah DAP secara terbuka mahu pakatan pembangkang membuat pendirian muktamad berhubung pelaksanaan hukum hudud, yang tersirat pakatan itu mesti menolak hukum tersebut.

Pas bukannya tidak memahami keadaan itu sebaliknya terus bersedia maruah parti tersebut terus diperkotak-katikkan walaupun hakikatnya Pas adalah parti Melayu ke­dua terbesar di negara ini. Bagaimanapun ke­ghairahan untuk berkuasa bersama PKR dan DAP terus menjadi nafsu yang tidak mampu dikawal oleh Pas.

Akibatnya, Pas hanya berani membuat kenyataan-kenyataan me­­­­­nentang hujah DAP tetapi untuk mengambil langkah drastik meninggalkan pakatan, ia hanyalah sekadar satu mimpi indah yang mengasyikkan.

Pas kehilangan jati diri sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan sudah menggadaikan prinsipnya sebagai taruhan untuk sama-sama menawan Putrajaya bersama PKR dan DAP. Keadaan inilah yang memungkinkan kewibawaan Pas tidak pernah digeruni oleh kedua-dua parti itu walaupun dari segi sejarah perjuangan politik, Pas jauh lebih hebat daripada PKR dan DAP.

Segala-galanya kerana dilumuri politik kebencian yang mendalam terhadap UMNO. Sebab itulah ada dalam kalangan pemimpin Pas menganggap lebih baik berpeluk-peluk dengan pemimpin-pemimpin DAP daripada bersalaman dengan pemimpin UMNO.

Sikap inilah yang menyebabkan dari semasa ke semasa perasaan hormat dan gerun kepada kuasa politik orang Melayu semakin luntur. Apatah lagi ketika kaum lain bersedia bersatu demi kepentingan mereka tanpa mengira fahaman politik, Pas tidak mahu duduk semeja dengan UMNO bagi membincangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

Walaupun muncul kuasa ketiga yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu namun keupayaan mereka terbatas. Mereka tidak akan berupaya menentang kehendak politik PKR dan DAP. Apatah lagi, dalam kalangan orang Melayu sendiri wujudnya gelombang tindakan yang boleh melemahkan kuasa politik mereka.

Kita perlu mengakui kuasa politik orang Melayu menjadi lemah dan semakin terhakis bukan kerana bangsa lain tetapi kerana kejahilan kita berpolitik. Kita mencari alasan dan hujah untuk melemahkan kepimpinan negara yang diterajui oleh UMNO. Teguran yang dibuat bukan bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan seba­liknya hanya menghakis keku­atan parti politik Melayu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila dalam kalangan pemimpin politik Melayu khususnya UMNO masih belum faham atau sengaja buat-buat tidak faham berhubung kehendak rakyat. Sebab itulah kita menyaksikan bagaimana ada dalam kalangan pemimpin tersebut masih dengan sikap angkuh tidak bertempat dan merasakan dialah yang terbaik serta masih relevan biarpun rakyat sudah menolak mereka dalam pilihan raya umum lalu.

Kuasa politik Melayu akan terus tergugat dan digugat, selagi pemimpin-pemimpin politik Melayu masih bercakaran sesama sendiri dan me­ngamalkan politik kebencian hanya disebabkan berlainan fa­haman politik.

Situasi ini membuka laluan seluas-luasnya kepada pihak-pihak tertentu untuk melemahkan kuasa politik orang Melayu dan sasaran mereka sudah pastilah UMNO memandangkan Pas sudah terikat kaki dan tangan serta mulut dikunci berikutan hubungan politik dengan PKR dan DAP.

Serangan ke atas UMNO akan berterusan dari semasa ke semasa. Kelemahan pentadbiran negara yang ditunjangi oleh UMNO akan dijadikan senjata untuk meruntuhkan kuasa politik orang Melayu. Tetapi ma­langnya bukan kata orang luar malah dalam UMNO sendiri masih ada yang tidak faham ancaman ini.

Mereka bertindak menjadi duri dalam daging kepada parti sendiri. Kita tidak menafikan bahawa UMNO juga ada kelemahan tetapi janganlah bertindak ibarat memberi `peluru’ kepada musuh. Ini kerana berbanding dengan parti-parti kaum lain mereka tidak pernah melakukan serangan yang boleh melemahkan kuasa politik kaum mereka. Dalam keadaan tertentu mereka akan bersatu tetapi apakah ini berlaku dalam cara berpolitik parti-parti yang didominasi orang Melayu?

Sudah pasti tidak! Apa yang kita saksikan ada kelompok akan tumpang semangkuk untuk melemahkan ku­asa politik orang Melayu. Sikap inilah yang menyebabkan kaum lain tidak lagi berasa gerun dengan kekuatan politik orang Melayu.

Oleh itu, sebelum terlambat, parti-parti politik orang Melayu perlu mengubah cara politik mereka. Ia termasuklah mendengar rintihan dan suara hati orang Melayu. Walaupun sokongan kaum lain diperlukan tetapi janganlah kerana keghairahan untuk berkuasa atau merebut kuasa suara orang Melayu dipinggirkan.

Percayalah, kalau orang Melayu bersatu tiada siapa yang berani membuat kenyataan menyinggung perasaan mereka atau menyentuh sensitiviti umat Islam seperti mana berlaku sekarang. Tetapi masalahnya kita terlalu sukar bersatu.

Orang Melayu masih berbalah sesama sendiri dan melihat se­gala-galanya dari segi politik se­hinggakan ketika perlawanan bola sepak pun mahu dilakukan tindakan bodoh iaitu hendak mengedarkan risalah mendesak harga minyak diturunkan.

Kejahilan sesetengah pihak untuk menilai kedudukan kuasa politik orang Melayu semakin terancam akibat perbalahan sesa­ma sendiri adalah sesuatu yang berbahaya. Jika ia tidak diubah maka percayalah pepatah ‘menang sorak kampung tergadai’ pasti menjadi kenyataan.

Tags: melayu, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments