kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mustapha tak sempat rungkai misteri kematian bapa

Walaupun cuma beberapa kali bertemu Datuk Mustapha Maarof, dirasakan seolah-olah seperti sudah lama mengenali seniman itu. Sikap Allahyarham yang mudah mesra dan suka berkongsi ilmu membuatkan sesiapa saja yang berada di sisinya merasakan seperti ahli keluarga sendiri.

Kali pertama penulis bersama rakan setugas, Zulhimi Hat bertemu di rumahnya di Subang Jaya pada Mei 2014, membincangkan hasrat BH Ahad untuk membuat laporan eksklusif mengenai arwah bapanya, Maarof Zakaria, pengasas bank pertama untuk orang Melayu iaitu Malay National Bank. Bermula dari situ, kami kerap bertemu dan berbincang sebelum terhasilnya laporan bersiri mengenai ketokohan Maarof, yang namanya diabadikan pada sebatang jalan di Bangsar, Kuala Lumpur iaitu Jalan Maarof.

Maarof diculik pada 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur menuju ke rumah ibunya di Seremban, Negeri Sembilan. Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati, digantung pada sebatang pokok dalam hutan, berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada Sabtu, 7 Disember 1947.


Laporan yang disiarkan akhbar BH mengenai Allahyarham Maarof.


Mustapha meninggal dunia

Ketika merancang untuk menulis laporan susulan menjelang genap 67 tahun kematian bapanya, Maarof, penulis dikhabarkan seniman veteran itu tenat dan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 15 Disember lalu. Al-Fatihah.

Selepas menyiapkan laporan bersiri sebanyak tujuh episod, penulis berasakan masih 'berhutang' dengan Allahyarham Mustapha kerana gagal membantu menunaikan hasratnya untuk melihat kes pembunuhan bapanya dirungkaikan. Allahyarham mahu kematian bapanya ibela dan pihak yang bertanggungjawab diadili sekali gus membersihkan nama tokoh Melayu itu kerana ada tuduhan liar mengatakan beliau membunuh diri.

Beberapa fail dan rekod lama berjaya dikumpul, termasuk daripada Arkib Negara dan kami sempat mengunjungi sanak saudara Maarof di kampung kelahirannya di Seri Menanti, Negeri Sembilan, untuk mendapatkan maklumat tambahan. Mustapha pernah meluahkan rasa hatinya mahu melantik peguam berwibawa untuk menyemak dan mengkaji semula kes itu tetapi menghadapi kekangan kewangan dan kes itu dilihat agak rumit kerana berlaku sebelum zaman merdeka.

Bahkan, cubaan untuk mendapatkan rekod lama di balai polis Bentong juga gagal kerana dimaklumkan, fail lama yang disimpan di dalam stor musnah selepas dua kali terbakar. Mustapha cukup yakin bapanya menjadi mangsa komplot pihak tertentu yang tidak mahu melihat tokoh Melayu bangkit terutama dalam bidang ekonomi kerana penubuhan Malay National Bank itu dilihat bakal menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik China iaitu Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC).

Ada pihak didakwa cemburu

Sedangkan ketika itu, orang Melayu cuma dibenarkan meminjam wang daripada ceti haram. Keluarganya percaya pihak yang cemburu dengan langkah berani Maarof mengambil tindakan drastik dengan menculik dan membunuh Maarof.

Pada awal Disember lalu, penulis menyuarakan hasrat Mustapha itu kepada Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (Suka- Guam), Datuk Khairul Anwar Rahmat dan ia disambut baik. SukaGuam melihat hasrat keluarga Mustapha itu sebagai peluang terbaik untuk membantu menonjolkan ketokohan Maarof yang juga bekas peguam dan bersedia merujuk kes itu kepada Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sayangnya, ketika kami sudah menetapkan tarikh untuk menziarahi Mustapha dan keluarga di hospital, Allahyarham terlebih dulu dijemput menemui pencipta-Nya. Sekali lagi hasrat kami terbantut. Sehingga kini, kematian tokoh Melayu itu masih menjadi misteri.

Siapa yang membunuhnya, siapa dalangnya dan siapa yang bertanggungjawab. Siapa yang menyerang dan menembak keluarga Maarof di Seputeh, Kuala Lumpur beberapa bulan sebelum beliau diculik? Penulis tertanya-tanya, selepas kematian Mustapha, siapa lagi yang boleh berkongsi cerita atau maklumat untuk meneruskan hasrat murni itu serta siapa yang sanggup menghulurkan bantuan merungkaikan persoalan berkenaan.

Tags: tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments